Burhanuddin

Jika beliau masih hidup, usianya kini 96 tahun. Dan semestinya beliau akan merintih menyaksikan impiannya untuk melihat penyatuan pelbagai kaum di Malaysia ini yang berbeza budaya, agama dan adat resam masih belum menjadi realiti.

Sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-50 Jumaat ini kelihatan seolah-olah meminggirkan nama beliau yang suatu ketika dahulu merupakan antara tokoh pejuang pembebasan Tanah Melayu yang dihormati. Agak pelik kerana pihak Astro sekadar meletakkan beliau sebagai tokoh dalam kategori 'pendidikan' sedangkan Dr. Burhanuddin Al-Helmy cukup dikenali sebagai tokoh politik yang hebat dan berkarisma.

Dilahirkan pada 28 Ogos 1911 sebagai Amir Burhanuddin Bin Ungku Mohd Nor di Changkat Tualang, Perak Darul Ridzuan dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatera Barat pada tahun 1924. Pada tahun 1926, Burhanuddin Al-Helmy meneruskan pelajarannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah dan seterusnya dari situ ke Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang hingga tamat kelas sanawi pada tahun 1934.

Beliau kemudian melanjutkan pelajarannya di Universiti Aligarh, India dalam bidang sastera dan falsafah. Sekembalinya ke Tanah Melayu, Burhanuddin Al-Helmy mulai bertugas sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned Singapura. Ketika di Singapura, Burhanuddin belajar ilmu perubatan homopati daripada Dr. Rajah dan beliau telah berjaya mendapat ijazah kedoktorannya daripada Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India.

Penglibatan beliau dalam gerakan dakwah bermula semasa beliau belajar di Sumatera Barat di bawah asuhan Haji Nuruddin, anggota Sarekat Islam Indonesia. Di samping itu guru-guru yang mengajar dan mendidik beliau di sana terdiri di kalangan mereka yang mendukung perjuangan Kaum Muda.

Semasa di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang, Burhanuddin Al-Helmy juga ikut terdedah dengan pemikiran Kaum Muda. Aliran inilah yang mula-mula sekali menyalakan semangat anti-penjajah dan pro-kemerdekaan dalam diri beliau. Semasa belajar di India pula iaitu dalam tahun 1928, beliau giat mengikuti pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah dan Jawaharlal Nehru serta pemimpin-pemimpin kemerdekaan India yang lain.

Selepas tamat pelajarannya di India, beliau telah mengembara ke Palestin dan Turki serta mengikuti perkembangan umat Islam di sana. Waktu di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy bergiat cergas dalam gerakan-gerakan Islam di pulau tersebut. Beliau menerbitkan majalah "Taman Bahagia" yang bercorak anti-British sehingga mengakibatkan beliau ditahan oleh pihak British di sana. Burhanuddin seterusnya bergiat pula dengan persatuan Jama’atul Islamiah dan menjadi penyunting majalah "Kehidupan Dunia Akhirat".

Pada tahun 1950, Burhanuddin Al-Helmy telah ditahan oleh pihak British selepas tercetusnya Rusuhan Natrah. Beliau dituduh terlibat dalam demonstrasi menentang keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang membenarkan Natrah atau Maria Hertogh dipulangkan kepada keluarga asalnya di Belanda. 

Beliau kemudiannya telah dipenjara selama satu tahun. Namun, terdapat catatan yang menyatakan beliau dipenjarakan selama tiga tahun di Singapura ekoran peristiwa tersebut. Sesetengah pendapat mencatatkan bahawa Rusuhan Natrah hanya digunakan oleh pihak British sebagai alasan untuk menahan beliau. Ini kerana semasa Darurat pada 1948, Burhanuddin menyeru secara terbuka supaya orang Melayu jangan menyerang askar gerila Cina yang berjuang melawan British di dalam hutan dan British tidak boleh menahan Burhanuddin Al-Helmy yang bergiat masa itu di Singapura kerana pulau tersebut tidak tertakluk kepada undang-undang Darurat yang hanya dikuatkuasakan di Semenanjung Tanah Melayu.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama