Iklan

Sabtu, Februari 02, 2008

UMNO Alami Perpecahan

Oleh Din Merican (terjemahan oleh Najwan Halimi)

Umum telah mengetahui bahawa institusi politik dalaman UMNO mulai mengalami perpecahan sejak berlakunya proses peralihan kepimpinan pada tahun 2003 yang menyaksikan Dato' Seri Abdullah Badawi dilantik menjadi presiden parti sekaligus Perdana Menteri Malaysia yang baru. Institusi yang berpecah ini tidak akan mampu berdiri teguh atau sekurang-kurangnya dalam menguruskan bebanan yang lebih besar seperti mengetuai Barisan Nasional seterusnya mentadbir negara.

Melalui 'kawalannya' terhadap UMNO, Abdullah mengetuai Barisan Nasional dalam kempen pilihanraya umum 2004 dengan menyaksikan kejayaannya memperoleh mandat luar biasa dari rakyat Malaysia. Beliau kini berharap untuk meneruskan kepimpinannya sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua dengan mengharapkan kemenangan dalam pilihanraya umum yang dijangkakan pada pertengahan bulan Mac 2008 sambil menyatakan bahawa kejayaan 2004 adalah sukar untuk diulangi lagi pada tahun ini.

Dalam konteks perbezaan antara beliau dengan bekas bosnya, kita semua sedia maklum akan perkara ini. Situasi dan perkembangan semasa kelihatannya seakan-akan tidak menyebelahi beliau --- kelembapan ekonomi, amalan rasuah yang berleluasa, inflasi, ketegangan antara kaum, keselamatan awam dan juga permasalahan antara agama.

Hasrat Abdullah untuk menjadi Perdana Menteri lagi bagi tempoh lima tahun akan datang menimbulkan kebimbangan banyak pihak bukan sahaja di kalangan rakyat terbanyak, bahkan turut merisaukan pelabur-pelabur asing dan juga bekas ketuanya, Tun Dr. Mahathir yang melihat banyak legasi tinggalan beliau dirobek dan dihapuskan secara sistematik oleh Abdullah. Apa yang lebih membimbangkan ialah sepanjang empat tahun beliau menerajui tampuk pemerintahan negara, tiada sebarang perubahan yang membanggakan di peringkat nasional. Ini disebabkan oleh kepimpinannya yang sangat lemah.

Pada peringkat awal pentadbirannya, Abdullah menghentikan semua projek yang disifatkan bertaraf mega yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu, pun begitu dengan mempamerkan imej selaku pemimpin masa depan, beliau melancarkan projek-projek berbentuk koridor yang cukup berisiko dalam pembangunan estet hartanah melalui sokongan kroni-kroni beliau dan sekutu politiknya.

Apakah terdapat perjanjian antara Imam Hadhari ini dengan Tun Dr. Mahathir yang menyatakan bahawa sepatutnya Abdullah hanya menjadi Perdana Menteri untuk tempoh sepenggal sahaja, dan kemudiannya harus menyerahkan kepimpinan kepada Datuk Seri Najib Razak? Jawab Tun Dr. Mahathir: Ya. Akhbar Berita Harian (1 Februari 2008) melaporkan Tun sebagai berkata:

"Fikiran saya pada masa itu ialah kerana beliau (Abdullah) lebih berumur daripada Najib, beliau patut menjadi Perdana Menteri untuk satu penggal dan kemudian Najib patut ambil alih."

Abdullah bagaimanapun secara terbuka dan keras menafikan dakwaan ini. Tegas beliau:

"No (tiada) gentlemen's agreement."

Sebagai pemerhati luar, kita tidak mungkin mengetahui apa sebenarnya yang berlaku antara dua pemimpin UMNO ini. Hanya Najib yang mungkin mengetahui hakikat sebenar memandangkan beliau memperoleh sokongan kuat daripada Tun Dr. Mahathir. Namun begitu, beliau (Najib) seperti biasa akan menjarakkan dirinya dari "pihak yang terbabit". Beliau dilaporkan sebagai berkata:

"Saya tidak tahu mengenainya, saya benar-benar tidak tahu mengenainya. Saya komited untuk menyokong Perdana Menteri dan setia kepada Perdana Menteri."

Apakah anda mempercayai kata-kata beliau ini? Apa yang saya perhatikan, Najib merupakan seorang yang cukup berambisi tinggi yang menganggap kerusi kepimpinan sebagai Perdana Menteri merupakan hak istimewa beliau. Barangkali Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr. Mahathir lebih mengenali siapa Najib yang sebenarnya.

Tilikan saya ialah Abdullah, yang menjadi Menteri Luar selama beberapa tahun dan disifatkan sebagai seorang yang setia sebenarnya merencana agenda politiknya dengan hanya menyetujui apa saja asalkan matlamat beliau untuk menjadi Perdana Menteri tercapai. Masihkah anda ingat bagaimana beliau rajin mencatat nota pada ketika beliau sedang mempersiapkan dirinya untuk proses transisi kepimpinan (antara Jun 2002-Oktober 2003)? Namun kini, setelah beliau menikmati kekuasaan (termasuk mengelilingi dunia menggunakan pesawat khas Airbus Executive), beliau barangkali sudah berubah hati. Untuknya, tugas sebagai Perdana Menteri adalah sesuatu yang mudah; tidak perlu berbuat apa-apa dan hanya berlagak seperti raja sahaja. Idea beliau mengenai kepimpinan cukup mengelirukan; etika kerjanya tidak mencapai tahap yang memberangsangkan; dan pengurusan masa beliau cukup menghampakan.

Negara kita menderita apabila kepimpinannya lemah, tidak fokus dan kurang cekap membuat keputusan. Lebih teruk ialah apabila UMNO berada dalam keadaan tidak terkawal pada waktu ini. Parti tersebut terpecah kepada tiga iaitu antara pengikut setia Mahathir, penyokong Abdullah dan kumpulan yang diketuai oleh Najib sendiri. Ianya merupakan situasi konflik tiga segi yang sangat klasikal dan dalam kebanyakan peristiwa, kebiasaannya akan menjadikannya sebagai pertelingkahan dua lawan satu. Apakah ianya pergelutan antara Mahathir-Najib melawan Abdullah atau Abdullah-Najib melawan Mahathir? Yang pasti, Khairy Jamaluddin punyai peranan penting dalam membantu bapa mertuanya terus 'hidup' dalam pergolakan ala Mahathir ini.

Ianya kelihatan menarik, pun begitu pergelutan kuasa dalam institusi politik akan memburukkan negara. Parti UMNO yang berpecah tidak mungkin dapat mengetuai Barisan Nasional dengan baik. Masanya kini telah tiba buat rakyat Malaysia untuk memberikan kepercayaan kepada Barisan Alternatif dengan mengundi calon pembangkang dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Aku teruja dengan artikel ini. UMNO kini berpecah kepada 3 puak. Puak Dollah Bahalol, Najib Altantuya dan Mahathir Mohamad.

Samada ada perjanjian ngan Dollah Bahalol dan Mahathir Mohamad itu belakang cerita. Yang penting ialah, Dollah Bahalol * Khairy Beruk perlu turun! UNDUR mereka, UMNO akan Okay!

-Kakiberuk