Iklan

Isnin, Jun 21, 2010

Penjara Pudu

Di depan Penjara Pudu
Kami berteleku
Menangisi warisan

Ratusan
Hiba, sayu
Menghitung detik perebahan

Ini tanah tinggalan
Diwariskan lapangan hukuman
Buat yang terkhilaf, bernoda

Ada duka di sini
Ada sengsara di sini
Ada insaf di sini
Ada maut di sini

Di depan Penjara Pudu
Kami berteleku
Menangisi warisan

Dengar
Dengar
Dengar

Wahai anak cucu kami
Maafkan kami
Generasi ini mati naluri
Pemimpin tak punya akal budi
Buta mata
Buta hati

Di depan Penjara Pudu
Kami berteleku
Menangisi warisan

Penjara Pudu
Jalan Hang Tuah
10.00 malam

Ayah

Tak ada yang lebih aku segani
melainkan Ayah

Tak ada yang lebih aku hurmati
melainkan Ayah

Penyuluh, pembimbing jalanku

Terima kaseh, Ayah
Karena merelakan pundakmu
Untuk aku melonjak lebih tinggi

Semoga Allah berkati hayatmu


Putrajaya

Isnin, Jun 14, 2010

Toni

Oleh Tony Judt

Aku tak pernah mengenali Toni Avegael. Beliau dilahirkan di Antwerp dalam bulan Februari 1926 dan menetap di sana hampir sepanjang hidupnya. Kami memiliki pertalian saudara: beliau merupakan sepupu kepada bapaku. Aku cukup ingat akan kakak beliau, Lily: seorang gadis murung, tinggi lampai dan sering kami ziarahi di rumah kecil yang terletak sekitar barat laut London. Cukup menyedihkan kerana kami telah lama terputus hubungan.

Bila mana aku menanyakan – atau ditanyakan – tentang makna diri sebagai seorang Yahudi, pasti aku akan terkenang adik-beradik perempuan Avegael (salah seorang daripadanya, Bella). Tidak ada jawapan umum atas pertanyaan ini: lazimnya untukku, ia adalah perihal erti menjadi Yahudi – sesuatu yang agak berbeza daripada apa yang difahami oleh Yahudi lainnya. Bagi orang luar, keprihatinan seumpama ini sesuatu yang misterius. Seorang Protestan yang tak beriman dengan Kitab Suci, penganut Katolik yang menyisihkan kewenangan Paus di Rom, atau seorang Muslim yang tak mengakui Muhammad sebagai Nabi: kesemua ini kelompok yang keliru. Namun bagi seorang Yahudi yang menolak kewenangan para pendita, mereka ini masih kekal sebagai Yahudi (meskipun hanya berdasarkan definisi di sebelah keturunan ibu oleh para pendita): apakah ada sesiapa yang layak menyatakan sebaliknya?

Aku menolak kewenangan para pendita – kesemuanya (dan aku memiliki wibawa kependitaan untuk hal yang ini). Aku tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan kemasyarakatan Yahudi, juga tidak mengamalkan sebarang ritual Yahudi. Aku tak peduli untuk bergaul dengan sesama Yahudi – dan yang paling penting, aku tidak berkahwin dengan mereka. Aku bukanlah Yahudi yang “murtad”, kerana memang pada awalnya aku tak pernah memenuhi syarat-syarat yang melayakkannya. Aku tidak “mencintai Israel” (baik dalam pengertian moden atau dalam erti generik asal mencintai orang-orang Yahudi), dan aku tak peduli seandainya sentimen itu dibalas. Namun setiap kali ada yang bertanya apakah aku Yahudi atau tidak, tanpa ragu-ragu aku akan memberi respon secara positif dan malu untuk melakukan sebaliknya.

Paradoks di dalam keadaaan ini menjadi jelas semenjak kedatanganku ke New York: perasaan ingin tahu terhadap identiti Yahudi lebih menonjol di sini. Kebanyakan Yahudi Amerika yang kukenal tak begitu arif budaya atau sejarah Yahudi; mereka senang sekali mengabaikan bahasa Yiddish atau Ibrani dan jarang sekali menghadiri acara keagamaan. Dan jika mereka melakukannya, sikap dan perilaku mereka mengundang rasa ingin tahu buat aku.

Tidak lama selepas tiba di New York, aku diundang ke upacara Bar Mitzvah. Dalam perjalanan menuju ke sinagog, aku sedar yang aku terlupa membawa topi dan kembali ke rumah untuk mengambilnya – dan kemudiannya aku amati hampir semua tidak menutup kepala masing-masing ketika acara tersebut, dengan alasan ianya terlalu remeh bagi satu majlis keagamaan. Apa yang pasti, sinagog ini telah melalui “Reformasi” dan aku seharusnya arif akan hal yang demikian. Yahudi Reformasi (dikenali di England sebagai “Yahudi liberal”) rata-rata memilih untuk tidak menutup kepala di dalam sinagog; amalan yang dibudayakan untuk tempoh lebih setengah abad. Semuanya sama, perbezaan di antara amalan palsu satu-satu ritual dan pemilihan amalan-amalan tertentu di dalam tradisi yang sudah lama berakar benar-benar menyedarkanku. Inilah harga yang perlu dibayar untuk identiti seorang Yahudi Amerika.

Beberapa tahun yang lalu aku menghadiri majlis makan malam amal di Manhattan bagi meraikan golongan selebriti yang terkenal dalam lapangan seni dan kewartawanan. Di pertengahan majlis, seorang lelaki yang agak berusia membongkok di hadapan meja dan merenung aku: “Anda Tony Judt? Anda perlu berhenti menulis perkara yang buruk-buruk mengenai Israel!” Terbiasa dengan interogasi seperti ini, aku bertanyakan kepadanya apa yang buruk yang telah ditulis olehku tentang Israel. “Saya tidak tahu. Anda mungkin benar – saya tak pernah ke Israel. Tapi kita sebagai Yahudi mesti bersatu: mungkin di suatu hari nanti kita memerlukan Israel.” Penyisihan anti-Semitik sebetulnya hanya bergantung kepada masa: New York mungkin akan menjadi bandar yang tak lagi sesuai untuk didiami.

Aku berasa janggal – dan memberitahu beliau – bahawa orang-orang Yahudi Amerika patut mewujudkan polisi insurans wilayah di Timur Tengah atau kelak kesemua mereka akan mendapati diri masing-masing berada di Poland dalam tahun 1942. Namun demikian, apa yang lebih menarik adalah prosedur agihan: rata-rata majoriti penerima biasiswa pada majlis malam itu adalah berbangsa Yahudi. Sepanjang sejarah masyarakat Yahudi, komuniti Yahudi di Amerika jelas terbukti lebih berjaya, bersepadu, dihormati dan berpengaruh jika dibandingkan dengan Yahudi di tempat-tempat lain pada masa-masa tertentu. Maka mengapakah identiti Yahudi kontemporari di Amerika Syarikat menjadi begitu terikat pada ketaksuban kenang-kenangan – dan antisipasi – kehilangan mereka sendiri?

Seandainya tiada Hitler, ajaran Yahudi bahkan mungkin telah jatuh ke tahap hina. Dengan kegagalan proses penyisihan Yahudi dalam abad ke-19 di seluruh Eropah, aspek-aspek ajaran Yahudi seperti elemen keagamaan, kemasyarakatan dan batasan ritual sedang terhakis: pengabaian dan pemaksaan pengasingan selama berabad lamanya semakin menghampiri titik akhir. Asimilasi – melalui migrasi, perkahwinan dan pelemahan budaya – telah berjalan dengan lancar.

Apabila ditinjau kembali, kesan-kesan interim boleh jadi mengelirukan. Di Jerman, ramai Yahudi yang menganggap diri mereka sebagai bangsa Jerman – dan merasa sangat marah lantaran sebab itu. Di Eropah Tengah, khususnya di kawasan segitiga bandar Prague-Budapest-Vienna, kelompok cendekiawan Yahudi sekular – yang berpengaruh dalam lapangan liberal – secara khusus telah membangunkan asas bagi kehidupan pasca-komunitarian Yahudi. Namun dunia Kafka, Kraus dan Zweig adalah rapuh: dengan pergantungan terhadap situasi unik sebuah empayar liberal yang berpecah, ianya tak berdaya dalam mendepani gelora etnonasionalisme. Bagi mereka yang meneroka akar budaya, ianya menawarkan sedikit kesalan dan nostalgia. Trajektori dominan untuk orang-orang Yahudi dalam tahun-tahun tersebut adalah asimilasi.

Aku melihatnya dalam keluargaku sendiri. Datuk-ku keluar dari bandar kecil dan masuk ke dalam persekitaran asing yang tak mesra – satu pengalaman yang secara sementara menguatkan kesedaran jiwa seorang Yahudi yang bersifat defensif. Namun bagi anak-anak mereka, situasi yang sama menzahirkan sebuah kehidupan normal. Generasi kedua ibu bapaku (keduanya Yahudi Eropah) mengabaikan bahasa Yiddish, mengecewakan harapan keluarga mereka serta menolak ritual dan sekatan komunitarian. Sekitar lewat 1930-an, adalah sesuatu yang munasabah untuk menduga bahawa anak-anak mereka sendiri – yakni generasiku – akan ditinggalkan dengan sedikit memori tentang “negara lama”: seumpama nostalgia pasta-dan-Hari Saint Patrick yang diraikan oleh masyarakat Itali-Amerika atau Irish-Amerika, dan dengan penuh pengertian.

Namun segalanya kini jauh berbeza. Sebuah generasi anak muda Yahudi berjiwa bebas, yang mana kebanyakan daripada mereka telah diserap sepenuhnya ke dalam dunia pasca-komunitarian, telah diperkenalkan secara paksa terhadap Judaisme sebagai identiti sivik: yang mana mereka tidak lagi bebas untuk menolaknya. Agama – yang pernah menjadi asas terhadap pengalaman keyahudian – telah dipinggirkan dan makin tersisih. Sewaktu kemunculan Hitler, Zionisme (sehingga kini sebagai mazhab minoriti utama) menjadi opsyen yang realistik. Keyahudian menjadi ciri sekular, secara luaran.

Sejak itu, identiti Yahudi dalam Amerika yang kontemporari telah memiliki kualiti pelesit: ianya hidup bersandarkan kepada pengalaman berganda yang hampir mati. Hasilnya adalah kepekaan terhadap penderitaan silam yang boleh muncul secara tidak seimbang bahkan terhadap sesama Yahudi. Sebaik saja esei-ku berkenaan dengan masa depan Israel disiarkan, aku diundang ke London untuk sesi wawancara dengan akhbar tempatan milik Yahudi – The Jewish Chronicle. Aku hadir dengan penuh ragu, dengan jangkaan akan difitnah berhubung identifikasi serongku terhadap Yahudi – ‘Bangsa Pilihan Tuhan’. Agak mengejutkanku bila mana editor mematikan mikrofon: “Sebelum kita mulakan,” kata beliau, “saya ingin bertanyakan sesuatu. Bagaimanakah anda mampu bertahan untuk hidup di kalangan kumpulan Yahudi Amerika yang menjengkelkan itu?”

Namun begitu, barangkali “Yahudi Amerika yang menjengkelkan” ini memiliki tujuan tertentu meskipun terhadap diri mereka sendiri. Untuk pengertian sebenar – rentetan daripada keruntuhan kepercayaan, berkurangnya penganiayaan dan perpecahan masyarakat – dalam menyatakan keyahudian seseorang? Sebuah negara “Yahudi” di mana seseorang tak punya hasrat untuk menetap dan yang mempunyai kelompok keagamaan yang tidak toleran sebetulnya menyisihkan Yahudi lainnya daripada memperolehi pengiktirafan rasmi? Satu kriteria keahlian “etnik” yang akan mengaibkan sang pemohonnya bagi tujuan tertentu?

Pernah suatu ketika bila mana menjadi Yahudi itu adalah syarat untuk hidup. Di Amerika Syarikat hari ini, agama tak lagi mencirikan kita: hanya 46 peratus Yahudi yang menghadiri sinagog, 27 peratus hadir sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan, dan tidak lebih dari 21 peratus ahli sinagog (10 peratus keseluruhannya) bermazhab Ortodoks. Ringkasnya, “penganut tua” hanyalah minoriti. Yahudi moden hidup bersandarkan kenangan yang diwariskan. Menjadi Yahudi sebahagian besarnya adalah bercirikan kepada keinsafan terhadap makna diri sebagai Yahudi. Memang, daripada seluruh perintah kependetaan, yang paling abadi dan istimewa adalah Zakhor! – Ingat! Namun kebanyakan Yahudi telah membatinkan perintah ini tanpa pengertian mendalam terhadap tuntutan yang sebenar. Kami adalah golongan yang ingat…sesuatu.

Apa sebenarnya yang harus kita ingat? Lempeng kentang nenek moyang yang berasal dari Pilvistock? Aku meraguinya: dengan mengenepikan simbol, ianya tak lain hanyalah kek epal. Kisah keganasan Cossack yang diceritakan di zaman kanak-kanak (aku cukup mengingatinya)? Apakah kaitan semua ini terhadap generasi yang tak pernah mengenali Cossack? Memori adalah asas yang lemah terhadap sebarang kemahuan kolektif. Kewenangan injunksi pensejarahan, kurangnya iterasi kontemporari, berkembang secara kabur.

Dalam hal ini, Yahudi Amerika secara naluriah adalah tepat dalam menuruti ketaksuban mereka terhadap Holocaust: ianya menyediakan rujukan, liturgi, contoh dan aturan moral – juga pendekatan sejarah. Namun demikian, mereka masih tetap melakukan kesalahan besar: mereka telah mengelirukan cara untuk mengingat dengan alasan untuk melakukannya. Adakah kita benar-benar orang Yahudi tanpa sebab musabab yang baik lantaran itu Hitler menghapuskan nenek moyang kita? Sekiranya kita gagal untuk bangkit mengatasi pertimbangan ini, kelak anak-anak cucu kita akan tak punya alasan lagi untuk mengenang kita.

Di Israel hari ini, Holocaust digunakan secara rasmi sebagai ingatan akan kebencian bukan Yahudi terhadap Yahudi. Peringatan terhadapnya dalam diaspora telah dieksploitasi secara berlebihan: untuk menjustifikasikan Israelofilia tanpa kompromi dan memenuhi harga diri yang ditangisi. Bagiku, ini merupakan penyelewengan memori yang jahat. Tapi bagaimanakah seandainya Holocaust berperanan selain daripada menjauhkan kita, sejauh mungkin, kepada pemahaman sebenar terhadap tradisi yang kita bangkitkan?

Di sini, mengingat menjadi sebahagian daripada kewajipan sosial yang luas tanpa maksud terhad terhadap orang Yahudi. Kita sedia mengakui betapa mudahnya tanggungjawab kita terhadap mereka yang sezaman dengan kita; namun bagaimana pula dengan peranan kita terhadap mereka yang datang sebelum kita? Kita fasih berbicara tentang hutang kita untuk masa depan – namun bagaimana pula dengan hutang kita dengan masa lampau? Kecuali di dalam kaedah praktikal – memelihara institusi atau bangunan-bangunan – kita hanya bisa melangsaikan hutang itu sepenuhnya dengan mengingat dan menyampaikannya melangkaui diri kita akan tanggungjawab untuk mengingat.

Tidak seperti teman semejaku, aku tak mengharapkan Hitler untuk muncul kembali. Dan aku tak mahu mengenang jenayahnya sebagai satu kesempatan untuk menutup perbualan: untuk membungkus keyahudian sebagai ketidakpedulian defensif untuk meragui atau mengkritik diri sendiri dan mundur mengasihani jiwa sendiri. Aku memilih untuk menyeru masa silam Yahudi yang kedap terhadap ortodoksi: yang membuka wacana ketimbang menutupnya. Bagiku, Judaisme adalah kepekaan terhadap persoalan diri dan ketidakselesaan pernyataan kebenaran yang kolektif: yakni kualiti mundur dan menentang seumpama dafka, ciri-ciri yang selama ini pernah diidentifikasikan dengan kita. Tak cukup sekadar berdiri di persimpangan konvensi orang lain; kita juga harus menjadi pengkritik paling kritis terhadap diri kita sendiri. Aku merasa terbeban dengan tanggungjawab terhadap masa lampau. Dan itulah sebabnya aku menjadi Yahudi.

Toni Avegael telah dipindahkan ke Auschwitz dalam tahun 1942 dan dilemaskan di dalam bilik gas sehingga mati. Dan aku dinamakan bersempena dengan nama beliau.

-----

Diterjemahkan dari rencana asal tulisan Tony Judt berjudul “Toni” terbitan The New York Review of Books (terbit pada 19 April 2010). Rencana ini telah diterbitkan pertama kali di laman JalanTelawi.com.

Selasa, Jun 08, 2010

Kala Rindu

Tak perlu basa basi
Tak perlu pujuk rayu
Kamu tahu
Aku tahu
Kita saling memerlu

Adakala dunia memang kejam
Tak pernah adil pada kita
Tatkala kita hampir lena
Maka takdir muncul leburkan mimpi

Kamu tahu
Aku tahu
Kita tahu
Cukup di situ
Tak perlu ada sendu


Bali