Iklan

Isnin, November 14, 2011

Kulturkampf

Dua minggu kebelakangan ini banyak terisi dengan pelbagai interaksi dan aktiviti yang membentuk perspektif saya dalam wacana silang budaya serta pemahaman baru tentang sejarah perkembangan Jerman. Dalam satu sesi pertemuan dan perbincangan dengan beberapa personaliti muda di Stuttgart minggu lalu, saya berpeluang membina jaringan kenalan baru, kebanyakannya berasal dari Timur Tengah dan sebilangan kecil lagi dari Jerman. Kami berbahas tentang beberapa tema kontroversi termasuklah persoalan pertembungan agama, nilai, tradisi dan budaya yang diamalkan di negara masing-masing.

Saya terkesan dengan penglibatan aktif Hiba, gadis Arab asal Jerusalem yang menetap di Arab Saudi namun memegang kerakyatan Jordan. Beliau tanpa apologetik meluahkan kritikan terhadap konservatisme ekstrim yang diamal oleh kerajaan Arab Saudi serta diskriminasi ke atas golongan wanita, namun pada masa sama tetap mempertahankan nilai Islam serta tradisi yang mendukung aspirasi intelektual dan moral masyarakat.
Manakala Bilal, anak muda asal Lubnan yang faseh bertutur bahasa Jerman juga mencuri perhatian sepanjang sesi perbincangan. Beliau menceritakan pengalamannya mendewasa sebagai saksi kepada perang saudara yang panjang di Lubnan serta impaknya terhadap keluarga dan perkembangan intelektual beliau. Berasal dari keluarga besar dengan sejumlah sepuluh orang adik-beradik menjadikan beliau cekal dan lebih berdikari.
Berkelulusan dalam disiplin kejuruteraan, Bilal memilih untuk berkerja sebagai seorang pustakawan di Lubnan dengan alasan ‘lebih mudah untuk membaca dan menimba ilmu secara percuma’. Dari situ beliau belajar bahasa Jerman – menerusi pembacaan dan merujuk kepada kamus terjemahan. Dan kini beliau memiliki sijil asas untuk mengajar bahasa Jerman kepada pelajar tahap pertama.
Saya turut berkongsi beberapa hal melibatkan permasalahan budaya yang terkait agama khususnya yang melanda Malaysia seperti isu kepala lembu, penggunaan nama Allah oleh kelompok Kristian, serbuan terhadap gereja Methodist di Damansara Utama serta kontroversi seksualiti yang hangat diperkatakan kebelakangan ini. Tatkala Malaysia mahu menzahirkan imej sebagai sebuah negara Islam moden dan progresif, namun pada masa sama isu-isu sensitif begini maseh gagal ditangani dan diselesaikan oleh pemerintah sehingga mewujudkan jurang luas di kalangan rakyat pelbagai agama dan budaya.
Saya memetik istilah kulturkampf dalam menghurai situasi di Malaysia; dan ianya mungkin sedikit sebanyak ada persamaan dengan konflik di antara Gereja Roman Katolik dengan pemerintah Prussia sewaktu era Otto von Bismarck dalam menangani sekularisme dan otoriti agama pada tahun 1870-an.
Di Jerman kini, suasananya cukup berbeda. Urusan agama dan moral adalah soal individu dan bukan tertakluk di bawah kawalan pemerintah. Di kalangan peserta wacana, Lena, lulusan sains politik dari Universiti Frankfurt yang kini bertugas di sebuah institut kajian budaya di Stuttgart turut berkongsi cerita. Lena muda sedikit dari saya – awal 20-an barangkali. Dan beliau – bersama dengan teman lelakinya – kini memiliki seorang bayi perempuan berusia 15 bulan. Mereka tinggal serumah dan membesarkan bayi itu bersama-sama. Saya kaget. Ini situasi yang (pada pandangan saya yang sangat konservatif ini) janggal sekali jika di Malaysia. Lena menjelaskan bahawa kehidupan mereka ‘sekeluarga’ cukup baik; kerajaan memperuntukkan pelbagai elaun kebajikan buat pasangan yang memiliki dan membesarkan anak. Menurut beliau, setiap bayi yang dilahirkan bakal menerima elaun sekitar 200€ (sekitar RM800) setiap bulan manakala ibu bapa bayi tersebut menerima elaun sebanyak 300€ setiap bulan bagi tujuan penjagaan.
Persoalan tentang Yahudi dan beban sejarah yang dipikul oleh Jerman pasca Perang Dunia Kedua turut disentuh dan saya berkongsi pengalaman serta persepsi peribadi seputar lawatan ke Muzium Yahudi di Berlin beberapa hari sebelum itu.
Sepanjang lawatan selama lebih enam jam ke muzium tersebut, saya mengesan betapa terderanya bangsa Jerman dalam memikul apa yang disebut sebagai collective guilt (kebersalahan bersama) pasca Perang Dunia Kedua.
Penindasan dan kezaliman di era pemerintahan Parti Sosialis Nasional (Nazi) pimpinan Adolf Hitler sememangnya menjadi beban sejarah terhadap warga Jerman hari ini. Ini disusuli dengan perlaksanaan dasar denazification (penyah-Nazi-an) oleh Kuasa Bersekutu dalam menghapus dan menyingkir semua elemen berkaitan fahaman sosialisme nasional yang menjadi teras kepada perjuangan Parti Nazi dalam struktur sosial masyarakat Jerman. Perlaksanaan dasar ini turut melibatkan aspek kebudayaan, media, ekonomi, kehakiman dan politik. Sebarang pengaruh atau organisasi berkaitan Nazisme adalah diharamkan.
Asas kepada collective guilt ini secara khusus adalah lantaran penindasan serta kezaliman Nazi terhadap masyarakat Yahudi di Jerman. Di Muzium Yahudi Berlin, ruang pameran dibahagi kepada tiga segmen utama iaitu Paksi Buangan (Axis of Exile), Paksi Holokaus (Axis of the Holocaust) dan Paksi Kelangsungan (Axis of Continuity).
Dua segmen awal iaitu Paksi Buangan dan Paksi Holokaus memaparkan dokumentasi sejarah pada era Nazi termasuklah barangan peribadi dan dokumen mangsa yang diusir dan diekstradisi ke kem tahanan (concentration camp) – kebanyakan dari mereka dibunuh dengan kejam. Saya turut merasai sendiri pengalaman berada di dalam Menara Holokaus (Holocaust Tower), berketinggian sekitar 25 meter yang dahulunya digunakan untuk mengurung orang-orang Yahudi di kem-kem tahanan. Sumber cahaya adalah terhad dan hanya masuk melalui bukaan kecil di atas bumbung manakala sistem pengudaraan pula adalah menerusi sebilangan lubang kecil bersaiz sebesar penutup botol air mineral.
Segmen Paksi Kelangsungan pula membawa kepada pameran-pameran utama iaitu sejarah perkembangan bangsa Yahudi di Jerman seawal abad ke-12, adat resam dan tradisi meliputi urusan kekeluargaan, budaya dan perniagaan, era Pencerahan yang melahirkan filasuf-filasuf seperti Moses Mendelssohn dan Baruch Spinoza sehingga ke era pasca Perang Dunia Kedua yang menyaksikan pergelutan dan kulturkampf masyarakat Yahudi menempatkan komuniti mereka dalam arus ketamadunan Jerman moden. Saya menyatakan kekaguman dan rasa takjub terhadap pentafsiran serta keterbukaan yang dizahirkan oleh warga Jerman dalam menghargai, menginsafi dan menyantuni sejarah ketamadunan mereka. Tanpa silu dan malu, mereka bisa mengangkat dan memartabat warisan sejarah – baik yang cerah mahupun yang gelap – dan menjadikannya sebagai aspirasi pembangunan dan kemajuan.
Kini, Jerman adalah kuasa ekonomi utama di Eropah. Realitinya, perspektif silang dan jamak budaya di Malaysia maseh jauh ketinggalan. Selagi subjek kulturkampf ini tidak direnungi dan ditangani, selama itulah Malaysia akan terus bergelut dengan persoalan remeh-temeh yang hanya akan menjurus kepada perpecahan dan pertembungan kepercayaan di antara rakyat dan pemerintah.
----------
*Rencana ini telah diterbitkan buat pertama kalinya di laman web www.jalantelawi.com.

Rabu, November 09, 2011

Tembok

Sepanjang tempoh keutuhannya, sekurang-kurangnya 136 orang maut berdekatan dengan tembok ini. Ianya jadi saksi sejarah di mana pertembungan kekuasaan dan ideologi politik telah meranapkan kehidupan warga Berlin; memutuskan hubungan kekeluargaan, merencatkan kerjaya dan sumber rezeki serta menafikan kebebasan dan hak politik mereka.
Pada 9 November, 22 tahun yang lalu, tembok ini mulai diruntuhkan dan susulan dari itu, wilayah Jerman Timur dan Jerman Barat bergerak ke arah penyatuan. Kini, Jerman merupakan kuasa ekonomi utama di Eropah.

Selasa, November 08, 2011

Budaya

Sepanjang minggu lalu, persoalan jamak budaya jadi wacana hangat di kalangan saya dan teman-teman perantisan di sini. Saya terkesan dengan Bilal dan Hiba, dua kenalan baru yang saya kenali sebelum kami ke Stuttgart bagi mengikuti sesi dialog silang budaya.
Bilal, asal Lubnan dan kini aktif sebagai seorang jurufoto bebas. Karier beliau sebagai pustakawan di sebuah perpustakaan Jerman berpusat di Tripoli membuka ruang buat beliau mendalami bahasa Jerman dan kini merupakan seorang penutur yang faseh. Pemahaman dan penyesuaian beliau dalam menjalani kehidupan di Jerman cukup mengagumkan.
Hiba pula menetap di Arab Saudi. Apa yang menarik, gadis Arab ini dilahirkan di Jerusalem dan memegang kerakyatan Jordan. Beliau berkeyakinan dan menaruh harapan yang tinggi terhadap proses pencerahan umat Islam. Faseh bertutur dalam bahasa Inggeris, Hiba dilatih dalam disiplin perakaunan namun kini aktif dalam bidang penjagaan dan pendidikan kanak-kanak.
Saya tak punya banyak masa untuk menulis panjang. Insha-Allah saya akan menulis catatan susulan yang lebih rinci kelak.

Isnin, Oktober 31, 2011

Demi Rakyat Jerman

Dem Deutschen Volke.
Begitu, inskripsi yang tercatat pada pedimen di atas anjung utama bangunan Reichstag di Berlin. Jika diterjemah, ianya kurang lebih membawa erti ‘Demi Rakyat Jerman’. Sewaktu pertama kali saya melintasi bangunan ini, saya tidak dapat menyembunyikan rasa teruja dan ghairah untuk meneroka dan menjejak segenap ruang binaan penuh bersejarah ini. Reichstag, binaan gah yang menyaksikan sejarah jatuh bangun Jerman terletak berdekatan Gerbang Brandenburg. Senibina asalnya yang bercirikan elemen neo-Renaisans masih terpelihara dan cukup mempesona.

Sebaik melapor diri di kaunter keselamatan Bangunan Paul Lobe (bangunan baru yang menempatkan pejabat ahli-ahli parlimen, dinamakan bagi mengingati Paul Lobe, Presiden Reichstag terakhir era Republik Weimar), saya dijemput oleh Igor, salah seorang petugas di pejabat ahli parlimen Parti Sosial Demokrat Jerman. Taklimat ringkas diberikan oleh Janine, juga petugas di pejabat sama tentang skop dan perincian tugas sepanjang saya menjalani perantisan di sini. Janine kemudiannya membawa saya melawat ke seluruh kawasan Deutscher Bundestag bermula dari Bangunan Paul Lobe, Bangunan Marie-Elisabeth Luders, Bangunan Jakob Kaiser, seterusnya ke Reichstag dan berakhir di kubah kaca.

Bangunan Paul Lobe menempatkan sekitar 500 buah bilik pejabat bagi kegunaan ahli-ahli parlimen pembangkang serta para petugas mereka. Menurut Janine, setiap ahli parlimen di Bundestag (seramai 622 orang), tidak kira dari parti yang memerintah ataupun pembangkang akan diberi dana peruntukan sebanyak 12,000 Euro (kira-kira RM48,000) setiap bulan bagi menampung kos pentadbiran pejabat serta pembayaran emolumen kakitangan. Ini ternyata berbeza dengan layanan serta pendekatan yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia terhadap ahli-ahli parlimen pembangkang. Di Jerman, peranan ahli-ahli parlimen adalah lebih jelas iaitu sebagai pembuat undang-undang dan juga sebagai penyemak-imbang kepada semua dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan. Dan bukan sebagai ‘tukang’ selesai masalah rakyat seperti yang difahami dalam konteks Malaysia!

Ketiga-tiga kompleks bangunan Paul Lobe, Marie-Elisabeth Luders dan Jakob Kaiser ini dihubungkan antara satu sama lain menerusi jejambat dan laluan bawah tanah yang kompleks. Sewaktu sesi penerangan dan lawatan ke seluruh bangunan ini, Janine sendiri terpaksa merujuk kepada peta bangunan untuk menentukan arah tuju kami. Apa yang menarik pada ketiga-tiga bangunan ini adalah rekaan senibinanya yang berelemen moden dengan kepingan kaca sebagai dinding yang melitupi setiap sudut. Pengunjung akan dapat melihat secara terus aktiviti kerja di setiap pejabat ahli parlimen dari luar menerusi dinding kaca tersebut. Dari ruang pejabat saya, misalnya, saya bisa menikmati pemandangan Sungai Spree yang indah dan mendamaikan.

Di Bangunan Marie-Elisabeth Luders (dinamakan bersempena ahli politik wanita pertama yang dipilih sebagai ahli parlimen dari Parti Liberal Jerman), selain pejabat sebilangan kecil petugas parlimen, ianya juga turut menempatkan sebuah perpustakaan parlimen (ketiga terbesar di dunia), pusat arkib, jabatan dokumentasi media dan juga pusat penyelidikan yang menjadi pusat pencarian maklumat oleh para petugas serta mahasiswa yang membuat kajian tentang pengajian politik dan pentadbiran parlimen. Manakala Bangunan Jakob Kaiser (dinamakan bersempena pengasas Parti Kesatuan Demokratik Kristian Jerman) pula merupakan kompleks pejabat yang paling besar. Selain ruangan pejabat kepada lebih 2,000 kakitangan parlimen, bangunan ini turut menempatkan pejabat Naib Presiden Bundestag, jabatan penulisan hansard, pejabat media serta studio televisyen dan radio Bundestag. Kebanyakan ahli-ahli parlimen yang membentuk kerajaan mendapat kemudahan pejabat di bangunan ini manakala ahli-ahli parlimen pembangkang kebanyakannya akan berpejabat di Bangunan Paul Lobe.

Dari Bangunan Jakob Kaiser, Janine akhirnya membawa saya masuk ke bangunan Reichstag menerusi laluan bawah tanah. Reichstag merupakan istilah yang digunapakai pada era Republik Weimar yang merujuk kepada Parlimen atau dewan perbincangan. Saya bangkitkan rasa keliru tentang penggunaan dua istilah iaitu Reichstag dan Bundestag – istilah manakah yang lebih tepat sebagai rujukan kepada makna Parlimen? Jawab Janine, Reichstag boleh dirujuk sebagai binaan yang menaungi demokrasi manakala Bundestag pula adalah sebagai institusi yang menggerakkannya. Kini, istilah Deutscher Bundestag telah digunakan bagi merujuk kepada Parlimen Jerman dan ianya dikuatkuasakan di bawah Undang-Undang Asas Jerman 1949.

Bangunan berusia 117 tahun yang mulai dibina pada 1884 ini masih utuh meskipun pernah dibakar pada 1933 dan dirosakkan oleh tentera Soviet sewaktu Perang Dunia Kedua. Menurut Janine, semenjak tahun 1894, Reichstag telah menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa penting dalam sejarah pembinaan negara Jerman moden. Pada 1918, Philipp Scheidemann telah mengisytiharkan pembentukan Republik Weimar (yang merangkumi Jerman, Poland dan sebahagian kecil Russia) dari salah satu jendela di bangunan Reichstag. Peristiwa ini berlaku setelah Canselor Imperial, Putera Maximilian Wilhelm mengumumkan pengosongan takhta Kaiser Wilhelm II pada tengah hari tersebut. Kesan dari Perang Dunia Pertama, Republik Weimar terus berkembang menuju ke arah menjadi sebuah negara demokratik liberal. Susulan dari itu, pada 1919, satu Perhimpunan Nasional diadakan di Weimar di mana perlembagaan baru telah digubal dan digunapakai bermula bulan Ogos, tahun yang sama.

Sepanjang lawatan di dalam Reichstag, saya mengesan contengan atau grafiti pada beberapa segmen di dinding bangunan. Janine menjelaskan bahawa pada tahun 1945, ketika Perang Dunia Kedua, Reichstag menjadi sasaran serangan udara Tentera Merah dari Soviet. Kesan daripada serangan-serangan ini telah mengakibatkan bangunan Reichstag mengalami kerosakan teruk. Ini ditambah pula dengan kerosakan asal yang masih belum diperbaiki kesan daripada kebakaran pada 1933. Lebih malang adalah tatkala Soviet berjaya menawan Jerman; pasukan Tentera Merah telah menceroboh dan merosakkan sebahagian besar Reichstag serta menconteng dinding dalam bangunan ini dengan pelbagai kata cacian dan penghinaan kepada bangsa Jerman. Menurut Janine, kesan contengan atau grafiti itu sengaja dikekalkan oleh pentadbiran Bundestag untuk tatapan generasi akan datang dan sebagai simbolik kepada sejarah jatuh bangun bangsa Jerman.

Tambah Janine lagi, sewaktu era Perang Dingin, bangunan Reichstag berada dalam lingkungan wilayah Jerman Barat, dan hanya dipisahkan dengan jarak beberapa meter saja dari sempadan Jerman Timur dengan Tembok Berlin. Dalam tempoh tersebut, bangunan Reichstag mulai dibaikpulih dan bermula pada tahun 1973, ianya menjadi pusat pameran bagi pengkisahan sejarah Jerman, dan juga menyediakan kemudahan dewan mesyuarat kepada kumpulan ahli-ahli parlimen dan badan-badan kerajaan lainnya.

Pada 3 Oktober 1990, bangunan Reichstag telah dipilih sebagai tuan rumah bagi acara sambutan rasmi Penyatuan Jerman. Sehari selepas itu, sesi pertama Bundestag telah diadakan di Reichstag yang menyaksikan perhimpunan seluruh ahli-ahli parlimen dari Jerman Barat dan Jerman Timur. Pada 20 Jun 1991, – dalam sesi perdebatan yang hangat dan panjang – dengan 338 undi mengatasi 320 undi, Bundestag yang bersidang di Bonn telah memutuskan supaya sesi persidangan Bundestag akan datang dan yang seterusnya selepas itu dipindahkan ke bangunan Reichstag di Berlin. Menurut Janine, semenjak perpindahan Bundestag dari Bonn ke Berlin, lebih dari 30 juta pengunjung telah melawat Reichstag dan ini menjadikan Parlimen Jerman sebagai satu-satunya parlimen yang paling kerap dilawati di dunia.

Janine kemudiannya membawa saya ke bahagian paling atas iaitu di aras yang menempatkan sebuah kubah kaca. Jelas beliau, kesan Perang Dunia Kedua, kubah Reichstag turut dimusnahkan. Maka pada 1992, Sir Norman Foster, seorang arkitek Inggeris telah dipilih untuk mengetuai proses membina dan menaiktaraf struktur bangunan Reichstag. Dalam cadangan penaiktarafan itu, pihak pentadbiran Bundestag juga telah bersetuju dengan cadangan pembinaan sebuah kubah kaca moden di atas aras tiga bangunan Reichstag. Kubah baru ini dilengkapi dengan kemudahan laluan pejalan kaki dan dibuka kepada orang awam sebagai salah satu daya tarik pelancongan. Dari tapak kubah ini, pengunjung akan dapat menikmati pemandangan kota Berlin dari aras ketinggian 47 meter serta berpeluang mengelilingi keseluruhan kubah melalui laluan spiral sepanjang 230 meter yang dibina pada struktur dalaman kubah.

Dari tapak kubah tersebut, saya dapat menyaksikan secara terus pemandangan di dalam Dewan Plenari (Plenary Chamber) yang terletak langsung di bawah struktur kubah. Seperti mana struktur bangunan Paul Lobe, Marie-Elisabeth Luders dan Jakob Kaiser, Dewan Plenari ini juga dilitupi dengan kepingan kaca, justeru setiap sesi persidangan akan dapat disaksikan secara terus oleh pengunjung tanpa sebarang halangan. Sama ada pengunjung menyaksikan persidangan parlimen dari tapak kubah atau memerhati dari luar binaan kaca yang menutupi Dewan Plenari, hakikat simboliknya adalah Bundestag Jerman di bangunan Reichstag ini adalah terbuka untuk tatapan seluruh pengunjung khususnya warga Jerman. Dan menerusi pendekatan inilah, menurut Janine, ahli-ahli Bundestag mengotakan ikrar mereka seperti yang tertera pada pedimen di atas anjung utama bangunan Reichstag iaitu – DEM DEUTSCHEN VOLKE.

----------

*Rencana ini telah diterbitkan buat pertama kalinya di laman web www.jalantelawi.com.

Rabu, Oktober 26, 2011

Bundestag

Saya tiba di Berlin lewat malam, hujung minggu lalu. Penerbangan dari Kuala Lumpur -- dengan transit di Dubai dan Frankfurt -- selama lebih 16 jam sememangnya melelahkan.

Dari lapangan terbang Berlin-Tegel, saya mengambil bas ke stesen tren Beusselstrasse sebelum dijemput oleh seorang kenalan, Sebastian. Beliau kemudiannya, dengan tren menenami saya ke Heidelberger Platz, stesen paling hampir dengan apartmen penginapan saya di pekan kecil Wilmersdorf.

Dan kelmarin saya memulakan tugas baru di Deutscher Bundestag di Berlin.

Isnin, Julai 18, 2011

Akademi


Saya percaya tanggungjawab saya dan teman-teman tak hanya terhad kepada jadi pemerhati dan pembicara di ruang Facebook dan Twitter. Bahkan, jauh lebih mendesak. Maka dari situ, tercetuslah Akademi Pak Sako.
Jujurnya, Akademi Pak Sako -- yang dibahas bersama saudara Zulfadzli ketika minum teh di Yaohan beberapa bulan lalu -- perlu terus dimanfaat dan diupayakan semaksimanya. Kekangan dana wajar diatasi dengan hemah.
Syukur, siri pertama yang tamat siang tadi cukup melegakan. Tak kurang 15 orang kini bergelar alumni Akademi Pak Sako.
Saya harap pengisian yang direncana (meski ada beberapa cela) bisa jadi bekalan dan motivasi buat mereka untuk terus giat menulis dan menyebar benih pencerahan.
Terima kaseh buat semua yang beri dukungan dan saranan. Tuhan jua yang mampu membalas semuanya.

Rabu, Jun 29, 2011

Pantun Bersih

Adat Melayu bercinta kasih,
Sayang isteri tinggal-tinggalkan;
Usah layu menegak Bersih,
Sembilan Julai kita buktikan.

Jumaat, Jun 24, 2011

Khayal

Dalam-dalam berkhayal sepi,
Jiwa merawan kekaseh hati,
Malam-malam mengulit mimpi,
Jiwa tak keruan sampai ke mati.

Sabtu, Jun 18, 2011

Curhat Cinta Buddhi (Mengenang Genap Setahun)

Genap setahun
Cinta melelahkan -- sangat!

Habis semangat kita diserap
Aku sudah tak punya daya
Serah saja pada Tuhan
Pakar bolak-balik hati

Aku nak jadi orang jahat -- puas hati!

Menjadi jahat bukan kejahatan
Kejahatan adalah bila orang baik tak melakukan apa-apa

Ha ha ha!
Itu hampir kepada makna kebodohan

Bulan mengambang penuh malam ini
Aku lelah dengan kebodohan di sekeliling

Balkoni dan Bulan -- satu tajuk lagu aku

Dialog ini akan abadi jadi puisi
Buat mengenang genap setahun

Aku hadiah dua lagu di saat orang lain beri materi

Moga dunia mengerti...

Khamis, Jun 09, 2011

Ke Mana Kita dengan ‘Anak Malaysia’?

Saya fikir ada banyak isu lain yang lebih penting dan memerlukan keutamaan ketimbang gimik untuk mendaftarkan anak yang baru lahir dengan identiti bangsa 'Anak Malaysia'. Timbul juga hujah lucu, kononnya tindakan ini sebagai langkah 'awal' untuk menghapuskan politik perkauman dan diskriminasi yang diterap dalam sistem pentadbiran sedia ada.

Menjadi Melayu, Cina, India, Cindia (istilah bagi anak kacukan Cina-India), Iban dan sebagainya sebenarnya bukanlah suatu yang bermasalah meski ada kerisauan seolah-olah pengkelasan identiti kaum sebegini bakal mengundang diskriminasi dan kesukaran kepada anak tersebut di masa hadapan.

Sebetulnya yang wajar dibicara dan dipolemikkan adalah sistem yang menunjangi diskriminasi itu sendiri. Ini bukan soal 'kedudukan istimewa' Melayu atau tuntutan samarata oleh bukan Melayu, tapi yang lebih mustahak adalah – ke mana hala tuju anak-anak di negara ini jika yang diheboh-heboh oleh ibu bapa mereka masih lagi berkisar soal bangsa dan perkauman?

Asas kewujudan dan ketamadunan manusia, sejak zaman-berzaman adalah cukup jelas – yakni semuanya diidentitikan menerusi pengenalan kaum dan etnik. Ini tidak salah. Tak sama sekali. Yang menjadi masalah adalah bila mana wujud kecenderungan untuk bersifat angkuh dan ta'asub dengan identiti tersebut.

Sejarah telah mencatatkan, umpamanya dasar Apartheid di Afrika Selatan yang dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa yang waras. Dasar ini diwujud dan dipertahan oleh pemuka-pemuka kulit putih di Afrika Selatan bukan kerana dasar ini bagus atau hebat sebaleknya kerana wujud keangkuhan dan sifat ketuanan oleh penguasa-penguasa kulit putih ini terhadap subjek pentadbiran mereka yang majoritinya berkulit hitam. Seolah-olah berkulit hitam itu suatu kehinaan.

Maka sebaik tokoh anti-Apartheid, Nelson Mandela dibebaskan dari penjara dan menang jawatan presiden Afrika Selatan, dasar yang mendiskriminasi itu dimansuh dan dibatalkan serta merta. Pada masa sama, identiti etnik di kalangan rakyat Afrika Selatan maseh dikekalkan dan kerukunan hidup bernegara di antara warga kulit hitam dan kulit putih dipulihkan. Ini semua memerlukan iltizam politik yang tinggi dan jitu. Bukan sekadar gimik murahan dan retorik picisan.

Kitab suci turut merakamkan misalan bila mana keangkuhan dan keta'asuban pada ketuanan kaum menjadi punca krisis di kalangan makhluk Tuhan. Di dalam Al-Qur'an, pada ayat ke-61 hingga 63 dalam Surah Al-Israa' diriwayatkan kisah pengingkaran Iblis terhadap Tuhan. Kisah yang dihuraikan secara ringkas di dalam Al-Qur'an ini boleh dibaca dengan lebih terperinci di dalam kitab Injil Perjanjian Lama dalam bab Genesis.

Menurut riwayat, sebaik sahaja Tuhan selesai menciptakan Adam di syurga, telah diperintahkan agar seluruh malaikat supaya sujud sebagai tanda hormat dan memuliakan Adam selaku makhluk baru yang bakal diangkat sebagai khalifah di Bumi. Para malaikat taat dan patuh namun terdapat satu makhluk bernama Iblis yang enggan menuruti arahan tersebut. Iblis bersoal jawab dengan Tuhan dan berhujah mempertahankan tindakannya tidak mahu sujud kepada Adam. Dengan penuh angkuh, Iblis mendakwa adalah tidak layak bagi dirinya untuk sujud dan memuliakan Adam memandangkan dia (Iblis) dicipta daripada unsur api sedangkan Adam dicipta dengan unsur tanah. Arakian Iblis mendakwa dirinya lebih mulia dan tinggi darjat ketimbang Adam. Kesan daripada keangkuhan dan sifat ta'asub terhadap unsur kejadiannya itu, maka Tuhan mengusir Iblis keluar dari syurga dan digolongkan oleh Tuhan sebagai kafir.

Justeru, soal pendaftaran bangsa anak dengan nama 'anak Malaysia' ini sewajarnya tidak dibingkaikan dalam gimik sebegitu. Apa yang lebih penting adalah komitmen dan dedikasi semua terutamanya pimpinan politik, aktivis sosial dan gerakan massa untuk mendobrak sistem sedia ada yang bersifat diskriminatif dan tidak lagi relevan dalam lanskap sosio-politik negara masa kini.

Tidak kira sama ada anak-anak kita memakai nama bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya, apa yang mustahak adalah dengan mengajar dan mendidik mereka bahawa semua bangsa tak kira dari negara atau wilayah mana adalah sama tarafnya di sisi Tuhan. Jangan sekali-kali kita benarkan sifat angkuh dan naluri ketuanan kaum menguasai minda mereka demi menjamin kerukunan hidup di negara ini.

Polemik 'Anak Malaysia' tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang harus diperjuangkan adalah reformasi sistem supaya ianya menjadi lebih baik dan memberdayakan. Diskriminasi tidak akan lenyap hanya dengan menghapuskan identiti kaum semata-mata. Sejarah telah pun membuktikannya.

----------

*Rencana ini telah diterbitkan buat pertama kalinya di laman web www.jalantelawi.com

Jumaat, Mei 27, 2011

Teduh

Aku sendiri
Semua menyepi
Menjauh

Tuhan,
Tolong
Aku mahu berteduh

Selasa, Mei 03, 2011

Osama

Saya fikir kematian Osama Ben Laden adalah satu konspirasi oleh Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Barrack Obama untuk menarik tentera mereka keluar dari Afghanistan dan Iraq.

Sebetulnya, Obama mahu membuang beban 'perang melawan keganasan' yang dicetus oleh George W. Bush sepuluh tahun lalu. Ini termasuklah pencerobohan di Afghanistan dan Iraq.

Konspirasi kematian Osama ini sudah 'kantoi' sebaik sahaja pentadbiran Amerika menyatakan bahawa jenazah beliau dicampakkan ke laut. Bukankah ini aneh? Mengapa Obama dan media-media Barat seperti CNN dan BBC tidak mendedahkan sebarang foto atau laporan bedah siasat berhubung kematian Osama ini kepada umum?

Mengapa sosok jenazah Osama yang bernilai puluhan juta USD tidak ditunjukkan kepada umat dunia? Bukankah dengan berbuat demikian, ianya akan menjadi satu kemenangan moral buat Amerika? Apakah Obama mahu dunia percaya bahawa Osama sememangnya sudah mati hanya dengan melabur 'air liur' menerusi kenyataan beliau kepada rakyat Amerika?

Dengan 'kematian' Osama, Obama kini telah berjaya menguasai sentimen rakyat Amerika (baca: pengundi) dengan retorik 'kejayaan' menumpaskan keganasan. Obama juga berjaya mewujudkan rasa 'feel safe' di kalangan warga Amerika; 'Osama telah mati', keadilan 9/11 sudah ditegak, kononnya!

Apa yang pasti, 'kematian' Osama akan dijadikan modal kempen paling ampuh oleh Obama dalam menghadapi pemilihan presiden pada 2012. Bertitik-tolak dari 'kematian' Osama, Obama kini punya hujah kukuh untuk menarik keluar tentera Amerika dari Afghanistan dan Iraq.

Osama mungkin telah mati lama dahulu. Atau mungkin juga di bawah tahanan tentera Amerika di mana-mana.

Saddam Hussein - sebaik ditahan pada 2003 - terus diaib dan didedahkan sosok beliau dengan wajah tak terurus kepada dunia menerusi media Barat. Bukan setakat itu, kematian Saddam turut dilapor besar-besaran. Acara menghukum gantung beliau dirakam dan disiar oleh media-media antarabangsa.

Berbeda dengan Osama, 'kematian' beliau dibesar-besarkan namun tak muncul walau sekeping foto pun tentang keadaan jenazahnya (yang ada hanya foto palsu!). Persoalan paling penting yang sekaligus mendedahkan penipuan 'kematian' Osama adalah kenapa 'jenazah' beliau dilempar ke laut?

Alasan 'tiada negara yang mahu terima jenazah Osama' adalah dangkal. Kenapa tak disemadi di lokasi rahsia yang hanya diketahui oleh pihak Amerika?

Apa yang pasti, 'perang melawan keganasan' bukan hanya berkisar tentang Osama dan Al-Qaeda kerana saban hari umat Islam di Palestin turut diganasi.

Jumaat, Mac 25, 2011

Jepun

Saya dan keluarga wisata ke Jepun minggu lalu, dalam suasana di mana rakyatnya sedang cemas dan maseh menangisi kemusnahan serta kematian akibat gempa bumi yang melanda beberapa wilayah di negara itu pada hari Jumaat sebelumnya.
Paling malang adalah di wilayah Sendai yang letaknya di Timur Laut negara itu yang tenggelam ditelan ombak tsunami. Setakat ini angka kematian termasuk yang maseh hilang sudah mencecah 20 ribu orang.
Sepanjang wisata, saya ada mencatat nota dan rujukan seputar pengalaman saya di Jepun. Insha-Allah jika punya kelapangan, saya akan menulis dengan lebih panjang dan rinci.

Sabtu, Februari 26, 2011

Pecah

Lampu itu seakan-akan malap
Tiba-tiba padam
Filamen putus

Pecah
Kini kau pecahkan lampu itu pula
Kau hancurkan ia lumat-lumat

Berderau
Bergetar aku rasa

Tiba-tiba kau jadi orang lain
Kau jadi kasar
Kau lupa diri
Hilang akal budi

Dan lampu yang pecah itu
Tersisih
Sedih


Subang Jaya
1.30 pagi

Isnin, Februari 21, 2011

Mimpi

Kain pelekat dari Madras,
Buat gebar pelindung dingin;
Lena tersirat pelbagai kias,
Mimpi debar naik pelamin.

Rabu, Februari 02, 2011

Tahrir

Tahrir itu ertinya bebas, merdeka.

Maka jika disebut Tahrir Square, pastinya ingatan kita bakal menghimbau imej ratusan ribu rakyat Mesir yang berhimpun di sekitarnya - bagi mendesak pengunduran Presiden Hosni Mubarak, ikon kuku besi dunia Arab.

Tahrir Square, jika diterjemah ke dalam bahasa Melayu membawa erti Dataran Merdeka.

Justeru, UMNO wajib waspada. Jika perlu, tukar saja nama Dataran Merdeka kepada nama lain. Ha ha ha!

Selasa, Februari 01, 2011

Tunisia

Minggu lalu, Anwar Ibrahim ada menulis dan meramalkan kemungkinan Tunisia berperanan sebagai keping domino pertama di dunia Arab dalam meledakkan kebangkitan rakyat menuntut demokrasi dan kebebasan. Dalam tempoh tidak sampai seminggu, gelombang tersebut telah merebak ke Mesir.
Terjemahan rencana beliau yang disiarkan di laman The Wall Street Journal boleh dibaca di sini.

Selasa, Januari 18, 2011

Leïla

Di Malaysia, kita kenal dengan Rosmah Mansor yang mengaku sebagai Wanita Pertama; di Tunisia, Wanita Pertama mereka adalah Leïla Ben Ali.

Hari ini, media melaporkan bahawa Leïla telah melarikan diri dari Tunisia dengan membawa bersama 1.5 tan jongkong emas bernilai £35juta.

Bagi yang maseh belum tahu, kerajaan Tunisia di bawah pimpinan Presiden Zine el Abidine baru saja ditumbangkan oleh kebangkitan rakyat pada 14 Januari yang lalu.

Leïla dikenali sebagai seorang wanita yang bercitarasa tinggi; meminati kereta mewah, pakaian berjenama dan suka membeli belah di Dubai.

Beliau dilahirkan pada 20 Julai 1957 dalam keluarga sederhana dan merupakan anak perempuan tunggal daripada 11 org adik beradik.

Leïla mendapat pendidikan formal setakat peringkat rendah dan seterusnya bekerja sebagai pendandan rambut. Beliau berkahwin dengan Zine el Abidine pada 1992 dan dikurniakan tiga orang anak.

Dua penulis Perancis ada menulis sebuah buku "La regente de Carthage" yang memperincikan salahlaku rasuah Leïla dalam pentadbiran Tunisia.

Leïla Ben Ali seperti mana Rosmah Mansor turut aktif dalam aktiviti yang dilihat berunsur 'amal' dan bersifat 'manusiawi'.

Jika Rosmah menjawat Pengerusi BAKTI, Leïla pula memegang jawatan selaku Presiden Organisasi Wanita Arab (AWO).

Leïla juga merupakan Pengerusi Basma iaitu organisasi kebajikan yang berperanan untuk membantu golongan kurang upaya mendapatkan pekerjaan.

Pada Julai 2010, beliau menubuhkan SAIDA dengan tujuan membantu dan menyokong pesakit-pesakit barah di Tunisia.

Dalam tempoh menjawat pelbagai posisi istimewa ini, Leïla kerap hadir menyampaikan ucapan dalam acara-acara rasmi kerajaan.

Selain mengiringi suami dalam lawatan rasmi ke luar negara, Leïla juga kerap mewakili suaminya serta berucap dengan membaca teks ucapan suami.

Sosok seperti Leïla Ben Ali kini sedang meningkat naik di Malaysia dan muncul dengan nama Rosmah Mansor. Minat, sikap dan perwatakan mereka hampir sama.

Jika Leïla Ben Ali membawa lari 1.5 tan jongkong emas bernilai £35juta sejurus selepas digulingkan, apa pula agaknya yang bakal dicuri dan dilarikan oleh Rosmah Mansor seandainya ditakdirkan Barisan Nasional tumbang?


Rabu, Januari 05, 2011

Pedih

Terkilan campur sedih
Mujur cinta mengatasi pedih

Biarkan aku lena

Kerana hanya dalam lena
hatiku bisa merintih


2.19 pagi
tampalan @NajwanHalimi

Terima Kaseh

Saat itu
Aku tunggu
hanya satu

Satu ungkapan saja
dari bibirmu
Yang tak terucap
sampai mataku terlelap

Aku tunggu
"terima kaseh"
yang tak terungkap
sehingga aku malap


2.25 pagi
Sofa Hijau

Ahad, Januari 02, 2011

Pantun Robengah

Menjarjis-jarjis ke hulu,
Meraba-raba di kelab malam;
Merais-rais dahulu,
Merogol amah diam-diam.


Sent from my BlackBerry® wireless device.