Iklan

Rabu, Mac 19, 2008

Wacana Polemik DEB

Semalam saya, ayah dan seorang bapa saudara berdebat hangat mengenai polemik Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kini menjadi hidangan media-media UMNO dalam usaha mereka untuk membangkitkan sentimen perkauman di kalangan masyarakat Melayu.
DEB, kata ayah dan bapa saudara saya merupakan dasar yang masih lagi relevan untuk dipraktikkan meski pun wujud kepincangan dari segi pelaksanaannya pada masa ini. Kedua-dua mereka (masing-masing merupakan pegawai kanan kerajaan) berpendapat bahawa anak-anak muda Melayu khasnya yang hidup di zaman ini semakin tidak menyedari akan kepentingan DEB yang pada masa dahulu kelihatan cukup berperanan dalam membantu kemajuan ekonomi, sosial dan pendidikan bangsa Melayu khususnya dalam tempoh 20 tahun pelaksanaannya.
Saya akui, DEB yang digagaskan oleh Allahyarham Tun Razak pada tahun 1972 disasarkan secara jelas untuk mengimbangkan pegangan ekonomi kaum-kaum di Malaysia khususnya bangsa Melayu yang cukup ketinggalan dalam segenap segi. Kuota kemasukan ke universiti, kemasukan dalam perkhidmatan awam, pembiayaan biasiswa pendidikan dan proses pembahagian kontrak-kontrak perniagaan jelas ditumpukan bagi membantu bangsa Melayu untuk mengecap lebih peluang dan faedah dalam bidang ekonomi dan pendidikan.
Saya seterusnya membangkitkan peranan DEB pada masa kini yang kelihatan semakin longgar dan hilang arah tuju. Apakah kini DEB mengizinkan pengagihan kontrak yang lebih menumpu pada kepetingan kroni? Apakah kini DEB mengizinkan anak-anak jutawan, tokoh korporat dan ahli-ahli politik kaya melanjutkan pengajian dengan wang biasiswa kerajaan sedangkan ibu bapa mereka mampu untuk menanggung beban kewangan tersebut? Apakah kini DEB mengizinkan tanah-tanah rizab Melayu diambil sewenang-wenangnya atas nama kemajuan?
Tanpa menafikan persoalan-persoalan yang saya bangkitkan, ayah ikut setuju bahawa DEB sewajarnya disemak semula. Agenda Ekonomi Malaysia yang digagaskan oleh parti-parti Barisan Alternatif seharusnya dirujuk oleh kerajaan jika mereka benar-benar ikhlas untuk memperkasakan DEB. Saya berpendapat bahawa polisi agihan ekonomi mengikut kaum ini sewajarnya dikekalkan pun begitu ianya hendaklah bersandarkan kepada keperluan kaum-kaum tersebut, dan bukan sekadar untuk kepentingan beberapa kerat individu semata-mata.
Sebetulnya, perdebatan kami lebih panjang daripada apa yang saya nukilkan di atas. Polemik tentang DEB ini jelas menampakkan perbedaan pendapat, pemikiran dan idea dari dua generasi yang berbeza. Ayah, pegawai kanan kerajaan yang mengecap nikmat DEB pada tahun 80-an jelas sedikit tersinggung dengan langkah segelintir pimpinan politik yang mengecam pelaksanaan DEB. Barangkali mereka ini tidak mengkaji sejarah, kata ayah. Saya pula, anak muda Melayu yang hidup dalam persekitaran yang menuntut seseorang itu bersikap progresif, matang dan dinamik.
Saya kira polemik DEB ini sewajarnya difahami sebagai suatu bentuk polisi yang menekankan pemerkasaan ekonomi kaum-kaum di Malaysia. Ianya bukanlah bersandarkan pada sentimen ketuanan Melayu, hak istimewa Melayu dan segalanya yang dilabel sebagai Agenda Melayu semata-mata. DEB wajar dilihat dari pelbagai sudut dan ruang lingkup yang bersifat nasional. Masa untuk bermain dengan sentimen sudah berakhir. Jika kerajaan benar-benar ikhlas untuk memperkasakan ekonomi Melayu, maka hentikanlah penyalahgunaan DEB dengan mengaitkannya sebagai pelindung hak Melayu. Tun Razak mengagaskan DEB untuk kepentingan negara secara keseluruhannya, bukan sebagai pelindung status quo UMNO dan Barisan Nasional.
*Nota: Pada hari Jumaat, 21 Mac jam 8 malam, saya bersama dengan beberapa orang teman akan berada di Restoran Maju Curry, Petaling Jaya (berdekatan dengan Restoran A&W dekat Amcorp Mall) untuk sama-sama membahaskan tentang polemik DEB. Sesiapa yang berminat untuk ikut serta dijemput hadir.

5 ulasan:

Pewaris Reformasi berkata...

Ceh, jauhla bro..hahaha

DEB hanya nama, matlamatnya yang penting..dan AEM nampaknya lebih mampu mencapai matlamat DEB.

Ya, aku setuju - golongan tua mmg merasai kepentingan DEB kerana zaman DEB dibentuk minyak apa semua ni tak ada lagi..bila mula ada minyak, fokus politik Melayu dah berubah untuk bina kekayaan peribadi dan kejujuran politikus mula goyah..

r_feev berkata...

Salam,
DEB itu memang telah membantu orang melayu... namun dalam konteks sekarang.. AEM lebih relevan kerana meliputi semua kaum dan fokus terhadap yang miskin.. jadi apa salahnya Barisan Rakyat melakukan sesuatu yang baik yang dapat mewujudkan keamanan, kestabilan politik dan kesamarataan ekonomi antara semua rakyat...

Tanpa Nama berkata...

secara mudahnya DEB diwujudkan dengan maksud menyusun semula masyarakat & menyusun semula pembahagian kekayaan negara. Oleh itu diperlukan penyusun yang pintar, tempat yang hendak disusun itu betul, Apa yang hendak disusun itu ada dan susunannya nanti sesuai untuk semua keadaan yang sentiasa berubah. Dari kaca mata saya nampaknya semua yang tak ngam.

MODERATOR berkata...

KU LI PALU GENDANG PERANG!

Gedang perang telah dipukul bertalu-talu. Gegak gempita Tanah Malaya. Muncung-muncung meriam sedang dihalakan ke Mahligai Putra Jaya. Serunai ditiup sayup-sayup bunyinya. Bala tentera telah berada diperbatasan terakhir…

Inilah saki-baki bala tentera yang masih setia kepada Anak Raja berjiwa rakyat. Percubaan terakhir untuk menakluk hieraki kepimpinan UMNO. Setelah dimalu dan diaibkan semenjak sekian lama; Tengku Razaleigh Hamzah bangkit menuntut kembali takhta singahsana UMNO yang dirampas darinya semenjak diakhir tahun 70an lagi.

Bapa Ekonomi Orang Melayu masuk kembali kegelanggang sebagai seorang Panglima Melayu berpantang undur sebelum ajal. Semenjak kembali semula kepada UMNO pada tahun 1996, Ku Li dilayan saling tak tumpah sebagai Ashkar Gurkha. Segala jasa dan budi beliau kepada ekonomi orang melayu dan pembangunan Malaysia tidak pernah langsung disebut oleh media massa. Legasi beliau terhakis sedikit demi sedikit setelah mengalami ‘kekalahan bermaruah’ hanya 43 undi di Perhimpuan Agung UMNO pada tahun 1987 kepada rakan sekapal Dr. Mahathir Mohammad.

PETRONAS yang menjadi salah satu syarikat petroleum gergasi didunia pada hari ini siapa yang menubuhkannya? Bank Bumi Putra Malaysia Berhad yang banyak menyokong usahawan-usahawan melayu yang baru mula hendak belajar berniaga, siapa yang menubuhkannya? Bangunan UMNO dan PWTC hasil usaha siapa? Anda tidak tahu bukan. Maka rajin-rajinlah mengkaji sejarah. Malah banyak lagi jasa Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak cukup untuk disebutkan disini.

( Sila baca artikel selebihnya di:
http://theindiestory.blogspot.com/ )

yuzy berkata...

wan,insyaAllah aku datang.