Meroboh Hegemoni UMNO

Masa. Barangkali itulah yang amat diperlukan oleh Najib Razak sekarang. Masa untuk terus berpaut pada sisa-sisa kuasa dan kekuatan yang makin pudar. Masa untuk membentuk keyakinan rakyat yang makin hari makin mual dengan hipokrasi politik dan kejelekan akhlak para penguasa. Masa untuk memanjangkan mandat yang tak pernah dimilikinya; ianya sekadar diwarisi dari kelemahan Abdullah Badawi.

UMNO
Sumber gambar: umno-online.my

Kini Najib tersepit. Beliau tak punya banyak masa lagi. Selain berdepan dengan kesedaran rakyat, Najib juga dihimpit oleh intrik politik di dalam UMNO. 

Mungkin, tidak lama lagi Parlimen akan dibubar. Ini ramalan nujum politik. Dan kita semua kemudiannya akan menumpu pada pilihan raya umum – mengundi wakil baru bagi membentuk kerajaan yang baru. Lima tahun lalu, siapa sangka dinamika politik Malaysia bisa jadi sebegini rencam. 

Pasca Mac 2008, lanskap politik nasional khususnya di Semenanjung Malaysia berdepan dengan perubahan ketara yang bermakna. Ramai yang sujud syukur tatkala merai kejayaan pakatan pembangkang menawan tampuk kuasa di beberapa buah negeri ketika itu. Lantaran gusar berlakunya perpecahan, maka pakatan tersebut diberi suntikan jenama – Pakatan Rakyat. 

Di Parlimen, mereka membentuk blok kekuatan yang sememangnya memanfaatkan rakyat. Isu-isu mustahak yang selama ini dianggap tabu dan tak pernah dibangkit kini diketengah dan dibahas secara matang dan konsisten. Budaya perbahasan yang dipamer oleh wakil-wakil pembangkang sememangnya jadi kejutan buat wakil-wakil kerajaan yang selama ini tak punya peranan dan cabaran di Parlimen. 

Melawan pembodohan 

Rakyat semakin terbuka dan matang. Sebarang isu berkait dengan kepentingan khalayak kini tak lagi ditanggap dari perspektif sempit. Sentimen kaum dan agama bukan lagi modal meniaga politik pada masa kini. Rakyat dahagakan maklumat dan fakta. Dari maklumat serta fakta itu, mereka berfikir dan menilai. Dan budaya ini menambah kegusaran UMNO. 

Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, pelbagai isu ditimbul dan dibongkar sehingga menyerang sendi asas UMNO yakni – pembodohan. Selama lebih 50 tahun memegang kuasa, UMNO berdepan dengan rakyat menerusi pembodohan. Asas pensejarahan negara ini kembali dipersoal. Bermula dengan isu nasionalisme yang mengangkat Mat Indera dari seorang petualang kepada seorang wira seterusnya membawa kepada pendedahan bahawa Sang Saka adalah panji warisan Tanah Melayu dan selayaknya dikibar kembali. 

Perlawanan ke atas pembodohan ini tak sekadar dalam mengupas semula sejarah bahkan turut menyentuh penyelewengan dan amalan korup penguasa UMNO. Pendedahan demi pendedahan tentang kecurangan tata kelola mereka yang selama ini kebal dari pandangan khalayak mulai runtuh. Perkembangan maklumat tambah cepat melalui aplikasi media sosial seperti Facebook dan Twitter, dan segalanya kini tak bisa diselindungkan lagi. 

Jika saat ini pemimpin UMNO sedang menjaja pembohongan, maka dalam masa tak sampai beberapa minit, pembohongan itu akan dibongkar di laman-laman media sosial – jauh lebih pantas sebelum akhbar Utusan Malaysia atau Buletin Utama TV3 dapat memutarbelitkannya daripada tersebar. 

Anak muda terajui perlawanan 

Perlawanan menentang pembodohan ini sememangnya diterajui oleh anak-anak muda. Sejak zaman berzaman, kitaran anak-anak muda hebat pasti tak pernah pupus. Di negara kita, anak-anak muda kini tampil menerajui perubahan. Beberapa demonstrasi mahasiswa yang berarak mendesak pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta menuntut pendidikan tinggi percuma di Kuala Lumpur dua tahun lalu kemudiannya meledakkan satu semangat kebangkitan mahasiswa yang telah layu semenjak larangan mahasiswa berpolitik menerusi AUKU dikuatkuasakan pada 1974. 

Gerakan mahasiswa yang memakai bermacam-macam nama seperti Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) kini muncul sebagai pemacu utama kebangkitan mahasiswa di negara ini. 

Selain itu, anak-anak muda kini turut menjadikan platform intelektual sebagai wadah untuk melawan pembodohan. Menerusi diskusi dan sesi sembang di restoran mamak, cafĂ© dan warung kaki lima, maka muncul pelbagai mazhab pemikiran di kalangan anak-anak muda ini. 

JalanTelawi dan Universiti Bangsar Utama merupakan antara dua ‘sekolah’ jalanan berpengaruh dan melahirkan ramai anak-anak muda berpotensi yang kini sedang meniti pelbagai kerjaya rencam. Meskipun berbeda aliran pemikiran dan fahaman politik, anak-anak muda ini punya matlamat dan fikrah yang sama iaitu – melawan pembodohan. 

Tuntutan rakyat 

Perkembangan ini – usaha menyebarkan kefahaman dan keterbukaan – kini semakin menampakkan hasil dan mulai mengakar di kalangan rakyat. Kita tidak dapat nafikan bahawa pemahaman dan penerimaan rakyat dalam isu-isu politik, ekonomi, sosial dan budaya kini semakin kompleks dan dinamik. 

Sejak Mac 2008, pelbagai isu yang berkait rapat dengan kehidupan seluruh lapisan rakyat dizahirkan dan diangkat secara sistematik oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Isu-isu ini tak semuanya isu baru bahkan ada yang telah dibangkitkan lebih awal. Ianya kemudian dimanifestasikan dalam deklarasi sepuluh tuntutan yang dibacakan di Stadium Merdeka dalam satu himpunan bersejarah dikenal sebagai Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari lalu. 

Menerusi deklarasi tersebut, rakyat pelbagai lapisan menuntut jaminan terhadap kehidupan mereka. Aktivis politik menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil. Mahasiswa menuntut pendidikan percuma. Peneroka tanah rancangan menuntut reformasi dan pemulihan semula Felda. Pencinta alam menuntut jaminan terhadap alam sekitar yang bersih dan persekitaran yang sihat. 

Warga Borneo menuntut kesaksamaan diberikan kepada Sabah dan Sarawak, supaya setara dengan Semenanjung. Rakyat yang tinggal di wilayah bersumberkan minyak dan gas menuntut agihan royalti yang adil. Para penjawat awam, guru dan anggota keselamatan pula menuntut jaminan kebajikan. 

Selain itu, deklarasi ini turut menuntut pembebasan semua tahanan politik, memartabatkan bahasa Melayu, menuntut agar kampung-kampung tradisi dan tempat-tempat warisan dipelihara dan dipertahan serta menuntut layanan yang lebih baik terhadap wanita. 

Masa untuk perubahan 

Kini adalah masanya untuk rakyat melakukan perubahan. 15 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Sejak tercetusnya gerakan Reformasi pada September 1998, negara ini masih lagi belum mengecapi perubahan yang sebenar. Rakyat Mesir hanya memerlukan 18 hari sahaja untuk menukar rejim. Indonesia pula sekitar satu tahun.

Justeru, di kala Najib sudah kesuntukan masa untuk berpaut pada cebis-cebis kekuasaan, maka ketika inilah kita harus membulatkan tekad untuk melaksanakan pembaikan. Negara ini telah lama dicemari dan dicabul oleh kerakusan penguasa UMNO yang tamak dan korup. Media dikongkong, pemikiran rakyat dipesong dan harta kekayaan negara hanya berlegar di sekitar beberapa kerat kroni dan elit berpengaruh. Masanya telah tiba untuk kita meletakkan titik nokhtah pada semua ini.

Masa semakin suntuk – buat Najib, UMNO dan juga buat kita. Pilihan raya umum akan datang, marilah kita bersama menulis sejarah baru untuk negara ini. Pilihan raya umum akan datang bukan lagi masa untuk mengekalkan status quo. Juga bukan masa untuk bernostalgia tentang tradisi dan menjadi laih.

Pilihanraya umum akan datang adalah masa untuk meroboh hegemoni UMNO.

*Tulisan ini pertama kali diterbitkan di dalam majalah POSTO!#1.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama