Ali

Membaca entri terbaru Aqil Fithri membuatkan saya termenung sejenak. Mengenang Saidina Ali Bin Abi Thalib r.a. mengingatkan saya akan arwah datuk.

Arwah datuk cukup mengagumi Ali. Ketika zaman saya anak-anak dulu, datuk gemar bercerita perihal Ali, falsafahnya dan mutiara nasihat baginda yang dipetik dari kitab Najh Al-Balaghah. Dan kecintaan datuk terhadap Ali sampaikan (menurut ayah) ingin beliau namakan saya dengan nama Ali. Pun begitu, ianya ditolak oleh ayah kerana kata ayah, dia lebih meminati "Najwan" (mungkin pada waktu itu nama ini agak unik dan jarang digunakan).

Meniti alam persekolahan, saya cukup teruja membaca buku-buku sirah berkenaan kisah hidup Nabi-nabi, perjuangan Rasulullah s.a.w. dan riwayat hidup para sahabat. Dan perjalanan hidup Ali adalah yang paling saya kagumi.

Kekentalan semangat dan kebesaran jiwa baginda terzahir sejak dari kecil lagi. Sejarah menyaksikan bahawasanya Ali adalah kanak-kanak pertama yang menerima dakwah Islam. Dan sejarah juga mencatatkan tentang keberanian beliau mempertaruhkan jasad dan nyawanya sebagai ganti demi keselamatan Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa Hijrah.

Medan Badar turut mengukir nama baginda sebagai salah seorang pahlawan ulung. Dalam usia yang masih belia remaja, Ali dengan penuh gagah menyahut cabaran berentap dengan Walid Bin Utbah. Dan si bedebah Walid mati dalam kesombongan ditetak pedang Ali.

Meminjam dari Aqil Fithri yang memetik kata-kata George Jordac tentang Ali:

"Wahai zaman, andaikan dengan segala kekuatanmu. Wahai alam semesta, andaikan dengan segala kesanggupanmu engkau boleh menciptakan susuk pahlawan besar, maka sekali lagi ciptakan manusia seperti Ali, sebab zaman memerlukan orang seperti Ali."

Mengenang Ali, semangat saya mekar kembali.

2 Ulasan

Amar B. berkata…
aku pun diberi nama Amar(baca: Ammar) sebagai doa tiap kali dipanggil akan nama itu.

malang sekali aku tidak mencapai tahap Ammar, sahabat nabi.

mungkin belum lagi...
Najwan Halimi berkata…
Amar,
Jangan risau,suatu hari nanti mungkin kau akan berjaya mencapai tahap Ammar.Aku doakan yang terbaik untuk kau.

Sincerely..
Terbaru Lebih lama