Iklan

Khamis, Julai 31, 2008

Sindrom Lingam

Pengurus Besar Hospital Pusrawi, Wan Mahmood Wan Yaacob barangkali sudah dijangkiti sindrom Lingam.
VK Lingam, peguam terkemuka yang mencetuskan kontroversi menerusi rakaman pita video yang memaparkan perbualannya dengan bekas Ketua Hakim Negara, Ahmad Fairuz dalam mencaturi urusan pelantikan hakim ketika ditanya tentang kesahihan kelibat dirinya dalam video tersebut menjawab:
"Dia (imej lelaki dalam rakaman video) kelihatan seperti saya. Dia (suara lelaki dalam rakaman video) kedengaran seperti saya. Tapi dia bukan saya."
Wan Mahmood pula, ketika ditanya oleh para wartawan berkenaan kesahihan laporan perubatan Saiful Bukhari Azlan yang didedahkan di laman-lama web baru-baru ini menjawab dalam nada sama dengan jawapan Lingam:
"Nampak sama tapi tidak sama. Salinan asal ada dengan saya."
Alasan bahawa kedatangan Saiful Bukhari ke Hospital Pusrawi adalah untuk melaporkan kesakitan perut dan kesukarannya untuk membuang air besar serta tiada kena mengena dengan pemeriksaan liwat jelas dangkal dan mustahil untuk diterima oleh rakyat.
Persoalannya sekarang ialah mengapakah tumpuan terlalu diberikan kepada siapakah pembocor laporan tersebut? Saya kira adalah lebih baik pihak berkuasa menumpukan kepada isi kandungan laporan perubatan itu yang jelas membuktikan bahawa Saiful Bukhari tidak diliwat sebagaimana yang didakwanya!

Isnin, Julai 28, 2008

Saiful Bukhari Masih Teruna?

Semalam, saya menerima SMS dari teman-teman berkenaan dengan laporan perubatan yang dijalankan ke atas Saiful Bukhari Azlan bertarikh 28 Jun 2008 oleh pihak Hospital Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Jalan Tun Razak yang khabarnya telah disiarkan secara meluas di laman-laman blog.
Laporan perubatan yang pada mulanya disiarkan di laman Malaysia Today oleh Raja Petra Kamaruddin itu menyatakan bahawa tidak wujud sebarang bukti sebagaimana yang didakwa oleh Saiful Bukhari Azlan bahawa beliau telah diliwat oleh Anwar Ibrahim.
Menurut laporan yang ditandatangani oleh Dr. Mohamed Osman Abdul Hamid, jelas tiada sebarang tanda yang menunjukkan bahawa Saiful Bukhari diliwat. Khabarnya, dubur Saiful masih 'teruna' dan sihat.
Malaysiakini antara lain melaporkan, sewaktu berkunjung ke Hospital Pusrawi, Saiful Bukhari tidak langsung menunjukkan tanda-tanda trauma serta berada dalam keadaan santai dan tenang.
Pihak Hospital Pusrawi menurut sumber Malaysiakini kini sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran laporan perubatan Saiful Bukhari yang tidak sepatutnya didedahkan ke khalayak. Maklumat dalaman turut menyatakan bahawa Dr. Mohamed Osman kini sedang dalam tempoh bercuti sejak minggu lalu.
Difahamkan bahawa keterangan dari Dr. Mohamed Osman turut dirakam oleh pihak polis dan dilaporkan bahawa doktor tersebut kini berada dalam keadaan tertekan sehingga memaksa beliau bercuti dari tugas.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan ini, maka tidak salah untuk rakyat percaya bahawa Saiful Bukhari Azlan sebetulnya tidak pernah diliwat oleh sesiapa; baik Anwar, Khairil Annas Jusoh mahu pun Pakcik Pet.
Saiful Bukhari Azlan saya kira masih lagi berstatus teruna dan ini mungkin satu berita baik buat Janna Syariza Mohd Zaki!

Khamis, Julai 24, 2008

Jangan Lepaskan 'Anjing' Tersepit!

Saya masih ingat selepas berakhirnya Pilihanraya Umum (PRU) ke-10 pada tahun 1999, media arus perdana mulai memainkan isu penyatuan Melayu-Islam melalui muzakarah UMNO dengan PAS. Meski pun prestasi UMNO-BN dalam pilihanraya waktu itu tidak seteruk yang dihadapinya baru-baru ini, isu penyatuan Melayu-Islam tetap dimanipulasi untuk menutup perpecahan dan permasalahan dalaman yang sedang digeluti UMNO.
Kini, polemik sama mulai dicanang dalam media-media milik UMNO-BN. Laporan tentang pertemuan beberapa orang pimpinan tertinggi PAS dengan Presiden UMNO beberapa hari selepas berakhirnya PRU ke-12 dibesar-besarkan seolah-olah akan wujud satu lagi kejutan politik nasional. Imej PAS mulai dipalit dengan kemungkinan untuk 'mengkhianati' perjuangan yang dilandaskan atas muafakat Pakatan Rakyat.
Penolakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam hal ini jelas menunjukkan bahawa PAS tidak akan sekali lagi diperdaya oleh muslihat UMNO yang 30 tahun lalu pernah mencabuli kerjasama yang dibina.
Dewan Pemuda PAS melalui ketuanya, Salahuddin Ayub dikhabarkan turut menentang gagasan muzakarah ini. Apa logiknya untuk PAS menerima tawaran UMNO yang kini jelas berada dalam keadaan kelam-kabut dan goyah?
Saya menganggap tindakan politik atas nama penyatuan Melayu-Islam yang dijaja UMNO waktu ini tidak lebih sekadar jerangkap samar untuk memusnahkan PAS dan Pakatan Rakyat. Jika 30 tahun lalu, PAS diaibkan dengan hina oleh UMNO, tidak mustahil kali ini UMNO akan melakukan perkara yang sama.
Jangan nanti, PAS menjadi ibarat melepaskan anjing tersepit, dan kemudian anjing yang dilepaskan itu bertindak ganas dengan membaham dan menggigit tangan orang yang melepaskannya!

Selasa, Julai 22, 2008

Teguran Buat Suara Keadilan

Saya kecewa dengan laporan dalam akhbar Suara Keadilan yang bersifat cuai dan tidak faktual berhubung dengan perkembangan beberapa isu, antara lain yang membabitkan dakwaan liwat ke atas Anwar Ibrahim.
Suara Keadilan (edisi terkini) telah melakukan kesalahan yang cukup jelas -- tanpa kajian dan pengesahan -- iaitu dengan mendakwa Janna Syariza Mohd Zaki (tunang kepada penuduh Anwar) merupakan anak kepada bekas atlet kebangsaan, Datuk Mumtaz Jaafar!
Saya bimbang jika percanggahan fakta yang mengelirukan ini bakal dianggap fitnah oleh rakyat yang memandang media alternatif sebagai rujukan maklumat terkini. Suara Keadilan harus belajar untuk memperbaiki mutu berita, kualiti gambar dan kesahihan fakta yang disiarkannya.
Beberapa edisi Suara Keadilan sebelum ini seakan-akan diterbitkan seperti melepaskan batok di tangga!

Selasa, Julai 15, 2008

Bila Shabery Cheek Nak Letak Jawatan?

Saya terkesima melihat kehebatan Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek dalam menonjolkan diri selaku jurucakap unggul pemerintah Barisan Nasional. Jelas, Shabery jauh lebih cemerlang daripada Zainuddin Maidin!
Hujah-hujah berbentuk serangan peribadi dan propaganda dangkal bersifat pengampuan barangkali merupakan salah satu kemahiran istimewa Shabery. Apa relevannya membangkitkan aktivisme Anwar tatkala beliau menjadi pemimpin mahasiswa pada tahun 1974 dalam membahaskan perihal kenaikan harga minyak?
Saya cuba melihat sesi debat antara Anwar dan Shabery ini secara rasional dan tidak berpihak pun demikian jelas kelebihan malam ini berpihak kepada Anwar. Penghujahan dan pembentangan fakta yang dikemukakan nyata lebih kemas dan bernas.
Apa pun, pujian harus diberikan terhadap Shabery kerana punya keberanian untuk berdepan dengan Anwar yang sememangnya terkenal sebagai seorang pemidato dan pendebat yang berwibawa. Shabery selepas ini akan diangkat selaku wira baru Umno atas keberaniannya berdebat dengan Anwar. Barangkali pencapaian beliau ini akan dijadikan ukuran untuk menilai tingkat prestasinya dalam pemilihan Umno hujung tahun ini.
Saya kira Anwar malam ini telah berjaya menggunakan segenap peluang dan ruang yang ada untuk membuktikan kemampuan dan kesungguhannya berhubung janji penurunan harga minyak seandainya diberi amanah memimpin negara. Rata-rata ramai yang lebih menaruh keyakinan terhadap hujah-hujah Anwar berbanding dalil-dalil putar belit Shabery.
Mungkin esok rakyat akan mulai bertanya: "Bila Shabery Cheek nak letak jawatan?".

Sabtu, Julai 12, 2008

Seputar Isu Qazaf, Zina & Liwat

Bicara saya bersama Dato' Hashim Yahaya petang tadi agak memberangsangkan meski masih banyak yang perlu digali. Beberapa persoalan yang dikemukakan berhubung polemik semasa sekitar isu liwat, zina dan qazaf terjawab ringkas. Kupasan beliau lebih kepada persoalan hukum dan saranan agar merujuk kepada pakar perundangan syari'e.
Meneliti laporan beberapa akhbar milik Umno kebelakangan ini, seakan-akan wujud kecenderungan untuk membangkitkan kegusaran serta kekeliruan di kalangan rakyat berhubung dengan persoalan syarak dan beberapa peruntukan di bawah undang-undang syari'e.
Membedakan dan membandingkan nilai kemaslahatan jenayah zina dan liwat saya kira wajar pun demikian tuduhan liwat menurut pandangan saya lebih berat dan mengaibkan berbanding zina. Liwat secara umumnya dilihat sebagai sesuatu yang bersifat di luar tabi'e yakni bertentangan dengan fitrah kemanusiaan maka dari itu sewajarnya peruntukan qazaf yang digunapakai untuk dakwaan zina turut diaplikasi atas dakwaan liwat.
Saya kira perkara ini sentiasa terbuka untuk didebatkan. Masyarakat perlu berani melakukan perbandingan, menimbangtara seterusnya bebas berpendapat. Pergelutan ilmiah harus terus bergerak, independen dan konsisten.

Rabu, Julai 09, 2008

Qazaf Buat "Sang Musang"

Polemik mubahalah yang dikumandangkan SS Dr. Asri Zainul Abidin beberapa hari lalu saya kira sengaja diulangputar oleh bajingan Umno untuk membangkit sentimen Melayu-Islam seputar isu yang melibatkan Anwar Ibrahim.
Pagi tadi, atas nasihat ulama' dan peguam, Anwar memfailkan tuntutan qazaf atas "sang musang" (barangkali saya jijik untuk menyebut namanya!). Kupasan peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman berkaitan hal ini cukup mengesankan.
"Dalam Islam, lelaki yang dituduh (melakukan liwat) adalah tidak bersalah. Siapa yang menuduhnya harus membawa saksi, bukannya seseorang (yang dituduh) untuk bersumpah sebab sumpah adalah sebahagian daripada pembuktian. (Bersumpah) ini bukan untuk beliau (Anwar) membuktikan bahawa beliau tidak bersalah. (Tetapi) ini adalah untuk penuduh untuk membuktikan beliau bersalah," jelasnya kepada Malaysiakini.
Nah! Sentimen apa lagi yang bakal dilagukan?

Selasa, Julai 08, 2008

Polemik Mubahalah


Pemuka-pemuka Umno mulai lantang membangkit perihal mubahalah sebaik gesaan dibuat oleh Mufti Perlis, SS Dr. Asri Zainul Abidin baru-baru ini. Cukup aneh apabila beberapa kerat pimpinan Umno bercakap seolah-olah arif agama dan celik Al-Quran!
Najib Razak -- yang mana beberapa hari sudah cukup celaru dalam beberapa siri kenyataannya -- semalam membidas Anwar Ibrahim sambil menyifatkannya berdolak-dalik dalam isu mubahalah. Barangkali Najib sendiri wajar bersumpah atas nama Allah "bahawa saya tidak pernah bertemu dan meniduri Altantuya Shaariibuu!"
Saya melihat isu mubahalah ini mulai jadi mainan politik beberapa kerat pimpinan Umno. "Sang musang" juga tak ketinggalan mengikut rentak ini dan kelihatan cukup teruja menyuarakan cabaran atas nama agama, kononnya untuk menegak hak.
Isu mubahalah sewajarnya dilandaskan atas syari'at dan hukum. Saranan Mufti Perak, SS Harussani Zakaria dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Hashim Yahaya sewajarnya direnungi dan difahami dengan cermat.
Mubahalah, menurut pemahaman saya sebetulnya berkait dengan dakwaan li'an. Jika benar "sang musang" mahu berbicara atas nama agama, maka hadapkanlah empat orang saksi sebagaimana yang dituntut syarak. Terzahir kebebalan tatkala asyik dan teruja mencabar secara semberono, kononnya atas nama Tuhan!

Jumaat, Julai 04, 2008

Reformasi Harus Terus

"Some of [the prophets] predicted great and marvelous things to come: [though] for me, I in no way attribute to myself such a title here."
-Nostradamus, Letter to King Henri II, 1558

Seminggu lalu cukup mengejutkan. Saya tidak pernah menjangka krisis politik negara ini akan melalui satu lagi tahap sukar. Perjuangan menegak hak dan kebebasan pastinya lebih mencabar kini.
Sewaktu teriak "reformasi" diledak hampir 10 tahun lalu, ribuan rakyat turun ke jalanan. Gelombang kebangkitan waktu itu cukup kuat, hingga membangkit kemarahan dan mencetus resah. Saya masih di sekolah, mulai berjinak-jinak menelaah Dilema Melayu.
Kini, gerakan reformasi diuji lagi. Kali ini saya tidak lagi duduk di bangku bilik darjah dan kuliah. Kita perlu jelas dan tegas. Biar apa pun terjadi, perjuangan harus terus.
Reformasi ini bukan kerana satu sosok bergelar Anwar Ibrahim. Juga bukan kerana pincangnya pemerintah Barisan Nasional dalam mengemudi bahtera negara. Reformasi ini untuk masa depan bersama, yakni demi membunuh kebejatan pemimpin dan menghapus kebodohan rakyat yang semakin hilang kewarasan.