Wacana Subsidi YB Muda

Kelmarin saya menemani saudara Nik Nazmi hadir ke majlis forum anjuran Persatuan Mahasiswa United Kingdom & Eire (UKEC) bertajuk ‘Subsidi: Persoalan Mengenai Keperluan Ataupun Budaya Tongkat’. Forum ini diadakan bersempena dengan Persidangan Tahun Pimpinan Mahasiswa Malaysia ke-2 di Hotel Nikko, Kuala Lumpur. Nik Nazmi diundang sebagai salah seorang panelis di samping dua orang ahli parlimen iaitu Tony Pua dan Khairy Jamaluddin.

Khairy berjaya menarik perhatian pendengar melalui kupasan dan gaya persembahannya yang bersahaja dan beliau kelihatan cuba lari dari imej ultra-Melayu yang sering dipotretkannya sebelum ini.

Tatkala memulakan kupasannya, Khairy secara sinis menyatakan yang beliau bercakap mewakili PAS dan UMNO memandangkan terdapat dua orang panel mewakili Pakatan Rakyat. Sindiran Khairy itu dibalas dengan cemuhan 'boo' dari para peserta persidangan menyaksikan Khairy tersipu-sipu menahan malu.

Nik Nazmi melalui kupasannya menyatakan bahawa kenaikan mendadak harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini menjejaskan kehidupan rakyat terbanyak. Tegas beliau, untuk jangka masa panjang, polisi kerajaan sewajarnya digubal bagi mengatasi krisis kenaikan harga minyak ini.

Tony Pua pula menjelaskan perihal peningkatan belanjawan negara sejak beberapa tahun yang lalu di mana rakyat menyaksikan kenaikan kos dari sudut operasi dan bukan kenaikan peruntukan untuk projek pembangunan. Tambah beliau, ini disebabkan oleh kegagalan dan ketidakcekapan dari sudut birokrasi.

Khairy dalam pada itu turut mengakui masalah ketirisan yang wujud pun demikian tetap mempertahankan keperluan dari segi penampungan kos operasi.

Mengulas perkara tersebut, Nik Nazmi membidas kenyataan Khairy dengan menyifatkan ‘ketirisan’ yang disebut oleh Khairy itu hakikatnya merupakan salah satu bentuk korupsi.

Tambah Nik Nazmi lagi, hasil penyelidikan Morgan Stanley antara lain turut menyatakan bahawa negara telah mengalami kerugian hampir RM 330 bilion disebabkan oleh gejala rasuah dan korupsi sepanjang dua dekad lepas.

Majlis berakhir dengan sesi bergambar sesama panelis. Dan sepanjang pemerhatian saya, panelis yang paling hangat dan sering menjadi sasaran lensa kamera ialah Khairy Jamaluddin!

1 Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Salam...

Ada rakaman video tak? Kalau ada, harap boleh kongsikan...boleh hubungi sy di teman4u@yahoo.com

Terima kasih..
Terbaru Lebih lama