Iklan

Selasa, Januari 15, 2008

Siasatan Klip Video Lingam: Haidar Diminta Tarik Diri

Petang tadi, saya sempat mengikuti laporan berita berhubung dengan siasatan Suruhanjaya Diraja yang memulakan prosidingnya hari ini bagi menyiasat klip video Lingam yang memaparkan perbualan telefon seorang peguam dengan seseorang yang didakwa sebagai hakim kanan.
Apa yang mengejutkan ialah tindakan M. Puravelan, peguam yang mewakili pimpinan PKR iaitu Anwar Ibrahim, R Sivarasa dan Sim Tze Tzin yang memohon supaya pengerusi suruhanjaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dua anggotanya - Datuk Shim Lip Kiong dan Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh agar menarik diri daripada menganggotai suruhanjaya tersebut. Menurut Puravelan, keanggotaan ketiga-tiganya dalam suruhanjaya tersebut boleh menimbulkan percanggahan kepentingan (conflict of interest) kerana jawatan yang mereka sandang sekarang serta rekod kerjaya mereka sebelum ini.
Pokok pertikaian ialah posisi Haidar yang merupakan anggota lembaga amanah Yayasan Kepimpinan Perdana (PLF), sebuah institusi yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga merupakan salah seorang saksi utama dalam siasatan ini. Turut menjadi pertikaian Puravelan ialah kedudukan seorang lagi saksi yang namanya disebut beberapa kali dalam klip video tersebut iaitu tauke judi terkenal, Tan Sri Vincent Tan yang juga merupakan pemegang amanah yayasan tersebut. Beliau juga diketahui sebagai salah seorang yang rapat dengan Tun Dr. Mahathir.
Memetik laporan Malaysiakini bertarikh 14 Januari 2008, antara yang turut dipersoalkan oleh Puravelan ialah pembabitan Haidar dan Shim sebagai hakim dalam kes saman fitnah Raphael Pura di mana dakwaan rasuah dalam badan kehakiman diputuskan tidak relevan.
Pura, pada tahun 2000, telah meminda dakwaannya untuk memasukkan dakwaan bahawa Lingam telah menulis sebahagian daripada penghakiman bekas hakim Datuk Moktar Sidin dalam satu kes saman fitnah yang keputusannya memihak kepada Tan.
Cadangan pindaan itu juga termasuk dakwaan bahawa Lingam mempunyai hubungan rapat dengan bekas Ketua Hakim, Tun Eusoff Chin apabila keluarga mereka bergambar bersama ketika bercuti di New Zealand pada Disember 1994.
Apabila kes tersebut dibawa ke mahkamah rayuan, Haidar mendengarnya di Mahkamah Rayuan dan Shim mendengarnya di Mahkamah Persekutuan. Kedua-duanya memutuskan bahawa pindaan dalam pembelaan Pura dibuat dengan niat jahat dan menolok tuntutannya itu.
-Malaysiakini, 14 Januari 2007
Faktor-faktor begini, menurut Puravelan akan menjejaskan persepsi rakyat terhadap keanggotaan Haidar dan Shim dalam suruhanjaya tersebut. Beliau juga menegaskan bahawa nama Shim juga ada disebut dalam klip video terbabit dan ianya berpotensi menjadi saksi dalam prosiding suruhanjaya diraja itu. Robert Lazar, peguam pemerhati bagi pihak Majlis Peguam, menyokong hujah Puravalen supaya Haidar dan Shim menarik diri.
Tegas Robert:
"Siasatan ini berbeza dengan sebuah perbicaraan. Persoalan mengenai kemungkinan berlaku berat sebelah (oleh suruhanjaya tersebut) lebih menekan dan standard (supaya dilihat tidak berat sebelah) adalah lebih tinggi.
Pesuruhjaya siasatan ini merupakan penimbangtara tunggal. Mereka perlu meneliti petunjuk-petunjuk yang mungkin menyebabkan ketidakselesaan kepada salah seorang daripada mereka. Ianya terpulang kepada pesuruhjaya berkenaan untuk memutuskan sama ada mahu menarik diri atau tidak."
Berhubung dengan kedudukan Zaitun Zawiyah pula, menurut Puralevan, beliau (Zaitun) pernah terbabit dalam pendakwaan kes salahguna kuasa terhadap Anwar dan di dalam klip video itu juga ada menyebut tentang perbicaraan kes tersebut (kes Anwar).
Meneliti inti peristiwa perjalanan prosiding hari ini, saya juga sebetulnya mulai sangsi dengan ketelusan suruhanjaya ini. Terlalu banyak kepincangan dan kemungkinan wujudnya percanggahan kepentingan adalah amat tinggi.
Saya menantikan episod seterusnya. Paling mengujakan ialah saat munculnya Dr. Mahathir, VK Lingam dan Ahmad Fairuz yang bakal tampil sebagai saksi utama selepas ini.

3 ulasan:

hanif amir berkata...

Kita nantikannya bersama..Mengujakan!

Tanpa Nama berkata...

Aku doakan Tun Mahathir lepas kes ni. Soal promote mempromosi sudah menjadi perkara biasa kat mana2 negara mahupon Malaysia. At the end, PM akan decide sapa yang in favor to government.
-kakiberuk

din merican berkata...

Jangan harap Badawi boleh buat keputusan tentang hal ini dan lain lain lagi berkaitan dengan hal ehwal negara. Lagi pun, RCI ini tidak tegas dan tidak berani.