Iklan

Rabu, Oktober 29, 2008

Ucapan Deepavali Hukumnya Haram?

Terlalu banyak isu yang melatari perkembangan pemikiran saya sejak kebelakangan ini. Isu bahasa, agama dan bangsa adakalanya cukup mual dan menjemukan.
Polemik Yoga yang dibangkitkan oleh salah seorang agamawan semalam saya kira seakan-akan sama dengan persoalan hukum mengucapkan "Deepavali Nal Valthukal" kepada teman-teman beragama Hindu yang disinggung oleh salah seorang pengunjung blog ini tempoh hari.
Pernah dahulu ketika mana saya aktif menyertai usrah di kampus, salah seorang naqib yang memimpin usrah tersebut menyatakan bahawa adalah haram mengucapkan selamat terhadap sebarang perayaan agama lain seperti Deepavali dan Krismas. Menurut naqib itu, ucap selamat hanya dibenarkan terhadap perayaan berbentuk kebudayaan dan adat semata-mata sebagaimana sambutan Tahun Baru Cina.
Sehingga kini, saya masih tidak dapat merungkai kebenaran di sebalik kenyataan naqib saya itu. Setiap tahun saya masih lagi mengucapkan "Deepavali Nal Valthukal" dan "Salawat serta salam ke atas Isa Al-Masih" kepada teman-teman saya yang beragama Hindu dan Kristian. Pun demikian, keyakinan dan keimanan saya terhadap keEsaan Allah s.w.t. dan pengakuan saya terhadap kerasulan Muhammad s.a.w. tidak pernah tergugat dan berubah.
Saya kekal konsisten dalam pengamalan ibadah dan komited untuk menjadi seorang Muslim yang baik. Teman-teman saya ada yang mendaftar sebagai ahli di pusat-pusat kesihatan serta turut mengikuti kelas yoga yang disediakan, pun begitu mereka juga masih lagi bersolat, berpuasa dan membayar zakat.
Maka adalah cukup janggal untuk saya percaya atau menerima kenyataan bahawa hanya dengan mengucapkan selamat berhari raya kepada teman-teman Hindu dan Kristian maka akidah saya akan terpesong!

Isnin, Oktober 27, 2008

Deepavali Nal Valthukal!

Saya masih lagi menumpukan bacaan pada buku The Argumentative Indians, karya Amartya Sen. Sebetulnya, saya mulai membaca buku tersebut sejak bulan Ogos yang lalu namun masih belum sempat untuk menghabiskan bacaan.
Warisan India sememangnya unik dan menyegarkan. Saya sering berangan-angan untuk ke India, mengembara menaiki keretapi dan menelusuri perkampungan di kawasan luar bandar sebagaimana yang dipapar dalam rancangan dokumentari di televisyen.
India diramal bakal menemani China dalam menerajui perkembangan ekonomi global suatu ketika nanti. Selain daripada industri perfileman yang merupakan antara penyumbang kepada ekonomi India, sumber tenaga manusia mereka yang dieksport ke serata dunia turut meningkatkan kadar pengaliran masuk wang asing ke negara tersebut.
Bersempena dengan sambutan Deepavali kali ini, saya merakamkan sekalung tahniah kepada anak jati India yang telah berjaya mengharumkan nama negaranya ke seantero alam -- Shah Rukh Khan -- atas kurniaan darjah kebesaran dari negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk.
Terima kasih kerana telah berjaya menceria dan menghiburkan berjuta-juta warga dunia dengan lakonan unggul di layar perak. Buat semua warga berugama Hindu, saya ucapkan Deepavali Nal Valthukal!

Ahad, Oktober 26, 2008

Warisan Mahathir

Tatkala beransur meninggalkan majlis rumah terbuka Nurul Izzah Anwar petang semalam, saya dan Amin berbicara ringkas tentang perkembangan politik semasa. Kata Amin, Dr. Mahathir Mohamad berjaya 'membersihkan' dirinya dengan memalitkan Perdana Menteri Abdullah Badawi dengan pelbagai macam label dan kelemahan.
Kini, Abdullah sekadar Perdana Menteri pada nama, walhal segala urusan lebih menampakkan seolah-olah Najib Razak yang mengawalnya. Tentunya, di belakang Najib Razak percaturan direncana oleh Dr. Mahathir.
Kelicikan Dr. Mahathir sebagai seorang 'binatang politik' sememangnya tidak dapat dipertikaikan lagi. Umum tentu masih ingat bagaimana beliau -- sepuluh tahun lalu -- telah membentuk persepsi negatif di kalangan rakyat tentang Anwar Ibrahim. Anwar digambarkan sebagai seorang oportunis yang bakal menggadaikan maruah negara semata-mata untuk memenuhi impiannya memimpin Malaysia.
Seandainya kita meneliti makalah dan catitan politik nasional sepanjang lebih 20 tahun lalu, adalah cukup mudah untuk membuat kesimpulan bahawa Dr. Mahathir merupakan antara individu yang bertanggungjawab membentuk sistem dan institusi di Malaysia sehingga ianya menjadi bejat dan karat. Apa yang menyedihkan, segala kebejatan tersebut kini diwarisi oleh Abdullah Badawi.
Saya tidak akan pernah menafikan jasa Dr. Mahathir dalam menyumbangkan kecerdasannya sebagai seorang pemimpin tatkala menjadi Perdana Menteri namun demikian harus diingat bahawa pada ketika beliau berjaya memacu pembangunan negara ke tahap unggul, akar-akar kemanusiaan, kebebasan dan keadilan dicabut dan dimatikan secara kejam.
Abdullah pula, dalam percubaannya untuk membersihkan warisan bejat peninggalan Dr. Mahathir itu terpaksa membayar dengan harga yang cukup tinggi. Beliau kehilangan kredibilti, reputasi dan akan dikenang sebagai Perdana Menteri paling tidak efisien dalam sejarah Malaysia moden.
Tempoh lima bulan terakhir beliau sebagai Perdana Menteri semestinya tidak mencukupi dalam agendanya untuk melaksanakan beberapa pembaharuan yang selama ini diabaikan. Abdullah sewajarnya memikirkan semula keputusannya untuk menyerahkan teraju kepimpinan kepada Najib Razak. Barangkali Najib perlu dinilai prestasinya melalui tindakan beliau dalam mengatasi kemelut ekonomi negara yang semakin hari kelihatan semakin meruncing.
Saya yakin, seandainya kemelut ekonomi yang sedang dihadapi oleh Malaysia pada masa ini tidak berjaya ditangani dengan cekap, maka Abdullah -- dalam tempoh lima bulan akan datang --- harus mulai memikirkan sesuatu untuk mengatasinya. Mungkin beliau wajar bertindak sebagaimana yang dilakukan oleh Dr. Mahathir pada 2 September 1998!

Jumaat, Oktober 24, 2008

Menghadapi Kemelesetan

Meneliti laporan ekonomi global membuatkan saya terbayang akan situasi panik dan kelam kabut yang melanda bursa-bursa saham seluruh dunia hari ini. Harga minyak dilaporkan turun ke paras terendah untuk tahun ini.
Potensi akan berlakunya proses pemberhentian pekerja beramai-ramai oleh syarikat-syarikat yang terjejas teruk tidak mustahil untuk dinafikan. Indeks saham di Bursa Dow Jones khabarnya susut teruk hari ini.
Saya sarankan agar kita semua bersiap-sedia menghadapi kemelesetan. Oh ya, sejumlah RM 5 bilion wang simpanan pekerja -- yang sepatutnya dicarum untuk kegunaan hari tua -- telah digunakan oleh kerajaan untuk membantu sebuah syarikat bernama Valuecap Sdn. Bhd. membeli saham-saham di bawah nilai. Agak aneh pendekatan yang diambil oleh Menteri Kewangan yang baru dalam menangani masalah ekonomi negara ini.
Ambil RM 5 bilion (bukan 50 ribu, bukan juga 50 juta) wang rakyat untuk membantu sebuah syarikat -- yang langsung tidak mempunyai laman web korporat -- membeli saham-saham di bawah nilai tatkala pasaran saham seluruh dunia merudum jatuh!
Apa jaminan Najib Razak dan Nor Mohamed Yakcop bahawa wang sebanyak RM 5 bilion itu akan dipulangkan semula kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebaik sahaja keuntungan diperolehi oleh Valuecap Sdn. Bhd.?
Atau apakah yang akan terjadi seandainya usaha Valuecap Sdn. Bhd. menemui kegagalan? Bagaimana wang sebanyak RM 5 bilion itu akan dikembalikan kepada KWSP?

Khamis, Oktober 23, 2008

Canon Dalam D

Malam ini saya ghairah melayan Canon Dalam D, karya komposer Baroque ulung, Johann Pachelbel. Canon 'Alleluia' versi Katherine Jenkins sangat qudus dan mulus. Teman saya, Afif dan Hareez barangkali sedang bermunajat dengan Jenkins saat ini.
Nah, tatkala saya sedang melayari Youtube, saya ketemu gubahan Canon Dalam D yang paling mengujakan!

Isnin, Oktober 20, 2008

Pemergian Shamsiah Fakeh

Saya dimaklumkan oleh saudara Saifullah Zulkifli tentang pemergian kerahmatullah neneknya, Allahyarham Shamsiah Fakeh seawal jam 12 tengah hari tadi. Sememangnya saya menaruh hajat untuk menemui Allahyarham namun demikian, ajal menjemput beliau lebih awal.
Tatkala menerima berita kematian Allahyarham, saya lantas terkenang buku memoir tulisan beliau yang masih sedang saya baca dan belum sempat dihabiskan. Coretan Allahyarham tentang perjuangan hidupnya sewaktu mengetuai Angkatan Wanita Sedar (AWAS), terlibat aktif dalam perjuangan Parti Komunis Malaya dan seterusnya merantau ke China cukup mengesankan.
Saya berkongsi kesedihan atas pemergian Allahyarham. Takziah buat saudara Saifullah sekeluarga. Semoga roh Allahyarham Shamsiah Fakeh dicucuri rahmat dan diberkati Allah s.w.t.

Ahad, Oktober 19, 2008

Katak Pandir

Saya tidak pernah bersetuju dengan tindakan PAS membenarkan Ibrahim Ali bertanding sebagai calon bebas dengan menggunakan logo PAS di Pasir Mas dalam pilihanraya umum yang lalu.
PAS seharusnya mulai memikirkan semula naungannya terhadap Ibrahim. Kelantangan Ibrahim mempertahankan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) saya kira cukup bertentangan dengan semangat PAS-Pakatan Rakyat yang konsisten dengan tuntutan agar ISA dihapuskan.

Khairy Jamaluddin Bakal Berhijrah?

Tatkala saya menghadiri jamuan 'Eidulfitri bersama teman-teman sekolah semalam, saya ditanya berkenaan kewajaran memilih Khairy Jamaluddin sebagai ketua baru bagi menerajui Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Melihatkan kepada perkembangan bilangan pencalonan yang kini diterima oleh Khairy, saya kira harapan beliau agak cerah dan memberangsangkan.
Saya tetap bertegas bahawa Khairy merupakan satu-satunya calon yang layak dan mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin baru Pemuda UMNO. Ada hujahan teman yang bersifat emosi dan melulu terhadap Khairy.
Jujurnya, imej Khairy sebagai 'budak nakal' yang dibina oleh beliau sendiri sepanjang empat tahun lalu sedikit sebanyak mendatangkan masalah kepadanya. Ini ditambah dengan tohmahan oleh Dr. Mahathir sehingga umum melihat Khairy sebagai duri dalam daging buat Abdullah Badawi, UMNO dan Barisan Nasional.
Kelmarin, dalam satu majlis makan malam di Petaling Jaya, saya berkesempatan berbual dan bertukar cerita dengan saudara Badrul Hisham Shaharin, calon KeADILan yang menentang Khairy Jamaluddin dalam pilihanraya umum yang lalu.
Apa yang menarik ialah spekulasi yang mendakwa bahawa Khairy merupakan antara ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang bakal berhijrah parti -- sama ada dengan menyertai PAS atau KeADILan -- dalam usaha menjayakan proses peralihan kuasa yang digagaskan oleh Anwar Ibrahim!

Selasa, Oktober 14, 2008

Definisi Melayu

*Transkrip di atas dipetik dari laman blog Kulup Sakah.

Menangani Ekonomi Secara Serius

"Kita yakin bahawa kita boleh menghadapi keadaan itu (kemelesetan ekonomi global) walau pun ada perkara yang membimbangkan berkaitan dengan pertumbuhan, tetapi kita yakin kita tidak akan menghadapi keadaan yang buruk berbanding dengan bahagian lain di dunia."
-Najib Razak, 30 September 2008
----------------------------------------------------------------------------------
Saya bukanlah penganut mana-mana mazhab ekonomi baik kapitalisme atau pun sosialisme pun begitu saya merasa aneh tatkala meneliti respon dan kenyataan pimpinan negara terutamanya Menteri Kewangan berhubung perkembangan ekonomi negara akhir-akhir ini.
Umum sedia maklum bahawa ekonomi dunia yang diteraskan kepada sistem pasaran bebas berkiblatkan Amerika Syarikat kini sedang dirundung kemelesetan dan bergerak lembap. Apa yang menjanggalkan ialah ketika mana negara-negara maju lain seperti Jepun, United Kingdom dan Singapura bergelut mempertahankan struktur ekonomi masing-masing, Menteri Kewangan Malaysia tampil secara santai menyatakan bahawa ekonomi Malaysia masih gagah dan utuh.
Saya tidak pasti samada kenyataan menteri lulusan ekonomi ini berlandaskan fakta atau sekadar pemanis mulut untuk menyedapkan hati rakyat, namun apa yang nyata pimpinan kerajaan hari ini kelihatan seolah-olah ambil mudah dan persepsi ini semakin mulai diyakini oleh rakyat.
Semalam, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menghabiskan lima jam dalam Dewan Rakyat membahaskan intipati Belanjawan 2009 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan terdahulu bulan lalu. Malangnya, kelibat Perdana Menteri dan Menteri Kewangan langsung tidak kelihatan!
Anwar mengusulkan kepada pihak Menteri Kewangan agar belanjawan baru dibentangkan semula memandangkan belanjawan asal yang dibentangkan bulan lalu kelihatan sudah tidak relevan dan tidak sejajar dengan perkembangan ekonomi semasa. Harga minyak serta bahan-bahan komoditi lainnya kini menyaksikan kejatuhan. Kini, harga minyak global jatuh di bawah paras USD 100 setong berbanding dengan harga beberapa bulan lalu yang mencecah lebih dari USD 130.
Hujah Anwar saya kira punyai asas. Kerajaan seharusnya mulai serius dalam meletakkan kepentingan terhadap pemulihan ekonomi negara yang semakin hari semakin menyesakkan rakyat terbanyak. Ketika mana seluruh dunia sibuk berdepan dengan kegawatan ekonomi, pimpinan kerajaan Malaysia yang diterajui oleh ahli-ahli politik UMNO-BN pula kelihatan cukup sibuk dalam urusan politik kepartian masing-masing!

Ahad, Oktober 12, 2008

Mukhriz & Mahathirisme

Saya kekal menyatakan bahawa Khairy Jamaluddin merupakan individu yang paling layak menerajui Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Meski pun di atas kertas, pesaing utamanya Mukhriz Mahathir kelihatan selesa mendahului dan telah pun disahkan layak untuk bertanding, peluang Khairy masih luas dan cerah. Mungkin analisa Mohd Sayuti Omar wajar dibaca oleh fanatik Mukhriz.
Jika sebelum ini ramai yang melabel bahawa Khairy mendaki kerjaya politiknya melalui pengaruh dari hubungan keluarganya dengan pemimpin tertinggi UMNO, saya kira persepsi itu kini seharusnya dicampakkan kepada Mukhriz. Hakikatnya, Mukhriz menumpang tuah dan pengaruh bapanya, Dr. Mahathir Mohamad!
Pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO kali ini menyaksikan Khairy selaku anak muda yang lebih matang dan berkarisma. Pengalaman sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO selama hampir empat tahun saya andaikan cukup untuk menyediakan Khairy sebagai pewaris kerusi yang antara lain turut pernah diduduki oleh Anwar Ibrahim dan Najib Razak ini.
Kekuatan beliau sebagai seorang pemidato yang berwibawa serta latar belakang pendidikannya yang cemerlang semestinya merupakan salah satu pakej penting dalam beliau berdepan dengan cabaran besar merebut kepimpinan Pemuda UMNO. Melihat dari perspektif hubungan dengan anak muda, Khairy nyata lebih mesra dan dinamik. Berbeda dengan Mukhriz yang lebih aktif dalam lapangan kerja kebajikan dan antarabangsa, Khairy dilihat lebih akrab dengan golongan belia. Mukhriz dilihat sebagai tidak mesra anak muda dan tidak punyai wawasan dan visi.
Memilih Mukhriz bererti menjemput Mahathir untuk kembali berkuasa. Jujurnya, Mukhriz sekadar proksi kepada Mahathir dalam usahanya untuk meneruskan cengkaman dan kawalan ke atas UMNO. Ini ditambah dengan perencanaan untuk menempatkan Najib di kerusi presiden. Percaturan Mahathir kini kelihatan semakin menjadi. Seandainya Najib dan Mukhriz berjaya merebut kerusi yang ditandingi, maka bersiap sedialah untuk melihat Malaysia ditadbir semula dengan fahaman Mahathirisme sebagai teras.
Islam Hadhari tinggal kenangan dan bakal diganti dengan Islam Mahathiri ("Nabi Muhammad tak cukur janggut sebab zaman dia dulu tak ada Gillete"). Nikmat kebebasan dan demokrasi yang sedikit demi sedikit mulai dikecap akhir-akhir ini bakal terhapus dan musnah.
Hidup bernegara akan hilang makna seandainya aliran Mahathirisme ini kembali bertapak di Malaysia. Memilih Mukhriz bererti merelakan sistem kehakiman terus rosak, membenarkan hubungan kaum terus gawat dan mengizinkan kemanusiaan terus bejat.
Saya tegaskan, memilih Mukhriz bukanlah bererti membawa perubahan. Memilih Mukhriz bererti, UMNO akan terus kekal sebegini, dalam keadaannya yang menuju kemusnahan...dulu, kini dan selamanya!

Jumaat, Oktober 10, 2008

Khairy Wajar Terajui Pemuda UMNO?

"Kami merasakan Khairy mampu menggalas tanggungjawab besar dalam usaha memperkasakan Pemuda dan seterusnya memperkuatkan UMNO."
-Eriandi Ismail, Ketua Pemuda UMNO Machang, 9 Oktober 2008
Saya kira ramai yang menganggap kenyataan saya kali ini bercanggah dengan sentimen terdahulu. Apa pun, politik sebagaimana yang diketahui merupakan "seni segala yang mungkin".
Meneliti perkembangan politik nasional lewat masa kini -- percaturan politik UMNO terutamanya -- cukup menarik minat saya untuk menulis. Saya kurang peduli dengan peralihan kepimpinan antara Abdullah Badawi dan Najib Razak. Najib sebagaimana yang dimaklumi tidak pernah dikenali sebagai pemimpin yang punyai visi dan wawasan yang luas. Beliau tidak mahir berucap, beliau tidak punyai kekuatan dan karisma. Najib hanya sekadar bergantung kepada dua perkataan iaitu "Bin Razak".
Jujurnya, saya lebih gemar meletakkan fokus terhadap siapa bakal menerajui Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Ini kerana kepimpinan pergerakan anak muda pada hari inilah yang bakal mencaturi kepimpinan tertinggi nasional kelak. Sehingga entri ini ditulis, calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang mendahului senarai pemilihan ialah Khairy Jamaluddin. Semalam, Pemuda UMNO Bahagian Machang telah menamakan Khairy sebagai calon. Ianya ditambah hari ini melalui pencalonan dari Pemuda UMNO Bahagian Pengkalan Chepa.
Secara peribadi, saya merasakan Khairy layak untuk menerajui Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Berbanding dengan Mukhriz Mahathir, Khir Toyo dan Zahidi Zainul Abidin, Khairy ternyata mewakili sosok progresif anak muda Melayu baik dari segi intelektual mahupun dari sudut penampilan.
Seandainya ahli-ahli UMNO benar-benar serius untuk memperkasa dan memantapkan semula UMNO, maka perkara ini seharusnya bermula di peringkat Pemuda. Mungkin petikan ucapan Ketua Pemuda UMNO Machang semalam sewajarnya direnungi dan dihadam.

Khamis, Oktober 09, 2008

Majlis Rumah Terbuka 'Eidulfitri ADUN Seri Setia

Saya, mewakili saudara Nik Nazmi Nik Ahmad dengan sukacitanya mempersilakan tuan-tuan dan puan-puan untuk sama-sama memeriahkan Majlis Rumah Terbuka 'Eidulfitri ADUN Seri Setia. Berikut merupakan butiran maklumat untuk rujukan:

Tarikh: 11 Oktober 2008 (Sabtu)
Masa: 2.00 - 5.00 petang
Lokasi: Padang Kompleks Sukan PKNS, SS 7, Kelana Jaya

Jumaat, Oktober 03, 2008

Lebaran Di Utara

Saya sempat menghabiskan buku Ibn 'Arabi: Riwayat Hidup dan Perjalanan Seorang Sufi Agung karya Claude Addas yang diterjemahkan oleh Eekmal Ahmad dan Adib Zalkapli sepanjang dalam perjalanan ke utara siang tadi.
Dalam meraikan lebaran tahun ini, saya terkesan dengan beberapa saranan yang mendasari gagasan Ibnu 'Arabi termasuk seruan agar manusia menghidupkan kembali sifat-sifat Tuhan di dalam diri melalui kepatuhan terhadap sunnah Nabi s.a.w. dan undang-undang yang diturunkan kepadanya. Tegas Ibnu 'Arabi, melalui cara ini manusia akan dapat kembali menyatu dengan sifat mulia yang terpendam dalam dirinya.
Saya dan keluarga turut singgah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang menziarahi kerabat keluarga yang menetap di sana. Melalui jalan-jalan di Permatang Pauh, poster-poster dan kain rentang sepanjang kempen pilihanraya kecil baru-baru ini masih tergantung kelusuhan.
Kelmarin, tatkala menziarahi kerabat di Pahang, lemang dan rendang merupakan antara sajian lazim di setiap rumah. Pun begitu, di utara lain pula juadahnya. Ketupat daun palas, nasi himpit dan kuah kacang merupakan hidangan istimewa di sini.
Pak Khalid sempat berbalas SMS dengan saya menyuruh saya mengemaskini laman web jalur keturunan keluarga seandainya bertemu dengan kaum kerabat yang baru. Insha-Allah, lebaran tahun ini bakal dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjalin kemesraan sesama keluarga.