Iklan

Khamis, Januari 03, 2008

Seks & Moral: Pemimpin Rasuah Juga Harus Letak Jawatan

Semalam Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengumumkan perletakan jawatannya dalam kerajaan dan politik. Beliau yang sebelum ini bertegas tidak akan melepaskan jawatannya dan menyerahkannya atas budi bicara Perdana Menteri akhirnya bertindak rasional dengan mengumumkan pengundurannya. Menurut Dr. Chua, perletakan jawatannya dilakukan berdasarkan reaksi rakyat negara ini yang tidak menerima permohonan maafnya kelmarin. Tambah beliau lagi, langkah itu juga dapat mengelakkan bebanan kepada kerajaan dan parti khususnya dalam konteks Islam Hadhari dan budaya politik yang bersih.
Tindakan Dr. Chua yang menganggap perletakan jawatannya selari dengan konteks Islam Hadhari seharusnya dipuji dan sewajarnya dijadikan renungan oleh segelintir pegawai kerajaan terutamanya yang bertaraf menteri dan timbalan menteri agar turut mengikut jejak beliau yang rela mengorbankan masa depan karier politiknya demi membersihkan imej kerajaan dan parti dari terjejas ekoran masalah dan skandal.
Saya melihat kontroversi yang menimpa Dr. Chua ini sekadar membabitkan moral dan sahsiah beliau. Seks haram, meski pun sesuatu yang ditegah dalam kebanyakan agama bukanlah merupakan satu jenayah dalam negara ini (kecuali apabila ianya membabitkan umat Islam). Jenayah sebenar dalam konteks skandal Dr. Chua ini ialah pencerobohan ruang peribadi yang jelas tidak beretika. Bagaimana mungkin ruang kamar hotel yang seharusnya menjadi ruang peribadi seseorang boleh dicerobohi dan dipasang sistem kamera litar tertutup?
Pun begitu, sebagai seorang ahli politik sebuah parti nasional kedua terbesar di Malaysia, juga sebagai seorang wakil rakyat yang menjawat jawatan awam bertaraf menteri, Dr. Chua seharusnya tahu risiko dan kesan yang terpaksa ditanggungnya jika skandal seks ini tersebar ke pengetahuan umum. Dan semalam, beliau telah menerima padahnya.
Di Malaysia, seks menjadi senjata yang paling ampuh dalam usaha untuk menjatuhkan reputasi serta kredibiliti seseorang terutamanya di kalangan ahli politik. Rahim Tamby Chik, Anwar Ibrahim, Abu Hassan Omar dan Mohammad Sabu merupakan antara politikus yang pernah merasai kejatuhan dalam karier masing-masing akibat dipalit dengan kontroversi pertuduhan seks. Bahkan, sejak zaman awal Islam lagi, seks turut dijadikan senjata untuk menjatuhkan kredibiliti Nabi Muhammad SAW melalui fitnah yang disebarkan oleh puak munafiq terhadap isteri Baginda, 'Aisyah r.a.
Saya tertarik dengan respon Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi berhubung perletakan jawatan Dr. Chua ini. Memetik laporan Utusan Malaysia, Abdullah mengingatkan semua wakil rakyat BN supaya sentiasa menjaga moral masing-masing kerana ia adalah perkara utama yang dimahukan rakyat selain perkhidmatan yang baik.
Apakah isu moral sahaja yang menjadi pertimbangan Abdullah? Bagaimana pula dengan para menteri, timbalan menteri dan pegawai tinggi kerajaan yang terpalit dengan skandal rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa namun sehingga kini masih kekal berkuasa dan bebas daripada tindakan undang-undang?
Apakah Chan Kong Choy (yang terlibat dalam skandal PKFZ), Samy Vellu (yang menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan RM30 billion kepada 12 syarikat konsesi tol), Rafidah Aziz (yang menguasai pemberian Permit Import), serta Abdul Rashid Abdul Rahman yang bertanggungjawab ke atas kepincangan sistem pilihanraya masih dianggap bermoral?
Selaras dengan konsep Islam Hadhari yang dijaja Abdullah ke seluruh ceruk alam, maka para menteri, timbalan menteri dan pegawai tinggi kerajaan yang rasuah, menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa seharusnya meletakkan jawatan seberapa segera yang mungkin kerana bukan hanya isu moral sahaja yang diambil kira oleh rakyat, bahkan tahap amanah dan kepercayaan juga merupakan faktor yang penting untuk dipertimbangkan.

1 ulasan:

Pewaris Reformasi berkata...

Sayangnya, Soi Lek dalam keberanian dan kejujurannya masih tak berani dan hanya sekadar mengingatkan mereka-mereka yang dia tahu ada skandal dan rasuah agar berhati-hati...