Iklan

Selasa, September 30, 2008

Salam Lebaran 'Eidulfitri

Alhamdulillah, esok umat Islam di Malaysia akan meraikan 'Eidulfitri. Mudah-mudahan kita semua dipertemukan kembali dengan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun hadapan, insha-Allah.
Saya ucap terima kasih buat teman-teman atas ingatan dan ucapan selamat bersempena lebaran tahun ini. Mudah-mudahan 'Eidulfitri kali ini bakal merapatkan lagi perhubungan dan jalinan persahabatan antara sesama umat Islam.
Dengan penuh rasa takzim dan rendah diri, saya memohon kemaafan andai ada keterlanjuran kata dan bahasa yang dinukilkan di laman blog ini. Sebagai manusia, kita semua tidak akan pernah terlepas dari sifat khilaf.
Salam 'Eidulfitri buat semua umat Islam, teristimewa buat pembaca dan pengkritik setia blog ini. Semoga senantiasa dilimpahi keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t.
MOHD NAJWAN HALIMI

Selasa, September 23, 2008

Iftar Bersama Pimpinan Mahasiswa

Semalam saya berkesempatan ikut serta dalam majlis berbuka puasa bersama-sama dengan pimpinan mahasiswa negeri Selangor anjuran Dato' Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim. Antara yang turut kelihatan ialah beberapa orang pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baru-baru ini berdemonstrasi membantah Abdul Khalid berikutan kenyataan beliau yang menyentuh berkenaan dengan cadangan membuka UiTM kepada mahasiswa bukan Bumiputera.
Barisan kepimpinan baru MPP Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang diketuai oleh saudara Syafeeq turut hadir. Kami sempat berbincang berkenaan hala tuju kampus serta pengisian-pengisian yang bakal dirancang untuk sesi mendatang. Saya turut menawarkan sokongan dan saranan untuk sama-sama menyumbang dalam memperkemas dan memperkasa jentera organisasi MPP.
Alhamdulillah, keghairahan barisan kepimpinan baru mahasiswa Uniten untuk memulihkan imej dan reputasi MPP sewajarnya dipuji. Mudah-mudahan, perencanaan dan gerak kerja MPP akan lebih efektif dan responsif dalam berdepan dengan tuntutan dan aspirasi mahasiswa keseluruhannya.

Jumaat, September 19, 2008

Harapan Baru Mahasiswa Uniten

Saya ucap tahniah buat teman-teman sekampus saya, saudara Mohammad Syafeeq Hashim dan saudara Ahmad Hussaini Zulkeply atas kejayaan mereka terpilih sebagai wakil mahasiswa dalam Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Tenaga Nasional (MPP Uniten) untuk sesi 2008/2009 yang akan datang. Dengan meraih undi popular tertinggi, Syafeeq barangkali dilihat antara calon yang paling berpotensi untuk dilantik sebagai Presiden MPP Uniten yang baru.
Saya menaruh harapan semoga barisan kepimpinan baru mahasiswa Uniten yang dipilih dapat menjalankan amanah yang digalas dengan sebaik-baiknya. Keyakinan mahasiswa terhadap aktivisme kampus merosot dengan teruk semenjak barisan kepimpinan mahasiswa yang diterajui oleh Saiful Bukhari Azlan pada sesi 2006/2007 gagal melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
Badi yang ditinggalkan Saiful Bukhari seterusnya diwarisi oleh barisan kepimpinan sesi 2007/2008 yang turut gagal berperanan sebagai jurubicara mahasiswa secara berwibawa. Mudah-mudahan, kepimpinan baru yang bakal menerajui mahasiswa Uniten untuk tempoh setahun akan datang dapat mengembalikan semula keyakinan warga kampus dan seterusnya memacu pemerkasaan kebajikan mahasiswa secara lebih agresif.

Rabu, September 17, 2008

16 September

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, pengasas Malaysia sebetulnya merancang untuk mengisytiharkan penubuhan negara Malaysia pada 31 Ogos 1963. Namun, akibat bantahan dan tentangan keras dari negara-negara sekitar -- Filipina dan Indonesia -- tarikh perisytiharan tersebut ditunda kepada 16 September 1963. Apa pun, Malaysia tetap tertubuh meski pun tarikh asal penubuhannya lewat 16 hari.
Begitu juga, Anwar Ibrahim meletakkan tarikh 16 September 2008 sebagai tarikh sasaran pembentukan kerajaan baru Malaysia. Sebagaimana Almarhum Tunku yang menghadapi masalah berikutan penentangan politik negara-negara jiran, Anwar turut menghadapi masalah apabila sejumlah ahli-ahli parlimen -- yang dilaporkan akan berhijrah parti -- diterbangkan ke Taiwan, atas alasan belajar teknologi tani.
Saya memerhatikan, UMNO masih dalam keadaan state of denial. Abdullah Badawi secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak akan melayan permintaan Anwar untuk mengatur pertemuan selagi Anwar tidak mengumumkan butiran ahli-ahli parlimen yang akan berhijrah parti. Saya tidak nampak di mana bijaknya Anwar sekiranya beliau memenuhi permintaan Abdullah itu.
Pun demikian, seandainya Abdullah tidak mahu menyerahkan kuasa secara damai dan terhormat, Pakatan Rakyat akan menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memohon perkenan baginda untuk campur tangan dalam urusan peralihan tersebut.
Hari ini, Abdullah berada dalam situasi terhimpit lagi. Beberapa ketika selepas Zaid Ibrahim mengesahkan perletakan jawatannya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengendalikan hal ehwal undang-undang, MCA pula melalui presidennya Ong Ka Ting secara terbuka menyeru kerajaan agar membebaskan Raja Petra Kamarudin dan Teresa Kok dari terus ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Semakin hari, bahtera UMNO-BN semakin karam. Bak kata Lim Kit Siang, UMNO-BN kini ibarat sebuah kapal Titanic yang hampir tenggelam!

Nella Fantasia

Bersempena keramat Hari Malaysia, dan menjelang kemuncak agenda reformasi, saya dedikasikan Nella Fantasia buat semua pejuang kebebasan dan kemanusiaan -- yang punyai impian melihat Malaysia yang lebih gagah dan bermaruah.

Selasa, September 16, 2008

Bersedia Untuk Menyambut Malaysia Baru

Hari ini, proses peralihan kerajaan akan bermula, demikian tegas Anwar Ibrahim. Semalam di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya hampir 10 ribu berhimpun bagi meraikan Hari Malaysia yang julung-julung kalinya disambut oleh rakyat Malaysia. Hari ini, negara bertuah ini -- yang merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak -- genap mencecah usianya yang ke-45 tahun.
Bahang perubahan semakin dirasai oleh segenap lapisan rakyat. Semalam, saya dihujani banyak panggilan yang ghairah bertanyakan tentang perkembangan peralihan kerajaan yang dikatakan bakal berlaku pada tanggal 16 September. Jawapan saya mudah: tunggu perkembangan di Stadium MBPJ malam ini! Dan akhirnya, semalam Anwar telah mengesahkan bahawa Pakatan Rakyat telah bersiap sedia untuk mengambil alih kerajaan pada hari ini, pun demikian proses peralihan tersebut hendaklah dilaksanakan dengan penuh berhemah dan harmoni.
Anwar turut menyatakan bahawa beliau telah memohon untuk bertemu dengan Perdana Menteri Abdullah Badawi bagi membincangkan agenda peralihan kuasa ini seberapa segera yang mungkin. Apa yang penting, segalanya harus berjalan dalam suasana yang baik dan aman.
Hari ini, saya dimaklumkan Anwar akan mengadakan satu sidang media khas di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat di Tropicana, Damansara bagi mengumumkan beberapa perkara penting berhubung dengan proses peralihan kuasa yang bakal berlaku dalam tempoh terdekat ini.
Insha-Allah, mudah-mudahan semua yang dirancang bakal berjalan dengan lancar. Selamat Hari Malaysia!

Isnin, September 15, 2008

Apa Sebenarnya Tafsiran Ayat 8, Surah Al-Maaidah?

"Cara kita tangkap orang guna ISA atas kesalahan agama tidak akan menghilangkan salahfaham terhadap Islam. Seharusnya diperjelaskan dulu apa kesalahan itu. Kalau misalnya orang itu menghina Islam atau menyeleweng, buktikan dulu berdasarkan Quran dan hadis. Perlu diperdengarkan pertuduhan itu kepada orang yang dituduh itu. Mungkin juga, ia hanya satu salah faham. Yang penting perdengarkan dulu hujahnya.
Islam bukan agama yang bacul. Perbuatan ISA kerana kesalahan agama seolah-olah menggambarkan orang Islam tidak mampu berhujah, terus tangkap orang. Mereka akan kata mereka benar kerana kita takut berhujah dengan dia.
Tuhan yang Maha Adil pun buat mahkamah di akhirat untuk setiap orang dibicarakan. Keadilan ditegakkan di dunia dan di akhirat. Tuhan yang Maha Adil pun memberi peluang untuk kita jawab kesalahan sedangkan Tuhan berhak buat apa saja. Jadi macam mana kita boleh tangkap orang tanpa memberi peluang mereka membela diri?"
-Dr. Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, 15 September 2008
----------------------------------------------------------------------------------
Ada pengunjung yang menuduh saya sengaja menggunakan ayat-ayat Al-Quran untuk kepentingan politik dan peribadi. Saya sekadar tersenyum. Jelas, pengunjung tersebut tidak jujur dan takut untuk berdepan dengan hakikat bahawa Islam sama sekali tidak menyokong sebarang bentuk pencabulan terhadap prinsip keadilan.
Saya mungkin tidak searif Dr. Asri dalam mengupas persoalan agama, pun demikian saya kira ayat 8 dari Surah Al-Maaidah yang saya sertakan dalam entri sebelum ini jelas menegaskan bahawa Allah s.w.t menyeru "orang-orang yang beriman" agar "menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran".
Barangkali ilmu agama dan tahap pemahaman pengunjung -- yang menuduh saya sengaja menggunakan ayat Al-Quran untuk kepentingan politik dan peribadi -- tersebut lebih hebat dari seorang mufti!
Saya mahu tanya pengunjung -- yang menuduh saya sengaja menggunakan ayat Al-Quran untuk kepentingan politik dan peribadi -- tersebut, apa sebenarnya tafsiran ayat 8, Surah Al-Maaidah menurut pemahaman anda? Dan jika sekiranya boleh, dedahkan sekali identiti sebenar anda. Jangan jadi bacul dengan sekadar menulis ulasan di sebalik nama "tanpa nama"!

Ahad, September 14, 2008

Meraikan Kezaliman

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
-Surah Al-Maaidah, ayat 8
Blog saya dihujani banyak respon dari beberapa orang pengunjung yang kelihatan begitu senang sekali dengan tindakan terkini kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam usaha mengekalkan kuasa dan pengaruh mereka yang semakin pudar.
Ada pengunjung yang melabel, mencaci dan melontarkan segala cemuhan terhadap Raja Petra, Teresa Kok dan Tan Hoon Cheng, seolah-olah mereka ini penjenayah besar yang telah melakukan pengkhianatan dan fitnah terhadap negara. Tanpa sebarang bukti, ketiga-tiga mereka diheret dari rumah secara mengejut atas alasan menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Saya tidak akan mempertahankan Raja Petra, Hoon Cheng dan Teresa seandainya terbukti secara perundangan melalui sistem keadilan bahawa mereka ini benar-benar bersalah terhadap apa yang dipertuduhkan pun demikian saya sama sekali tidak dapat menerima hakikat bahawa ketiga-tiga mereka telah dinafikan hak untuk mendapatkan keadilan!
Jika kalian pernah membaca coretan dan luahan bekas-bekas tahanan ISA, maka barangkali kalian dapat menilai sejauh mana zalim dan tidak berperikemanusiaannya akta ini. Dr. Burhanuddin Al-Helmy, tokoh pejuang kemerdekaan dikhabarkan menemui ajalnya akibat penyakit batu karangnya yang dideritai semenjak ditahan di penjara dibawah akta zalim ini. Menurut cerita Dr. Syed Husin Ali (juga bekas tahanan ISA dari 1974-1980), arwah Dr. Burhanuddin menahan dirinya untuk tidak kencing semata-mata untuk memastikan bilik penjaranya bersih demi memastikan beliau boleh bersembahyang dengan selesa.
Sama ada kita suka atau pun tidak, ISA secara nyata bertentangan dengan prinsip keadilan yang dituntut oleh Islam. Bergelar seorang Muslim, kita seharusnya berani berfikir dan menerima hakikat bahawa prinsip kezaliman sememangnya bukanlah sesuatu yang harus didukung dan dipertahankan. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Maaidah, ayat 8 sewajarnya direnungi secara jujur dan berani.
Menjadi Melayu bukanlah alasan untuk kita membenci dan bersifat prejudis terhadap kaum lain. Menjadi Melayu dan bergelar Muslim seharusnya menjadikan kita insan yang komited dalam mempertahankan prinsip keadilan dan kebenaran. Tindakan terdesak kerajaan sememangnya suatu kezaliman yang tidak dapat dinafikan. Apalah gunanya kita mencerca dan melaung-laung kebencian terhadap Amerika Syarikat -- yang kita panggil 'syaitan' dan 'pencabul hak asasi manusia' -- kerana menzalimi umat Islam di pusat tahanan Teluk Guantanamo sedangkan tangan-tangan pemimpin umat Islam di negara kita sendiri bergelumang dengan kebejatan dan kezaliman!
Meraikan kezaliman bukanlah sifat seorang Muslim. Meraikan kezaliman tidak sama sekali mendekatkan diri kita dengan taqwa. Menjadi Melayu yang mendakwa dirinya Muslim bererti meletakkan sesuatu itu kena pada tempatnya. Sifat taksub buta tuli terhadap bangsa sendiri dan kebencian melampau tanpa asas terhadap kaum lain tidak pernah diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Seandainya benar Raja Petra, Hoon Cheng dan Teresa melakukan kesalahan, maka bicarakanlah mereka menurut lunas keadilan yang diperuntukkan. Kebencian bukan lesen untuk kita berlaku zalim. Meraikan ISA bererti kita meraikan kezaliman. Seandainya kita tidak mahu dizalimi, maka berlaku adillah terhadap orang lain.

Sabtu, September 13, 2008

Mengapa ISA?


Beri saya sebab, mengapa rejim Barisan Nasional dibawah pimpinan Abdullah Badawi harus menahan Raja Petra Kamarudin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kenapa dia tidak dibicarakan dengan penuh keadilan di mahkamah?
Beri saya sebab, mengapa rejim Barisan Nasional dibawah pimpinan Abdullah Badawi harus menahan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sedangkan wartawan-wartawan Utusan Malaysia yang begitu ghairah memainkan sentimen perkauman masih diberi ruang melakukannya?
Beri saya sebab, mengapa rejim Barisan Nasional dibawah pimpinan Abdullah Badawi harus menahan Teresa Kok di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sedangkan nasionalis rasis bernama Ahmad Ismail sekadar digantung keahlian dalam UMNO selama tiga tahun?

Jumaat, September 12, 2008

Ops Lalang 2?

1.10 petang, 12 September 2008: Blogger terkenal, Raja Petra Kamarudin ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau ditahan di rumahnya di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

8.30 malam, 12 September 2008: Wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng ditahan di rumahnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang di bawah ISA. Beliau merupakan wartawan yang menulis berkenaan kenyataan perkauman Ahmad Ismail, bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera.

11.18 malam, 12 September 2008: Ahli Parlimen Seputeh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bandar Kinrara, Teresa Kok ditahan di bawah ISA ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur.
----------------------------------------------------------------------------------
Apa itu Ops Lalang?
Operasi Lalang atau lebih dikenali sebagai Ops Lalang telah dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh Polis Di Raja Malaysia bertujuan untuk melumpuhkan pergerakan pimpinan parti-parti pembangkang dan aktivis sosial. Operasi ini menyaksikan penahanan sejumlah 106 individu dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pembatalan permit penerbitan dua akhbar harian iaitu The Star dan Sin Chew Jit Poh dan dua akhbar mingguan iaitu The Sunday Star dan Watan.
Pergolakan politik yang dicetuskan oleh Pemuda UMNO yang diketuai oleh Najib Razak sebagai reaksi terhadap protes yang dijalankan oleh MCA dan DAP berhubung isu sekolah Cina telah menyebabkan seakan-akan wujud ketegangan di antara kaum.
Antara tokoh politik dan aktivis sosial yang ditahan dibawah ISA pada waktu itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang; Presiden Aliran, Chandra Muzaffar; Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh; Ketua DAP Perak, Chan Cit Chee, Ketua Pemuda PAS Pusat, Halim Arshat; Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali; dan Pengerusi Exco Pendidikan Pemuda UMNO, Mohd Fahmi Ibrahim.
Ops Lalang turut menyaksikan penahanan Pengerusi Persatuan Pendidikan Cina, Lim Fong Seng; Ketua Publisiti Jawatankuasa Hak Asai, Kua Kia Soong dan aktivis wanita, Irene Xavier.
Selain daripada itu, turut ditahan ialah Hilmy Noor, seorang Melayu beragama Kristian yang dituduh sebagai 'pengkhianat'. Semua tahanan ditempatkan di Pusat Perlindungan Tahanan Kamunting di Taiping, Perak.
Walaupun terdapat beberapa orang yang ditahan kemudiannya dibebaskan, terdapat seramai 40 orang lain yang dilanjutkan tempoh penahanan selama dua tahun. Ini termasuk Lim Kit Siang, Karpal Singh serta beberapa ahli PAS dan DAP juga sekumpulan aktivis sosial.

Penahanan Raja Petra Kamarudin

"Terpenjaraku adalah khalwat,
Kematianku adalah mati syahid,
Terusirku dari negeriku adalah rekreasi."
-Ibnu Taimiyyah
Seperti dijangka, Raja Petra Kamarudin ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Petra dicemuh sebagai penghina Islam kerana keberaniannya menyatakan kebenaran dan menyanggah penyelewengan penguasa.
Sepanjang sejarah peradaban manusia, penguasa yang tergugat lazimnya menggunakan cara menahan dan memenjarakan pengkritiknya. Pramoedya Ananta Toer, Bhagat Singh dan Nelson Mandela dipenjara kerana berani menyanggah kuasa yang menindas.
Saya andaikan Raja Petra Kamarudin bakal dikenang dan diraikan oleh anak-anak cucu kita pada masa depan sebagai individu yang berani menyatakan kebenaran dan menegakkan kebebasan. Keberanian dan kecekalan yang dimiliki beliau cukup mengagumkan!

Selasa, September 09, 2008

Al-Hujuraat: 13

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."
-Surah Al-Hujuraat, ayat 13

Ahad, September 07, 2008

Menanti 16 September

"Aqsal 'azab, thulul intidzar."
-Pepatah Arab
Ramai teman-teman yang mulai resah tatkala memerhati perkembangan politik mutakhir ini. Langkah pemerintah Barisan Nasional (BN) membawa keluar ahli-ahli Parlimen ke luar negara disifatkan sebagai satu percubaan untuk menghalang usaha Anwar Ibrahim yang mendakwa bakal menumbangkan BN dan mengambil alih teraju pentadbiran negara menjelang 16 September.
Nasihat saya kepada mereka, bertenang dan sabarlah menanti! Insha-Allah, segalanya akan berjalan seperti yang dirangka.

Khamis, September 04, 2008

Al-Fatihah Buat Allahyarham A. Samad Ismail

Sebaik selesai solat Maghrib, saya menerima SMS daripada beberapa orang teman memaklumkan pemergian Allahyarham A. Samad Ismail, tokoh wartawan yang amat dihormati. Saya mulai mengenal nama A. Samad Ismail sewaktu darjah tiga ketika membaca komik Mat Som, karya Lat.
Menurut cerita beberapa orang wartawan, A. Samad Ismail dikenali sebagai seorang yang cukup tegas dan berdedikasi. Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ini merupakan salah seorang aktivis politik yang cukup komited dalam perjuangan awal menuntut kemerdekaan Malaya.
Sekalung takziah saya rakamkan buat keluarga Allahyarham. Pemergian A. Samad Ismail sememangnya satu kehilangan besar buat negara.
Al-Fatihah.

Selasa, September 02, 2008

10 Tahun Selepas Reformasi (2)

Sepuluh tahun lalu, tatkala Anwar Ibrahim disingkir dari posisi ulung Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, saya masih kecil anak. Menilai kemarahan dan kekalutan di sekeliling, saya menyimpulkan bahawa Anwar Ibrahim telah dianiaya.
Ledakan reformasi yang bergema sejurus penyingkiran Anwar telah disahut oleh rakyat Malaysia yang merasakan bahawa hak mereka telah dicabuli dan ditindas. Kejayaan gerakan sama di Indonesia dalam menumbangkan rejim Soeharto dilihat sebagai model dalam rangka usaha menjatuhkan kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu.
Demonstrasi jalanan diadakan setiap hujung minggu sebagai bantahan terhadap pemecatan Anwar. Setiap hari Sabtu dan Ahad umpama pesta sorak yang meriah dengan pekikan dan laungan menuntut perubahan. Waktu itu, minat terhadap makalah-makalah politik semakin merangsang. Saya mulai menjadi pembaca setia tulisan-tulisan Ahmad Lutfi Othman, Fathi Aris Omar, Mohd Sayuti Omar dan Subky Latif (sekadar menyebut beberapa nama). Cerpen Kingdom of Flowers karya Faisal Tehrani sentiasa dinantikan dalam setiap keluaran Wasilah (cerpen ini tergantung akibat pengharaman Wasilah oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1999).
Gelombang reformasi seakan surut sebaik Anwar Ibrahim dihumban ke penjara. Anwar bertegas, ianya bermotifkan politik -- satu konspirasi jahat untuk membunuh karier politiknya. Obor reformasi seterusnya disambut oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali, Ezam Mohd Noor, Tian Chua dan para pendukung yang setia. Pada bulan April tahun 1999, Parti Keadilan Nasional (KeADILan) terbentuk. Menjelang Pilihanraya Umum ke-10, KeADILan mengumumkan kerjasama dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan membentuk Barisan Alternatif (BA).
Pilihanraya Umum tahun 1999 menyaksikan DAP kalah teruk, gara-gara kerjasama mereka dengan PAS. Perkara sebaliknya berlaku terhadap PAS yang berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu dan mengetuai barisan pembangkang di Parlimen. KeADILan sekadar menguasai kerusi Parlimen Permatang Pauh, kubu kuat Anwar.
Kejayaan BA dalam pilihanraya tersebut merupakan satu tamparan hebat buat Dr. Mahathir. Jelas, faktor Anwar cukup mempengaruhi para pengundi dalam menzahirkan bantahan mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) waktu itu. Dr. Mahathir gagal meyakinkan orang Melayu untuk terus menyokong kepimpinannya. Pada penghujung Oktober 2003, Dr. Mahathir melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan menyerahkan kepimpinan negara kepada Abdullah Badawi, Perdana Menteri Malaysia hari ini.
Abdullah mengetuai jentera BN dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-11 pada tahun 2004 dan beroleh kemenangan besar dengan mandat yang cukup kukuh. Rakyat seakan-akan terpesona dengan janji-janji Abdullah untuk menjadikan pentadbiran kerajaan lebih telus dan berintegriti serta bebas dari rasuah. Agenda Islam Hadhari turut dicanang sebagai alternatif kepada agenda Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Terengganu kembali ditadbir oleh BN dan parti-parti pembangkang tewas teruk. DAP sedikit bertuah kerana berjaya mengembalikan Lim Kit Siang dan Karpal Singh ke Parlimen. Dr. Wan Azizah masih diberi kepercayaan untuk menjaga Permatang Pauh.
2 September 2004 membuka lembaran baru buat gerakan reformasi nasional. Empat tahun lalu, Anwar dibebaskan dari penjara. Mahkamah menepikan sabitan pertuduhan liwat yang dijatuhkan ke atas beliau dan Anwar terus bergegas ke Jerman bagi menjalani rawatan bagi mengubati masalah sakit tulang belakang yang dialami olehnya sewaktu dalam penjara. Dikatakan bahawa beliau menderita kesakitan tersebut selepas dibelasah oleh bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor dalam lokap di Bukit Aman pada malam beliau ditahan pada tahun 1998.
Sebaik selesai menjalani rawatan, Anwar memulakan langkah awal kebangkitannya dengan mengukuhkan perhubungan antarabangsanya dengan pimpinan politik, tokoh akademik, pakar ekonomi dan ulama-ulama terkemuka dunia. Beliau diundang sebagai profesor pelawat dan mengajar di beberapa buah universiti terkemuka dunia berkenaan dengan demokrasi dan hubungan Islam-Barat. Anwar turut dilantik sebagai penasihat dan perunding hal ehwal ekonomi beberapa buah negara dan organisasi serta diberi penghormatan mengetuai sebuah institusi kebertanggungjawaban antarabangsa iaitu AccountAbility.
Pada masa sama, Anwar menjalin hubungan persahabatan yang cukup erat dengan pimpinan negara Turki, sebuah negara Islam yang dilihatnya sebagai mewakili imej Islam moderat. Anwar turut mengukuhkan kerjasama dengan pimpinan politik, intelektual dan golongan budayawan Indonesia melalui perkongsian citra budaya, wacana sastera, kesejagatan bahasa dan kebersamaan serumpun.
Dua tahun sebelum Pilihanraya Umum ke-12 berlangsung, Anwar mulai giat meneroka segenap ceruk negara berpidato tentang peri pentingnya rakyat Malaysia bersatu tanpa mengira bangsa, agama dan budaya. Melalui pidatonya, beliau turut meminta agar rakyat bangkit dan berani mengubah nasib mereka dengan memberikan kepercayaan kepadanya untuk memulihkan kembali hala tuju negara yang kelihatan semakin tidak menentu sejak akhir-akhir ini.
Dalam usaha untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-12, Anwar memainkan peranan yang cukup signifikan sebagai penghubung dalam pembentukan kerjasama KeADILan-PAS-DAP sebagai suatu pakatan yang kukuh untuk berdepan dengan rejim BN. Hasil dari kerjasama ini menyaksikan BN mengalami kekalahan paling teruk sepanjang sejarahnya. Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang dan Kelantan berjaya dikekalkan di bawah dominasi PAS. Sejurus selepas kejayaan tersebut, Anwar mengumumkan pembentukan Pakatan Rakyat -- ikatan politik antara KeADILan, PAS dan DAP dalam mempersiapkan diri selaku 'sebuah kerajaan dalam penantian'.
Kini, Pakatan Rakyat hanya menanti masa untuk mengambil alih teraju pentadbiran di Putrajaya. Ura-ura bahawasanya akan terjadi perpindahan ahli-ahli Parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat semakin hampir menjadi kenyataan sehingga memaksa Perdana Menteri menyatakan ikrarnya untuk menghalang perkara ini daripada berlaku dalam pembentangan Belanjawan 2009 di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Apa pun, rakyat Malaysia kini semakin berdebar menanti detik 16 September. Apakah pada tanggal tersebut gerakan reformasi tiba pada kemuncaknya atau sekadar utopia Anwar untuk menimbulkan keresahan di kalangan pihak kerajaan yang kelihatan semakin hilang arah? Semuanya bakal terjawab dalam tempoh 14 hari dari sekarang.

Isnin, September 01, 2008

Menolak Taksub Perkauman

Saya meletakkan kefahaman bahawa Allah s.w.t. melarang manusia taksub terhadap bangsanya. Tatkala mendengar ayat ke-34 dari Surah Al-Baqarah, Iblis dinyatakan sebagai seorang kafir kerana bersifat angkuh dan takbur kerana enggan menuruti perintah Allah agar sujud menghormati Adam a.s.
Hujung tahun lalu, saya pernah menulis perihal Iblis yang taksub dengan asal kejadiannya dari api sehingga ke tahap menghina asal kejadian Adam yang diciptakan Allah dari tanah. Iblis kemudiannya diusir keluar dari syurga dan dilaknat oleh Allah sehingga hari kiamat.
Seandainya kita memahami konteks firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-34, juga dari Surah Al-Isra', ayat 61-63, maka kita tidak akan sekali-kali bersifat angkuh dan taksub dengan keturunan dan bangsa kita. Menjadi rasis bukanlah tuntutan dalam beragama.
Harus diingat bahawa Iblis tercampak keluar dari syurga kerana sifat rasis dan taksub terhadap asal kejadiannya. Barangkali Ketua UMNO Bukit Bendera harus belajar menerima hakikat bahawa Iblis adalah bapa perkauman pertama di muka bumi.
Jika mahu menjejak Iblis di neraka kelak, teruskanlah menjadi rasis!