Iklan

Isnin, April 27, 2009

BlackBerry

Saya belajar menggunakan telefon bimbit sewaktu di sekolah berasrama dan mulai memiliki telefon sendiri ketika masuk belajar di universiti. Jika mahu dibandingkan dengan generasi hari ini, pastinya saya antara yang paling ketinggalan pada waktu itu. Kecetekan pengetahuan saya berkaitan teknologi telefon bimbit wajar dikatakan naif sehingga ke peringkat saya tidak mampu membezakan jenama telefon dan rangkaian syarikat telekomunikasi!
Telefon bimbit pertama yang saya beli dengan menggunakan wang simpanan sendiri merupakan telefon berjenama Nokia (model 2100). Kepalang gembira waktu itu kerana akhirnya saya berjaya melangkah masuk ke arus ‘moden’ teknologi komunikasi. Meskipun teman-teman sekampus memiliki telefon yang jauh lebih canggih, – yang mempunyai kamera digital, kemampuan muat turun nada dering polifonik, kemudahan mengirim mesej bergambar (MMS) dan lain-lain – namun, saya berasa cukup memadai kerana apa yang penting, saya boleh bercakap dan mengirim pesanan ringkas (SMS) kepada ahli keluarga dan semua teman-teman.
Perubahan pantas kemajuan teknologi telefon bimbit sememangnya menghimpit sesiapa sahaja yang mementingkan kualiti dan gaya. Ketika mana Nokia dan Sony Ericsson bersaing sengit dalam memenuhi citarasa pengguna dan ‘penagih’ teknologi di Malaysia, Samsung dan Motorola secara senyap berjaya mewujudkan kelompok pengikutnya yang tersendiri.
Saya sendiri terkesan dan seolah-olah dipasung dengan kemilau pelbagai jenis jenama dan model telefon bimbit di pasaran. Seorang rakan sekuliah, yang cukup dikenali sebagai penagih teknologi pasti akan tampil setiap tiga bulan dengan telefon bimbit baru berjenama. Pun demikian, kekangan kewangan sebagai seorang mahasiswa sedikit sebanyak berjaya merasionalkan saya dari ikut terjebak mengejar kepantasan perkembangan teknologi komunikasi yang sememangya mustahil untuk dikejar!
Ketika dalam tahun ketiga pengajian, dunia komunikasi mulai dimeriahkan dengan fenomena blog. Sebelum daripada itu, anak-anak muda kelompok urban sudah mulai ketagihan menyertai laman-laman sosial seperti Friendster dan MySpace. Saya turut memiliki akses kedua-dua jenis laman sosial ini namun ianya kurang memenuhi tuntutan teknologi yang saya impikan. Selain daripada menjadi medium komunikasi sesama teman-teman sekampus, laman-laman sosial ini juga berperanan dalam menjalin semula hubungan persahabatan yang terputus serta menjadi medan para pengguna menjual imej dan meraih perhatian.
Sewaktu anak muda lain giat bersosial menerusi internet, saya mulai memupuk minat dalam lapangan penulisan dan kritik sosial. Kemunculan laman-laman blog bertemakan pemberitaan berbentuk penyiasatan (investigative journalism), politik, falsafah dan agama mendorong saya untuk sama-sama ikut serta menceburkan diri dalam dunia penulisan blog. Blog-blog seperti Malaysia Today (Raja Petra Kamarudin), Tumit Achilles (Khalid Jaafar), Patah Balek (Fathi Aris Omar), Digital Digression (Nik Nazmi Nik Ahmad) dan Selak (Aqil Fithri) merupakan antara yang kerap dilayari dan banyak mempengaruhi aliran keilmuan saya.
Sebaik melancarkan laman blog Riwayat Hayat, saya giat menulis dan melontarkan pandangan serta kritikan terhadap pelbagai isu yang muncul di Malaysia melingkari persoalan politik, agama, sosial, intelektual dan kemahasiswaan. Rutin penulisan di blog ini sememangnya menajamkan fikiran dan membuka ruang untuk saya mengenali dan menyelami pelbagai sosok individu dan aliran pemikiran.
Setelah menamatkan pengajian di universiti dan sementara menunggu hari graduasi, saya ditawarkan untuk membantu operasi pejabat khidmat rakyat oleh salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang baru dipilih. Urusan kerja yang lebih berorientasikan komunikasi antara saya dan Adun tersebut membuatkan saya sering terpaksa bersedia dan selalu menyemak akaun emel. Ini ditambah pula dengan ‘kepekaan’ teknologi majikan saya yang menggunakan sejenis telefon bimbit ‘pintar’ berjenama BlackBerry.
Jika sebelum ini telefon bimbit sekadar dilengkapi dengan keupayaan SMS, MMS dan panggilan video, BlackBerry ternyata lebih memukau. Rahsia kecekapan majikan saya membalas emel dalam masa singkat rupa-rupanya tersembunyi di sebalik telefon pintar ini! Saya dimaklumkan oleh beliau bahawa BlackBerry miliknya menyediakan kemudahan emel, melayari internet dan juga dilengkapi dengan perisian komunikasi Yahoo! Messenger, Google Talk, Windows Live Messenger dan kemudahan pengendalian laman sosial, Facebook. Menarik bukan?
Fenomena BlackBerry yang pada kebiasaannya hanya popular di kalangan tokoh korporat dan para selebriti Hollywood semakin menjadi-jadi sebaik saja Barack Hussein Obama dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru. Foto-foto yang merakamkan ‘keintiman’ beliau dengan alat komunikasi pintar itu sepanjang tempoh berkempen menjadikan dirinya popular dan dikenali sebagai presiden yang celik informasi dan senantiasa berhubungan dengan dunia luar. Bahkan, larangan oleh pihak Perkhidmatan Rahsia (Secret Service) Amerika Syarikat yang mengawal keselamatan Presiden agar beliau tidak lagi menggunakan BlackBerry (kerana kebimbangan terhadap kebocoran maklumat dan rahsia kerajaan) tidak diendahkannya.
Obama memberikan alasan bahawa sekiranya beliau tidak dibenar menggunakan BlackBerry, beliau seolah-olah berada dalam kurungan dan tidak akan mengetahui perkembangan semasa. Beliau juga khuatir tidak dapat berhubung dengan ahli keluarga, kawan-kawan dan para penyokongnya. Sebagai penyelesaian, BlackBerry miliknya telah diubahsuai dan ditingkatkan tahap keselamatannya agar tidak menjadi sasaran penggodam yang licik untuk menceroboh akaun emelnya. Obama juga dihadkan daripada berhubung melainkan dengan ahli keluarga, teman-teman terdekat, dan kakitangan-kakitangan kanan Rumah Putih.
Majalah Newsweek (edisi 16 Februari 2009) telah memuatkan satu rencana bertajuk “Will The BlackBerry Sink The Presidency?” antara lain mengupas ketagihan Presiden Obama terhadap telefon bimbit pintar itu. Menurut Sharon Begley pengarang rencana tersebut, meskipun BlackBerry sangat bermanfaat dalam konteks memudahkan komunikasi dan capaian maklumat, kegagalan pengguna dalam memastikan BlackBerry tidak menjadi bebanan dan gangguan dalam menjalankan tugasan seharian sememangnya cukup membimbangkan.
Menurut beliau, kesan sosial dan kognitif penggunaan BlackBerry kepada hampir 21 juta penggunanya di seluruh dunia tidaklah sesempurna seperti yang diperkatakan. Manakala ramai peminat BlackBerry bergembira apabila Obama dibenarkan untuk terus menggunakan telefon bimbit pintar itu – di samping menekankan kepentingannya bagi memastikan pengguna senantiasa produktif dan terhubung – para pakar psikologi kognitif serta interaksi berpendapat sebaliknya. Kajian yang dilakukan ke atas kesan-kesan pop-up, pemaklum emel, pengurusan kalendar dan instant messaging – kesemuanya merupakan cetusan teknologi pra-BlackBerry – menyebut dua impak berterusan iaitu, (i) kemerosotan daya penumpuan dan (ii) mengalih perhatian kita. Pun demikian, kesemua ini pada dasarnya bergantung kepada cara menggunakannya. Seandainya pengguna bijak menentukan fokus dan penumpuan mereka terhadap keutamaan, maka kesan negatif sebagaimana yang dinyatakan di atas tidak akan timbul.
Di Malaysia, penggunaan BlackBerry semakin hari semakin bercambah dan seakan-akan menjadi satu trend terkini di kalangan kelompok politik, golongan korporat, profesional muda dan para selebriti. Mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim (kini Ketua Pembangkang di Parlimen) merupakan antara tokoh politik negara yang mula-mula menggunakan alat komunikasi pintar ini. Dikatakan bahawa Anwar lazimnya menggunakan BlackBerry untuk mengemaskini catatan di blog peribadinya dan juga sebagai alat perhubungan penting di antara beliau dan para penyokongnya, menjadikannya antara ahli politik paling bermaklumat dan responsif. Kesan daripada kecekapan Anwar dalam memanfaatkan teknologi komunikasi ini turut mempengaruhi kebanyakan aktivis-aktivis politik oposisi untuk menggunakan BlackBerry.
Kerajaan juga turut mengambil kesempatan melalui perkembangan fenomena ini. Kementerian Penerangan menerusi Agensi Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) baru-baru ini telah melancarkan Mobile Newsroom via BlackBerry iaitu perkhidmatan langganan berita terkini dari BERNAMA menerusi BlackBerry. Menurut Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek (kini Menteri Belia dan Sukan), langkah memperkenalkan perkhidmatan ini selaras dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Selepas mensasarkan komitmen dalam isu laman blog, Ahmad Shabery mengambil langkah yang pro-aktif dalam memastikan kerajaan tidak ketinggalan dalam mendepani cabaran teknologi komunikasi.
Kini BlackBerry cukup popular di Malaysia terutamanya di kalangan profesional muda berkarier yang mengutamakan kepantasan dan gaya. Jika anda berjalan-jalan di sekitar Bangsar, Subang Jaya, Damansara dan Sri Hartamas, pastinya anda akan dapat mengesan kelibat anak-anak muda yang sedang asyik menjawab emel dan melayari internet atau mungkin juga sedang melayan Facebook sambil tersenyum sendirian.
Apa yang pasti, BlackBerry kini merupakan satu ketagihan, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Ini ditambah pula dengan promosi meluas oleh syarikat-syarikat rangkaian telekomunikasi yang bersaing sengit dalam menyediakan perkhidmatan BlackBerry dengan kadar berpatutan, juga dengan kemunculan model-model terkini yang semakin elegan dan menarik. BlackBerry Storm misalnya kini dijangka mampu menyaingi kelebihan i-Phone 3G keluaran Apple yang menyediakan kemudahan interaktif menerusi teknologi skrin sentuh.
Dan jika dahulunya saya merupakan seorang yang naif dan kurang mesra dengan teknologi, kini saya mampu tersenyum kerana telah bisa berhubungan, mengemaskini blog, menyemak emel, melayari internet dan menyelenggara jadual seharian saya hanya dengan menggunakan sejenis telefon bimbit pintar bernama BlackBerry!
----------

*Artikel ini telah diterbitkan buat pertama kalinya di laman web www.jalantelawi.com

Ahad, April 19, 2009

Cabaran dan Arus Baru Perjuangan Mahasiswa

Semalam saya memenuhi undangan menyampaikan syarahan kepada barisan pimpinan mahasiswa sebuah kolej kemahiran teknikal di utara tanahair.
Saya meggariskan tiga aspek penting -- politik, ekonomi dan sosial -- yang seharusnya didepani dengan matang dan berani oleh aktivis gerakan mahasiswa masa kini.
Dalam mengupas tema politik, saya tegaskan keperluan gerakan mahasiswa agar kembali memisahkan diri dari dibayangi dan dimanipulasi oleh entiti-entiti politik. Tema baru politik nasional yang kini didominasi dengan isu-isu berkaitan demokrasi, hak asasi dan keadilan sosial seharusnya didukung dan diwacanakan secara lebih giat di kalangan rakan aktivis.
Polemik Dasar Ekonomi Baru (DEB) turut disinggung. Gesaan agar pimpinan mahasiswa memahami konsep sebenar DEB dan bahawasanya DEB bukanlah sebuah dasar yang abadi wajar diinsafi. Selain itu, persoalan turut dibangkit berkenaan krisis ekonomi global.
Seterusnya saya mencetuskan perdebatan tentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Rata-rata peserta giat mempertahan dan membantah dasar tersebut.
Akhir sekali, saya merumus kepentingan menguasai teknologi internet dan sumber maklumat juga proses pembudayaan ilmu yang seharusnya diperjuang oleh pimpinan mahasiswa. Juga kesedaran bahawa perpaduan kaum adalah suatu yang semestinya dipertahankan.
Dakyah dan sentimen perkauman perlu ditolak dan ayat ke-13 dari Surah Al-Hujurat wajar dihayati. Saya menutup syarahan dengan kisah Iblis dan Nabi Adam; betapa kesombongan Iblis akan asal kejadiannya dari api menyebabkannya diusir keluar dari syurga.
Maka saya tegaskan, seandainya kita mahu terus angkuh dengan sifat kebangsaan dan melaung-laung bahawa bangsa kita adalah 'tuan' dan lebih mulia dari bangsa-bangsa lain, maka bersedialah untuk menjejak Iblis di akhirat kelak!

Selasa, April 07, 2009

Dua Bukit

Tahniah rakyat!
Alangkah baiknya andai Dr. Mahathir Mohamad dan Ezam Mohd Noor turun berkempen di Batang Ai!
Terima kasih buat Utusan Malaysia, Berita Harian, NST dan TV3 kerana membantu rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau membuat pilihan yang tepat.
Maka, sang 'penderhaka' bakal membawa suara rakyat Bukit Gantang ke Parlimen kelak.