Memacu Perubahan

Semalam saya bersama dengan teman-teman alumni wacana kepimpinan Nahdah Asia dirai dalam suatu majlis makan tengah hari di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor. Antara jemputan istimewa yang hadir ialah mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim; Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar, Khalid Jaafar; Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adun Batu Caves, Amirudin Shari yang juga merupakan salah seorang alumni program tersebut.

Dalam ucapan pembukaannya, Khalid Jaafar mengimbau kembali sejarah awal tercetusnya ide gagasan Renaisans Asia ini serta peri pentingnya buat golongan muda untuk meneruskan kesinambungan percambahan idea, pemikiran dan budaya dalam memacu perubahan masyarakat.

Anwar Ibrahim mengupas sekitar lawatannya ke Indonesia baru-baru ini, karya-karya Hamka yang menjadi santapan mindanya sejak remaja serta peranan tokoh-tokoh yang mencetus gelombang kebangkitan Asia, antaranya Jose Rizal, Muhammad Iqbal dan Dr. Sun Yat Sen. Beliau turut menyentuh tentang keberkesanan dalam pentadbiran, kelangsungan ekonomi serta peranan falsafah dalam membentuk kepelbagaian pendapat dan pemikiran.

Selepas makan tengah hari, kami mengambil kesempatan bertukar-tukar pendapat dan pandangan berhubung dengan beberapa perkara yang menjadi bualan ramai sejak kebelakangan ini. Rata-rata kesemuanya cukup optimis dengan corak politik baru yang sedang berlaku dalam negara. Persengketaan dalam Umno wajar dilihat sebagai isyarat jelas bahawa budaya politik sempit mulai ditolak oleh kebanyakan generasi muda masa kini. Masanya telah tiba untuk kita bersama-sama memacu perubahan!

1 Ulasan

Tanpa Nama berkata…
"Dr Mahathir semakin letih dan keliru" - Anwar

Sumber: Malaysiakini

Ahad, 13 April 2008

KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kritikan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaitkan beliau dengan Yahudi, sebagai "tidak masuk akal".

Bercakap kepada pemberita pada forum kepimpinan Melayu di Kajang semalam, Dr Mahathir berkata hanya orang Israel yang akan mengundi Anwar jika beliau mahukan jawatan Perdana Menteri.

"Beliau (Dr Mahathir) nampaknya semakin letih dan keliru. Saya tidak pernah bertemu mana-mana pemimpin Israel, tetapi beliau ada berjumpa... secara diam-diam, ketika beliau menjadi perdana menteri," katanya.


"Saya tidak pernah bertemu mana-mana pemimpin Israel, tetapi beliau ada berjumpa... secara diam-diam, ketika beliau menjadi perdana menteri,"

Anwar berkata, Dr Mahathir berurusan dengan pihak Yahudi, membabitkan AS$1.2 juta yang didakwa telah dibayar kepada pelobi Amerika Syarikat, Abramoff untuk mengatur pertemuan beliau (Dr Mahathir) dengan presiden negara kuasa besar itu George W Bush pada 2002.

Anwar menasihati Dr Mahathir supaya memberikan tumpuan menjaga kesihatan dirinya dan memohon maaf kepada rakyat atas kezaliman yang telah dilakukannya.

Dr Mahathir juga, tambah Anwar, perlu menjelaskan tentang bagaimana beliau telah memusnahkan badan kehakiman, mengawal media, bagaimana beliau menahan beratus-ratus orang bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk ketika Operasi Lalang 1987.

Di samping itu, katanya, Dr Mahathir juga perlu menjelaskan pembabitannya dalam pelbagai amalan rasuah, salah urus, mencuri dana kerajaan melalui banyak syarikat milik kerajaan yang mengalami kerugian seperti Perwaja Steel.

"Saya fikir lebih baik beliau menjawab isu-isu berkenaan," tegas Anwar.

Mengenai desakan Dr Mahathir supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur, Anwar berkata:

"Sejak dulu lagi saya tidak pernah mengambil serius pandangan Dr Mahathir."

"Sudah tentulah perdana menteri tidak boleh mengelak daripada bertanggungjawab terhadap kekalahan BN, tetapi beliau mengetuai kempen pilihanraya bersama dengan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak)," kata Anwar.

"Najib yang menerajui kempen dan Abdullah adalah perdana menteri, jadi kedua-dua mereka perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk mereka," katanya.
Terbaru Lebih lama