Iklan

Khamis, April 03, 2008

Perpaduan Umno: Mahathir Harus Disingkir

Menyaksikan rakaman video di atas, saya akui semakin hilang kepercayaan terhadap Umno, sekaligus hilang hormat terhadap Dr. Mahathir Mohamad. Selama ini, perkataan "Anwar Ibrahim" seakan-akan menjadi tabu dalam sebarang majlis yang melibatkan kehadiran Abdullah Badawi pun begitu, semalam jelas terbukti bahawa kelompok yang mendakwa diri mereka sebagai Umno Kiri ini juga sebenarnya fobia dan gerun dengan dua patah kata ini: ANWAR IBRAHIM. Peristiwa tersebut secara jelas memberi tafsiran bahawa Umno merupakan sebuah parti yang tidak pernah mendukung aspirasi demokrasi!
Dr. Mahathir, dalam keresahannya serta percaturan peribadinya untuk menjatuhkan Perdana Menteri Abdullah Badawi akhir-akhir ini gagal menampakkan sosok perwatakan sebagai seorang pemimpin besar, seorang negarawan dan seorang tua yang budiman. Beliau lebih cenderung untuk menyerang karakter serta mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat provokatif yang secara tidak disedarinya merosakkan imej serta reputasi beliau sendiri.
Bercakap perihal kebebasan bersuara, budaya ampu-bodek dalam Umno, gejala kronisme/nepotisme dan demokrasi dalam parti, Dr. Mahathir seakan-akan cuba untuk meletakkan dirinya sebagai penyelamat, sebagai harapan baru untuk memulihkan Umno yang hari ini berada dalam keadaan tenat dan kritikal. Perpecahan dalaman, krisis kepimpinan dan agenda peribadi beberapa orang tokoh seperti Dr. Mahathir menambah parah dalam Umno.
Umum dan dunia mengetahui siapa Dr. Mahathir yang sebenarnya. Saya secara peribadi tidak akan dan sama sekali tidak mampu untuk menafikan sumbangan beliau terhadap pencapaian negara sepanjang 22 tahun kepimpinannya, pun begitu sepanjang tempoh tersebut jugalah institusi kebebasan dan keadilan negara ini semakin rosak dan musnah. Perpecahan dalam Umno juga sebetulnya bermula pada tahun 1987 dan diulangi sekali lagi oleh beliau pada tahun 1998.
Jika kita menggali sejarah perpecahan Umno sepanjang penubuhannya sejak tahun 1946, jelas ketika era kepimpinan Dr. Mahathirlah, Umno mulai berpecah dan tidak bersatu sehingga hari ini. Umno yang diwarisi oleh Abdullah dari Dr. Mahathir merupakan Umno yang sudah retak dan hanya menunggu masa untuk berpecah belah. Dan hari ini, Dr. Mahathir dengan angkuh menuding jari kepada Abdullah.
Umno harus berani melawan arus. Mahathir hanyalah suatu nama, ikon lampau yang hanya layak dikenang sebagai sejarah. Kenyataan Ketua Penerangan Umno, Muhammad Muhd Taib yang menyifatkan Dr. Mahathir sebagai "orang kebal" dan tidak boleh dikenakan sebarang tindakan disiplin seharunsya disanggah dan dinafikan oleh pendukung Umno yang setia kepada perjuangan parti. Demi perpaduan Umno, dan kelangsungan kepimpinan Abdullah, Dr. Mahathir harus disingkirkan dari parti.
Abdullah Badawi harus kekal memimpin Umno dan menjadi Perdana Menteri. Saya bukan simpatisan Abdullah, tetapi saya merasakan selagi mana Abdullah kekal memimpin Umno dan menjadi Perdana Menteri, semakin cerahlah peluang Pakatan Rakyat untuk mengambil alih teraju kepimpinan negara.

9 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam najwan...
apa rasionalnya hendak menyalahkan TUN?
situasi ditarik keluar semasa forum anjuran mykmu.net itu hanyalah perlakuan segelintir peserta forum yang emosional...
aku sedikit sebanyak kurang bersetuju...
tapi bab menyalahkan TUN adalah tidak wajar....
kepimpinan PakLah anak beranak yang memusnahkan UMNO itu sendiri diikuti golongan penjilat yang senang sentiasa mengampu demi penuhkan poket mereka sendiri....

hanya pendapat aku..
kekek..

-hantugaz-

amin ahmad berkata...

hantugaz kena tahu apa kenyataan Tun rentetan dari peristiwa itu! Dan kita tengok sikap Tun tak jelas sedangkan dia boleh menunjukkan sikap negarawan yang sedia mendengar dan respon persoalan yang dibawa.

Budaya UMNO yang buruk adalah budaya warisan Tun. Dan hari ini tentangan Tun tak lebih dari menyelamatkan dirinya, di sebalik tema betul untuk menyelamatkan negara.

Bro, tentang Anwar, bukan sahaja kem kanan atau kiri, mana-mana kem pun dari Syiah, Pakatan Rakyat dll ada saja yang curiga dengan Anwar, tapi masing2 tidak dapat menolak peranan dan pengaruh Anwar.

Tapi lebih elok kita fokus kepada isu berbanding tokoh..

Tanpa Nama berkata...

Pendapat aku ialah, bukan Dr.M yang menyebabkan punca pemecahan UMNO. 1988 UMNO retak kerana pertandingan merebut kuasa presiden apabila kuncu Ku Li lawan Dr.M. Selepas itu UMNO berpecah.

Tidak wajar menuduh beliau adalah punca. 1998 UMNO berpecah kerana kes Anwar Ibrahim.

Jangan nafikan yang Anwar sebenarnya kaki mencantas, guna duit politik wang yakni rasuah untuk suap kebanyakan pemimpin. Anwar letak budaya baru. Apa yang UMNO warisi hari ini adalah budaya yang pernah disuburkan oleh beliau.

Berbalik kepada isu pokok, Forum hari tu hanyalah menunjukkan perasaan akar umbi kerana Pak Lah telah menghancurkan perpaduan UMNO.

Akar umbi keseluruhan walau tidak semua, masih menyanjungi Dr.M. Tetapi, Khairy dan budak tingkat 4, Dolah bedawi dan kuncu2 nya cuba menafikan sumbangan orang lama. UMNO sentiasa menghadapi krisis kerana ada golongan tertentu berasakan mereka pandai.

Khairy ni sejak dulu Pro Anwar. Cuma dia hanya berlakon kat depan anti Anwar.

Kejadian hari tu bukan kerana Dr.M ajar pengikutnya. Pengikut yang menghalau orang tu merupakan orang yang taksub. Aku pun tidak setuju dgn cara mereka kerana takut dgn Anwar.

Jgn lupa, siapa yang menuduh Dr.M bukan2 dulu? Sejak 1995, Media antrabangsa pro Anwar sentiasa menyerang Dr.M dan mengangkat Anwar kononnya seorang pemimpin yang dinamik, demokratik dan sbgnya. Mereka menjunjung Anwar. Lagipun Anwar amat jarang kritik ketidakadilan barat malah cuba berdekat rapat dgn Neocon Zionis, @ pro Zionis. Mana destinasinya dari dahulu sehingga sekarang? London-Washington-Paris.

Adalah hak Dr.M untuk menyerang Anwar dgn tuduhan bersekongkol dgn neocon Zionis..bukti sudah nyata.

1998, Anwar ikut telunjuk barat, dgr kata IMF yng terang2 nak runtuhkan ekonomi kita. Doktrin IMF mmg takleh pakai langsung. Aku kini sedang mencari sources untuk menerangkan kenapa IMF itu bahaya.

Jika kita terikat dgn mana2 pemiutang, kita telah menyerahkan secara tak langsung jiwa kita kepada mereka. Kita tak akan bebas.

Aku tidak membenci or anti Anwar kerana aku pun tahu jasa nya kepada Melayu dan Malaysia dahulu. Cuma, aku tidak setuju dgn beberapa perkara yang dia buat serta beberapa perkara dalam perjuangannya.

-Kakiberuk, UMNO Golongan Kiri yang rasional

Tanpa Nama berkata...

Dan aku masih geram dgn ketasuban yang ada kepada pro-Dr.M dan juga Pro-khairy. Bangsat!

-Kakiberuk

yuzy berkata...

Ya ulasan Mahathir selepas pemuda itu dicekup lehernya juga agak mengejutkan.

Mahathir melihat tindakan berani pemuda tersebut sebagai kebangkitan PAKEMBAR dan mengulangi semangat PAKEMBAR pada awal penubuhannya.

Mahathir juga menyatakan pentingnya menyuarakan pendapat,tidak perlu takut.Namun,harus diingat,kebebasan itu juga telah lama hilang pada zaman kegemilangan beliau.

Mari kejar akhirat Tun!

amin ahmad berkata...

Jika kita memahami apa itu Masyarakat Madani, kita tak akan banyak bual bicara soal Tun, Anwar atau Pak Lah. Pemimpin datang dan pergi..

Tun tak pernah salah? Ku Li dan Anwar sentiasa salah? Haha..

Tanpa Nama berkata...

mahathir menfitnah anwar sbb dia dari awal tahu anwar lebih bijak dari dia. agree?

AIOS berkata...

Kita tak perlu membenci kepada sesiapa pun walaupun kita berhak membenci terhadap seseorang. Tun tak bersalah apa-apa, hanya segelintir orang yang sensitif dan menjadi taksub kerana sayangkan Tun. Saya rasa kamu juga akan melakukan perkara yang sama jika ada provokasi sedemikian. Kita harus rasional untuk mengutarakan yang benar.

Tanpa Nama berkata...

anwar ibrahim sebenarnya hanya mementingkan kuasa sahaja.aku xrasa anwar boleh buat semua bende yang dibuat pada zaman tun.