Iklan

Ahad, September 20, 2009

Salam Lebaran

Sempena lebaran hari ini, saya memohon kemaafan buat semua pembaca dan pencerca blog ini. Mudah-mudahan Ramadhan yang berlalu akan meningkatkan ketaqwaan dan keinsafan buat kita semua.
Semoga Syawal yang dirai turut menambah kesyukuran dan mengukuhkan ukhuwwah persaudaraan sesama kita, insha-Allah.
Salam Eid-ul-Fitr, mohon maaf zahir dan batin.

Ahad, Ogos 30, 2009

Sang Saka Malaya

Corak bendera ini sebetulnya telah saya gubah sempena memperingati sambutan kemerdekaan pada tahun 2007.
Pada asasnya, corak ini diadaptasi dari corak bendera Sang Saka yang digunapakai oleh negara Indonesia dan Singapura. Ianya merupakan panji warisan kerajaan Nusantara.
Jika diperhatikan, parti UMNO juga menggunakan corak Sang Saka sebagai bendera rasmi mereka, dan ditambah elemen keris hijau dalam bulatan kuning di tengahnya.
Mungkin menarik untuk direnungi betapa bendera Malaysia yang digunapakai pada hari ini langsung tidak menyerlahkan elemen nusantara yang diwarisi sejak sekian lama.
Bendera Malaysia yang digunakan pada hari ini jika diteliti sebenarnya diadaptasi dari bendera Amerika Syarikat yang bernama Stars and Stripes, dan ianya dibezakan menerusi bulan sabit dan bintang bucu empat belas berwarna kuning.
Barangkali ini menjawab persoalan mengapa warga Malaysia semakin tidak ghairah mengibarkan bendera. Jiwa dan warisan silam negara ini jelas tidak terzahir menerusi panji yang bernama Jalur Gemilang!

Ahad, Ogos 16, 2009

Dirgahayu Indonesia!

Saya masih ingat imej tugu Soekarno-Hatta di luar lapangan terbang ketika saya menjejak Indonesia hujung tahun lalu.
Enam puluh empat tahun dahulu, dua individu yang diabadikan menerusi tugu itu telah memacu Indonesia meraih kebebasan dari penjajahan Belanda.
Esok, saudara-saudara kita di Indonesia bakal merayakan tanggal keramat 17 Ogos, detik bersejarah yang menyaksikan kemunculan sebuah bangsa hebat yang bebas dan bermaruah.
Saya mendoakan kejayaan berterusan terutamanya dalam pembangunan ekonomi dan kelangsungan budaya buat semua warga Indonesia.
Semoga silaturahmi yang terjalin bisa terus utuh dan teguh meskipun adakalanya digugat oleh keterlanjuran beberapa kerat elit politik yang angkuh.
Dirgahayu Indonesia! Semoga terus maju dan gemilang!


Sent from my BlackBerry® wireless device

Selasa, Julai 28, 2009

Meniti Dewasa

Saya sedar, teman-teman mulai menyinggung bahawa saya kini semakin liat menulis.
Menulis merupakan satu disiplin -- sebagaimana kita makan, tidur dan mandi. Seringkali saya kagum dengan Amin yang jarang meninggalkan blognya kekontangan. Agak mengagumkan kerana dalam kesibukan menyempurnakan pengajian peringkat sarjananya, beliau masih mampu memenuhi komitmen sebagai penulis tamu beberapa laman web, juga menghiasi kaca televisyen membahas isu semasa.
Membaca kembali catatan-catatan di dalam blog ini adakalanya membuatkan saya ketawa sendiri. Tiga tahun yang lalu, saya merupakan jiwa yang berontak dan bentak. Dahaga dan senantiasa ghairah menimba segala syarah. Kala menulis, ada waktunya kita tidak sedar jari menari terlalu pantas memintas akal budi.
Kini, meniti dewasa. Dan masanya untuk mulai menjadi jujur dan berwibawa -- baik dalam kehidupan, mahupun penulisan.

Isnin, Julai 13, 2009

Projek Bina Masjid

Saya masih ingat, dua tahun lalu, pertama kali saya ke Felda Gunung Besout di Perak, menghadhiri majlis perkahwinan saudara Fathi Aris Omar.
Pun demikian, saya sudah lupa berapa banyak majlis perkahwinan yang telah saya hadhiri untuk tahun ini.
Apa yang jelas, teman-teman sepermainan, kawan-kawan sekolah dan rakan-rakan sekuliah semakin ramai yang mengakhiri zaman bujang mereka. Ada juga yang mulai bergelar bapa dan ibu.
Minggu lalu saya ke Kota Bharu, memenuhi undangan perkahwinan seorang teman sekampus. Minggu depan, barangkali ke Taiping pula -- juga untuk memenuhi undangan sama. Dan minggu seterusnya, tetap rutin yang serupa, barangkali sehingga menjelang bulan puasa yang bakal bermula Ogos depan.
Buat semua teman-teman yang kini dan bakal bergelar suami dan isteri, saya mendoakan kebahagiaan berkekalan, insha-Allah.
Dan saya fikir masanya telah tiba buat saya (juga Amin dan Aqil) untuk mulai memikirkannya dengan lebih serius, haha!

Sent from my BlackBerry® wireless device

Jumaat, Jun 26, 2009

Mengenang Michael Jackson

Saya terkesan dan hiba sebaik mengetahui berita kematian mengejut Raja Pop Michael Jackson pagi tadi.
Michael Jackson yang popular dengan panggilan Jacko dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Membesar dan dewasa dengan lagu-lagu beliau, saya sering berhasrat untuk menyaksikan persembahannya secara langsung.
Meski pun diselubungi dengan pelbagai kontroversi, namun setiap kali beliau tampil dengan album baru, pastinya ia menjadi hits.
Saya berkongsi kesedihan dengan jutaan warga dunia yang semestinya turut menangisi dan berkabung atas pemergian beliau.
"Muzik yang hebat adalah sesuatu yang abadi," demikian ungkapan Michael Jackson. Dan ianya terbukti hari ini.

Sent from my BlackBerry® wireless device

Khamis, Jun 04, 2009

Tiananmen

Hari ini genap 20 tahun berlakunya tragedi berdarah di Dataran Tiananmen, China. Dalam kita mengenang kembali sejarah dua dekad yang lalu, barangkali wajar untuk direnung dan dibayangkan impak dan kesan yang suatu masa nanti bakal dilalui oleh generasi masa depan Malaysia setelah 20 tahun meletusnya gerakan Reformasi.

Rabu, Mei 13, 2009

Puaka (Politik) 13 Mei dan Teori Celaka

Saya dibesarkan dalam persekitaran Melayu yang kuat. Sejak dari kecil, orang-orang tua dalam keluarga sering memomokkan saya akan bahaya yang dibawa oleh bangsa Cina dan India.
Kata mereka, Cina ini kaum pendatang yang suka menipu dan mahu merampas hak orang Melayu. India pula bangsa yang kuat mabuk, suka mencari gaduh dan melakukan jenayah. Untuk mendukung teori celaka ini maka minda Melayu saya disogok dengan satu kisah puaka yang terjadi empat dekad yang lalu.
(i)
Teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – ini terbawa-bawa sehingga ke alam persekolahan rendah menerusi pergaulan saya yang hanya terbatas dalam kelompok anak-anak Melayu sahaja. Saya tidak berkawan dengan murid-murid bukan Melayu dan sering memandang curiga terhadap apa saja yang mereka lakukan.
Sewaktu darjah lima, seorang teman sekelas (budak Melayu yang saya lupa namanya) membuka kisah 13 Mei. Katanya, ini cerita benar yang didengar dari datuk dan bapa saudara yang (didakwanya) terlibat secara langsung dalam peristiwa tersebut. Saya jadi tertarik dan bertanya lanjut.
Maka dikatakan bahawa waktu itu orang-orang Cina bertindak biadap dan kurang ajar kerana menghina dan mencerca orang-orang Melayu. Orang Cina mengutuk hak istimewa Melayu dan merendah-rendahkan bahasa Melayu. Kerana merasakan bahawa maruah bangsa telah dicabar, orang-orang Melayu mengangkat senjata dan mengamuk dengan menyerang dan membunuh orang-orang Cina yang celupar itu.
Orang Cina bertindakbalas dan turut bertindak agresif. Maka saat itu parang, kayu, keris dan segala macam senjata melayang ke udara, cerita teman saya itu. Tambah beliau lagi (entah betul atau tidak), datuknya juga turut ditetak di dada oleh seorang Cina namun langsung tidak cedera kerana memiliki ilmu kebal yang menyebabkan badannya tidak lut senjata. Saya kagum dan teruja dengan cerita teman saya tadi.
Kemelayuan saya semakin jitu dan teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – kini saya yakini sepenuhnya. Melayu itu hebat, pantang dicabar. Kalau dicabar, nahas!
Di rumah, saya bertanyakan bapa tentang 13 Mei. Kata beliau, waktu itu dia masih kecil dan tidak tahu menahu kerana peristiwa itu hanya berlaku di Kuala Lumpur sedangkan beliau menetap di Pahang. Tiba-tiba, bapa saya bercerita tentang Tun Razak, Dasar Ekonomi Baru dan UMNO.
Sekali lagi, teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – bergema dalam minda saya. Ya, saya Melayu. Saya bangga jadi Melayu!
Hidup Melayu!
(ii)
Sewaktu bersekolah menengah, saya sekelas dengan ramai pelajar berbangsa Cina. Kesan daripada puaka 13 Mei ini, saya kekok dan sukar bergaul dengan pelajar-pelajar lain yang bukan berbangsa Melayu. Saya hanya senyap dan menyendiri di dalam kelas sehinggalah saya ditegur oleh seorang anak Cina yang fasih berbahasa Melayu.
Budak Cina ini bernama Tan Chien Liang. Dia anak orang kaya yang dihantar dan dijemput setiap hari oleh pemandu keluarganya. Ya, bapanya ahli perniagaan dan memiliki rumah banglo yang mewah.
Mulanya saya prejudis dan gemuruh dengan budak Tan ini. Puaka 13 Mei dan teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – masih lagi bersarang dalam benak Melayu saya. Namun demikian, lama kelamaan saya mulai senang dengan Tan. Dia baik dan tidak menipu. Setiap kali saya terlupa membawa wang belanja, dia akan meminjamkan wangnya untuk saya beli makanan di kantin. Dia juga tidak akan beri jawapan kepada saya setiap kali saya cuba menirunya waktu peperiksaan. Tidak baik katanya.
Kami bersahabat. Macam belangkas, kata pelajar-pelajar lain. Dan saya semakin terlupa akan teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – yang sering dimomokkan oleh orang-orang tua dalam keluarga saya. Saya senang dengan Tan. Dia fasih bercakap Melayu. Dia suka makanan Melayu. Dan dia juga menaruh cinta pada gadis Melayu!
Suatu hari, Tan bertanyakan saya tentang Islam. Dia mahu saya mengajarkannya perihal Islam. Katanya, dia suka berkawan dengan saya sebab saya baik. Sebab dia nampak orang Islam baik. Saya terpinga. Namun saya bersetuju.
Maka saya pun mula belajar dan pada masa sama mengajar Tan tentang Islam. Saya kaji Al-Quran, saya baca hadith. Oh, rupanya semua manusia ini bersaudara. Semua manusia ini berasal dari Adam. Melayu, Cina dan India rupanya manusia bersaudara. Cuma faktor sejarah, geografi dan budaya yang membezakan mereka. Hakikatnya – menurut pembacaan saya itu – semua manusia bersaudara.
Tiba-tiba teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – cuba menyerang kesedaran yang baru terbina. Ada bisikan puaka yang mengingatkan saya tentang 13 Mei. Tentang kebiadapan Cina terhadap Melayu. Tentang kehebatan Melayu yang tak lut senjata. Tentang keris. Tentang Hang Tuah. Bisikan puaka ini menyuruh saya menafikan kenyataan bahawa manusia itu bersaudara dan sememangnya Cina penipu dan India suka cari gaduh.
Ah, tak mungkin! Tan baik orangnya. Dia tidak pernah menipu saya. Dia jujur sewaktu jawab peperiksaan dan dia mahu belajar tentang Islam. Dia suka berkawan dengan saya sebab saya juga baik kepadanya.
Dan bisikan puaka 13 Mei serta teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – mendiamkan diri. Barangkali bengang kerana saya tidak melayani.
(iii)
Di universiti, saya belajar kejuruteraan. Sewaktu hari pertama kuliah – waktu sesi memperkenalkan diri – seorang budak India bernama Ganesan dengan bangganya mengatakan beliau seorang ateis.
Selepas kuliah, saya menghampiri Ganesan dan bertanyakannya kenapa dia tidak meyakini Tuhan. Dia hanya tersenyum sambil menyatakan bahawa dia sebenarnya masih dalam pencarian ke arah kebenaran. Saya berjabat tangan dengannya dan kami ke kafé untuk minum. Cukup mengejutkan kerana Ganesan juga fasih bertutur Melayu!
Ganesan, meski tidak percayakan Tuhan merupakan seorang siswa yang pintar. Dia rajin dan tidak lokek berkongsi pengetahuannya dengan saya. Dia juga tanpa silu selalu meminjamkan saya tugasan kuliah untuk ditiru. Kata Ganesan, hidup ini mesti tolong-menolong.
Setiap petang selepas kuliah, saya akan melepak di kafé dan bertukar cerita dengan Ganesan. Kami akan berbual pelbagai isu termasuk agama, politik, budaya dan sukan. Saya terharu tatkala Ganesan menyatakan bahawa dia amat mengagumi adat dan kebudayaan orang Melayu. Kata Ganesan, orang Melayu merupakan bangsa paling budiman dan halus pekertinya. Ganesan juga meminta tolong saya untuk memikat seorang siswi Melayu yang diminatinya.
Pengetahuan dan keprihatinan Ganesan terhadap budaya dan adat Melayu mendorong saya untuk mendalami budaya dan adat masyarakat India pula. Maka saya mengkaji dan menelaah makalah-makalah sejarah tentang ketamadunan India silam. Agak menarik kerana rupa-rupanya, pembinaan tamadun Melayu banyak dipengaruhi dan berasal dari tamadun Hindu klasik dari India.
Saya teruja sebaik mengetahui bahawa asal moyang orang-orang Melayu dahulunya menganut ajaran Hindu dan bertutur dalam bahasa Melayu yang disaring dari perkataan-perkataan Sanskrit. Parameswara, pengasas kesultanan Melayu Melaka juga asalnya merupakan seorang Hindu sebelum diislamkan oleh saudagar Arab yang berdagang di Melaka.
Keterujaan saya pada ketika itu sekali lagi cuba digugat oleh bisikan puaka 13 Mei dan teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – namun ianya gagal lagi. Ungkapan ‘Ketuanan Melayu’ dan ‘Hidup Melayu’ dipandang sepi oleh jiwa saya yang semakin mengerti hakikat kemanusiaan.
Ganesan dan saya kekal akrab. Meskipun dia ateis dan saya aktivis gerakan mahasiswa Islam, rutin minum petang di kafé selepas kuliah kekal diteruskan sehingga tamat pengajian.
(iv)
Hari ini, puaka 13 Mei sudah tidak mahu mendampingi saya lagi. Ianya telah jauh menghilangkan diri. Teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – juga sudah tidak wujud dalam kematangan intelektual saya.
Selepas 8 Mac 2008, percubaan sesetengah pihak yang masih meyakini teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – untuk menghidupkan semula puaka 13 Mei jelas sekali gagal. Manipulasi media untuk meracuni akal budi rakyat dengan menyemai sentimen kebencian melalui ego perkauman sememangnya keji dan menjengkelkan.
Saya bertuah kerana telah melalui kerencaman pergaulan sejak dari alam persekolahan rendah sehingga ke peringkat universiti dengan mengenali pelbagai bentuk karakter dan individu tanpa mengira latar bangsa dan kepercayaan. Semakin saya cuba untuk menegakkan ego kebangsaan dan keangkuhan ras, semakin terbentang ruang dan kesempatan untuk saya mendekati kepelbagaian dan keindahan multi-budaya.
Puaka 13 Mei dan pendekatan politik yang berlandaskannya harus dibunuh terus oleh kita semua. Teori celaka yang mewujudkan persepsi negatif terhadap ras-ras tertentu juga wajib disingkirkan daripada terus melatari keharmonian dan kelangsungan hidup warga negara ini.
Malaysia ini milik semua. Milik saya, Tan, Ganesan dan anak-anak cucu kami yang bakal mewarisinya nanti.
----------

*Artikel ini telah diterbitkan buat pertama kalinya di laman web www.jalantelawi.com

Isnin, April 27, 2009

BlackBerry

Saya belajar menggunakan telefon bimbit sewaktu di sekolah berasrama dan mulai memiliki telefon sendiri ketika masuk belajar di universiti. Jika mahu dibandingkan dengan generasi hari ini, pastinya saya antara yang paling ketinggalan pada waktu itu. Kecetekan pengetahuan saya berkaitan teknologi telefon bimbit wajar dikatakan naif sehingga ke peringkat saya tidak mampu membezakan jenama telefon dan rangkaian syarikat telekomunikasi!
Telefon bimbit pertama yang saya beli dengan menggunakan wang simpanan sendiri merupakan telefon berjenama Nokia (model 2100). Kepalang gembira waktu itu kerana akhirnya saya berjaya melangkah masuk ke arus ‘moden’ teknologi komunikasi. Meskipun teman-teman sekampus memiliki telefon yang jauh lebih canggih, – yang mempunyai kamera digital, kemampuan muat turun nada dering polifonik, kemudahan mengirim mesej bergambar (MMS) dan lain-lain – namun, saya berasa cukup memadai kerana apa yang penting, saya boleh bercakap dan mengirim pesanan ringkas (SMS) kepada ahli keluarga dan semua teman-teman.
Perubahan pantas kemajuan teknologi telefon bimbit sememangnya menghimpit sesiapa sahaja yang mementingkan kualiti dan gaya. Ketika mana Nokia dan Sony Ericsson bersaing sengit dalam memenuhi citarasa pengguna dan ‘penagih’ teknologi di Malaysia, Samsung dan Motorola secara senyap berjaya mewujudkan kelompok pengikutnya yang tersendiri.
Saya sendiri terkesan dan seolah-olah dipasung dengan kemilau pelbagai jenis jenama dan model telefon bimbit di pasaran. Seorang rakan sekuliah, yang cukup dikenali sebagai penagih teknologi pasti akan tampil setiap tiga bulan dengan telefon bimbit baru berjenama. Pun demikian, kekangan kewangan sebagai seorang mahasiswa sedikit sebanyak berjaya merasionalkan saya dari ikut terjebak mengejar kepantasan perkembangan teknologi komunikasi yang sememangya mustahil untuk dikejar!
Ketika dalam tahun ketiga pengajian, dunia komunikasi mulai dimeriahkan dengan fenomena blog. Sebelum daripada itu, anak-anak muda kelompok urban sudah mulai ketagihan menyertai laman-laman sosial seperti Friendster dan MySpace. Saya turut memiliki akses kedua-dua jenis laman sosial ini namun ianya kurang memenuhi tuntutan teknologi yang saya impikan. Selain daripada menjadi medium komunikasi sesama teman-teman sekampus, laman-laman sosial ini juga berperanan dalam menjalin semula hubungan persahabatan yang terputus serta menjadi medan para pengguna menjual imej dan meraih perhatian.
Sewaktu anak muda lain giat bersosial menerusi internet, saya mulai memupuk minat dalam lapangan penulisan dan kritik sosial. Kemunculan laman-laman blog bertemakan pemberitaan berbentuk penyiasatan (investigative journalism), politik, falsafah dan agama mendorong saya untuk sama-sama ikut serta menceburkan diri dalam dunia penulisan blog. Blog-blog seperti Malaysia Today (Raja Petra Kamarudin), Tumit Achilles (Khalid Jaafar), Patah Balek (Fathi Aris Omar), Digital Digression (Nik Nazmi Nik Ahmad) dan Selak (Aqil Fithri) merupakan antara yang kerap dilayari dan banyak mempengaruhi aliran keilmuan saya.
Sebaik melancarkan laman blog Riwayat Hayat, saya giat menulis dan melontarkan pandangan serta kritikan terhadap pelbagai isu yang muncul di Malaysia melingkari persoalan politik, agama, sosial, intelektual dan kemahasiswaan. Rutin penulisan di blog ini sememangnya menajamkan fikiran dan membuka ruang untuk saya mengenali dan menyelami pelbagai sosok individu dan aliran pemikiran.
Setelah menamatkan pengajian di universiti dan sementara menunggu hari graduasi, saya ditawarkan untuk membantu operasi pejabat khidmat rakyat oleh salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang baru dipilih. Urusan kerja yang lebih berorientasikan komunikasi antara saya dan Adun tersebut membuatkan saya sering terpaksa bersedia dan selalu menyemak akaun emel. Ini ditambah pula dengan ‘kepekaan’ teknologi majikan saya yang menggunakan sejenis telefon bimbit ‘pintar’ berjenama BlackBerry.
Jika sebelum ini telefon bimbit sekadar dilengkapi dengan keupayaan SMS, MMS dan panggilan video, BlackBerry ternyata lebih memukau. Rahsia kecekapan majikan saya membalas emel dalam masa singkat rupa-rupanya tersembunyi di sebalik telefon pintar ini! Saya dimaklumkan oleh beliau bahawa BlackBerry miliknya menyediakan kemudahan emel, melayari internet dan juga dilengkapi dengan perisian komunikasi Yahoo! Messenger, Google Talk, Windows Live Messenger dan kemudahan pengendalian laman sosial, Facebook. Menarik bukan?
Fenomena BlackBerry yang pada kebiasaannya hanya popular di kalangan tokoh korporat dan para selebriti Hollywood semakin menjadi-jadi sebaik saja Barack Hussein Obama dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru. Foto-foto yang merakamkan ‘keintiman’ beliau dengan alat komunikasi pintar itu sepanjang tempoh berkempen menjadikan dirinya popular dan dikenali sebagai presiden yang celik informasi dan senantiasa berhubungan dengan dunia luar. Bahkan, larangan oleh pihak Perkhidmatan Rahsia (Secret Service) Amerika Syarikat yang mengawal keselamatan Presiden agar beliau tidak lagi menggunakan BlackBerry (kerana kebimbangan terhadap kebocoran maklumat dan rahsia kerajaan) tidak diendahkannya.
Obama memberikan alasan bahawa sekiranya beliau tidak dibenar menggunakan BlackBerry, beliau seolah-olah berada dalam kurungan dan tidak akan mengetahui perkembangan semasa. Beliau juga khuatir tidak dapat berhubung dengan ahli keluarga, kawan-kawan dan para penyokongnya. Sebagai penyelesaian, BlackBerry miliknya telah diubahsuai dan ditingkatkan tahap keselamatannya agar tidak menjadi sasaran penggodam yang licik untuk menceroboh akaun emelnya. Obama juga dihadkan daripada berhubung melainkan dengan ahli keluarga, teman-teman terdekat, dan kakitangan-kakitangan kanan Rumah Putih.
Majalah Newsweek (edisi 16 Februari 2009) telah memuatkan satu rencana bertajuk “Will The BlackBerry Sink The Presidency?” antara lain mengupas ketagihan Presiden Obama terhadap telefon bimbit pintar itu. Menurut Sharon Begley pengarang rencana tersebut, meskipun BlackBerry sangat bermanfaat dalam konteks memudahkan komunikasi dan capaian maklumat, kegagalan pengguna dalam memastikan BlackBerry tidak menjadi bebanan dan gangguan dalam menjalankan tugasan seharian sememangnya cukup membimbangkan.
Menurut beliau, kesan sosial dan kognitif penggunaan BlackBerry kepada hampir 21 juta penggunanya di seluruh dunia tidaklah sesempurna seperti yang diperkatakan. Manakala ramai peminat BlackBerry bergembira apabila Obama dibenarkan untuk terus menggunakan telefon bimbit pintar itu – di samping menekankan kepentingannya bagi memastikan pengguna senantiasa produktif dan terhubung – para pakar psikologi kognitif serta interaksi berpendapat sebaliknya. Kajian yang dilakukan ke atas kesan-kesan pop-up, pemaklum emel, pengurusan kalendar dan instant messaging – kesemuanya merupakan cetusan teknologi pra-BlackBerry – menyebut dua impak berterusan iaitu, (i) kemerosotan daya penumpuan dan (ii) mengalih perhatian kita. Pun demikian, kesemua ini pada dasarnya bergantung kepada cara menggunakannya. Seandainya pengguna bijak menentukan fokus dan penumpuan mereka terhadap keutamaan, maka kesan negatif sebagaimana yang dinyatakan di atas tidak akan timbul.
Di Malaysia, penggunaan BlackBerry semakin hari semakin bercambah dan seakan-akan menjadi satu trend terkini di kalangan kelompok politik, golongan korporat, profesional muda dan para selebriti. Mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim (kini Ketua Pembangkang di Parlimen) merupakan antara tokoh politik negara yang mula-mula menggunakan alat komunikasi pintar ini. Dikatakan bahawa Anwar lazimnya menggunakan BlackBerry untuk mengemaskini catatan di blog peribadinya dan juga sebagai alat perhubungan penting di antara beliau dan para penyokongnya, menjadikannya antara ahli politik paling bermaklumat dan responsif. Kesan daripada kecekapan Anwar dalam memanfaatkan teknologi komunikasi ini turut mempengaruhi kebanyakan aktivis-aktivis politik oposisi untuk menggunakan BlackBerry.
Kerajaan juga turut mengambil kesempatan melalui perkembangan fenomena ini. Kementerian Penerangan menerusi Agensi Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) baru-baru ini telah melancarkan Mobile Newsroom via BlackBerry iaitu perkhidmatan langganan berita terkini dari BERNAMA menerusi BlackBerry. Menurut Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek (kini Menteri Belia dan Sukan), langkah memperkenalkan perkhidmatan ini selaras dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Selepas mensasarkan komitmen dalam isu laman blog, Ahmad Shabery mengambil langkah yang pro-aktif dalam memastikan kerajaan tidak ketinggalan dalam mendepani cabaran teknologi komunikasi.
Kini BlackBerry cukup popular di Malaysia terutamanya di kalangan profesional muda berkarier yang mengutamakan kepantasan dan gaya. Jika anda berjalan-jalan di sekitar Bangsar, Subang Jaya, Damansara dan Sri Hartamas, pastinya anda akan dapat mengesan kelibat anak-anak muda yang sedang asyik menjawab emel dan melayari internet atau mungkin juga sedang melayan Facebook sambil tersenyum sendirian.
Apa yang pasti, BlackBerry kini merupakan satu ketagihan, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Ini ditambah pula dengan promosi meluas oleh syarikat-syarikat rangkaian telekomunikasi yang bersaing sengit dalam menyediakan perkhidmatan BlackBerry dengan kadar berpatutan, juga dengan kemunculan model-model terkini yang semakin elegan dan menarik. BlackBerry Storm misalnya kini dijangka mampu menyaingi kelebihan i-Phone 3G keluaran Apple yang menyediakan kemudahan interaktif menerusi teknologi skrin sentuh.
Dan jika dahulunya saya merupakan seorang yang naif dan kurang mesra dengan teknologi, kini saya mampu tersenyum kerana telah bisa berhubungan, mengemaskini blog, menyemak emel, melayari internet dan menyelenggara jadual seharian saya hanya dengan menggunakan sejenis telefon bimbit pintar bernama BlackBerry!
----------

*Artikel ini telah diterbitkan buat pertama kalinya di laman web www.jalantelawi.com

Ahad, April 19, 2009

Cabaran dan Arus Baru Perjuangan Mahasiswa

Semalam saya memenuhi undangan menyampaikan syarahan kepada barisan pimpinan mahasiswa sebuah kolej kemahiran teknikal di utara tanahair.
Saya meggariskan tiga aspek penting -- politik, ekonomi dan sosial -- yang seharusnya didepani dengan matang dan berani oleh aktivis gerakan mahasiswa masa kini.
Dalam mengupas tema politik, saya tegaskan keperluan gerakan mahasiswa agar kembali memisahkan diri dari dibayangi dan dimanipulasi oleh entiti-entiti politik. Tema baru politik nasional yang kini didominasi dengan isu-isu berkaitan demokrasi, hak asasi dan keadilan sosial seharusnya didukung dan diwacanakan secara lebih giat di kalangan rakan aktivis.
Polemik Dasar Ekonomi Baru (DEB) turut disinggung. Gesaan agar pimpinan mahasiswa memahami konsep sebenar DEB dan bahawasanya DEB bukanlah sebuah dasar yang abadi wajar diinsafi. Selain itu, persoalan turut dibangkit berkenaan krisis ekonomi global.
Seterusnya saya mencetuskan perdebatan tentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Rata-rata peserta giat mempertahan dan membantah dasar tersebut.
Akhir sekali, saya merumus kepentingan menguasai teknologi internet dan sumber maklumat juga proses pembudayaan ilmu yang seharusnya diperjuang oleh pimpinan mahasiswa. Juga kesedaran bahawa perpaduan kaum adalah suatu yang semestinya dipertahankan.
Dakyah dan sentimen perkauman perlu ditolak dan ayat ke-13 dari Surah Al-Hujurat wajar dihayati. Saya menutup syarahan dengan kisah Iblis dan Nabi Adam; betapa kesombongan Iblis akan asal kejadiannya dari api menyebabkannya diusir keluar dari syurga.
Maka saya tegaskan, seandainya kita mahu terus angkuh dengan sifat kebangsaan dan melaung-laung bahawa bangsa kita adalah 'tuan' dan lebih mulia dari bangsa-bangsa lain, maka bersedialah untuk menjejak Iblis di akhirat kelak!

Selasa, April 07, 2009

Dua Bukit

Tahniah rakyat!
Alangkah baiknya andai Dr. Mahathir Mohamad dan Ezam Mohd Noor turun berkempen di Batang Ai!
Terima kasih buat Utusan Malaysia, Berita Harian, NST dan TV3 kerana membantu rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau membuat pilihan yang tepat.
Maka, sang 'penderhaka' bakal membawa suara rakyat Bukit Gantang ke Parlimen kelak.

Selasa, Mac 31, 2009

Mengharap Umno Berubah?

Catatan ini ditulis dalam kabut. Kelam kabut.
Jujurnya saya mahu ulas tentang dapatan dari Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini secara panjang lebar namun kesibukan membatasi.
Pemilihan Khairy Jamaluddin sebagai ketua Pergerakan Pemuda yang baru amat saya alu-alukan. Begitu juga dengan kemenangan Muhyiddin Yassin, Ahmad Zahid Hamidi dan Shafie Apdal. Cuma saya kurang yakin dengan Hishammuddin Hussein.
Ramai mengharapkan Umno berubah. Pimpinan tertinggi menerusi syarah berapi Najib Razak menjanjikan perubahan. Saya cuba menaruh keyakinan tapi malangnya -- belum sempat saya resapi inti retorik Najib -- muncul pula ungkapan-ungkapan karut dari para perwakilan!
Masakan pimpinan atasan sektor awam dan institusi pengajian tinggi dipilih dari kalangan setiawan Umno! Ini usul karut. Ada juga yang melalut mencadangkan agar pegawai-pegawai kerajaan disaji dengan kursus penjiwaan Umno. Turut muncul ialah cadangan bebal dari seorang perwakilan Umno luar negara yang mendesak kerajaan menarik balik biasiswa pelajar-pelajar yang menyokong pembangkang. Apa dia fikir ibu bapa dia sahaja yang bayar cukai?!
Umno wajib berubah! Bukan sekadar pimpinan tertinggi, bahkan juga penggerak akar umbi. Dunia sudah jauh dipacu. Maka Umno wajar merenung diri kembali.
Harus diingat, kelak akan muncul enam juta pengundi baru. Anak muda. Belia yang jiwanya bentak.
Khairy punya tugas berat. Cukup berat. Kalau beliau berjaya raih dukungan anak muda, maka hayat Umno kelak panjang. Jika gagal, maka tunggulah detik untuk rebah!

Khamis, Mac 26, 2009

Kepimpinan Khairy: Cabaran Buat Anak Muda Pakatan Rakyat

Beberapa bulan lalu saya pernah menulis tentang kewajaran memilih Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam artikel bertajuk 'Khairy Wajar Terajui Pemuda UMNO?'.
Secara peribadi, saya cenderung melihat Khairy sebagai mewakili sosok progresif anak muda Melayu baik dari segi intelektual mahupun dari sudut penampilan. Semalam, perwakilan Pemuda UMNO telah melakukan keputusan yang tepat dengan memilih Khairy.
Sebagai anak muda yang menaruh harapan untuk melihat UMNO berubah, pemilihan Khairy sebagai peneraju Pemuda wajar diraikan. Sepanjang pemerhatian terhadap gerak kerja kempen tiga orang calon yang bertanding untuk kerusi Ketua Pemuda UMNO, Khairy menonjolkan gagasan yang lebih inklusif dan rasional berbanding dengan dua orang calon lain.
Pun demikian, para pendukung Pakatan Rakyat sewajarnya merasa bimbang dengan pemilihan Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO yang baru kerana kini mereka berhadapan dengan sosok anak muda yang berkarisma dan berpotensi.
Paksi pemuda Pakatan Rakyat seharusnya telah mulai bertindak memperbaiki imej dan gagasan mereka sedari sekarang dalam usaha memastikan kemampuan mereka menyaingi semangat baru Pergerakan Pemuda UMNO yang kini dipimpin nakhoda baru.

Selasa, Mac 10, 2009

Reformasi: Awal Pencerahan Seorang Anak Muda

Ledakan reformasi 1998 meninggalkan kesan yang tak sedikit buat ramai anak muda. Waktu itu saya dalam fasa peralihan kanak-kanak menjadi remaja dan minat yang mendalam terhadap buku mulai terbaja.
Peristiwa penyingkiran Anwar Ibrahim jujurnya tidaklah berapa menyentak saya, dalam ertikata lain – saya tidak berapa ambil peduli pergolakan politik waktu itu. Namun, tatkala menonton siaran-siaran berita di rangkaian televisyen nasional, jiwa saya cukup terkesan dan tersentap dengan pelbagai pertuduhan dan cercaan yang dilemparkan terhadap Anwar. Saya fikir ini tuduhan gila. Mana mungkin seorang bekas aktivis Islam mengamalkan homoseksual!
Selang beberapa ketika sebaik beliau dipecat – dengan meminjam semangat reformasi dari Indonesia – Anwar mengisytiharkan gerakan reformasi nasional dan memulakan road tour ceramah di beberapa buah negeri bagi membersihkan namanya dan menuntut Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan. Amat mengejutkan kerana gagasan yang dilontarkan beliau itu disahut rakyat terutamanya orang Melayu. Seperti bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meletup, ribuan warga hadir di majlis-majlis ceramah Anwar yang mana turut dibarisi oleh pendukung-pendukung setia beliau sewaktu dalam UMNO dulu.
Kemuncak awal permulaan gerakan reformasi seterusnya disaksikan pada petang 20 September 1998 di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Hampir 100 ribu warga tanpa mengenal latar kaum dan kelas berhimpun untuk mendengar ucapan ‘terakhir’ dari Anwar sebelum beliau ditahan oleh pihak polis pada sebelah malamnya.
Saya cukup teruja dan terpinga-pinga melihat perkembangan ini. Ah, mana mungkin rakyat Malaysia bisa jadi seberani ini! Mustahil reformasi ala Indonesia terealisasi di sini. Dengan tertangkapnya Anwar, saya menjangkakan gerakan reformasi akan musnah dan bakal ditalkinkan. Namun, apa yang pasti, congakan saya seakan-akan meleset!
Ketika itu, meja tamu di rumah dipenuhi dengan makalah-makalah politik dan slebaran-slebaran yang dibawa pulang oleh bapa saya. Akhbar Harakah yang suatu masa dahulu sekadar dibaca oleh aktivis PAS kini melonjak jualannya dan mulai dibaca secara terbuka oleh rakyat.
Di sekolah pula, sekumpulan pelajar berlatarbelakangkan keluarga ‘anti-Mahathir’ dengan beraninya memakai lencana dan tag yang tertera slogan ‘reformasi’, ‘keadilan’, ‘lawan tetap lawan’ dan ada juga yang terlalu berani dengan membalut buku-buku kerja mereka dengan poster wajah Anwar Ibrahim!
Persekitaran berjaya merubah saya. Dari seorang anak muda – yang memerhati dan sekadar menilai, saya mulai ikut berpartisipasi dalam arus perkembangan reformasi yang meletus. Seingat saya, beberapa bulan sebelum gegak reformasi, bapa saya sudah melanggani majalah Tamadun dan sering membawa pulang buku-buku politik semasa. Kecenderungan terhadap buku-buku bertema keanak-anakan lenyap dan saya mulai membina kematangan dengan menyelak makalah-makalah milik bapa. Kala itu, saya mulai serius mengikuti ulasan dan rencana-rencana politik antaranya yang ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman, Fathi Aris Omar, Rustam A. Sani dan Suria Janib.
Artikel Fathi Aris yang berjudul ‘Sepetang di Kampus Anwar’ (Tamadun, Oktober 1998) merupakan antara suntikan awal yang mengilhami saya terus bergelut dalam arus reformasi yang tercetus.
“Reformasi ini sebetulnya bukanlah sesuatu yang asing,” demikian tulis beliau. Apa yang terjadi ialah, ide dan gagasan dari pengalaman beliau mengikuti perkembangan gerakan reformasi di Indonesia, tidak berjaya dimanfaat dan diterjemahkan secara berani dan tersusun pada waktu itu. Dan Anwar hadir melanjutkan sentimen yang sedari awal telah wujud di kalangan beberapa orang penulis dan pemikir termasuk Fathi Aris.
Sentimen ini – meskipun selepas Anwar dipenjara –secara berterusan telah dibaja dan didukung oleh kalangan mereka yang yakin bahawa detiknya telah tiba buat negara untuk kembali diberikan nafas baru dan reformasi perlu terus diperjuangkan. Maka jalur-jalur pembaharuan mulai direncana melalui demonstrasi-demonstrasi jalanan yang diadakan hampir setiap hujung minggu dalam usaha meneruskan kelangsungan gagasan yang dicetuskan oleh Anwar.
Refomasi berjaya mewujudkan tingkat kesedaran baru dalam politik. Anak-anak muda yang sebelum ini hanya diam di bilik kuliah, kantor kerja dan studio jamming mulai berani berkumpul di warung-warung kopi dan berdebat isu-isu politik, sosial dan kebudayaan secara terbuka dan bebas. Suara-suara mereka menuntut perubahan juga kedengaran saban minggu di tepi-tepi jalan sekitar Kuala Lumpur. Ada antara mereka yang dipukul oleh polis, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan ada juga yang dipecat dari kampus.
Saya melihat elemen reformasi inilah yang perlu direnung semula. Reformasi bukan sekadar pertarungan politik Mahathir-Anwar semata-mata. Ianya turut menempiaskan kocakan spontan baik dari sudut politik, kebudayaan, agama, akademik dan ekonomi.
Tanpa sedar, reformasi membenihkan kelompok anak muda yang cuba lari dari tradisi dan memecahkan tabu ketidakmatangan melalui entiti dan jalur pemikiran mereka sendiri melalui kewujudan antaranya Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) dan Universiti Bangsar Utama (UBU). Perkumpulan yang didukung oleh anak-anak muda dari pelbagai latar kehidupan, agama, pemikiran dan ras ini aktif dalam mendukung kerencaman wacana dan senantiasa bergelut dengan ide-ide yang acapkali disalahtafsir oleh umum di sekeliling mereka.
Penggiat media yang selama ini terbelenggu dengan segala macam akta mengongkong juga ikut berkembang dan turut berpartisipasi dalam arus reformasi negara. Sekumpulan wartawan dan penulis antara lain bertindak menggerakkan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) sebagai satu platform untuk mereka bertindak secara solidariti terhadap sesuatu isu yang melibatkan kebebasan media. Kemunculan laman-laman web seperti Mahazalim, Mahafiraun dan Malaysiakini juga berjaya memecahkan hegemoni media yang selama ini dimonopoli sepenuhnya oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian. Akhbar-akhbar alternatif dan makalah-makalah politik turut berkembang dengan giat. Majalah Wasilah, Siasah, Detik dan akhbar Eksklusif merupakan antara yang mendapat tempat di pasaran media cetak. Isu-isu serta laporan-laporan yang digelapkan dan tidak dilaporkan oleh media arus perdana boleh diperolehi secara langsung oleh rakyat menerusi media alternatif ini.
Kesan reformasi terhadap institusi media negara jelas tampak melalui kemunculan laman-laman berita secara maya seperti laman Malaysiakini (kini muncul sebagai portal berita online paling berpengaruh di Malaysia), laman The Malaysian Insider (yang baru dibangunkan pada tahun 2008) dan juga laman blog Malaysia Today (dikendalikan oleh blogger terkenal, Raja Petra Kamarudin). Apa yang menarik, laman-laman berita di alam maya ini berjaya menggugat institusi politik parti pemerintah setelah hampir 10 tahun ianya dibaja. Tsunami politik 8 Mac 2008 jelas membuktikan bahawa rakyat semakin matang dan terdedah dengan pelbagai maklumat. Fenomena blog – yang pada mulanya dikesampingkan – mulai menguasai medan maklumat rakyat.
Sebagai remaja yang mendewasa di zaman reformasi, pastinya saya sendiri hanyut dan terkesan dengan impak yang muncul. Iltizam mendukung perubahan yang terbina sejak sekolah menengah dibawa sehingga saya menyambung pengajian di kampus. Keupayaan kewangan yang mulai kelihatan ‘sedap’ memungkinkan saya untuk membeli dan menikmati buku-buku yang baik dan berwibawa.
Secara kebetulan, di waktu itu kegiatan menghimpun dan membukukan catatan-catatan pengalaman para aktivis reformasi ini sedang rancak dilakukan. Fathi Aris tampil dengan Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi, Khalid Jaafar dengan Tumit Achilles, dan Rustam A. Sani menerbitkan catatannya dengan judul Menjelang Reformasi. Saya memiliki ke semua catatan tersebut (juga himpunan catatan yang tidak dinyatakan seperti yang dihasilkan oleh Dr. Syed Husin Ali, Hishamuddin Rais, Dr. Farish A. Noor dll.) dan menghadamnya dengan penuh asyik dan kagum.
Saya kira pemerhatian dan permenungan ke atas himpunan penulisan ini merupakan proses serius yang mempengaruhi kesedaran intelektual saya. Jika sebelum ini saya melandaskan diri dan aliran pemikiran dalam skop sebagai seorang aktivis dakwah di kampus; maka setelah menggali dan memahami tema-tema besar yang dicanai menerusi penulisan era reformasi, saya berjaya membebaskan diri dari apa yang boleh dipanggil ‘perangkap kesedaran’ yang selama ini membentuk pemikiran saya untuk bersikap autokratik dan menolak sebarang perbedaan pendapat.
Saya percaya bahawa saya tidak keseorangan dalam menemukan makna pencerahan ini. Period 10 tahun selepas reformasi berjaya merubah dan meninggalkan kesan yang tak sedikit buat lapisan baru generasi muda negara. Benar, reformasi berjaya menemukan saya dengan pencerahan. Namun tak bermakna ianya berakhir setakat itu. Reformasi akan selamanya mencerahkan. Dan saatnya pasti tiba untuk kita melihat ianya mencerahkan rakyat dan masa depan negara ini.
----------
*Artikel ini telah diterbitkan buat pertama kalinya di laman web www.jalantelawi.com

Ahad, Mac 08, 2009

Selamat Hari Rakyat!

Hari ini genap satu tahun Pakatan Rakyat meraih kejayaan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac tahun lalu.

Tanggal keramat 8 Mac semestinya akan dikenang sebagai hari keramat yang menyaksikan suara rakyat bergema mendukung gagasan perubahan melalui peti undi.

Buat semua yang mencipta dan mengukir nama dalam sejarah demokrasi negara sempena kejayaan 8 Mac 2008, ingatlah perjuangan ini masih belum berakhir.

Insha-Allah, semoga perubahan bakal jadi realiti di Malaysia. Buat semua, saya ucapkan Selamat Hari Rakyat!

Rabu, Mac 04, 2009

Sehari Sebelum 8 Mac

Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) akan mengadakan Himpunan Aman 100 Ribu di Istana Negara pada 7hb Mac 2009 jam 2 petang. GMP telah menetapkan tiga lokasi tempat berhimpun sebelum berarak ke Istana Negara seperti berikut:

1. Pusat Beli-belah SOGO
2. Pasar Seni (Central Market)
3. Masjid Negara

Tarikh: 7 Mac 2009 (Sabtu)
Masa: 2.00 petang

Nota: Warna tema GMP adalah ’putih’. Peserta digalakkan menggunakan baju putih yang melambangkan pembersihan terhadap PPSMI.

Bagi memudahkan perjalanan perhimpunan ini, maka semua peserta digalakkan menggunakan kenderaan awam untuk hadir. Peserta dikehendaki berada di lokasi yang telah ditetapkan pada jam 2 petang. Kawalan keselamatan akan dibantu oleh pihak polis dan Unit Amal seluruh negara. Permit telah dipohon kepada Y.Bhg Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara.

Peserta adalah dilarang sama sekali membawa barang-barang yang berbahaya seperti senjata, peralatan tajam dan lain-lain lagi. Sebarang simbol parti juga tidak dibenarkan.

Pimpinan yang akan turut sama dalam himpunan ini adalah Dato’ A.Samad Said, Dato’ Dr Hassan Ahmad, Dr Shaharil Mohamad Zain, Prof Emeritus Abdullah Hasaan, Prof Emeritus Dato’ Nik Safiah Karim, Y.B Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Y.B Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, Y.B Lim Kit Siang dan ramai lagi.

GMP juga telah mendapat sokongan terkini daripada Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa & Guru Nasional (PIBGN) yang mempunyai 8000 persatuan PIBG di seluruh negara.

Pihak Suara Rakyat Malaysia(SUARAM) yang mempunyai 25 buah persatuan gabungan juga telah turut sama menyokong GMP. Sehubungan itu pihak GMP telah selesai mengadakan siri jelajah seluruh negara dan mendapat sambutan yang begitu mengalakkan. GMP penuh berkeyakinan bahawa 100 ribu rakyat Malaysia akan berkumpul di hadapan Istana Negara seperti yang telah dirancang.

HASNI ABAS
Setiausaha,
Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP)

Selasa, Mac 03, 2009

Sidang Bawah Pokok

Maka Sidang Tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pagi tadi sebulat suara bersetuju menyokong penuh kepimpinan Ir. Mohd Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar dan juga bersetuju agar DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihanraya negeri yang baru.
Sidang DUN yang diadakan di bawah sebatang pokok ini sememangnya mengukir sejarah tersendiri. Parameswara membina Melaka bermula dari bawah pokok. Begitu juga Ipoh mendapat nama dari sebatang pokok.
Dan kerajaan Pasir Dua Butir yang digugat oleh Laksamana Fa So La juga bertahan di bawah pokok sebelum tiga orang laksamana iaitu Do, Re dan Mi berjaya membunuhnya.
Maka sejarah negeri Perak akan bertambah menarik sebermula hari ini gara-gara satu sidang di bawah pokok.

Isnin, Mac 02, 2009

Pengiktirafan Buat M. Nasir

"Seorang Melayu tidak akan sempurna kemelayuannya tanpa dia memahami karya-karya dan falsafah yang dicetuskan oleh M. Nasir."
-Najwan Halimi, 1 Mac 2009

Jumaat, Februari 13, 2009

AKU

Chairil Anwar takkan mungkin dipinggir dari menjadi subjek dalam pengajian bahasa dan sastera di Indonesia. Sehingga saat ini, puisi dan sajak-sajak beliau kekal segar dan tak lapuk meski dunia sastera nusantara kebanjiran penyajak-penyajak baru yang berinspirasi.
Saya mengambil masa hampir dua bulan untuk menghabiskan AKU, nashkah skrip karya Sjuman Djaya yang asalnya direncana untuk diangkat ke layar perak. Ianya berkisar tentang perjalanan hidup Chairil Anwar, penyair revolusioner Indonesia yang ghairah membangkit semangat perjuangan kemerdekaan republik itu sekitar tahun 1940-an.
Sepanjang ingatan, Chairil Anwar mulai saya kenal sewaktu fenomena filem Ada Apa Dengan Cinta melanda Malaysia lebih lima tahun yang lalu. Sosok Rangga (lakonan Nicholas Saputra), pria kesepian yang sering mengepit buku dan memencilkan diri dari khalayak kampus merupakan momen awal saya berkenalan dengan Chairil Anwar.
Tema percintaan yang diangkat dalam filem itu memaparkan karya AKU sebagai peresah jiwa Cinta (lakonan Dian Sastrowardoyo) saat dia menemukan sayangnya pada Rangga. Perjalanan hidup Chairil, sang anarkis yang puitis sememangnya getir dan penuh keterujaan.
Narasi-narasi yang melintasi jiwa beliau diangkat dengan penuh unik oleh Sjuman menerusi buku ini. Hasrat Sjuman untuk mewariskan Chairil Anwar menerusi filem tak punya kesempatan untuk direalisasi. Apa yang pasti, nashkah AKU ini sememangnya cukup menyegarkan dan mampu menerbangkan khalayak pembaca -- berimaginasi -- dalam menelusuri kehidupan penyair agung Indonesia, Chairil Anwar.

Ahad, Februari 08, 2009

Fahami Konsep Raja Berperlembagaan

Sepanjang penelitian saya, realitinya masih ramai yang kurang faham isu pokok polemik politik yang mewarnai kepimpinan negeri Perak waktu ini.
Ungkapan "mohon derhaka" yang dinukil oleh Menteri Besar Perak, Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin tidak dimengerti dengan jujur oleh para pencemuh.
Tindakan menuding Anwar Ibrahim sebagai punca yang memulakan aksi melompat parti juga dilihat lemah dan tidak berasas. Barangkali ramai yang lupa bagaimana Anwar memohon Perdana Menteri Abdullah Badawi agar memanggil sidang khas Parlimen untuk dibentangkan usul undi tidak percaya atas kepimpinan Abdullah, namun dipandang sepi oleh presiden UMNO itu.
Apa yang pasti, krisis politik yang melanda Perak waktu ini pastinya membuka ruang wacana baru dalam membentuk dinamisme pemikiran umat Melayu.
Seharusnya dibedakan antara institusi beraja dan sosok seorang raja. Kesultanan dan Sultan merupakan dua entiti yang berlainan. Konsep kekuasaan Raja-raja hari ini tidak sama dengan zaman kesultanan Melayu klasik pra-Merdeka di mana kekuasaan mereka adalah mutlak pada waktu itu.
Maka wajarlah difahami bahawa Malaysia pada hari ini secara jelas mendukung konsep Raja Berperlembagaan yang mana para raja turut dibatasi oleh undang-undang dan peraturan.

Jumaat, Februari 06, 2009

Bangkit Rakyat, Bangkit!

Saya mendoakan keselamatan dan kejayaan buat rakyat Perak yang kini sedang bergelut mempertahankan hak dan maruah mereka yang diinjak. Semoga Allah memberkati kalian.
Bangkit rakyat, bangkit!

Khamis, Februari 05, 2009

MB Baru Perak Dijangka Angkat Sumpah Malam Ini

5.52 petang: Perdana Menteri tiba di Istana Kinta, Ipoh jam 5.50 petang, dipercayai untuk majlis angkat sumpah menteri besar baru dan pembentukan kerajaan baru BN. -Malaysiakini
----
5.01 petang: Perdana Menteri dijangka tiba di Istana Kinta, Ipoh tidak lama lagi, dipercayai untuk majlis angkat sumpah menteri besar baru. Timbalan Perdana Menteri dan barisan wakil rakyat BN dilaporkan sudah berada di istana berkenaan. -Malaysiakini
----
4.55 petang: Polis telah mengepung bangunan pentadbiran kerajaan Perak, dan mengarahkan semua exco Pakatan Rakyat serta para pembantu mereka meninggalkan bangunan tersebut. -Malaysiakini
----
4.50 petang: Kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat menyokong penuh Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar dan meminta supaya pilihanraya baru diadakan untuk mengesahkan mandat baru dari Rakyat. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka akan memohon untuk menghadap Sultan Perak berhubung isu tersebut.Setakat ini, semua pimpinan tertinggi Pakatan berkubu di kediaman menteri besar, dengan harapan semakin ramai penyokong hadir menyatakan sokongan padu kepada Mohamad Nizar.Pakatan juga akan menganjurkan satu perhimpunan besar di Stadium Ipoh malam ini. -Malaysiakini

Rabu, Februari 04, 2009

Kuasa

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki."
(Ali Imran: 26)

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak Lumpuh?

TERKINI: "Kerajaan Perak di bawah Pakatan Rakyat tumbang!" demikian menurut TPM Najib Razak yang akan segera menemui DYMM Sultan Perak bagi memaklumkan akan hal terbabit. - Malaysiakini
----
5.14 petang: TPM Najib Razak mengumumkan kemasukan empat Adun Pakatan Rakyat (3 dari PKR, 1 dari DAP) ke dalam BN. Secara teknikalnya, BN kini menguasai majoriti kerusi dalam DUN Negeri Perak.
----
4.46 petang: Empat Adun Perak kini berada di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di sini, dipercayai bagi mengumumkan pendirian mereka menyertai Barisan Nasional (BN). Mereka ialah Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi; Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu; Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim; dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong, dari DAP.
----
4.09 petang: Difahamkan DYMM Sultan Perak sudah memperkenankan pembubaran DUN Perak sebentar tadi. (Maklumat belum disahihkan)
----
4.02 petang: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu akan menyertai Umno. Menurut The Star, kedua-duanya kini dalam perjalanan ke Putrajaya.
Manakala MStar melaporkan Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim kembali semula ke pangkuan Umno.
----
3.52 petang: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dijangka akan dibubarkan dalam masa terdekat jika Sultan memberikan perkenan kepada kerajaan Pakatan Rakyat itu untuk memanggil pilihanraya negeri secara mengejut.
Difahamkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin berusaha menghadap Sultan Azlan Shah untuk memaklumkan keputusan itu selepas tiga wakil rakyat kerajaan negeri itu berpaling tadah.
Sementara beberapa lagi Adun kerajaan campuran itu didesas-desuskan akan meninggalkannya.Mohd Nizar kelihatan masuk Istana Kinta di Ipoh jam 3.50 petang untuk menghadap Sultan Perak.
----
3.29 petang: Kerajaan Pakatan Rakyat Perak kini hanya memiliki 29 kerusi DUN setelah tiga orang Adun (2 PKR, 1 DAP) telah mengumumkan untuk menjadi calon bebas.
Difahamkan MB Nizar Jamaluddin sedang mengadap DYMM Sultan Perak bagi memohon perkenan untuk membubarkan DUN.
Dalam perkembangan lain, TPM Najib Razak dijangka akan mengadakan sidang media pada jam 4 petang ini bagi mengumumkan pembentukan kerajaan negeri Perak yang baru. Kemungkinan tiga Adun bebas yang keluar dari Pakatan Rakyat akan menyertai BN.
Terkini, Dato' Nasharuddin Hashim, Adun Bota yang menyertai PKR minggu lalu dilaporkan telah 'diculik' dalam perjalanan ke Ipoh dan kini dibawa ke Putrajaya untuk mengumumkan penyertaan kembali ke dalam UMNO.

Selasa, Februari 03, 2009

Babad Israel 7

Setelah kelahiran Yusuf, Yaakub memutuskan untuk kembali ke tanah kelahirannya di Kanaan. Laban berkeras dengan keputusan tersebut memandangkan rezekinya cukup mewah dan berhasil dengan adanya Yaakub.
Laban menawarkan Yaakub bayaran asal saja beliau bersetuju untuk terus tinggal di Haran dan menyambung khidmat bersamanya, namun demikian Yaakub menolak lantas menawarkan ideanya sendiri.
Yaakub mencadangkan kepada Laban supaya mengasingkan semua ternakan kambing dan bebiri yang bertompok, berbelang dan berwarna dari kawanan ternakan sedia ada; yang mana selepas daripada saat itu, kambing dan bebiri yang dilahirkan merupakan upah (hak milik) kepada Yaakub.
Selepas mendapat persetujuan dari Laban, maka Yaakub pun mengasingkan kambing-kambing jantan yang bertompok dan berbelang dan semua yang mempunyai warna putih pada badannya, serta semua yang hitam di antara ternakan tersebut lalu diserahkan kesemuanya kepada anak-anaknya untuk dijaga.
Sesudah itu, penentuan jarak tiga hari perjalanan telah dilakukan oleh Laban antara dia dan Yaakub, maka Yaakub pun mulai menggembalakan kambing-kambingnya yang tinggal itu.
Yaakub kemudiannya mengambil dahan-dahan dari pohon hawar, pohon badam dan pohon berangan, dikupasnyalah dahan-dahan itu sehingga berbelang-belang, sehingga kelihatan isinya yang putih. Beliau meletakkan dahan-dahan yang dikupasnya itu ke dalam tempat minum, di mana kambing-kambing itu datang minum.
Maka dikatakan semua kambing-kambing itu suka berkelamin sewaktu minum. Sekiranya kambing-kambing itu berkelamin berdekatan dengan dahan-dahan yang diletakkan oleh Yaakub, maka anak yang akan dilahirkan keluar bertompok-tompok, berbintik-bintik dan berbelang-belang.
Yaakub kemudiannya mengasingkan ternakan miliknya jauh dari ternakan milik Laban. Manakala setiap kali kambing yang kuat dan sihat mulai berkelamin, Yaakub akan meletakkan dahan-dahan yang dikupasnya itu di dalam tempat minum di hadapan kambing yang sedang berkelamin itu supaya kambing-kambing ini berkelamin berdekatan dengan dahan-dahan tersebut.
Namun, bila mana datang kambing-kambing yang lemah untuk berkelamin, Yaakub tidak meletakkan dahan-dahan itu ke dalamnya. Maka ternakan yang lemah secara tak langsung akan menjadi milik Laban dan yang kuat akan dimiliki oleh Yaakub. Dari itu, jumlah ternakan Yaakub semakin bertambah dan beliau menjadi semakin kaya.

Isnin, Januari 26, 2009

Selamat Pengantin Baru, Pak Din!

Saya sempat menghubungi Pak Din (Merican) untuk menzahirkan ucapan tahniah atas pernikahan beliau dengan seorang pakar pergigian semalam.

Alhamdulillah, selepas hampir 12 tahun menduda, Pak Din akhirnya menemui pengganti sebagai suri hidup beliau yang baru.

Didoakan beliau dan isteri, Dr. Kamsiah Haider beroleh keberkatan dan kebahagiaan berkekalan, insha-Allah!

Ahad, Januari 25, 2009

Uniknya Singapura!

Saya menulis catitan ini dari Masjid Sultan, North Bridge Road, Singapura selepas selesai menunaikan solat jamak Asar-Zuhur.

Masjid bersejarah yang menghubungkan Arab Road, Muscat Road dan North Bridge Road ini diurus dengan begitu baik oleh komuniti Muslim tempatan.

Pertama kali saya ke kota Singa, nyata kemajuan yang dicapai bukan omongan kosong. Sejenak di Pulau Sentosa pagi tadi, saya kagum dengan pencapaian industri pelancongan dan rekreasi yang cukup menggamit.

Projek pembinaan pusat kasino (dikatakan bakal menjadi yang terbesar di Asia Tenggara) di Pulau Sentosa yang dijangka siap menjelang tahun 2010 saya kira bakal menggugat pengaruh Hong Kong dan Genting Highlands kelak.

Sekalung terima kasih buat saudara Ariff yang berbesar hati menawarkan dukungan tatkala saya tiba di Singapura. Maaf kerana tak punya kelapangan untuk berhubung. Insha-Allah, jika saya ke Kota Singa lagi, bisa diatur untuk ketemu!

Khamis, Januari 22, 2009

Babad Israel 6

Sepanjang perkahwinan, Yaakub terlalu mencintai Rahil dan seringkali menyisihkan Leah.
Namun, keadilan Tuhan menyempurnakan kewanitaan Leah dengan mengurniakan kepadanya empat orang putera yang diberi nama Ruben, Simeon, Lewi dan Yahuda. Ini mengundang rasa cemburu Rahil.
"Berikanlah aku anak!" Rahil mendesak Yaakub.
Yaakub langsung berang dan memarahi Rahil, "Apakah aku ini Tuhan yang mampu menghalang kau dari hamil?"
Demi memuaskan hatinya, Rahil menyuruh Yaakub menikahi hamba sahaya miliknya yang bernama Bilhah dalam usaha untuk mendapatkan anak. Melalui perkahwinannya dengan Bilhah, Yaakub dikurniakan dengan dua orang putera yang dinamakan Dan dan Naftali. Rahil puas kerana akhirnya beliau turut memiliki anak untuk dibelai dan dimanjai.
Melihatkan keadaan ini, timbul pula rasa cemburu dalam diri Leah. Kegagalannya untuk hamil kembali memaksa dirinya menyuruh agar Yaakub menikahi hamba sahaya miliknya yang bernama Zilpah. Menerusi perkahwinan ini, Yaakub dikurniakan dengan dua orang putera yang dinamakan Gad dan Asher.
Suatu hari -- dalam musim menuai gandum -- tatkala Ruben sedang berjalan-jalan, ditemui akan dia buah mandrake (buah dudaim; seakan-akan kentang atau epal yang berwarna jingga) lalu diserahkan kepada ibunya, Leah. Secara kebetulan, Rahil amat mengidam untuk menikmati buah tersebut lantas mendesak agar Leah memberikan buah itu kepadanya dengan menawarkan harga "semalam bersama Yaakub" sebagai bayaran. Leah bersetuju dan pada malamnya beliau menemui Yaakub menyatakan perjanjiannya dengan Rahil.
Tidak berapa lama kemudian, Leah hamil lagi untuk beberapa kali dan dikurniakan dua orang putera yang diberi nama Isakhar dan Zebulun. Leah turut melahirkan seorang puteri bernama Dina tidak lama selepas itu.
Hasrat Rahil untuk mendapatkan zuriat dari rahimnya sendiri termakbul juga akhirnya. Beliau hamil dan melahirkan seorang bayi lelaki yang diberi nama Yusuf.
"Mudah-mudahan Tuhan mengurniakan aku seorang lagi putera," doa Rahil.

Selasa, Januari 20, 2009

Babad Israel 5

Maka berakhirlah tempoh tujuh tahun.
Dan sebagaimana yang telah dipersetujui, Yaakub menemui pamannya, Laban untuk memohon izin menikahi Rahil. Laban bersetuju dan majlis perkahwinan dilangsungkan.
Sewaktu malam menjelang, Laban mengirimkan Leah (yang dilitupi jilbab seluruh badan) kepada Yaakub. Keesokan paginya -- sebaik tersedar dari tidur -- Yaakub terkejut kerana melihat yang berada di sisinya bukanlah Rahil, tetapi Leah. Beliau berang dan langsung menuju ke rumah Laban, menagih janji yang telah dipersetujui tujuh tahun yang lalu.
"Apa yang telah kau perbuat kepadaku? Bukankah aku bekerja untukmu demi mendapatkan Rahil? Mengapa kau memperdaya aku?!" bentak Yaakub.
Laban menjelaskan bahawa adalah menyalahi adat tempatan seandainya seorang adik bernikah lebih dahulu daripada kakaknya.
"Genapkanlah tujuh hari perkahwinanmu dengan anakku ini; kemudian anakku yang lain pun akan kuberikan kepadamu sebagai upah, asal saja kau bekerja denganku untuk tempoh tujuh tahun lagi," tawar Laban.
Yaakub bersetuju. Maka sesudah genap tujuh hari pernikahannya dengan Leah, Laban menunaikan janjinya dengan menyerahkan Rahil kepada Yaakub untuk dinikahi.
Maka Yaakub menyambung khidmatnya untuk tempoh tujuh tahun lagi.

Khamis, Januari 15, 2009

Babad Israel 4

Tatkala menuju Haran, Yaakub tiba di sebuah telaga dan bertemu sekumpulan pengembala yang sedang berkumpul untuk memberi minum kepada kambing-kambing gembalaan mereka. Yaakub bertanyakan asal mereka dan para pengembala ini menerangkan yang mereka berasal dari daerah Haran.
Yaakub kemudiannya bertanyakan tentang bapa saudaranya Laban. Mereka semua amat mengenalinya dan menyatakan bahawa beliau berada dalam keadaan sihat sejahtera. Ketika itu, anak dara Laban, Rahil tiba dengan kambing-kambing gembalaannya untuk diberi minum.
"Hari masih lagi siang (tengah hari) dan masih belum waktunya untuk mengumpulkan ternakan, justeru berilah minum kambing-kambing itu, dan berikanlah mereka makan," ujar Yaakub kepada para pengembala yang berkumpul.
"Saudara, kami tidak dapat melakukan itu semua selagi mana semua ternakan kami tidak berkumpul. Ini kerana kami terpaksa mengalihkan batu besar yang menutupi mulut perigi ini dan selepas itu barulah kami boleh memberi kambing-kambing ini minum," demikian kata para pengembala.
Manakala Yaakub dan para pengembala sedang berbicara, Rahil menghampiri telaga itu dengan kambing-kambing gembalaan milik bapanya. Tatkala melihat Rahil, Yaakub membantu mengalihkan batu besar yang menutupi telaga itu dengan sekuat dayanya.
Usai memberikan kambing-kambing Rahil minum, Yaakub menyatakan bahawa dirinya merupakan anak saudara kepada Laban dari sebelah adiknya, Rubaikah. Mendengarkan hal itu, Rahil lantas bergegas ke rumah untuk memaklumkan bapanya akan kedatangan Yaakub.
Laban begitu berbesar hati menyambut Yaakub. Mereka bertukar-tukar cerita tentang pelbagai hal. Sehinggalah genap sebulan Yaakub tinggal di rumanhya, Laban tampil menyatakan hasratnya untuk menjemput Yaakub bekerja untuknya yakni menguruskan ternakan milik beliau. Ditanya ia akan apakah bentuk upah yang dirasakan wajar dibayar kepada Yaakub.
Adalah diriwayatkan bahawa Laban memiliki dua orang puteri. Leah, anaknya yang sulung memiliki rupa paras yang kurang menarik, berbeda dengan adiknya Rahil yang lebih menawan dan lincah.
Yaakub, yang sedari awal -- sejak pertama kali bertemu di telaga -- telah jatuh cinta dengan Rahil menawarkan khidmatnya kepada Laban selama tujuh tahun dengan ganjaran agar dapat memperisterikan Rahil. Persetujuan dicapai dengan Laban asal saja Yaakub sedia tinggal dan berkhidmat dengannya.
Maka untuk tempoh tujuh tahun seterusnya, Yaakub bekerja membantu Laban.

Rabu, Januari 14, 2009

Babad Israel 3

Dalam perjalanan ke Haran, Yaakub berhenti berehat di sebuah kawasan berbatu tatkala matahari sudah terbenam. Manakala terlena, beliau bermimpi melihat sebuah tangga yang hujungnya mencecah ke langit, sambil menyaksikan para malaikat naik turun melalui tangga itu.
Lalu, Tuhan muncul disampingnya seraya berfirman:
"Akulah Tuhan, Tuhan datukmu Ibrahim, dan Tuhan Ishaq; akan Ku-kurniakan tanah tempat kau berbaring ini kepada keturunanmu.
Keturunanmu akan menjadi umpama debu tanah banyaknya, dan akan berkembang ke sebelah timur, barat, utara dan selatan, dan olehmu serta keturunanmu semua kaum di muka bumi akan mendapat keberkatan.
Sesungguhnya Aku bersamamu dan Aku akan melindungimu, ke manapun kau pergi, dan Aku akan membawamu kembali ke negeri ini, kerana Aku tidak akan meninggalkanmu, melainkan Aku telah menunaikan apa yang Ku-janjikan kepadamu."
Yaakub bingkas bangkit dari tidurnya, "Sesungguhnya Tuhan ada di tempat ini, dan aku tidak menyedarinya. Ini tempat yang suci. Ini tidak lain dari rumah Tuhan, pintu gerbang syurga."
Keesokan paginya, sebelum meneruskan perjalanan ke Haran, Yaakub mengambil batu yang digunakannya sebagai alas kepala untuk tidur semalam dan mendirikannya sebagai sebuah tugu lalu menuang minyak ke atasnya. Dinamakan tempat itu Bethel (rumah Tuhan) sambil melafazkan nazar:
"Seandainya Tuhan akan menemani dan melindungi aku sepanjang perjalanan yang kuharungi ini, mengurniakan kepadaku roti untuk dimakan dan pakaian untuk dipakai, sehingga aku selamat kembali ke rumah ayahku, maka akan kuakui Tuhan ini sebagai sembahanku. Dan batu yang kudirikan sebagai tugu ini akan menjadi rumah Tuhan, dan dari segala sesuatu yang Engkau kurniakan kepadaku, aku mempersembahkan se-persepuluh daripadanya kepada-Mu."
Dan Yaakub menyambung perjalanannya ke Haran.

Selasa, Januari 13, 2009

Keturah, Ibu Melayu

Dalam Kitab Perjanjian Lama ada dibabadkan perihal Keturah yakni wanita yang dinikahi oleh Ibrahim selepas kematian Sarah. Menerusi perkahwinan tersebut, Keturah melahirkan enam orang putera iaitu Zimran, Jokshan, Medan, Midian, Ishbak dan Shuah.
Menurut riwayat Ibnu Athir dalam kitabnya, Al-Kamil fil Tarikh, umat Nusantara termasuk Melayu bersalasilah secara terus dengan Ibrahim melalui zuriatnya dengan Keturah ini.
Mengikut catatan Ibnu Yusof dalam kitab Permata Yang Hilang (yang saya curi-curi baca sewaktu berusia 12 tahun), ada kemungkinan juga bahawa nama Melayu itu berasal dari perkataan Malai-Ur sempena nama kerajaan Chaldea tempat asal Ibrahim. Ada juga pendapat menyatakan bahawa Melayu berasal dari perkataan Malai dan Yunan.
Orang Melayu dikenali sebagai Orang Malai oleh beberapa bangsa lain tapi orang Arab cenderung memanggil orang Melayu sebagai Bani Jawi. Orang Malai (orang bukit atau gunung) ini mungkin telah mendiami Kemboja sebelum kedatangan Ibrahim ke situ, dan hampir pasti Keturah adalah orang Malai.
Apa maknanya semua ini?
Maksudnya, Melayu, Arab dan Yahudi itu bersaudara – dari asal yang sama.

Isnin, Januari 12, 2009

Babad Israel 2

Tatkala usianya meningkat tua dan matanya menjadi buta, Ishaq memutuskan untuk mewariskan kerestuannya kepada Esau, puteranya yang sulung. Beliau lantas menyuruh Esau keluar berburu dan menyediakan hidangan daripada hasil perburuan itu untuk dinikmatinya seterusnya merestui Esau sebelum ajal datang menjemput.
Manakala Rubaikah, isteri Ishaq mendengar akan hal tersebut terus nekad untuk menggagalkannya. Hajat sang ibu adalah untuk melihat putera kesayangannya, Yaakub yang menerima restu itu. Keyakinan Rubaikah sebetulnya lebih didasari kepada ilham yang diterimanya sewaktu menghamili kedua-dua orang putera tersebut yang menyatakan bahawa "putera yang lebih tua akan tunduk dan berkhidmat kepada putera yang muda". Lantaran itu, Rubaikah menyuruh Yaakub -- tanpa lengah -- agar segera mendapatkan dua ekor kambing untuk dikurbankan seterusnya dimasak sebagai hidangan yang menjadi kegemaran Ishaq.
Awalnya, Yaakub membantah hasrat ibunya itu dengan anggapan bahawa Ishaq pasti akan menyedari penipuan yang cuba direncana oleh mereka berdua. Ini kerana, Esau memiliki karakter fizikal yang dipenuhi dengan bulu-bulu yang tebal dan Yaakub pula berkulit halus dan licin. Yaakub juga bimbang seandainya perancangan ini gagal dan kelak beliau akan dilaknati oleh bapanya sendiri. Keengganan Yaakub dibantah Rubaikah. Tegas ibunya itu, beliau akan bertanggungjawab sepenuhnya dan merelakan dirinya dilaknati oleh Ishaq seandainya perencanaan mereka tidak berjaya. Maka sebelum beliau menemani Yaakub bertemu dengan Ishaq, dipakaikan Yaakub akan jubah milik Esau seterusnya menampal bahagian leher dan tangan putera kesayangannya itu dengan kulit kambing yang berbulu.
Usai penyamaran, Yaakub masuk ke bilik bapanya. Ishaq (dengan sangkaan bahawa yang datang itu Esau) terkejut dan bertanya kenapa terlalu cepat anaknya itu pulang dari berburu walhal lazimnya perburuan akan mengambil masa yang panjang. Jawab Yaakub, "Ketentuan Tuhan yang mengaturnya buat saya." Ishaq tambah curiga memandangkan Esau tidak pernah menggunakan nama Tuhan dalam bicaranya.
"Mampir ke mari anakku," pinta Ishaq sambil meraba-raba tangan dan leher Yaakub.
Kulit kambing yang dibalut pada tangan dan leher Yaakub itu dirasakannya seakan-akan kulit Esau. Ishaq bertambah keliru.
"Suaramu umpama suara Yaakub tetapi tanganmu seperti tangan Esau."
Ishaq masih buntu dan bertanya lagi bertujuan menguji, "Kau anakku, Esau?" dan Yaakub menjawab ringkas, "Ya, saya" (bermakna, "Ya, saya," bukan,"Ya, saya Esau"). Yakin bahawa di depannya itu Esau, Ishaq meminta untuk menjamah hidangan yang dibawa kepadanya dan kemudiannya memberkati Yaakub.
"Semoga Tuham memberikan kepadamu embun dari langit, dan membuat ladang-ladangmu subur. Semoga Dia memberikan kepadamu gandum dan anggur berlimpah-ruah. Semoga bangsa-bangsa menjadi hambamu, dan suku-suku bangsa tunduk kepadamu. Semoga engkau menguasai semua sanak saudaramu, dan keturunan ibumu sujud di hadapanmu. Semoga terkutuklah semua orang yang mengutuk engkau dan diberkatilah semua orang yang memberkati engkau," demikian Ishaq merestui Yaakub.
Sebaik saja Yaakub beredar, beberapa ketika kemudian Esau tiba untuk memohon restu sambil membawakan hidangan hasil daripada perburuannya untuk dijamu kepada Ishaq. Esau terkejut setelah dimaklumkan oleh bapanya bahawa restu telah diberikan. Ishaq tersentak tatkala menyedari bahawa dirinya telah ditipu, pun demikian beliau tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana menurut tradisi, kerestuan hanya boleh dikurniakan sekali sahaja untuk seorang anak. Esau teramat kecewa dek penipuan tersebut dan merayu bapanya agar beliau turut direstui dan diberkati.
Dengan penuh kesal, Ishaq berpesan kepada Esau, "Tidak akan ada embun dari langit bagimu, tidak akan ada ladang yang subur untukmu. Kau akan hidup dari hasil pedangmu, pun demikian, kau menjadi hamba kepada adikmu, namun bilamana kau memberontak, maka kau akan lepas dari kekuasaannya."
Kebencian terhadap Yaakub mulai merajai jiwa Esau tatkala mengenangkan dirinya telah dua kali diperdaya oleh adiknya itu. Setelah termakan helah Yaakub tatkala menjual hak perwarisannya sebagai bayaran untuk semangkuk sup kacang, kali ini Yaakub dengan licik berjaya mendapatkan restu dan berkat -- yang sepatutnya menjadi milik beliau -- dari ayahnya pula.
Esau -- umpama Qabil -- bersumpah akan menamatkan riwayat adiknya itu sebaik sahaja Ishaq wafat. Namun demikian, Tuhan mengilhami Rubaikah akan niat jahatnya itu dan sang ibu kemudiannya mengarahkan Yaakub agar keluar meninggalkan rumah dan berangkat ke sebuah daerah bernama Haran dan tinggal di rumah bapa saudaranya (abang kepada Rubaikah), Laban sehinggalah kemarahan Esau reda.
Rubaikah meyakinkan Ishaq tentang tujuan pemergian Yaakub atas alasan kononnya bimbang putera kesayangannya itu akan menikahi gadis tempatan dari Kanaan yang menyembah berhala (sebagaimana yang dilakukan oleh Esau). Ishaq bersetuju dengan saranan Rubaikah dan menyuruh Yaakub menikahi salah seorang anak gadis bapa saudaranya, Laban.
Lantaran menyedari bahawa bapanya tidak menyukai isteri beliau (yang merupakan gadis Kanaan), Esau menikahi sepupunya, Mahalat iaitu puteri kepada Ismail.

Jumaat, Januari 09, 2009

Babad Israel

Israel, menurut babad dari Kitab Perjanjian Lama merupakan gelar kepada Yaakub, moyang ketiga Bani Israel mengikut tradisi Yahudi. Bapa beliau ialah Ishaq dan ibunya bernama Rubaikah. Yaakub merupakan cucu kepada Ibrahim dan Sarah.
Menurut riwayat, putera-puteri Yaakub berjumlah 13 orang -- dari empat orang isteri -- yang mana 12 orang putera beliau kemudiannya menjadi pengasas kepada legasi kepuakan Yahudi yang utama. Salah seorang putera beliau -- yang paling kacak -- bernama Yusuf.
Yaakub dilahirkan dengan seorang kembar bernama Esau tatkala Ishaq sudah menjengah usia 60 tahun.
Adalah dikisahkan, sewaktu Rubaikah sedang mengandungkan Yaakub dan Esau, beliau sering mengalami kesakitan dan lazimnya akan berdoa memohon perlindungan dari Tuhan. Ketika mana telah sampai saat bersalin, Esau dilahirkan dahulu, kemudiannya disusuli Yaakub. Menurut riwayat, selepas Esau diperanakkan, Yaakub pula keluar dari rahim ibunya dengan tangannya kelihatan menarik kaki Esau.
Esau -- tatkala kelahiran -- telah mulai mempamerkan sifat fizikal persis lelaki matang dengan bulu dan rambut yang lebat di seluruh badannya. Perwatakan kedua-dua kembar ini nyata sekali berbeda. Esau seorang yang aktif, suka berburu dan gemar melakukan aktiviti lasak manakala Yaakub pula seorang yang tenang dan lebih gemar berehat. Ishaq amat menyayangi Esau kerana ketangkasannya dalam berburu. Yaakub pula cukup dikasihi oleh ibunya, Rubaikah.
Adalah dikisahkan, sewaktu Ibrahim wafat, Yaakub merebus sejenis kacang (seakan-akan dal) untuk dimakan oleh Ishaq sebagai tradisi tanda berkabung atas kewafatan Ibrahim. Sekembalinya dari berburu, Esau yang sedang kelaparan merayu Yaakub agar memberikannya sedikit rebusan kacang tersebut. Yaakub dengan penuh helah meminta Esau menukarkan hak perwarisannya (hak sebagai anak pertama) sebagai ganti kepada rebusan kacang yang dimasaknya. Dalam keadaan terdesak dan tanpa fikir panjang, Esau bersetuju.

Jumaat, Januari 02, 2009

Dalam Diam

Aku berharap
dalam diam

Aku berdoa
dalam diam

Aku teriak
dalam diam

Ada yang kepal genggam tangan
Menumbuk angin

Ada yang laung gema sumpahan
Menyeru dingin

Lega
Aku, mereka lega

Dan Gaza?
Darah masih tumpah
Luka terus nanah
Rebah, musnah

Khamis, Januari 01, 2009

Selamat Meraikan 2009!

Saya menyambut kedatangan 2009 dengan penuh harapan. Alhamdulillah, 2008 berlalu dengan penuh pengertian dan hikmah yang mendewasakan.
Sepanjang tahun lalu, saya mengecap nikmat hidup bernegara sepenuhnya. Kemampuan rakyat memecah tembok politik perkauman menerusi Pilihanraya Umum ke-12 merupakan antara kenangan manis yang tak mungkin dilupakan.
Proses memperkasa sahsiah dan pemikiran diri turut diraih sepanjang tahun lalu. Alhamdulillah, peluang membantu teman-teman yang kini sudah bergelar wakil rakyat sedikit sebanyak memberikan pendedahan tentang kemelut dan pergolakan hidup yang dideritai rakyat marhaen.
Insha-Allah, mudah-mudahan tahun ini bakal menjanjikan kejayaan dan pengalaman yang semestinya amat bermakna buat kita semua.
Selamat meraikan tahun baru 2009!
Sent via BlackBerry from Maxis