Iklan

Sabtu, Ogos 18, 2012

Lebaran

Hati resah menghitung amal,
Kian melabuh tirai Ramadan;
Terbuka sudah gerbang Syawal,
Semoga utuh takwa dan iman.

Isnin, Julai 30, 2012

‘Janji Ditepati’ Lagu Hari Merdeka Terburuk Dalam Sejarah

Saya tertarik untuk mengulas tentang lagu tema sambutan kemerdekaan negara ke-55 yang kini sedang hangat diperkatakan di kalangan rakyat khususnya anak muda Malaysia.

Jika diteliti respon dan sambutan di laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan laman-laman blog, ternyata lagu “Janji Ditepati” yang mana liriknya ditulis oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim ini diperlekeh dan dijadikan bahan jenaka oleh khalayak Internet khususnya di kalangan anak-anak muda.

Semakan saya di laman YouTube mendapati, setiap video yang memaparkan lagu ini menunjukkan bilangan pengunjung yang mengundi untuk tidak menyukai (dislike) jauh lebih tinggi berbanding pengunjung yang mengundi untuk menyukai (like) video lagu ini.

Malang bagi lagu ini kerana bukan hanya susunan muzik dan melodinya yang “cincai” dan tidak teratur, bahkan apa yang jelas adalah lirik lagu ini secara tersurat bersifat propaganda picisan dan bertujuan untuk memesongkan minda rakyat dari menghayati matlamat sebenar sambutan ulangtahun kemerdekaan negara.

Bermula dari rangkap awal lagu ini yang mengungkapkan perumpamaan kabur — “macam malam ikut siang, macam bulan ikut matahari” — diikuti dengan “satu Malaysia terus berjuang, janji kita ditepati”, pendengar pastinya gagal memahami apa sebenarnya yang cuba disampaikan menerusi lagu ini.

Apa kaitan malam, siang, bulan dan matahari dengan konsep 1 Malaysia? Apakah 1 Malaysia ini hanya retorik bersifat janji kosong sehingga objek-objek angkasa lepas seperti bulan dan matahari pun boleh ditawarkan kepada rakyat?

Jika kiasan dalam lirik ini dihurai dari sudut astronomi, ternyata ianya bercanggah dengan hukum alam. Bulan dan matahari tidak berada di orbit yang sama dan adalah mustahil untuk bulan “mengikuti” matahari. Logiknya, bulan akan muncul pada sebelah malam manakala matahari pula akan dilihat di waktu siang.

Maka dari rangkap awal lagi lirik pembukaan lagu ini sudah bermasalah dan gagal menyampaikan sebarang mesej kepada pendengar.

Pendengar kemudiannya akan “dibuai” dengan lirik perihal janji dikota (kononnya) dan kemudiannya bertemu dengan bait paling bermasalah iaitu “janji sudah ditepati, kini masa balas budi”. Persoalan yang timbul adalah janji siapa yang sudah ditepati? Dan apa maksudnya “kini masa balas budi”?

Pendengar yang bijak pasti akan dapat memahami bahawa lirik ini secara tersirat bertujuan memerangkap minda khalayak seolah-olah Umno-BN (kerajaan sekarang) telah berjaya menepati janji dan kini telah sampai masanya rakyat (pendengar) supaya mengundi Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sebagai membalas budi atas janji-janji tersebut.

Lantaran itu, timbul persoalan apakah kewajaran bagi sesebuah lagu yang seharusnya bertemakan penghayatan kemerdekaan diolah sebagai medium propaganda picis dan “ditransformasikan” menjadi lagu kempen untuk meraih undi dalam pilihan raya?

Pada bahagian korus pula, secara jelas dapat disimpulkan bahawa lagu ini sebenarnya adalah “wahyu penguasa” yang diturunkan sebagai “ingatan” kepada rakyat. Ini berbeza dengan lagu-lagu tema sambutan kemerdekaan sebelum ini khususnya di era Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi yang lebih berteraskan unsur kekitaan dan kebersamaan di antara pelbagai lapisan rakyat.

Keseluruhan bahagian korus lagu ini jika diteliti sememangnya tiada langsung penzahiran elemen patriotisme dan penghargaan terhadap nikmat kemerdekaan yang dikecapi negara. Apa yang ditonjolkan hanya sekadar memuja-muja dan mengangkat retorik kosong “Janji 1 Malaysia” yang sehingga kini masih kabur dan mengelirukan.

Akhir sekali adalah pada rangkap “rap” — lirik yang mengisi rangkap akhir ini paling parah dan bersifat cacamarba. Entah apa yang bersarang dalam benak si penulis lirik sehingga terhasil bait-bait lirik yang lemah, dangkal dan membosankan.

Alangkah jeleknya bila mana lirik rap pada rangkap terakhir itu diselit dengan istilah (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) BR1M, klinik dan kedai yang berorientasikan retorik 1 Malaysia!

Apa kaitan BR1M, klinik dan kedai dalam proses penyampaian mesej kemerdekaan dan semangat patriotisme kepada rakyat? Langsung tiada kena mengena!

Dan paling memalukan adalah tatkala dihebahkan kepada khalayak bahawa penulis lirik lagu ini merupakan seorang yang memegang jawatan menteri dan bertanggungjawab menjaga portfolio kebudayaan!

Jelas, menerusi lagu ini, Umno-BN cuba untuk memanipulasi sentimen patriotisme bersempena sambutan ulangtahun kemerdekaan negara dengan menerapkan propaganda lekeh dalam usaha terdesak mereka untuk meraih undi menjelang PRU yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Tidak dapat tidak untuk disimpulkan bahawa tiada langsung sebarang elemen patriotisme di dalam lagu ini melainkan puja-puji dan sanjungan melangit ke atas retorik 1 Malaysia serta pujukan halus supaya rakyat terus mengekalkan kuasa di tangan Umno-BN. Semangat kemerdekaan dan nilai patriotisme langsung tidak dirasai di dalam lagu ini.

Justeru, rakyat khususnya anak muda tidak wajar untuk terus membiarkan diri mereka dihenyak dan diperbodohkan oleh propaganda sempit ini.

Kemerdekaan seharusnya dirai dan dihargai dengan menghayati nilai patriotisme berasaskan semangat pencerahan yang tulen; bukannya dengan propaganda lapuk yang disandarkan pada sebuah lagu “kemerdekaan” paling buruk dalam sejarah negara!

Isnin, Januari 16, 2012

Hang Tuah

Saya sering percaya bahawa watak Hang Tuah adalah mitos yang sengaja dicipta untuk memupuk budaya ketaatan buta tuli umat Melayu terhadap raja.

Watak Hang Jebat juga tak wajar didukung sepenuhnya meskipun saya bersetuju dengan tindakan Hang Jebat yang menyanggah kezaliman raja. Namun demikian, seharusnya bukan dengan cara membunuh orang lain tanpa rasional.

Orang Melayu wajar mencontohi sosok Bendahara Tun Perak yang bertindak bijak tatkala menangani krisis politik Melaka yang melibatkan istana, Hang Tuah dan Hang Jebat.

Selepas raja Melaka menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah yang kononnya didapati bersalah bermukah dengan dayang istana, Tun Perak bertindak 'menderhaka' dan mengingkari titah raja. Hang Tuah bukan saja tidak dibunuh, bahkan sebaliknya disembunyikan.

Maka Hang Jebat pun mengamuk dan hilang kewarasan akibat kasih beliau yang amat mendalam terhadap Hang Tuah. Kemarahan Hang Jebat turut dibakar dengan rasa kebencian yang meluap-luap terhadap kezaliman raja Melaka.

Dalam konteks ini, kedua-dua Tun Perak dan Hang Jebat masing-masing menderhaka terhadap raja Melaka. Bezanya, penderhakaan Tun Perak dilakukannya secara berhemah dan beradat.

Manakala keadaan jadi tak terkawal, raja Melaka mulai berasa kesal kerana telah 'membunuh' Hang Tuah, hulubalang kesayangannya. Raja pun meluah kekesalan tersebut kepada Tun Perak.

Maka, Tun Perak dengan penuh hemah menjunjung 'sembah derhaka' kerana sebetulnya Hang Tuah tidak dibunuh tetapi disembunyikan oleh-nya di dalam hutan di Ulu Melaka.

Dan raja pun mengundang Hang Tuah ke istana. Hang Tuah dikurniakan persalinan istimewa serta keris diraja. Titah raja, "Nyah-kan Jebat durjana. Beta tahu matinya saja!"

Hari ini, Hang Tuah adakalanya dinobatkan sebagai simbol klasik tokoh Melayu yang oportunis dan kaki ampu kelompok feudalis. Demi menjaga raja dan kekuasaan, Hang Tuah tegar untuk membunuh saudaranya sendiri.

Maka selepas menerima 'restu' dari raja Melaka, Hang Tuah mencari Hang Jebat yang telah pun menguasai istana raja. Berpencak-lah keduanya selama beberapa hari tanpa makan dan minum.

Namun demi kasih pada Hang Tuah, Hang Jebat beralah dan merelakan dirinya dibunuh oleh Hang Tuah. Aduhai, begitu sekali pengorbanan sang sahabat sejati!

Selang beberapa ketika, Hang Jebat rebah dan mati di pangkuan Hang Tuah. Ini-lah tragedi politik paling aib dalam mitos Melayu klasik -- persaudaraan digadai demi mempertahan kezaliman raja.

Maka propaganda istana ketika itu pantas mengangkat Hang Tuah sebagai wira dan ianya diturunkan kepada generasi Melayu sehingga ke hari ini dan kesannya, terbentuklah budaya ketaatan mutlak kepada sistem monarki.

Khamis, Januari 12, 2012

Pegar

"Harapkan pegar, pegar makan padi."

Sekian lama kita terkeliru dengan istilah 'pagar' dalam pepatah "harapkan pagar, pagar makan padi". Logiknya, apakah pagar boleh memakan padi?

Ini berlaku akibat kesilapan penterjemahan tulisan jawi kepada rumi. Dalam tulisan jawi, kata 'pagar' dan 'pegar' dieja dengan huruf fa-ga-ra.

Pepatah itu sebetulnya adalah "harapkan pegar, pegar makan padi". Pegar adalah spesis burung yang berperanan menghalau haiwan perosak padi.

Dalam bahasa Inggeris, burung pegar dipanggil 'pheasant'. Di Malaysia, ada spesis burung pegar Malaya (Malayan Peacock-Pheasant).

Justeru, penggunaan pepatah "harapkan pagar, pagar makan padi" adalah kekeliruan yang harus diperbetul -- "harapkan pegar, pegar makan padi".

Ahad, Januari 01, 2012

2012

Disember bakal melabuh tirai,
Januari muncul membuka pintu;
Moga kekal aman dan damai,
Menuju unggul menjana mutu.