Iklan

Isnin, Ogos 26, 2013

Tika Kita Berpisah

Tika kita berpisah
Dalam sunyi dan tangis
Patah hati
Cedera bertahun lamanya
Pucat pipi-mu dan kedinginan,
Lebih dingin kucupan-mu;
Sesungguhnya saat itu menceritakan
Kesedihan ini.

Embun pagi
Menusuk dingin di dahi-ku
Seumpama petunjuk
Tentang perasaan-ku kini.
Kau mungkir semua janji,
Dan cahaya adalah masyhur-mu:
Ku dengar nama-mu diungkap,
Dan ku kongsi dalam silu.

Mereka namakan kau dengan aku,
Petanda buruk di telinga-ku;
Gementar mendatangi-ku
Mengapa kau begitu mulia?
Mereka tak tahu aku mengenali-mu,
Yang amat-amat mengenali-mu:
Lama, aku bakal menangisi-mu,
Terlalu dalam untuk diungkap.

Aku rahsiakan pertemuan kita
Aku diam aku merintih,
Bahawa hati-mu mampu melupakan,
Semangat-mu berdusta.
Andai aku ketemu kau
Setelah sekian lama,
Bagaimana aku harus meraikan-mu?
Dengan sunyi dan tangis.

--Diterjemah dari puisi 'When We Two Parted' karya Lord Byron oleh Najwan Halimi 

*Terjemahan puisi ini telah diterbitkan di dalam jurnal Obscura: Merapat Renggang yang dilancarkan oleh Dato' Saifuddin Abdullah di Bangsar, Kuala Lumpur pada 25 Ogos 2013.

Isnin, April 01, 2013

Meroboh Hegemoni UMNO

Masa. Barangkali itulah yang amat diperlukan oleh Najib Razak sekarang. Masa untuk terus berpaut pada sisa-sisa kuasa dan kekuatan yang makin pudar. Masa untuk membentuk keyakinan rakyat yang makin hari makin mual dengan hipokrasi politik dan kejelekan akhlak para penguasa. Masa untuk memanjangkan mandat yang tak pernah dimilikinya; ianya sekadar diwarisi dari kelemahan Abdullah Badawi.

Kini Najib tersepit. Beliau tak punya banyak masa lagi. Selain berdepan dengan kesedaran rakyat, Najib juga dihimpit oleh intrik politik di dalam UMNO. 

 Mungkin, tidak lama lagi Parlimen akan dibubar. Ini ramalan nujum politik. Dan kita semua kemudiannya akan menumpu pada pilihan raya umum – mengundi wakil baru bagi membentuk kerajaan yang baru. Lima tahun lalu, siapa sangka dinamika politik Malaysia bisa jadi sebegini rencam. 

Pasca Mac 2008, lanskap politik nasional khususnya di Semenanjung Malaysia berdepan dengan perubahan ketara yang bermakna. Ramai yang sujud syukur tatkala merai kejayaan pakatan pembangkang menawan tampuk kuasa di beberapa buah negeri ketika itu. Lantaran gusar berlakunya perpecahan, maka pakatan tersebut diberi suntikan jenama – Pakatan Rakyat. 

Di Parlimen, mereka membentuk blok kekuatan yang sememangnya memanfaatkan rakyat. Isu-isu mustahak yang selama ini dianggap tabu dan tak pernah dibangkit kini diketengah dan dibahas secara matang dan konsisten. Budaya perbahasan yang dipamer oleh wakil-wakil pembangkang sememangnya jadi kejutan buat wakil-wakil kerajaan yang selama ini tak punya peranan dan cabaran di Parlimen. 

Rabu, Februari 20, 2013

Politik dan Khidmat Awam

“Therefore, if you are interested, if you want to participate, if you feel strongly about any public question, whether it’s labor, what happens in India, the future of American agriculture, whatever it may be, it seems to me that governmental service is the way to translate this interest into action, that the natural place for the concerned citizens is to contribute part of his life to the national interest. Like many decisions in life a combination of factors pressed on me, which directed me into my present profession.” 
John F. Kennedy, 1960 

 Saya seringkali ditanya oleh teman-teman: “Kerjaya apakah yang lebih mulia di mata rakyat; penjawat awam atau ahli politik?” Jawab saya: “Kedua-dua profesion adalah mulia dan terhormat asal saja kita tidak khianat dan berlaku zalim.” 

Kata mendiang John F. Kennedy atau JFK, mantan presiden Amerika Syarikat, kuasa seorang ahli politik barangkali besar, dan oleh sebab itu kuasa ini punya keperluan untuk disemak. Kata beliau lagi – hakikatnya, kerjaya sebagai ahli politik tetap menjadi satu kerjaya yang sering disalahguna dan diremehkan. 

Namun demikian, kerjaya sebagai ahli politik-lah yang akan menentukan keputusan-keputusan besar tentang peperangan, keamanan, kemakmuran dan kemelesetan; keputusan sama ada mahu terus mara ke depan atau mundur ke belakang. Simpul beliau, dalam ertikata yang lebih besar, segalanya kini tergantung kepada apa yang diputuskan oleh Kerajaan. 

Komitmen terhadap khidmat awam 

Lantaran terkesan dengan ungkapan JFK, lima tahun yang lalu, sebaik tamat pengajian di universiti, saya memutuskan untuk menumpukan komitmen saya terhadap khidmat awam. Kebetulan, tatkala saya tamat pengajian pada Mac 2008, tsunami politik melanda negara dan beberapa orang anak muda muncul sebagai wakil rakyat.