Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
(Surah Ali Imraan: 26)
Setiap kali saya naik ke tingkat 21, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, saya pasti akan teringatkan peristiwa lebih setahun lalu ketika mana saya turun menjenguk kempen pilihanraya kecil DUN Ijok. Hari ini, calon yang tewas di sana setahun lalu merupakan teraju utama kepimpinan negeri Selangor Darul Ehsan.
Kenangan dikasari dan dirompak oleh sekumpulan anak muda Melayu yang memakai baju berlambangkan dacing masih segar dalam ingatan saya sehingga hari ini. Mujur saya sempat melepaskan diri dan 'diselamatkan' oleh Ketua Pemuda UMNO, Hishammuddin Hussein yang kebetulan bersama-sama dengan para pengiringnya melalui kawasan tempat saya diterajang dan dicederakan. Hanya kerana berlainan ideologi politik, tangan-tangan yang mendakwa memperjuangkan hak Melayu ini menghalalkan tindakan ganas mereka ke atas batang tubuh saya.
Barangkali Hishammuddin sudah membuang baju kemejanya yang terlumur dengan darah merah dari muka saya tatkala saya dirangkulnya untuk ditenangkan. Apa yang menjadi kebanggaan saya sehingga ke hari ini ialah meski pun lebam di mata kiri saya sudah hilang, pun begitu garis luka di bawahnya masih lagi berparut.
Saya ucap penghargaan buat Hishammuddin atas 'jasa baiknya' pada waktu itu. Memandangkan di dalam poket kemeja saya tersemat risalah kecil berlambangkan mata, maka saya kemudiannya dikawal seketatnya oleh para pembantu Hishammuddin.
Sebaik selesai membuat 'laporan' polis (saya hanya menandatangani laporan tersebut kerana jurubicara saya merupakan pembantu Hishammuddin yang ditugaskan untuk mengawal saya), saya dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Doktor yang memeriksa saya tiba-tiba sebak dan terkejut melihatkan baju yang koyak berlumuran dengan darah. Saya menceritakan ke semuanya dan apa yang mampu dikatakannya hanyalah "sabar".
Saya bersabar tatkala dicemuh dan dicerca sebaik tiba di Bilik Gerakan Pemuda BN (Sedia Gempur!). Khairy Jamaluddin (KJ) turut kelihatan. Tegap dan sasa anak muda ini. Perwatakannya sedikit bongkak. Dia dikelilingi oleh beberapa pimpinan Pemuda yang saya kira merupakan pengampu-pengampu setianya.
Sepanjang berada di bilik gerakan tersebut, saya jadi sasaran jenaka dan bahan lawak anak-anak muda Melayu bertopi yang memaparkan lambang dacing. Lebam di mata kiri saya dimomok-momokkan umpama lebam mata Anwar tatkala dia diganyang di Bukit Aman hampir sedekad yang lalu.
Saya diugut dengan AUKU dan ISA. Kaedah menakut-nakutkan dengan ancaman itu ini sememangnya cukup berkesan dalam merendahkan motivasi diri seorang tawanan seperti saya. Malamnya saya dibawa bermalam di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Seperti diduga, cemuhan dan sindiran berbentuk lucah mulai disasarkan terhadap saya. Masing-masing menutup punggung setiap kali melakukan penghinaan. Saya teringat pesan doktor yang merawat saya: sabar.
Kisah di Ijok cukup panjang. Cukup untuk meyakinkan saya bahawa perjuangan UMNO sememangnya bukan jalan perjuangan yang mulia. Wang, wang dan wang. Itulah nyawa dan tuhan mereka. Saya bersyukur, berkat kesabaran dan kerja keras teman-teman seperjuangan, pengorbanan di Ijok tahun lalu telah pun dibayar pada tahun ini. Siapa sangka, tidak sampai setahun peristiwa tersebut berlaku, kini segala-galanya telah berubah. Maka benarlah firman Tuhan dalam Surah Ali-Imraan, ayat ke-26.