Iklan

Jumaat, April 18, 2008

Rais Layak Jadi Menteri Luar Israel

"Kami tidak menghalang sesiapa untuk datang ke Malaysia. Dalam kes ini, walaupun kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel atau perdagangan secara terus dengan negara itu, kita tiada bantahan terhadap lawatan mereka."
-Dr. Rais Yatim, 14 April 2008

Saya tidak pasti sama ada Dr. Rais merupakan salah seorang penyokong Chelsea FC tetapi saya kira sebagai Menteri Luar, beliau seharusnya tahu bahawa negara Malaysia tidak punya sebarang ikatan diplomatik dengan Israel.
Hujah beliau bahawa dua orang ahli dari kelab Chelsea iaitu jurulatihnya Avram Grant dan pemain pertahanannya Tal Ben-Haim (kedua-duanya merupakan warganegara Israel) datang "sebagai satu pasukan" sebagai alasan mewajarkan kehadiran mereka ke Malaysia nyata bercanggah dengan prosedur dan polisi luar negara Malaysia yang jelas tidak mengiktiraf kedaulatan Israel dan kemasukan mana-mana warganegaranya ke negara ini.
Rais, selaku Menteri Luar (dan pernah menjawat portfolio yang sama suatu ketika dahulu) seharusnya peka dan arif dengan polisi ini yang pernah dicabuli oleh Dr. Mahathir pada tahun 1997 ketika mana beliau meraikan kehadiran pasukan kriket Israel ke Malaysia sekali pun mendapat bantahan meluas di kalangan masyarakat khususnya umat Islam.
Semalam, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Citizens International (CI) yang menggabungkan beberapa NGO Islam antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) membantah kenyataan Rais ini sambil menyifatkannya sebagai "tidak peka pada perasaan orang Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel".
Pengerusi CI, SM Mohamed Idris dalam kenyataannya menyeru Kementerian Dalam Negeri agar menguatkuasa seketat-ketatnya undang-undang (polisi larangan masuk terhadap warganegara Israel) dan tidak mengizinkan rakyat Israel ke Malaysia. Tambah beliau lagi, polisi melarang kemasukan warganegara Israel itu bertujuan menyingkirkan Israel sehinggalah ia mengiktiraf hak warga Palestin, menghormati undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan berhenti mencabuli hak asasi manusia.
Rais selaku Menteri Luar sebuah negara yang mendakwa berstatus Negara Islam seharusnya sensitif dalam isu ini. Saya tiada masalah dengan kedatangan pasukan Chelsea. Datanglah, dan ajarlah pemain-pemain kebangsaan Malaysia cara bermain bola sepak yang sebenar. Pun begitu, atas semangat kesukanan, polisi luar negara tidak seharusnya dicabuli dan dikesampingkan.
Mahathir yang sejak akhir-akhir ini cukup lantang melabel seorang pemimpin pembangkang sebagai agen Israel seharusnya sedar bahawa suatu ketika dahulu, beliau pernah mencabuli polisi luar negara dengan meraikan atlet kriket Israel sehingga bertindak menangkap aktivis-aktivis Islam yang berdemonstrasi bagi membantah pencabulan yang dilakukannya.
Mungkin Mahathir (yang mahu dilihat sebagai penyelamat Umno) wajar menegur Rais dalam isu ini. Jika beliau berani melabel orang lain sebagai "sesuai menjadi Perdana Menteri Israel", maka apalah salahnya jika beliau mulai melabel Rais Yatim sebagai "sesuai menjadi Menteri Luar Israel"!

8 ulasan:

Kijar berkata...

See Please Here

Pewaris Reformasi berkata...

Aku sokong Chelsea, camne?

r_feev berkata...

aku minat nak dgr apa bekas pengerusi OIC pula komen...=)

Pewaris Reformasi berkata...

Aku ingat sentimen anti-semitik tak perlu dibesarkan. Dalam kes ini, kita persoalkan bahawa kita tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara, tapi atas kemanusiaan, aku tak fikir individu Yahudi patut jadi mangsa. Itu pendirian aku. Terpulang pada kalian kerana di negara lain yang penuh Yahudi, Islam subur juga.

najwan halimi berkata...

Amin,

Aku lebih menumpukan entri ini pada persoalan polisi luar negara. Yahudi sebagai satu entiti bangsa aku kira harus diiktiraf.

Manusia yg suka bermain dgn sentimen anti-semitik di Malaysia ini yg cukup terkenal hanya Mahathir seorang saja.

Servidores berkata...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Servidor, I hope you enjoy. The address is http://servidor-brasil.blogspot.com. A hug.

Tanpa Nama berkata...

Najwan, kau tengok kat laman web Pemuda Umno, dia orang sokong Chelsea ke Malaysia walaupun ada 2 orang warga Israel.

http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=7436

Lihat Kehadiran Chelsea Secara Menyeluruh

Posted on Tuesday, April 15 @ 17:32:03 MYT

Oleh Kazman Kamal

Kuala Lumpur -- Pengerusi Biro Belia dan Sukan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata aktiviti serta program sukan tidak seharusnya dicampuradukkan dengan politik.

Jelas beliau adalah sesuatu yang malang sekiranya sukan salah satu medium yang mampu memupuk perpaduan di kalangan rakyat dipolitikkan tanpa melihat ke arah sesuatu yang positif.

"Kita seharusnya melihat kedatangan pasukan bola sepak Chelsea ke negara ini dari sudut yang menyeluruh. Chelsea adalah antara kelab bola sepak yang hebat yang juga mempunyai ramai peminat di sini.

"Sepatutnya kehadiran mereka tidak dipolitikkan apatah lagi dalam kedudukan pasukan bola sepak negara sekarang yang memerlukan pendedahan dan pengalaman menerusi perlawanan seperti yang dirancangkan bersama pasukan Chelsea", katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas kehadiran pasukan Chelsea di negara ini untuk satu perlawanan persahabatan dengan pasukan pilihan Malaysia pada 29 Julai ini.

Pada hujung bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan perlu mengkaji dulu keadaan sebelum membenarkan pasukan Chelsea datang ke Malaysia.

Semalam Kementerian Luar menyatakan tidak menghalang kedatangan pengurus dan pemain kelab bola sepak Chelsea yang merupakan warga Israel.

Menterinya, Datuk Seri Rais Yatim berkata pihaknya tidak melihat sesuatu yang salah walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik atau perdagangan dengan Israel.

Shamsul yang juga Presiden Majlis Belia Malaysia seterusnya berkata sukan apatah lagi bola sepak mempunyai peminat yang cukup ramai seharusnya dijadikan medium untuk memupuk perpaduan bukan sebaliknya.

"Janganlah semua perkara hendak dipolitikkan. Apa pun keputusan yang dilakukan ia perlu dilihat secara menyeluruh.

"Bagi kita bukan senang pasukan sehebat Chelsea ini untuk datang ke sini khususnya mengadakan satu perlawanan dengan pasukan negara kita", ujarnya.

najwan halimi berkata...

Teman,

Terima kasih. Akan saya respon.