Iklan

Khamis, Januari 31, 2008

Ishak Baharom Dalam Kenangan


Khabarnya jenazah Allahyarham Ustaz Ishak Haji Baharom bakal disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, berdekatan dengan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada jam 9.30 pagi ini. Kompleks pemakaman ini sebetulnya diperuntukkan khas buat kerabat diraja Selangor.
Penghormatan yang diberikan kepada Allahyarham dikatakan atas titah baginda Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkehendakkan agar jenazah gurunya ini disemadikan di kawasan pemakaman diraja.
Ustaz Ishak, bekas mufti negeri Selangor. Saya mulai kenal nama ini sekitar tahun 1998, ketika mana heboh berita pemecatan beliau, gara-gara kelantangannya dalam menyuarakan teguran terhadap sensasi beberapa gadis Melayu yang ikut menyertai pertandingan ratu cantik. Nyata, kejujuran beliau dibayar dengan nilai yang cukup mahal--penyingkirannya.
Ketika masih remaja, saya berkesempatan mengikuti kuliahnya di masjid di kawasan perumahan saya iaitu pada tahun 1999. Salah satu daripadanya turut menggandingkan beliau dengan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin (bekas Yang Di-pertua Persatuan Ulama' Malaysia) dan Ustaz Sheikh Azmi Ahmad (bekas mufti Pulau Pinang).
Allahyarham seorang yang cukup tegas dan lantang. Ketegasannya dalam mempertahankan pandangan dan pendapat mengenai persoalan hukum cukup mengagumkan. Saya kira sehingga kini, tidak ada mana-mana mufti dalam sejarah negara ini yang selantang dan seberani Ustaz Ishak.
Dan semalam, Ishak Haji Baharom telah tiada. Jika Nabi s.a.w. menggelarkan tahun di mana Saidatina Khadijah dan Abu Talib meninggal dunia sebagai tahun kesedihan, maka semalam merupakan 'Hari Kesedihan' buat saya. Negara kehilangan dua tokoh, dua legenda yang tidak ada galang gantinya.
Al-Fatihah buat Allahyarham Ishak Haji Baharom, juga buat Allahyarham Rosli Khamis.

2 ulasan:

amri5205 berkata...

Hari ini adalah detik penentuan..adakah Datuk Dr Hasan Ali Exco Selangor dari PAS akan tunduk kepada desakan pemerintah berhubung isu periksa gereja utk bendung kes murtad ataupun meletakjawatan Exco Selangor dan PAS sebagaimana tindakan bekas Mufti Selangor Dato' Ishak Baharom yang meletak jawatan Mufti semasa era Dato' Seri Abu Hassan Omar dari UMNO berhubung isu 3 orang gadis melayu menyertai pertandingan ratu cantik pada 13 Jun 1997. Disepanjang zaman akan ada seorang pejuang yang mempertahankan kesucian agama Islam.

zakeri berkata...

Ulama makin ramai yang meniggalkan kita.....seddih....