Iklan

Rabu, Mac 07, 2007

Etnik

Semalam saya berkesempatan menghadiri Kursus Alternatif Modul Hubungan Etnik (MHE)-Keberkesanan dan Cabaran untuk Merealisasikan Hubungan Etnik Rapat yang dianjurkan oleh Youth For Change (Y4C) bersama-sama dengan Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) Youth Section dan Strategic Information and Research Development Center bertempat di Auditorium Dewan Persatuan Cina Selangor.
Dua panelis yang diundang pada malam itu ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr. Syed Husin Ali dan juga Ketua Penyelaras Modul Hubungan Etnik, Prof. Dato’ Dr. Shamsul Amri Baharuddin.
Diskusi semalam yang membawakan tajuk “Sejauh manakah Modul Hubungan Etnik Mewujudkan Keharmonian Masyarakat” lebih menjurus kepada perdebatan tentang sejauh mana modul yang disediakan mampu menjamin wujudnya keharmonian dalam perhubungan etnik di negara ini.
Prof. Dato’ Dr. Shamsul menekankan akan kepentingan dan kewajaran agar modul ini diterima dan diberi ruang terlebih dahulu untuk dibuktikan hasilnya kelak. Tanpa menolak akan adanya campur tangan kerajaan dalam proses penyediaan modul ini serta kepincangan yang berlaku dalam sistem pentadbiran di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA), beliau turut menggesa para hadirin supaya lebih terbuka dalam membicarakan isu hubungan etnik sambil menyeru para mahasiswa agar memainkan peranan dalam memperbanyakkan diskusi tentang perkara tersebut.
Sementara hujah Dr. Syed Husin pula lebih menjurus kepada intipati modul yang tidak menceritakan sejarah sebenar hubungan etnik rakyat negara ini. Beliau membandingkan modul yang ada pada hari ini dengan yang digunapakai pada tahun 1960an dan 1970an. Kata beliau, modul yang ada pada hari ini telah memadamkan sejarah dengan menafikan penglibatan parti-parti politik berhaluan kiri seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Komunis Malaya (PKM) dalam proses menuntut kemerdekaan negara.
Beliau turut menekankan akan perlunya Dasar Ekonomi Baru (DEB) itu dikaji dan dirombak semula agar dilihat lebih adil dan menitikberatkan kesaksamaan terhadap kaum-kaum lain di Malaysia. Sewajarnya DEB ditegakkan bukan atas dasar meningkatkan taraf ekonomi sesuatu kaum saja tetapi ianya perlu dilaksanakan untuk membantu golongan rakyat (tanpa mengira bangsa) yang kurang berkemampuan sama ada dalam bidang ekonomi dan pendidikan.
Sebelum mengakhiri hujahnya, beliau mengulangi kebimbangan tentang kemungkinan akan berulangnya peristiwa 13 Mei sekiranya perkara berhubung dengan isu keseimbangan ekonomi, pendidikan dan taraf hidup antara kaum di negara ini tidak diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan. Isu hubungan etnik di negara ini diumpamakan seperti bom jangka; jika tidak dimatikan suis bom itu seberapa cepat yang mungkin, dikhuatiri ianya akan meledak, meletup dan selepas itu segalanya tidak akan berguna lagi.

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Adakah perpaduan kaum sekarang ini membimbangkan atau tiada apa yang perlu dikhuatiri?

najwan halimi berkata...

menurut dr syed husin ali, hubungan antara kaum di malaysia ini ibarat bom jangka, bila2 masa saja boleh meletup.

tp menurut prof dr shamsul amri, hubungan antara kaum di malaysia ini umpama tali gitar..semakin tegang tali gitar itu, semakin sedap bunyi yang dihasilkan..tp andaikata terlalu tegang,dikhuatiri tali itu akan putus, dan gitar itu terpaksa diperbaiki.

nanana-ne berkata...

tp andaikata terlalu tegang,dikhuatiri tali itu akan putus, dan gitar itu terpaksa diperbaiki

nice-nice, just nice. bcos i've learned not to fix broken things if u dunno how. it'll mk them worst. so how?

afifi berkata...

ko sendiri macam mana? do you really feel the tense between races? personally, aku tak rasa sangat.

najwan halimi berkata...

afifi,
personally..memang nampak secara zahir indah semuanya.

tapi tak tahu la pada dasar dan akarnya.

apa perasan kau, kalau kau lahir dan membesar di sebuah negara, tp disebabkan keturunan kau adalah keturunan pendatang, maka kau tak dpt hak yg sepatutnya kau terima?

ada seorang melayu..SPM 5A je..bapak dia bergelar tan sri..kenalan ramai..dia kemudiannya dapat scholarship kerajaan belajar engineering di luar negara.

ada seorang cina pulak..SPM 7A..bapak dia peniaga kecil je..dia susah dapat biasiswa sebab kuota kebanyakan utk bumiputera..dia mintak pinjaman dan sambung belajar di kolej swasta.

apa pendapat kau?

Arjuna berkata...

najwan halimi,
Kalau orang kaya dan berkuasa di mana-mana ceruk pun mereka berkuasa. Bukan sebab DEB.
Sekarang ni bersepah-sepah pelajar dapat A. Nak heran apa.Nak dapat tempat memang susah.Lainlah kalau ada duit. Ada kuasa. Jadi fikirlah masa depan anak-anak kita macam mana. Kalau nak berjaya gunakan akal dan tulang 4 kerat barulah anak cucu tak merempat.Jangan asyik fikir macam mana orang tu dapat lebih dari kita. Itu rezeki dia. Mana ada dalam dunia ni semua nak, terus dapat.Dulu saya anak melayu susah juga. Tak ada apa. Tapi sekarang saya selesa dan kesian tengok orang lain asyik harap nasib mereka berubah seperti nak tunggu hujan emas dari langit. Dah kaya pun masih tamak sebab tu tuhan sekat rezeki kot!