Iklan

Khamis, Januari 18, 2007

1984

Terima kasih buat Fathi Aris Omar yang telah mengesyorkan kepada saya buku ini. 1984 adalah karya George Orwell yang kedua saya baca selepas Animal Farm.
Mulanya saya sangkakan novel ini umpama Cinta Hari-hari Rusuhan karya Faisal Tehrani tetapi nyata ia lebih mencabar. Dalam Cinta Hari-hari Rusuhan, watak Basri disimbolkan seperti Hishamuddin Rais.
Orwell pula menggarap 1984 sebagai kisah tentang masa depan yang mengambil latar masa kini dan dahulu secara simbolik. Paling menyentuh emosi ialah babak percintaan Winston dan Julia, pengkhianatan serta tekanan kerajaan totalitarian.
Novel ini novel klasik. Paling mudah untuk mendapatkannya ialah di MPH Bookstores dengan harga RM 42.95 atau dapatkannya di jualan-jualan buku lama dari bonet kereta dengan harga RM 5!

Sabtu, Januari 13, 2007

Lupa

Saya mohon maaf kerana entri terdahulu terpaksa saya lupuskan atas sebab-sebab keselamatan.
  
Saya terlupa yang saya berada di sebuah negara yang bernama Malaysia; negara yang menjunjung demokrasi sebagai asas pentadbirannya.

Saya terlupa yang negara ini membelenggu mahasiswanya dengan sebuah akta yang bernama AUKU; akta yang melarang mereka berbicara dan merayakan kebebasan bersuara.

Saya terlupa yang negara ini punya akta yang bisa menahan seseorang tanpa bicara.

Saya terlupa yang negara ini mengangkat perasuah dan penindas sebagai pemimpin paling agung.

Saya terlupa yang negara ini menganggap rakyatnya sekadar lembu-lembu bodoh yang bisa ditidurkan dengan berita-berita tentang Mawi dan Siti Nurhaliza.

Saya terlupa yang negara ini menjulang Islam secara hadhari yang mana ulama-ulama dimusuhi.

Saya terlupa barangkali, yang dahuluya pernah ada seorang pejuang yang cuba mengubah dan membaiki negara ini tetapi akhirnya dia sendiri terhumban dikurung dan diaib dengan kejam sekali.

Saya terlupa yang saya berada di sebuah negara yang bernama Malaysia.

Ya.. saya terlupa.

Sabtu, Januari 06, 2007

Kecewa

Khabarnya Presiden George W. Bush kecewa dengan cara pelaksanaan hukuman mati terhadap Saddam Hussein.

Kata beliau, pelaksanaan hukuman gantung ke atas bekas presiden Iraq itu sepatutnya dijalankan dalam cara yang lebih terhormat.

Berikutan itu, Bush menyeru kerajaan Iraq supaya menjalankan penyiasatan menyeluruh terhadap keadaan sebenar yang berlaku ketika penggantungan ke atas Saddam dijalankan.

Tambah beliau lagi:

"Namun begitu, beliau (Saddam) telah menerima keadilan yang setimpal, sesuatu yang tidak diterima oleh ribuan penduduk yang dibunuh semasa pemerintahannya."

Bush kecewa dengan pelaksanaan hukuman gantung terhadap Saddam? Tergelak saya mendengarnya!