Isnin, Julai 13, 2009

Projek Bina Masjid

Saya masih ingat, dua tahun lalu, pertama kali saya ke Felda Gunung Besout di Perak, menghadhiri majlis perkahwinan saudara Fathi Aris Omar.
Pun demikian, saya sudah lupa berapa banyak majlis perkahwinan yang telah saya hadhiri untuk tahun ini.
Apa yang jelas, teman-teman sepermainan, kawan-kawan sekolah dan rakan-rakan sekuliah semakin ramai yang mengakhiri zaman bujang mereka. Ada juga yang mulai bergelar bapa dan ibu.
Minggu lalu saya ke Kota Bharu, memenuhi undangan perkahwinan seorang teman sekampus. Minggu depan, barangkali ke Taiping pula -- juga untuk memenuhi undangan sama. Dan minggu seterusnya, tetap rutin yang serupa, barangkali sehingga menjelang bulan puasa yang bakal bermula Ogos depan.
Buat semua teman-teman yang kini dan bakal bergelar suami dan isteri, saya mendoakan kebahagiaan berkekalan, insha-Allah.
Dan saya fikir masanya telah tiba buat saya (juga Amin dan Aqil) untuk mulai memikirkannya dengan lebih serius, haha!

Sent from my BlackBerry® wireless device

Label: ,

Jumaat, Jun 26, 2009

Mengenang Michael Jackson

Saya terkesan dan hiba sebaik mengetahui berita kematian mengejut Raja Pop Michael Jackson pagi tadi.
Michael Jackson yang popular dengan panggilan Jacko dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Membesar dan dewasa dengan lagu-lagu beliau, saya sering berhasrat untuk menyaksikan persembahannya secara langsung.
Meski pun diselubungi dengan pelbagai kontroversi, namun setiap kali beliau tampil dengan album baru, pastinya ia menjadi hits.
Saya berkongsi kesedihan dengan jutaan warga dunia yang semestinya turut menangisi dan berkabung atas pemergian beliau.
"Muzik yang hebat adalah sesuatu yang abadi," demikian ungkapan Michael Jackson. Dan ianya terbukti hari ini.

Sent from my BlackBerry® wireless device

Label: , , ,

Khamis, Jun 04, 2009

Tiananmen

Hari ini genap 20 tahun berlakunya tragedi berdarah di Dataran Tiananmen, China. Dalam kita mengenang kembali sejarah dua dekad yang lalu, barangkali wajar untuk direnung dan dibayangkan impak dan kesan yang suatu masa nanti bakal dilalui oleh generasi masa depan Malaysia setelah 20 tahun meletusnya gerakan Reformasi.

Label: , ,

Rabu, Mei 13, 2009

Puaka (Politik) 13 Mei dan Teori Celaka

Saya dibesarkan dalam persekitaran Melayu yang kuat. Sejak dari kecil, orang-orang tua dalam keluarga sering memomokkan saya akan bahaya yang dibawa oleh bangsa Cina dan India.
Kata mereka, Cina ini kaum pendatang yang suka menipu dan mahu merampas hak orang Melayu. India pula bangsa yang kuat mabuk, suka mencari gaduh dan melakukan jenayah. Untuk mendukung teori celaka ini maka minda Melayu saya disogok dengan satu kisah puaka yang terjadi empat dekad yang lalu.
(i)
Teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – ini terbawa-bawa sehingga ke alam persekolahan rendah menerusi pergaulan saya yang hanya terbatas dalam kelompok anak-anak Melayu sahaja. Saya tidak berkawan dengan murid-murid bukan Melayu dan sering memandang curiga terhadap apa saja yang mereka lakukan.
Sewaktu darjah lima, seorang teman sekelas (budak Melayu yang saya lupa namanya) membuka kisah 13 Mei. Katanya, ini cerita benar yang didengar dari datuk dan bapa saudara yang (didakwanya) terlibat secara langsung dalam peristiwa tersebut. Saya jadi tertarik dan bertanya lanjut.
Maka dikatakan bahawa waktu itu orang-orang Cina bertindak biadap dan kurang ajar kerana menghina dan mencerca orang-orang Melayu. Orang Cina mengutuk hak istimewa Melayu dan merendah-rendahkan bahasa Melayu. Kerana merasakan bahawa maruah bangsa telah dicabar, orang-orang Melayu mengangkat senjata dan mengamuk dengan menyerang dan membunuh orang-orang Cina yang celupar itu.
Orang Cina bertindakbalas dan turut bertindak agresif. Maka saat itu parang, kayu, keris dan segala macam senjata melayang ke udara, cerita teman saya itu. Tambah beliau lagi (entah betul atau tidak), datuknya juga turut ditetak di dada oleh seorang Cina namun langsung tidak cedera kerana memiliki ilmu kebal yang menyebabkan badannya tidak lut senjata. Saya kagum dan teruja dengan cerita teman saya tadi.
Kemelayuan saya semakin jitu dan teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – kini saya yakini sepenuhnya. Melayu itu hebat, pantang dicabar. Kalau dicabar, nahas!
Di rumah, saya bertanyakan bapa tentang 13 Mei. Kata beliau, waktu itu dia masih kecil dan tidak tahu menahu kerana peristiwa itu hanya berlaku di Kuala Lumpur sedangkan beliau menetap di Pahang. Tiba-tiba, bapa saya bercerita tentang Tun Razak, Dasar Ekonomi Baru dan UMNO.
Sekali lagi, teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – bergema dalam minda saya. Ya, saya Melayu. Saya bangga jadi Melayu!
Hidup Melayu!
(ii)
Sewaktu bersekolah menengah, saya sekelas dengan ramai pelajar berbangsa Cina. Kesan daripada puaka 13 Mei ini, saya kekok dan sukar bergaul dengan pelajar-pelajar lain yang bukan berbangsa Melayu. Saya hanya senyap dan menyendiri di dalam kelas sehinggalah saya ditegur oleh seorang anak Cina yang fasih berbahasa Melayu.
Budak Cina ini bernama Tan Chien Liang. Dia anak orang kaya yang dihantar dan dijemput setiap hari oleh pemandu keluarganya. Ya, bapanya ahli perniagaan dan memiliki rumah banglo yang mewah.
Mulanya saya prejudis dan gemuruh dengan budak Tan ini. Puaka 13 Mei dan teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – masih lagi bersarang dalam benak Melayu saya. Namun demikian, lama kelamaan saya mulai senang dengan Tan. Dia baik dan tidak menipu. Setiap kali saya terlupa membawa wang belanja, dia akan meminjamkan wangnya untuk saya beli makanan di kantin. Dia juga tidak akan beri jawapan kepada saya setiap kali saya cuba menirunya waktu peperiksaan. Tidak baik katanya.
Kami bersahabat. Macam belangkas, kata pelajar-pelajar lain. Dan saya semakin terlupa akan teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – yang sering dimomokkan oleh orang-orang tua dalam keluarga saya. Saya senang dengan Tan. Dia fasih bercakap Melayu. Dia suka makanan Melayu. Dan dia juga menaruh cinta pada gadis Melayu!
Suatu hari, Tan bertanyakan saya tentang Islam. Dia mahu saya mengajarkannya perihal Islam. Katanya, dia suka berkawan dengan saya sebab saya baik. Sebab dia nampak orang Islam baik. Saya terpinga. Namun saya bersetuju.
Maka saya pun mula belajar dan pada masa sama mengajar Tan tentang Islam. Saya kaji Al-Quran, saya baca hadith. Oh, rupanya semua manusia ini bersaudara. Semua manusia ini berasal dari Adam. Melayu, Cina dan India rupanya manusia bersaudara. Cuma faktor sejarah, geografi dan budaya yang membezakan mereka. Hakikatnya – menurut pembacaan saya itu – semua manusia bersaudara.
Tiba-tiba teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – cuba menyerang kesedaran yang baru terbina. Ada bisikan puaka yang mengingatkan saya tentang 13 Mei. Tentang kebiadapan Cina terhadap Melayu. Tentang kehebatan Melayu yang tak lut senjata. Tentang keris. Tentang Hang Tuah. Bisikan puaka ini menyuruh saya menafikan kenyataan bahawa manusia itu bersaudara dan sememangnya Cina penipu dan India suka cari gaduh.
Ah, tak mungkin! Tan baik orangnya. Dia tidak pernah menipu saya. Dia jujur sewaktu jawab peperiksaan dan dia mahu belajar tentang Islam. Dia suka berkawan dengan saya sebab saya juga baik kepadanya.
Dan bisikan puaka 13 Mei serta teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – mendiamkan diri. Barangkali bengang kerana saya tidak melayani.
(iii)
Di universiti, saya belajar kejuruteraan. Sewaktu hari pertama kuliah – waktu sesi memperkenalkan diri – seorang budak India bernama Ganesan dengan bangganya mengatakan beliau seorang ateis.
Selepas kuliah, saya menghampiri Ganesan dan bertanyakannya kenapa dia tidak meyakini Tuhan. Dia hanya tersenyum sambil menyatakan bahawa dia sebenarnya masih dalam pencarian ke arah kebenaran. Saya berjabat tangan dengannya dan kami ke kafé untuk minum. Cukup mengejutkan kerana Ganesan juga fasih bertutur Melayu!
Ganesan, meski tidak percayakan Tuhan merupakan seorang siswa yang pintar. Dia rajin dan tidak lokek berkongsi pengetahuannya dengan saya. Dia juga tanpa silu selalu meminjamkan saya tugasan kuliah untuk ditiru. Kata Ganesan, hidup ini mesti tolong-menolong.
Setiap petang selepas kuliah, saya akan melepak di kafé dan bertukar cerita dengan Ganesan. Kami akan berbual pelbagai isu termasuk agama, politik, budaya dan sukan. Saya terharu tatkala Ganesan menyatakan bahawa dia amat mengagumi adat dan kebudayaan orang Melayu. Kata Ganesan, orang Melayu merupakan bangsa paling budiman dan halus pekertinya. Ganesan juga meminta tolong saya untuk memikat seorang siswi Melayu yang diminatinya.
Pengetahuan dan keprihatinan Ganesan terhadap budaya dan adat Melayu mendorong saya untuk mendalami budaya dan adat masyarakat India pula. Maka saya mengkaji dan menelaah makalah-makalah sejarah tentang ketamadunan India silam. Agak menarik kerana rupa-rupanya, pembinaan tamadun Melayu banyak dipengaruhi dan berasal dari tamadun Hindu klasik dari India.
Saya teruja sebaik mengetahui bahawa asal moyang orang-orang Melayu dahulunya menganut ajaran Hindu dan bertutur dalam bahasa Melayu yang disaring dari perkataan-perkataan Sanskrit. Parameswara, pengasas kesultanan Melayu Melaka juga asalnya merupakan seorang Hindu sebelum diislamkan oleh saudagar Arab yang berdagang di Melaka.
Keterujaan saya pada ketika itu sekali lagi cuba digugat oleh bisikan puaka 13 Mei dan teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – namun ianya gagal lagi. Ungkapan ‘Ketuanan Melayu’ dan ‘Hidup Melayu’ dipandang sepi oleh jiwa saya yang semakin mengerti hakikat kemanusiaan.
Ganesan dan saya kekal akrab. Meskipun dia ateis dan saya aktivis gerakan mahasiswa Islam, rutin minum petang di kafé selepas kuliah kekal diteruskan sehingga tamat pengajian.
(iv)
Hari ini, puaka 13 Mei sudah tidak mahu mendampingi saya lagi. Ianya telah jauh menghilangkan diri. Teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – juga sudah tidak wujud dalam kematangan intelektual saya.
Selepas 8 Mac 2008, percubaan sesetengah pihak yang masih meyakini teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – untuk menghidupkan semula puaka 13 Mei jelas sekali gagal. Manipulasi media untuk meracuni akal budi rakyat dengan menyemai sentimen kebencian melalui ego perkauman sememangnya keji dan menjengkelkan.
Saya bertuah kerana telah melalui kerencaman pergaulan sejak dari alam persekolahan rendah sehingga ke peringkat universiti dengan mengenali pelbagai bentuk karakter dan individu tanpa mengira latar bangsa dan kepercayaan. Semakin saya cuba untuk menegakkan ego kebangsaan dan keangkuhan ras, semakin terbentang ruang dan kesempatan untuk saya mendekati kepelbagaian dan keindahan multi-budaya.
Puaka 13 Mei dan pendekatan politik yang berlandaskannya harus dibunuh terus oleh kita semua. Teori celaka yang mewujudkan persepsi negatif terhadap ras-ras tertentu juga wajib disingkirkan daripada terus melatari keharmonian dan kelangsungan hidup warga negara ini.
Malaysia ini milik semua. Milik saya, Tan, Ganesan dan anak-anak cucu kami yang bakal mewarisinya nanti.
----------

*Artikel ini telah diterbitkan buat pertama kalinya di laman web www.jalantelawi.com

Label: , , , ,

Isnin, April 27, 2009

BlackBerry

Saya belajar menggunakan telefon bimbit sewaktu di sekolah berasrama dan mulai memiliki telefon sendiri ketika masuk belajar di universiti. Jika mahu dibandingkan dengan generasi hari ini, pastinya saya antara yang paling ketinggalan pada waktu itu. Kecetekan pengetahuan saya berkaitan teknologi telefon bimbit wajar dikatakan naif sehingga ke peringkat saya tidak mampu membezakan jenama telefon dan rangkaian syarikat telekomunikasi!
Telefon bimbit pertama yang saya beli dengan menggunakan wang simpanan sendiri merupakan telefon berjenama Nokia (model 2100). Kepalang gembira waktu itu kerana akhirnya saya berjaya melangkah masuk ke arus ‘moden’ teknologi komunikasi. Meskipun teman-teman sekampus memiliki telefon yang jauh lebih canggih, – yang mempunyai kamera digital, kemampuan muat turun nada dering polifonik, kemudahan mengirim mesej bergambar (MMS) dan lain-lain – namun, saya berasa cukup memadai kerana apa yang penting, saya boleh bercakap dan mengirim pesanan ringkas (SMS) kepada ahli keluarga dan semua teman-teman.
Perubahan pantas kemajuan teknologi telefon bimbit sememangnya menghimpit sesiapa sahaja yang mementingkan kualiti dan gaya. Ketika mana Nokia dan Sony Ericsson bersaing sengit dalam memenuhi citarasa pengguna dan ‘penagih’ teknologi di Malaysia, Samsung dan Motorola secara senyap berjaya mewujudkan kelompok pengikutnya yang tersendiri.
Saya sendiri terkesan dan seolah-olah dipasung dengan kemilau pelbagai jenis jenama dan model telefon bimbit di pasaran. Seorang rakan sekuliah, yang cukup dikenali sebagai penagih teknologi pasti akan tampil setiap tiga bulan dengan telefon bimbit baru berjenama. Pun demikian, kekangan kewangan sebagai seorang mahasiswa sedikit sebanyak berjaya merasionalkan saya dari ikut terjebak mengejar kepantasan perkembangan teknologi komunikasi yang sememangya mustahil untuk dikejar!
Ketika dalam tahun ketiga pengajian, dunia komunikasi mulai dimeriahkan dengan fenomena blog. Sebelum daripada itu, anak-anak muda kelompok urban sudah mulai ketagihan menyertai laman-laman sosial seperti Friendster dan MySpace. Saya turut memiliki akses kedua-dua jenis laman sosial ini namun ianya kurang memenuhi tuntutan teknologi yang saya impikan. Selain daripada menjadi medium komunikasi sesama teman-teman sekampus, laman-laman sosial ini juga berperanan dalam menjalin semula hubungan persahabatan yang terputus serta menjadi medan para pengguna menjual imej dan meraih perhatian.
Sewaktu anak muda lain giat bersosial menerusi internet, saya mulai memupuk minat dalam lapangan penulisan dan kritik sosial. Kemunculan laman-laman blog bertemakan pemberitaan berbentuk penyiasatan (investigative journalism), politik, falsafah dan agama mendorong saya untuk sama-sama ikut serta menceburkan diri dalam dunia penulisan blog. Blog-blog seperti Malaysia Today (Raja Petra Kamarudin), Tumit Achilles (Khalid Jaafar), Patah Balek (Fathi Aris Omar), Digital Digression (Nik Nazmi Nik Ahmad) dan Selak (Aqil Fithri) merupakan antara yang kerap dilayari dan banyak mempengaruhi aliran keilmuan saya.
Sebaik melancarkan laman blog Riwayat Hayat, saya giat menulis dan melontarkan pandangan serta kritikan terhadap pelbagai isu yang muncul di Malaysia melingkari persoalan politik, agama, sosial, intelektual dan kemahasiswaan. Rutin penulisan di blog ini sememangnya menajamkan fikiran dan membuka ruang untuk saya mengenali dan menyelami pelbagai sosok individu dan aliran pemikiran.
Setelah menamatkan pengajian di universiti dan sementara menunggu hari graduasi, saya ditawarkan untuk membantu operasi pejabat khidmat rakyat oleh salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang baru dipilih. Urusan kerja yang lebih berorientasikan komunikasi antara saya dan Adun tersebut membuatkan saya sering terpaksa bersedia dan selalu menyemak akaun emel. Ini ditambah pula dengan ‘kepekaan’ teknologi majikan saya yang menggunakan sejenis telefon bimbit ‘pintar’ berjenama BlackBerry.
Jika sebelum ini telefon bimbit sekadar dilengkapi dengan keupayaan SMS, MMS dan panggilan video, BlackBerry ternyata lebih memukau. Rahsia kecekapan majikan saya membalas emel dalam masa singkat rupa-rupanya tersembunyi di sebalik telefon pintar ini! Saya dimaklumkan oleh beliau bahawa BlackBerry miliknya menyediakan kemudahan emel, melayari internet dan juga dilengkapi dengan perisian komunikasi Yahoo! Messenger, Google Talk, Windows Live Messenger dan kemudahan pengendalian laman sosial, Facebook. Menarik bukan?
Fenomena BlackBerry yang pada kebiasaannya hanya popular di kalangan tokoh korporat dan para selebriti Hollywood semakin menjadi-jadi sebaik saja Barack Hussein Obama dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru. Foto-foto yang merakamkan ‘keintiman’ beliau dengan alat komunikasi pintar itu sepanjang tempoh berkempen menjadikan dirinya popular dan dikenali sebagai presiden yang celik informasi dan senantiasa berhubungan dengan dunia luar. Bahkan, larangan oleh pihak Perkhidmatan Rahsia (Secret Service) Amerika Syarikat yang mengawal keselamatan Presiden agar beliau tidak lagi menggunakan BlackBerry (kerana kebimbangan terhadap kebocoran maklumat dan rahsia kerajaan) tidak diendahkannya.
Obama memberikan alasan bahawa sekiranya beliau tidak dibenar menggunakan BlackBerry, beliau seolah-olah berada dalam kurungan dan tidak akan mengetahui perkembangan semasa. Beliau juga khuatir tidak dapat berhubung dengan ahli keluarga, kawan-kawan dan para penyokongnya. Sebagai penyelesaian, BlackBerry miliknya telah diubahsuai dan ditingkatkan tahap keselamatannya agar tidak menjadi sasaran penggodam yang licik untuk menceroboh akaun emelnya. Obama juga dihadkan daripada berhubung melainkan dengan ahli keluarga, teman-teman terdekat, dan kakitangan-kakitangan kanan Rumah Putih.
Majalah Newsweek (edisi 16 Februari 2009) telah memuatkan satu rencana bertajuk “Will The BlackBerry Sink The Presidency?” antara lain mengupas ketagihan Presiden Obama terhadap telefon bimbit pintar itu. Menurut Sharon Begley pengarang rencana tersebut, meskipun BlackBerry sangat bermanfaat dalam konteks memudahkan komunikasi dan capaian maklumat, kegagalan pengguna dalam memastikan BlackBerry tidak menjadi bebanan dan gangguan dalam menjalankan tugasan seharian sememangnya cukup membimbangkan.
Menurut beliau, kesan sosial dan kognitif penggunaan BlackBerry kepada hampir 21 juta penggunanya di seluruh dunia tidaklah sesempurna seperti yang diperkatakan. Manakala ramai peminat BlackBerry bergembira apabila Obama dibenarkan untuk terus menggunakan telefon bimbit pintar itu – di samping menekankan kepentingannya bagi memastikan pengguna senantiasa produktif dan terhubung – para pakar psikologi kognitif serta interaksi berpendapat sebaliknya. Kajian yang dilakukan ke atas kesan-kesan pop-up, pemaklum emel, pengurusan kalendar dan instant messaging – kesemuanya merupakan cetusan teknologi pra-BlackBerry – menyebut dua impak berterusan iaitu, (i) kemerosotan daya penumpuan dan (ii) mengalih perhatian kita. Pun demikian, kesemua ini pada dasarnya bergantung kepada cara menggunakannya. Seandainya pengguna bijak menentukan fokus dan penumpuan mereka terhadap keutamaan, maka kesan negatif sebagaimana yang dinyatakan di atas tidak akan timbul.
Di Malaysia, penggunaan BlackBerry semakin hari semakin bercambah dan seakan-akan menjadi satu trend terkini di kalangan kelompok politik, golongan korporat, profesional muda dan para selebriti. Mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim (kini Ketua Pembangkang di Parlimen) merupakan antara tokoh politik negara yang mula-mula menggunakan alat komunikasi pintar ini. Dikatakan bahawa Anwar lazimnya menggunakan BlackBerry untuk mengemaskini catatan di blog peribadinya dan juga sebagai alat perhubungan penting di antara beliau dan para penyokongnya, menjadikannya antara ahli politik paling bermaklumat dan responsif. Kesan daripada kecekapan Anwar dalam memanfaatkan teknologi komunikasi ini turut mempengaruhi kebanyakan aktivis-aktivis politik oposisi untuk menggunakan BlackBerry.
Kerajaan juga turut mengambil kesempatan melalui perkembangan fenomena ini. Kementerian Penerangan menerusi Agensi Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) baru-baru ini telah melancarkan Mobile Newsroom via BlackBerry iaitu perkhidmatan langganan berita terkini dari BERNAMA menerusi BlackBerry. Menurut Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek (kini Menteri Belia dan Sukan), langkah memperkenalkan perkhidmatan ini selaras dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Selepas mensasarkan komitmen dalam isu laman blog, Ahmad Shabery mengambil langkah yang pro-aktif dalam memastikan kerajaan tidak ketinggalan dalam mendepani cabaran teknologi komunikasi.
Kini BlackBerry cukup popular di Malaysia terutamanya di kalangan profesional muda berkarier yang mengutamakan kepantasan dan gaya. Jika anda berjalan-jalan di sekitar Bangsar, Subang Jaya, Damansara dan Sri Hartamas, pastinya anda akan dapat mengesan kelibat anak-anak muda yang sedang asyik menjawab emel dan melayari internet atau mungkin juga sedang melayan Facebook sambil tersenyum sendirian.
Apa yang pasti, BlackBerry kini merupakan satu ketagihan, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Ini ditambah pula dengan promosi meluas oleh syarikat-syarikat rangkaian telekomunikasi yang bersaing sengit dalam menyediakan perkhidmatan BlackBerry dengan kadar berpatutan, juga dengan kemunculan model-model terkini yang semakin elegan dan menarik. BlackBerry Storm misalnya kini dijangka mampu menyaingi kelebihan i-Phone 3G keluaran Apple yang menyediakan kemudahan interaktif menerusi teknologi skrin sentuh.
Dan jika dahulunya saya merupakan seorang yang naif dan kurang mesra dengan teknologi, kini saya mampu tersenyum kerana telah bisa berhubungan, mengemaskini blog, menyemak emel, melayari internet dan menyelenggara jadual seharian saya hanya dengan menggunakan sejenis telefon bimbit pintar bernama BlackBerry!
----------

*Artikel ini telah diterbitkan buat pertama kalinya di laman web www.jalantelawi.com

Label: , ,

Ahad, April 19, 2009

Cabaran dan Arus Baru Perjuangan Mahasiswa

Semalam saya memenuhi undangan menyampaikan syarahan kepada barisan pimpinan mahasiswa sebuah kolej kemahiran teknikal di utara tanahair.
Saya meggariskan tiga aspek penting -- politik, ekonomi dan sosial -- yang seharusnya didepani dengan matang dan berani oleh aktivis gerakan mahasiswa masa kini.
Dalam mengupas tema politik, saya tegaskan keperluan gerakan mahasiswa agar kembali memisahkan diri dari dibayangi dan dimanipulasi oleh entiti-entiti politik. Tema baru politik nasional yang kini didominasi dengan isu-isu berkaitan demokrasi, hak asasi dan keadilan sosial seharusnya didukung dan diwacanakan secara lebih giat di kalangan rakan aktivis.
Polemik Dasar Ekonomi Baru (DEB) turut disinggung. Gesaan agar pimpinan mahasiswa memahami konsep sebenar DEB dan bahawasanya DEB bukanlah sebuah dasar yang abadi wajar diinsafi. Selain itu, persoalan turut dibangkit berkenaan krisis ekonomi global.
Seterusnya saya mencetuskan perdebatan tentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Rata-rata peserta giat mempertahan dan membantah dasar tersebut.
Akhir sekali, saya merumus kepentingan menguasai teknologi internet dan sumber maklumat juga proses pembudayaan ilmu yang seharusnya diperjuang oleh pimpinan mahasiswa. Juga kesedaran bahawa perpaduan kaum adalah suatu yang semestinya dipertahankan.
Dakyah dan sentimen perkauman perlu ditolak dan ayat ke-13 dari Surah Al-Hujurat wajar dihayati. Saya menutup syarahan dengan kisah Iblis dan Nabi Adam; betapa kesombongan Iblis akan asal kejadiannya dari api menyebabkannya diusir keluar dari syurga.
Maka saya tegaskan, seandainya kita mahu terus angkuh dengan sifat kebangsaan dan melaung-laung bahawa bangsa kita adalah 'tuan' dan lebih mulia dari bangsa-bangsa lain, maka bersedialah untuk menjejak Iblis di akhirat kelak!

Label: , ,

Selasa, April 07, 2009

Dua Bukit

Tahniah rakyat!
Alangkah baiknya andai Dr. Mahathir Mohamad dan Ezam Mohd Noor turun berkempen di Batang Ai!
Terima kasih buat Utusan Malaysia, Berita Harian, NST dan TV3 kerana membantu rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau membuat pilihan yang tepat.
Maka, sang 'penderhaka' bakal membawa suara rakyat Bukit Gantang ke Parlimen kelak.

Label: ,

Selasa, Mac 31, 2009

Mengharap Umno Berubah?

Catatan ini ditulis dalam kabut. Kelam kabut.
Jujurnya saya mahu ulas tentang dapatan dari Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini secara panjang lebar namun kesibukan membatasi.
Pemilihan Khairy Jamaluddin sebagai ketua Pergerakan Pemuda yang baru amat saya alu-alukan. Begitu juga dengan kemenangan Muhyiddin Yassin, Ahmad Zahid Hamidi dan Shafie Apdal. Cuma saya kurang yakin dengan Hishammuddin Hussein.
Ramai mengharapkan Umno berubah. Pimpinan tertinggi menerusi syarah berapi Najib Razak menjanjikan perubahan. Saya cuba menaruh keyakinan tapi malangnya -- belum sempat saya resapi inti retorik Najib -- muncul pula ungkapan-ungkapan karut dari para perwakilan!
Masakan pimpinan atasan sektor awam dan institusi pengajian tinggi dipilih dari kalangan setiawan Umno! Ini usul karut. Ada juga yang melalut mencadangkan agar pegawai-pegawai kerajaan disaji dengan kursus penjiwaan Umno. Turut muncul ialah cadangan bebal dari seorang perwakilan Umno luar negara yang mendesak kerajaan menarik balik biasiswa pelajar-pelajar yang menyokong pembangkang. Apa dia fikir ibu bapa dia sahaja yang bayar cukai?!
Umno wajib berubah! Bukan sekadar pimpinan tertinggi, bahkan juga penggerak akar umbi. Dunia sudah jauh dipacu. Maka Umno wajar merenung diri kembali.
Harus diingat, kelak akan muncul enam juta pengundi baru. Anak muda. Belia yang jiwanya bentak.
Khairy punya tugas berat. Cukup berat. Kalau beliau berjaya raih dukungan anak muda, maka hayat Umno kelak panjang. Jika gagal, maka tunggulah detik untuk rebah!

Label: , ,

Khamis, Mac 26, 2009

Kepimpinan Khairy: Cabaran Buat Anak Muda Pakatan Rakyat

Beberapa bulan lalu saya pernah menulis tentang kewajaran memilih Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam artikel bertajuk 'Khairy Wajar Terajui Pemuda UMNO?'.
Secara peribadi, saya cenderung melihat Khairy sebagai mewakili sosok progresif anak muda Melayu baik dari segi intelektual mahupun dari sudut penampilan. Semalam, perwakilan Pemuda UMNO telah melakukan keputusan yang tepat dengan memilih Khairy.
Sebagai anak muda yang menaruh harapan untuk melihat UMNO berubah, pemilihan Khairy sebagai peneraju Pemuda wajar diraikan. Sepanjang pemerhatian terhadap gerak kerja kempen tiga orang calon yang bertanding untuk kerusi Ketua Pemuda UMNO, Khairy menonjolkan gagasan yang lebih inklusif dan rasional berbanding dengan dua orang calon lain.
Pun demikian, para pendukung Pakatan Rakyat sewajarnya merasa bimbang dengan pemilihan Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO yang baru kerana kini mereka berhadapan dengan sosok anak muda yang berkarisma dan berpotensi.
Paksi pemuda Pakatan Rakyat seharusnya telah mulai bertindak memperbaiki imej dan gagasan mereka sedari sekarang dalam usaha memastikan kemampuan mereka menyaingi semangat baru Pergerakan Pemuda UMNO yang kini dipimpin nakhoda baru.

Label: , ,

Selasa, Mac 10, 2009

Reformasi: Awal Pencerahan Seorang Anak Muda

Ledakan reformasi 1998 meninggalkan kesan yang tak sedikit buat ramai anak muda. Waktu itu saya dalam fasa peralihan kanak-kanak menjadi remaja dan minat yang mendalam terhadap buku mulai terbaja.
Peristiwa penyingkiran Anwar Ibrahim jujurnya tidaklah berapa menyentak saya, dalam ertikata lain – saya tidak berapa ambil peduli pergolakan politik waktu itu. Namun, tatkala menonton siaran-siaran berita di rangkaian televisyen nasional, jiwa saya cukup terkesan dan tersentap dengan pelbagai pertuduhan dan cercaan yang dilemparkan terhadap Anwar. Saya fikir ini tuduhan gila. Mana mungkin seorang bekas aktivis Islam mengamalkan homoseksual!
Selang beberapa ketika sebaik beliau dipecat – dengan meminjam semangat reformasi dari Indonesia – Anwar mengisytiharkan gerakan reformasi nasional dan memulakan road tour ceramah di beberapa buah negeri bagi membersihkan namanya dan menuntut Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan. Amat mengejutkan kerana gagasan yang dilontarkan beliau itu disahut rakyat terutamanya orang Melayu. Seperti bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meletup, ribuan warga hadir di majlis-majlis ceramah Anwar yang mana turut dibarisi oleh pendukung-pendukung setia beliau sewaktu dalam UMNO dulu.
Kemuncak awal permulaan gerakan reformasi seterusnya disaksikan pada petang 20 September 1998 di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Hampir 100 ribu warga tanpa mengenal latar kaum dan kelas berhimpun untuk mendengar ucapan ‘terakhir’ dari Anwar sebelum beliau ditahan oleh pihak polis pada sebelah malamnya.
Saya cukup teruja dan terpinga-pinga melihat perkembangan ini. Ah, mana mungkin rakyat Malaysia bisa jadi seberani ini! Mustahil reformasi ala Indonesia terealisasi di sini. Dengan tertangkapnya Anwar, saya menjangkakan gerakan reformasi akan musnah dan bakal ditalkinkan. Namun, apa yang pasti, congakan saya seakan-akan meleset!
Ketika itu, meja tamu di rumah dipenuhi dengan makalah-makalah politik dan slebaran-slebaran yang dibawa pulang oleh bapa saya. Akhbar Harakah yang suatu masa dahulu sekadar dibaca oleh aktivis PAS kini melonjak jualannya dan mulai dibaca secara terbuka oleh rakyat.
Di sekolah pula, sekumpulan pelajar berlatarbelakangkan keluarga ‘anti-Mahathir’ dengan beraninya memakai lencana dan tag yang tertera slogan ‘reformasi’, ‘keadilan’, ‘lawan tetap lawan’ dan ada juga yang terlalu berani dengan membalut buku-buku kerja mereka dengan poster wajah Anwar Ibrahim!
Persekitaran berjaya merubah saya. Dari seorang anak muda – yang memerhati dan sekadar menilai, saya mulai ikut berpartisipasi dalam arus perkembangan reformasi yang meletus. Seingat saya, beberapa bulan sebelum gegak reformasi, bapa saya sudah melanggani majalah Tamadun dan sering membawa pulang buku-buku politik semasa. Kecenderungan terhadap buku-buku bertema keanak-anakan lenyap dan saya mulai membina kematangan dengan menyelak makalah-makalah milik bapa. Kala itu, saya mulai serius mengikuti ulasan dan rencana-rencana politik antaranya yang ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman, Fathi Aris Omar, Rustam A. Sani dan Suria Janib.
Artikel Fathi Aris yang berjudul ‘Sepetang di Kampus Anwar’ (Tamadun, Oktober 1998) merupakan antara suntikan awal yang mengilhami saya terus bergelut dalam arus reformasi yang tercetus.
“Reformasi ini sebetulnya bukanlah sesuatu yang asing,” demikian tulis beliau. Apa yang terjadi ialah, ide dan gagasan dari pengalaman beliau mengikuti perkembangan gerakan reformasi di Indonesia, tidak berjaya dimanfaat dan diterjemahkan secara berani dan tersusun pada waktu itu. Dan Anwar hadir melanjutkan sentimen yang sedari awal telah wujud di kalangan beberapa orang penulis dan pemikir termasuk Fathi Aris.
Sentimen ini – meskipun selepas Anwar dipenjara –secara berterusan telah dibaja dan didukung oleh kalangan mereka yang yakin bahawa detiknya telah tiba buat negara untuk kembali diberikan nafas baru dan reformasi perlu terus diperjuangkan. Maka jalur-jalur pembaharuan mulai direncana melalui demonstrasi-demonstrasi jalanan yang diadakan hampir setiap hujung minggu dalam usaha meneruskan kelangsungan gagasan yang dicetuskan oleh Anwar.
Refomasi berjaya mewujudkan tingkat kesedaran baru dalam politik. Anak-anak muda yang sebelum ini hanya diam di bilik kuliah, kantor kerja dan studio jamming mulai berani berkumpul di warung-warung kopi dan berdebat isu-isu politik, sosial dan kebudayaan secara terbuka dan bebas. Suara-suara mereka menuntut perubahan juga kedengaran saban minggu di tepi-tepi jalan sekitar Kuala Lumpur. Ada antara mereka yang dipukul oleh polis, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan ada juga yang dipecat dari kampus.
Saya melihat elemen reformasi inilah yang perlu direnung semula. Reformasi bukan sekadar pertarungan politik Mahathir-Anwar semata-mata. Ianya turut menempiaskan kocakan spontan baik dari sudut politik, kebudayaan, agama, akademik dan ekonomi.
Tanpa sedar, reformasi membenihkan kelompok anak muda yang cuba lari dari tradisi dan memecahkan tabu ketidakmatangan melalui entiti dan jalur pemikiran mereka sendiri melalui kewujudan antaranya Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) dan Universiti Bangsar Utama (UBU). Perkumpulan yang didukung oleh anak-anak muda dari pelbagai latar kehidupan, agama, pemikiran dan ras ini aktif dalam mendukung kerencaman wacana dan senantiasa bergelut dengan ide-ide yang acapkali disalahtafsir oleh umum di sekeliling mereka.
Penggiat media yang selama ini terbelenggu dengan segala macam akta mengongkong juga ikut berkembang dan turut berpartisipasi dalam arus reformasi negara. Sekumpulan wartawan dan penulis antara lain bertindak menggerakkan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) sebagai satu platform untuk mereka bertindak secara solidariti terhadap sesuatu isu yang melibatkan kebebasan media. Kemunculan laman-laman web seperti Mahazalim, Mahafiraun dan Malaysiakini juga berjaya memecahkan hegemoni media yang selama ini dimonopoli sepenuhnya oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian. Akhbar-akhbar alternatif dan makalah-makalah politik turut berkembang dengan giat. Majalah Wasilah, Siasah, Detik dan akhbar Eksklusif merupakan antara yang mendapat tempat di pasaran media cetak. Isu-isu serta laporan-laporan yang digelapkan dan tidak dilaporkan oleh media arus perdana boleh diperolehi secara langsung oleh rakyat menerusi media alternatif ini.
Kesan reformasi terhadap institusi media negara jelas tampak melalui kemunculan laman-laman berita secara maya seperti laman Malaysiakini (kini muncul sebagai portal berita online paling berpengaruh di Malaysia), laman The Malaysian Insider (yang baru dibangunkan pada tahun 2008) dan juga laman blog Malaysia Today (dikendalikan oleh blogger terkenal, Raja Petra Kamarudin). Apa yang menarik, laman-laman berita di alam maya ini berjaya menggugat institusi politik parti pemerintah setelah hampir 10 tahun ianya dibaja. Tsunami politik 8 Mac 2008 jelas membuktikan bahawa rakyat semakin matang dan terdedah dengan pelbagai maklumat. Fenomena blog – yang pada mulanya dikesampingkan – mulai menguasai medan maklumat rakyat.
Sebagai remaja yang mendewasa di zaman reformasi, pastinya saya sendiri hanyut dan terkesan dengan impak yang muncul. Iltizam mendukung perubahan yang terbina sejak sekolah menengah dibawa sehingga saya menyambung pengajian di kampus. Keupayaan kewangan yang mulai kelihatan ‘sedap’ memungkinkan saya untuk membeli dan menikmati buku-buku yang baik dan berwibawa.
Secara kebetulan, di waktu itu kegiatan menghimpun dan membukukan catatan-catatan pengalaman para aktivis reformasi ini sedang rancak dilakukan. Fathi Aris tampil dengan Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi, Khalid Jaafar dengan Tumit Achilles, dan Rustam A. Sani menerbitkan catatannya dengan judul Menjelang Reformasi. Saya memiliki ke semua catatan tersebut (juga himpunan catatan yang tidak dinyatakan seperti yang dihasilkan oleh Dr. Syed Husin Ali, Hishamuddin Rais, Dr. Farish A. Noor dll.) dan menghadamnya dengan penuh asyik dan kagum.
Saya kira pemerhatian dan permenungan ke atas himpunan penulisan ini merupakan proses serius yang mempengaruhi kesedaran intelektual saya. Jika sebelum ini saya melandaskan diri dan aliran pemikiran dalam skop sebagai seorang aktivis dakwah di kampus; maka setelah menggali dan memahami tema-tema besar yang dicanai menerusi penulisan era reformasi, saya berjaya membebaskan diri dari apa yang boleh dipanggil ‘perangkap kesedaran’ yang selama ini membentuk pemikiran saya untuk bersikap autokratik dan menolak sebarang perbedaan pendapat.
Saya percaya bahawa saya tidak keseorangan dalam menemukan makna pencerahan ini. Period 10 tahun selepas reformasi berjaya merubah dan meninggalkan kesan yang tak sedikit buat lapisan baru generasi muda negara. Benar, reformasi berjaya menemukan saya dengan pencerahan. Namun tak bermakna ianya berakhir setakat itu. Reformasi akan selamanya mencerahkan. Dan saatnya pasti tiba untuk kita melihat ianya mencerahkan rakyat dan masa depan negara ini.
----------
*Artikel ini telah diterbitkan buat pertama kalinya di laman web www.jalantelawi.com

Label: , , ,