Iklan

Rabu, Ogos 26, 2015

Mengurus demonstrasi: Kerajaan tidak pernah belajar

Tindakan kerajaan mengisytiharkan pengharaman demonstrasi BERSIH 4 semalam tidaklah mengejutkan. Ia adalah tindakan sama yang dilakukan ke atas BERSIH untuk menghadapi perhimpunan tahun 2007, 2011 dan 2012.

Pada tahun itu, kerajaan mengeluarkan arahan pengharaman kurang lebih satu minggu sebelum demonstrasi diadakan.

Saya kira pentadbiran kerajaan sejak dari zaman Tun Dr Mahathir Mohamad hingga ke era Datuk Seri Najib Razak tidak pernah berubah dan tidak mahu belajar dari kesilapan dalam menangani demonstrasi.

Menghimbau kembali sejarah, antara demonstrasi terbesar pernah disaksikan di negara ini adalah pada September 1998 pasca pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri.

Ia kemudian disusuli dengan himpunan BERSIH pada 2007, 2011 dan 2012 yang merekodkan penyertaan puluhan ribu rakyat.

Apa yang berlaku, dari satu demonstrasi ke satu demonstrasi, kerajaan gagal menguruskannya dengan baik. Pihak berkuasa lazimnya akan menggesa peserta bersurai dengan segera tanpa memberi ruang kepada mereka untuk mengunjuk rasa dan sekiranya gagal mengikuti arahan maka tindakan agresif diambil.

Justeru berlakulah pertempuran antara peserta demonstrasi dengan pihak berkuasa. Gas pemedih mata ditembak, air disembur dan belantan dihayun.

Tangkapan secara pukal turut dilakukan. Inilah fenomena jika anda berdemonstrasi di Malaysia. Ia bermula dengan ceria dan penuh keseronokan namun akan berakhir dengan keganasan, darah dan penangkapan.

Sasaran media – baik dalam mahupun luar negara – semestinya untuk merakam imej dan visual aksi sekitar demonstrasi.

Lantaran khilaf pihak berkuasa menangani demonstrasi ini, imej dan visual ikonik anak-anak muda melempar kelongsong gas, memapah rakan yang cedera dan diberkas polis dalam keadaan kepala dipijak dengan pantas menular dan menyebar di laman media sosial.

Semua ini kemudiannya akan disifatkan oleh kerajaan sebagai “memalukan” negara atau “bukti keganasan” para demonstran.

Kerajaan sewajarnya belajar dari kegagalan mereka dalam menangani dan mengurus demonstrasi yang lepas-lepas. Telah tiba masa kerajaan belajar menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

Tindakan mengharamkan demonstrasi sememangnya tidak akan menambahbaik amalan demokrasi di negara ini. Ingatlah, semakin rakyat ditekan, semakin mereka bersemangat untuk berdemonstrasi. Semua ini telah terbukti dalam siri-siri demonstrasi yang lalu.

Saya telah menyertai demonstrasi BERSIH sejak 2007 hingga demonstrasi terakhir pada 2012. Kesemua demonstrasi ini gagal diurus dengan baik oleh pihak berkuasa. Sewajarnya pihak berkuasa membantu untuk memudahcara urusan pergerakan dan keselamatan para demonstran pada hari Sabtu dan Ahad ini.

Contohilah pihak berkuasa negara tetangga kita Indonesia dalam menguruskan demonstrasi. Mereka menjaga keselamatan dan membantu para demonstran.

Demonstrasi adalah sebahagian dari amalan demokrasi. Perlembagaan Persekutuan juga menjamin hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun. Mengambil kira situasi negara mutakhir ini, saya harap pihak kerajaan belajarlah memahami keresahan rakyat.

Hormatilah hak mereka untuk bersuara. Rakyat tidak meminta masa yang lama. Hanya 34 jam. Selepas dari itu mereka akan bersurai dan meraikan sambutan kemerdekaan yang ke-58.

Inilah masa untuk kerajaan buktikan bahawa semangat demokrasi masih hidup di negara ini. Tangani demonstrasi hujung minggu ini dengan sebaiknya – dalam semangat merdeka dan kemanusiaan.

Khamis, Ogos 20, 2015

Panda dari China disusukan, rakyat sendiri...

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menzahirkan kegembiraan di Twitter dan Facebook atas kelahiran seekor anak beruang panda di Zoo Negara. 

Liang Liang, ibu panda yang dirujuk oleh Najib di dalam tulisan beliau itu merupakan salah seekor dari dua ekor panda yang dihadiahkan oleh kerajaan China tahun lalu sebagai simbol hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China. Seekor lagi bernama Xing Xing. 

Najib teruja dan gembira meraikan kelahiran anak panda itu. Namun begitu, kegembiraan Najib itu ternyata tidak dikongsi oleh majoriti pengikut akaun media sosial beliau. Jika dibaca respon yang dimuatnaik, rata-rata dari mereka bersikap sinis dan memperolok-olok kenyataan Najib. 

Barangkali masyarakat sudah mulai tidak peduli dengan hal panda yang suatu ketika dulu pernah menjadi tumpuan umum. Mutakhir ini, dengan pelbagai isu dan krisis yang melanda pentadbiran negara, rakyat semakin bersikap sinis dan kritis terhadap apa jua yang mereka baca dan apa yang dilaporkan oleh media kepada mereka.

Rakyat kini semakin resah dan beremosi dengan isu yang melanda negara, bermula dari tragedi kehilangan pesawat MH370, pemenjaraan Anwar Ibrahim, skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri. Rakyat juga bimbang apabila melihat pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ditahan serta segala isu berkaitan “derma” wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib dan juga kemerosotan nilai Ringgit.

Ini dirumitkan lagi bila mana penjelasan terhadap isu penting melibatkan kepentingan negara dan rakyat tidak ditangani dengan sewajarnya. Rakyat melihat tiada ketelusan dan kejujuran di pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah dan menambah baik kualiti kehidupan mereka. Kenaikan kos sara hidup, peningkatan kadar pengangguran dan jenayah yang berleluasa terus mendera dan menghimpit kehidupan mereka.

Najib perlu meletakkan keutamaan yang sewajarnya dalam pentadbiran beliau. Hal-hal mendesak membabitkan tata kelola ekonomi dan urus tadbir perlu ditangani secara serius dan beriltizam.

Kepimpinan adalah amanah dan tanggungjawab. Ia bukan sesuatu yang boleh diambil ringan dan dilaksana secara main-main atau seronok-seronok. 

Usah biarkan emosi rakyat sampai ke satu tahap di mana mereka akan terus-terusan memandang sinis dan memperolok-olokkan kepimpinan beliau. Keutamaan seseorang pemimpin adalah rakyatnya.

Jangan sampai panda dari China disusukan, rakyat sendiri sengsara kelaparan.