Baca

Saya kini sedang dalam proses akhir membaca Makalah Penentu Tentang Hubungan Antara Syariah Dengan Falsafah.

Karya Ibnu Rusyd yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi ini dihasilkan sebagai menjawab hujah Imam Abu Hamid Al-Ghazali dalam Tahafut Al-Falasifah (Kecelaruan Ahli Falsafah) yang menyerang aliran falsafah Yunani.

Di dalam buku ini, Ibnu Rusyd menegaskan bahawa perdebatan atau perbincangan tentang falsafah tidak boleh dibuat secara sebarangan dengan melibatkan semua orang. Sekiranya ini berlaku, dikhuatiri ianya akan menimbulkan fitnah dan polemik kafir-mengkafir. Di dalam hal ini, beliau telah mengkategorikan kelas masyarakat kepada tiga tahap berbeza.

Pertamanya ialah orang awam, iaitu orang-orang yang hanya mampu memahami teks agama secara retorik dan lahiriah saja.

Keduanya ialah golongan mutakallimun, iaitu mereka yang memahami sesuatu teks atau mawjudat melalui pendekatan jadali (dialektis).

Dan yang akhirnya ialah golongan khawas, iaitu mereka yang mampu memahami pengertian tersirat dari sesebuah teks. Golongan inilah yang dimaksudkan sebagai ahli falsafah (filasuf) atau ahli hikmah. Mereka ini berkemampuan memahami mawjudat (segala ciptaan Tuhan yang ada) melalui pendekatan burhani (demonstratif).

Selain karya-karya falsafah, saya juga sedang ghairah dengan novel fiksyen, The Secret Diary of Adrian Mole Aged 13¾ karya Sue Townsend. Novel yang pada asalnya saya belikan sebagai hadiah hari lahir adik, kini menjadi santapan petang saya.

Mengisahkan tentang diari kehidupan seorang budak lelaki, Adrian Mole merakamkan konflik dirinya sebagai seorang remaja yang sedang meningkat dewasa dan berhadapan dengan pelbagai konflik peribadi, masalah pergaduhan ibu bapa, juga sifat intelektual yang mula berkembang dalam jiwanya.

Seorang loner (orang yang suka menyendiri), Adrian berjiwa puitis dan mempunyai kecenderungan membaca yang tinggi.

Kisah hidup beliau kemudiannya diteruskan oleh Sue Townsend dalam beberapa lagi novel sekuel antaranya The Growing Pains of Adrian Mole dan juga The True Confessions of Adrian Albert Mole.

1 Ulasan

azad berkata…
i think, therefore, i am.

-rene descartes-
Terbaru Lebih lama