Iklan

Selasa, Januari 08, 2008

Hendak Ke Mana Dengan Parti Mahasiswa Negara?

Seorang pengunjung memberi komentar dalam entri terdahulu tentang Parti Mahasiswa Negara (PMN) yang diumumkan penubuhannya semalam di Putrajaya. Ulas beliau, pemilihan nama PMN merupakan satu kesilapan strategi politik kerana kemahuan mensucikan gerakan mahasiswa dari bersikap memihak sebenarnya tidak perlu.
Teman saya Hidayat turut mengulas berkenaan dengan isu ini di blog beliau. PMN menerusi jurucakapnya Meor Isfandy Meor Azizan dilaporkan mahu meletakkan calon bebas di beberapa kawasan dalam Pilihanraya Umum akan datang. Sambil menyifatkan bahawa parti-parti politik lain umpama 'badut', PMN (yang dilaporkan ditunjangi oleh aktivis Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung [GAMIS]) turut membidas parti-parti kerajaan dan pembangkang dengan mendakwa bahawa, "[P]erbincangan dan perbahasan kalangan mereka hanya tentang perkara remeh dan omong kosong berbanding isu yang relevan dan tentang kepentingan rakyat banyak."
Sebetulnya saya sedikit canggung apabila PMN membangkitkan perkara ini. Isu yang ditimbulkan berkenaan dengan perbahasan antara pemerintah dan pembangkang hanya tentang perkara remeh dan tidak memdepani hak rakyat kelihatan sempit dan tidak rasional. Apakah selama ini isu-isu yang diperjuang dan disuarakan oleh pimpinan pembangkang seperi PAS, DAP dan KeADILan tidak menumpukan kepada masalah rakyat?
Saya cukup yakin bahawa isu-isu berkaitan ekonomi, kemiskinan, hak asasi, keadilan sosial dan politik yang seringkali disuarakan oleh parti-parti pembangkang jelas menyentuh kepentingan rakyat terbanyak yang mana ianya bertujuan secara langsung (ataupun tidak langsung) adalah untuk membangkitkan kesedaran rakyat dari terus mendiamkam diri dan membiarkan hak mereka dicabuli.
PMN selain daripada itu turut menggesa kerajaan agar mengambil berat tentang hak-hak rakyat memandangkan kekerapan berlakunya perarakan dan demonstrasi jalanan sejak akhir-akhir ini. Isfandy turut meminta parti-parti pembangkang supaya memainkan peranan lebih baik sebagai penstabil kepada kerajaan sedia ada. Beliau menegaskan bahawa gerakan itu yakin bahawa telah wujud keinginan di kalangan rakyat untuk melihat satu perubahan dalam lanskap politik negara, tetapi kekangan dan dinding penghalangnya terlalu tebal menyebabkan kekalnya status quo sehingga hari ini.
Saya memetik respon teman saya Hidayat berhubung dengan saranan ini:
"PMN mengakui bahawa wujud keperluan untuk kerajaan memainkan peranan sebenar untuk mengambil tahu hak rakyat, dan pembangkag perlu memainkan peranan sebagai ‘check and balance’ kepada kerajaan. Maka apa perlu ‘dibadutkan’ pemerintah dan pembangkang? Bukankah kenyataan di atas bermaksud bahawa kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang perlu memperkemaskan dan menambahbaik keupayaan mereka demi memastikan hak rakyat terbela.
Ini membuktikan bahawa ada ruang untuk rakyat menentukan hala tuju negara melalui kedua-dua entiti berkenaan. Sekiranya pemerintah gagal mainkan peranan, pembangkang boleh menawarkan sesuatu yang lebih realistik dan mampu meyakini rakyat agar ada alternatif yang lebih baik buat rakyat.
Sememangnya tidak dinafikan, rentetan beberapa peristiwa di dalam negara sepanjang tahun 2007 memperlihatkan ada keinginan rakyat untuk melakukan perubahan. Dan telah pun terbukti ada pihak-pihak yang mampu menyediakan alternatif yang baik buat rakyat. Maka di mana kelompongan yang disebut oleh PMN?
Kita tidak boleh menafikan, selagi mana-mana pertubuhan itu bergelar parti politik, maka akan ada strategi dan taktikal politik yang rencam. Baik Umno, PAS, mahupun KeADILan ada taktikalnya untuk terus survive dalam arena politik nasional. Hatta diluaskan skop merangkumi Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia ataupun Parti Keadilan Pembangunan (AKP) di Turki, selagi mana mereka berdiri sebagai parti politik, maka tidak akan terlepas hatta sekelumitpun aktivisme mereka daripada taktikal politik. Yang membezakan hanya ideologi, samada nasionalis, demokrat, islamis, mahupun sosialis.
Malah PMN sendiri pun, seandainya mereka berdiri sebagai parti politik yang sah, apakah mereka akan berupaya mengecualikan diri mereka daripada kerencaman politik yang serba mungkin dalam landskap politik Malaysia? Mahu menjadi ‘third force’selepas pemerintah dan pembangkang itu adalah dialu-alukan, tetapi dengan menubuhkan sebuah lagi parti politik khusus untuk mahasiswa, tidak saya lihat sebagai satu langkah yang realistik."
Iswandy turut menyatakan bahawa calon bebas dari kumpulan itu akan dipilih daripada kalangan graduan memandangkan kekangan Akta Universiti dan Universiti Kolej 1971 menghalang mahasiswa menyertai kegiatan politik. Dalam pada itu, memetik laporan dari blog Wong Chin Huat:
"Isfandy, a graduate from IIU, said the party would disregard the University and University College Act (UUCA) which prohibited students from participating in politics, claiming that the act was unconstitutional."
Bagaimana ini? Ketika mengumumkan penubuhan PMN, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sanggup disanggah tetapi ketika ditanya tentang calon yang bakal diketengahkan dalam pilihanraya maka AUKU pula jadi pertimbangan. Kenapa tidak diletakkan saja mahasiswa yang masih menuntut sebagai calon jika benar PMN serius untuk membawa nama "mahasiswa" ke kancah politik nasional?
Persoalannya sekarang, apa sebenarnya motif penubuhan Parti Mahasiswa Negara ini?

3 ulasan:

yuzy berkata...

Salam.

Memang pertubuhan ini masih diragui motifnya.Kalau untuk rakyat,baik mereka menumpukan ke arah penambah baikan Mahasiswa dalam kampus di Malaysia dan sekaligus cuba melonjakkan status akademik universiti kita di arena antarabangsa.

Umpamanya,perjuangan untuk menghapuskan AUKU?

Apa maknanya menggunakan nama Mahasiswa sebagai nama sekiranya Mahasiswa itu sendiri terabai.

Anak itik berenang ke seberang,
Anak kucing ikut sekali,
Anak itik lepas ke seberang,
Anak kucing mati.

Wassalam.

Pewaris Reformasi berkata...

Sempoinya pantun!

Syeikhryz Ibnu Al-Haymdan berkata...

SALAM....PMN?...sekadar parti nyamuk yg menghiasi pseudo demokrasi di Malaysia....xperlu di hiraukan sgt....parti yg kabur base perjuangan nya semacam ini bisa hilang selepas satu election...sebab dia xde stand@core yg kukuh dlm partisipasi politik...