Menyaksikan rakaman video di atas, saya akui semakin hilang kepercayaan terhadap Umno, sekaligus hilang hormat terhadap Dr. Mahathir Mohamad. Selama ini, perkataan "Anwar Ibrahim" seakan-akan menjadi tabu dalam sebarang majlis yang melibatkan kehadiran Abdullah Badawi pun begitu, semalam jelas terbukti bahawa kelompok yang mendakwa diri mereka sebagai Umno Kiri ini juga sebenarnya fobia dan gerun dengan dua patah kata ini: ANWAR IBRAHIM. Peristiwa tersebut secara jelas memberi tafsiran bahawa Umno merupakan sebuah parti yang tidak pernah mendukung aspirasi demokrasi!
Dr. Mahathir, dalam keresahannya serta percaturan peribadinya untuk menjatuhkan Perdana Menteri Abdullah Badawi akhir-akhir ini gagal menampakkan sosok perwatakan sebagai seorang pemimpin besar, seorang negarawan dan seorang tua yang budiman. Beliau lebih cenderung untuk menyerang karakter serta mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat provokatif yang secara tidak disedarinya merosakkan imej serta reputasi beliau sendiri.
Bercakap perihal kebebasan bersuara, budaya ampu-bodek dalam Umno, gejala kronisme/nepotisme dan demokrasi dalam parti, Dr. Mahathir seakan-akan cuba untuk meletakkan dirinya sebagai penyelamat, sebagai harapan baru untuk memulihkan Umno yang hari ini berada dalam keadaan tenat dan kritikal. Perpecahan dalaman, krisis kepimpinan dan agenda peribadi beberapa orang tokoh seperti Dr. Mahathir menambah parah dalam Umno.
Umum dan dunia mengetahui siapa Dr. Mahathir yang sebenarnya. Saya secara peribadi tidak akan dan sama sekali tidak mampu untuk menafikan sumbangan beliau terhadap pencapaian negara sepanjang 22 tahun kepimpinannya, pun begitu sepanjang tempoh tersebut jugalah institusi kebebasan dan keadilan negara ini semakin rosak dan musnah. Perpecahan dalam Umno juga sebetulnya bermula pada tahun 1987 dan diulangi sekali lagi oleh beliau pada tahun 1998.
Jika kita menggali sejarah perpecahan Umno sepanjang penubuhannya sejak tahun 1946, jelas ketika era kepimpinan Dr. Mahathirlah, Umno mulai berpecah dan tidak bersatu sehingga hari ini. Umno yang diwarisi oleh Abdullah dari Dr. Mahathir merupakan Umno yang sudah retak dan hanya menunggu masa untuk berpecah belah. Dan hari ini, Dr. Mahathir dengan angkuh menuding jari kepada Abdullah.
Umno harus berani melawan arus. Mahathir hanyalah suatu nama, ikon lampau yang hanya layak dikenang sebagai sejarah. Kenyataan Ketua Penerangan Umno, Muhammad Muhd Taib yang menyifatkan Dr. Mahathir sebagai "orang kebal" dan tidak boleh dikenakan sebarang tindakan disiplin seharunsya disanggah dan dinafikan oleh pendukung Umno yang setia kepada perjuangan parti. Demi perpaduan Umno, dan kelangsungan kepimpinan Abdullah, Dr. Mahathir harus disingkirkan dari parti.
Abdullah Badawi harus kekal memimpin Umno dan menjadi Perdana Menteri. Saya bukan simpatisan Abdullah, tetapi saya merasakan selagi mana Abdullah kekal memimpin Umno dan menjadi Perdana Menteri, semakin cerahlah peluang Pakatan Rakyat untuk mengambil alih teraju kepimpinan negara.