Meraikan Sirah & Tradisi

Agama itu suatu yang mencerahkan.

Sepanjang pengalaman berusrah, sesi diskusi di kediaman saudara Nik Nazmi semalam saya kira yang paling mengasyikkan. Dalam meraikan Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti -- seorang ulama', faqih dan juga pemikir Islam tersohor dari Oxford -- maka undangan makan malam dari Nik Nazmi tidak mampu saya tolak.

Dr. Muhammad Afifi merupakan Zamil KFAS di Pusat Pengajian Islam, Fakulti Teologi di Universiti Oxford, England juga anak Melayu pertama yang ditawarkan posisi sebagai pensyarah di Kolej Worcester dan mengajar subjek World Religions.

Usai menikmati hidangan nasi dagang yang disediakan oleh Imaan, kami tekun menghayati bicara Dr. Muhammad Afifi berkenaan dengan isu-isu yang menyentuh ehwal semasa umat Islam.

Selain permasalahan umum, Dr. Muhammad Afifi turut mengupas beberapa persoalan fiqh dengan merujuk pandangan dan pendapat beberapa ulama' besar aliran Sunni. Saya terkesan dengan singgungan beliau tentang kepincangan umat Islam di Malaysia yang gagal memupuk kefahaman dalam konsep ibadah.

Menurut beliau, umat Islam khususnya di Malaysia perlu mendalami atau setidak-tidaknya mengetahui serba sedikit latar sejarah dan hikmah sesuatu ibadah itu diamalkan, dan bukan sekadar bertaklid semata-mata. Kerisauan beliau terhadap pengamalan ibadah umat Islam di Malaysia jelas berasas.

Tradisi anti-intelektual yang mekar di kalangan segelintir pemimpin dan agamawan di negara ini nyata sekali memusnahkan kredibiliti dan reputasi institusi ilmu dan agama serta menyemai kebodohan di luar kesedaran rakyat.

Saya turut berkongsi sentimen yang sama dengan beliau berhubung isu hak dan keistimewaan Raja-raja Melayu. Dengan turut bersetuju terhadap gesaan yang ditimbulkan dalam Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat baru-baru ini tentang pengembalian kekebalan raja-raja, Dr. Muhammad Afifi juga menyarankan agar peranan raja-raja sebagai pelindung dan ketua agama Islam kembali diperkasakan.

Tegas beliau, jika parti pemerintah yang ada di Malaysia pada waktu ini meminggirkan peranan raja-raja dengan mengurangkan kekuasaan mereka (baca: memansuhkan imuniti raja-raja), maka sekiranya kerajaan baru menerajui negara kelak, haruslah diinsafi kembali akan peri pentingnya dipertahankan institusi beraja di negara ini.

Saya percaya, tradisi dan sejarah sesuatu peradaban itu wajar dihargai dan dipertahankan. Begitu juga dalam urusan beragama. Untuk menjadi seorang Muslim yang baik, pengetahuan tentang latar sejarah sesuatu amalan atau ibadah itu harus ditekuni dan dihayati dengan baik.

Budaya cintakan ilmu perlu sentiasa dipupuk dan proses pembodohan mentaliti sewajarnya dihentikan oleh pemerintah. Seandainya ini mampu dipraktikkan oleh umat Islam di Malaysia, saya yakin Dr. Muhammad Afifi pasti akan memutuskan untuk kembali ke tanah air!

Post a Comment

Terbaru Lebih lama