Saya kira kesibukan sedikit sebanyak membataskan masa dan komitmen untuk menulis. Pun demikian, sesi diskusi bersama teman-teman semalam saya rasakan cukup bermakna untuk dikongsi bersama.
Pertemuan di kamar pejabat seorang peguam muda semalam disusul pula dengan sesi makan malam di salah satu medan selera sekitar Bangsar. Bicara kami pada awalnya bertumpu sekitar isu ekonomi dan tema wacana kebebasan. Perencanaan kami untuk menganjurkan forum berkenaan Ekonomi Manusiawi sedikit cacat gara-gara salahfaham komunikasi dan masalah koordinasi.
Apa yang menarik semalam ialah bila mana tema perbincangan mulai beralih kepada congakan politik, semestinya perkembangan pemilihan UMNO akan datang. Kami seakan-akan bersetuju dengan teori bahawa Dr. Khir Toyo bakal menerajui Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia - itu pun seandainya UMNO mahu benar-benar melakukan perubahan.
Dengan memilih Khairy Jamaluddin dan Mukhriz Mahathir jelas menunjukkan bahawa ahli-ahli UMNO sebenarnya belum cukup bersedia untuk melakukan perubahan yakni mengangkat tokoh yang berada dalam lingkungan pengaruh elit politik UMNO sebagai ketua. Mukhriz sebetulnya sekadar bergayut dibawah pengaruh Dr. Mahathir Mohamad manakala Khairy Jamaluddin -- sama ada kalian bersetuju atau pun tidak -- masih dibayangi dengan imejnya sebagai menantu kepada Presiden UMNO. Dr. Khir -- satu-satunya calon yang tidak dinaungi oleh mana-mana pengaruh politik -- seharusnya diberi peluang untuk menerajui Pemuda UMNO dan melakukan perubahan.
Saya juga secara peribadi menjangkakan bahawa peluang Mohd. Ali Rustam agak cerah dalam percubaan beliau untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden UMNO kelak. Gandingan Najib Razak dan Ali Rustam saya kira cukup baik dalam usaha mengembalikan keyakinan ahli-ahli UMNO terhadap kepimpinan parti mereka. Ini memandangkan status Muhyiddin Yassin yang sebelum ini dilihat sebagai salah seorang pesaing kepada Najib dalam perancangan mereka untuk menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri ketika mana Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri lebih lima tahun lalu.
Dalam mengikuti percaturan pemilihan UMNO kali ini, untuk kesekian kalinya juga, saya berkongsi sentimen yang sama dengan Dr. Mahathir; Muhammad Muhd. Taib hanyalah sekadar calon 'pak lawak' semata-mata, haha!