8 Mac: Undi Rakyat Bukan Lagi Rahsia

Pengerusi Suruhanjaya Piliharaya (SPR), Abdul Rashid Abdul Rahman telah pun mengumumkan penetapan tarikh penamaan calon serta pembuangan undi sempena Pilihanraya Umum Ke-12 ini iaitu pada 24 Februari dan 8 Mac.

Jika di Amerika Syarikat, calon-calon yang bertanding merebut kerusi Presiden diperuntukkan masa selama hampir setahun untuk berkempen, di Malaysia adalah sebaliknya. Hanya dua minggu tempoh masa yang dibenarkan untuk para calon berkempen dan menemui pengundi.
 
Saya kira ungkapan "undi adalah rahsia" seakan-akan sudah tidak relevan lagi pada waktu ini. Di alam siber, di laman-laman web yang berbentuk interaksi sosial seperti Friendster dan Facebook, imej serta simbol politik parti seperti PAS, KEADILAN dan DAP kelihatan menghiasi setiap profil dengan status sebagai primary photo (foto utama). Ianya seakan-akan memberi isyarat jelas kepada umum bahawa undian dan sokongan pengguna-pengguna laman web ini adalah kepada parti-parti pembangkang yang semakin berpengaruh akhir-akhir ini.

Generasi muda semakin bijak dan berani dengan turut serta menghangatkan kempen siber ini melalui penciptaan poster-poster dan imej-imej berupa kritikan terhadap pemimpin Umno-BN yang kelihatan semakin resah dan bimbang akan kebangkitan kempen melalui internet ini. Antara poster dan imej yang sering dipaparkan oleh pengguna-pengguna internet pro-pembangkang ialah imej Presiden Umno, Abdullah Badawi yang sedang tidur sewaktu menghadiri persidangan-persidangan politik dan antarabangsa.

Walaupun demikian, proses kempen secara tradisional juga tidak sewajarnya dipandang remeh. Usaha-usaha mendekati penduduk desa yang sedikit sukar mendapatkan berita-berita alternatif seharusnya diperhebat dengan pengedaran risalah, ceramah kelompok dan juga majlis ceramah besar-besaran.

Hari ini 14 Februari. Ini bermakna, hanya tinggal lebih kurang 10 hari saja lagi sebelum hari penamaan calon. Dan selepas itu, tempoh dua minggu untuk sesi berkempen. Kepada teman-teman yang mulai naik semangat untuk sama-sama membuat perubahan dalam pilihanraya akan datang ini, mudah-mudahan semangat ini kekal sehingga 8 Mac akan datang. Pada hari tersebut, buktikanlah yang rakyat bukan lagi bebal untuk terus kekal diperbodohkan oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN.

Undi rakyat bukan lagi rahsia. Katakan "Tak Nak" kepada BN!

Post a Comment

Terbaru Lebih lama