Iklan

Selasa, Oktober 17, 2006

Syok

Syok merujuk kepada rasa seronok, gembira ataupun teruja. Manusia lazimnya akan berasa syok bila mana sesuatu yang dihajati dan memenuhi tuntutan jiwanya tercapai.
Ada yang syok bila gadis yang diidam-idamkannya akhirnya membalas cinta yang didambanya sekian lama. Ada yang syok bila lulus cemerlang dalam peperiksaan. Ada yang syok bila mendapat pujian dan penghargaan dari kawan-kawan. Ada yang syok bila menerima testimoni di laman web friendsternya. Ada yang sekadar syok melihat orang lain syok. Dan yang paling syok ialah mereka yang syok sendiri alias SS.
Tidak dinafikan saya juga kadang-kadang dilanda sindrom SS ini. Adakala kita terlalu obses dengan pencapaian dan kejayaan kita sehingga kita lupa yang orang lain sedikit pun tidak pernah ambil peduli tentang obsesi kita itu. (Mungkin kisah seorang negarawan tua yang terlalu obses dengan kejayaannya selama 22 tahun memimpin negara sesuai dijadikan contoh).
Lumrahnya, setiap orang sama ada sedar atau pun tidak, banyak atau pun sedikit, kesemuanya mengidap sindrom SS (sama ada secara berkala atau pun berterusan). Tidak terkecuali Mat Rempit mahupun Pak Imam masjid. Jika Mat Rempit SS dengan kemahiran wi-kang dan style supermannya, Pak Imam pula adakalanya SS dengan ilmu dan reputasinya.
Hakikatnya, tiada seorang pun yang dapat lari dari sindrom SS ini. Andaikata kita merenung sedalam-dalamnya pengertian di sebalik istilah pasar ini, mungkin kita dapat merumuskan bahawa setiap dari kita sebenarnya tidak lari dari sikap obses dengan diri sendiri. Lebih dari itu, ada yang cukup gah hingga merasakan yang kehebatan dirinya itu melayakkannya untuk menghakimi orang lain. Siapa kita di sisi Tuhan? Hakimkah? Atau sekadar hamba picisan yang sama-sama mengidap sindrom SS?
Syok. Itulah kesamaan kita.

4 ulasan:

KRiE_nAj berkata...

Syok kau memerli negarawan tu ye..
haha..
erm..syok, kite memang ade persamaan dalam bende tu..hehe.. =P

Tanpa Nama berkata...

hoho~topik yang menarik.saya kadangkala suka syok sendiri.tapi tidaklah sampai merasakan diri ini bagus.bagi yang syok sendiri dan suka menghakimi orang lain,mereka inilah golongan suci yang tidak boleh disentuh..mungkin mereka merasakan diri mereka tuhan.banyak la tuhan kat alam ni yek.. ;p

najwan halimi berkata...

Tuhan hanya satu. Masalahnya ramai yg nak buat kerja tuhan ni. Ada yg nak jadi Al-Hakim. Ada yg nak jadi Al-Mutakabbir. Ada yg nak jadi Al-Aziz..

bila dah mengidap SS melampau mcm tu la gamaknya...I.S.A.-Ikut Suka Aku.

amar berkata...

Ada yang syok bila menerima testimoni di laman web friendsternya.

aahh, terasa aku. tapi jika diukur dari sudut positifnya, syok sendiri ini ada kepentingan juga. ia membantu dalam menaikkan self-esteem atau keyakinan sendiri. aahh, pada akulah.

dan mungkin kita memang tidak boleh lari dari syok sendiri acap kali melihat cermin...

"aiman tak kesah" patut diberhentikan penggunaannya.