Iklan

Selasa, November 27, 2007

Respon Untuk Anak Melayu

Seorang pengunjung, Anak Melayu memberikan respon berhubung dengan isu tuntutan Hindraf yang saya utarakan dalam entri 'Tuntutan Hindraf: Kenapa Perlu Mengadu Kepada Baginda Ratu?' semalam. Antara lain, beliau menimbulkan beberapa persoalan berhubung dengan pendekatan parti-parti pembangkang terutamanya PAS dan PKR dalam mendepani isu tuntutan Hindraf ini:

(1) Antara wadah perjuangan HINDRAF dan DAP adalah mempertikaikan hak orang Melayu. Jadi, jika PKR menang dalam pilihanraya dan membentuk kerajaan, adakah PKR akan melucutkan status istimewa kaum MELAYU dan bumiputra?

(2) Mengapa PAS khasnya menyokong HINDRAF dan DAP? Sedangkan dengan terang-terangan mereka MENOLAK Negara ISLAM dan mahukan Negara SEKULAR.

(3) Bukankah menyokong aktivis yang berbentuk perkauman ini akan menyebabkan KETEGANGAN KAUM di seluruh Negara? Ini sangat berbahaya.

Sebetulnya, saya bukanlah orang yang layak untuk mengulas dan menyatakan pendirian PKR mahupun PAS. Adalah lebih wajar sekiranya saudara Anak Melayu merujuk/meneliti kenyataan serta pendirian pimpinan PKR dan PAS sendiri berhubung dengan isu ini.

Walaubagaimanapun, untuk persoalan (1) yang ditimbulkan oleh Anak Melayu, saya sarankan agar diteliti kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui risalah Agenda Ekonomi Malaysia yang kini sudah mulai disebarkan secara meluas. Untuk mendapatkan salinan dalam Bahasa Melayu, boleh semak di sini dan salinan dalam Bahasa Inggeris di sini.

Untuk soalan (2), saya sendiri sebetulnya kurang pasti sama ada pimpinan PAS turut menyatakan sokongan terhadap Hindraf. Berkenaan kerjasama dengan DAP, saya berpendapat adalah lebih baik untuk kita menumpukan kepada agenda bersama khususnya perkara-perkara yang melibatkan kepentingan rakyat dan persediaan untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang. Dan untuk soalan (3), saya rasa saudara Anak Melayu sendiri sudah menyimpulkannya.

Isnin, November 26, 2007

Jangan Sampai Rakyat Hilang Kepercayaan

Momentum kebangkitan rakyat yang tercetus hampir sedekad yang lalu selepas peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri kini mulai dirasakan kembali. Bermula dengan siri-siri demonstrasi membantah kenaikan harga minyak diikuti dengan beberapa protes kenaikan kadar tol; gerakan kebangkitan rakyat kini memasuki fasa baru selepas kejayaan perhimpunan aman anjuran BERSIH baru-baru ini yang menghimpunkan puluhan ribu rakyat untuk menuntut pilihanraya yang lebih adil dan telus.

Semalam sekali lagi Kuala Lumpur 'meriah' dengan teriakan puluhan ribu masyarakat India menuntut keadilan dan hak yang selama ini seakan-akan didiskriminasikan oleh kerajaan. Perhimpunan yang dirancang dijalankan secara aman ini seperti yang dijangka telah berakhir dengan penuh rusuh dan liar gara-gara tindakan keras pihak polis dalam menangani para demonstran. Media-media arus perdana seperti lazimnya melaporkan peristiwa ini dari sudut yang jelas dipengaruhi oleh kuasa politik atasan.

Akhbar perdana berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan Sinar Harian cuba menggambarkan seolah-olah para demonstran perhimpunan semalam sebagai perusuh dan ekstremis India yang ganas dan radikal. Foto serta imej yang ditonjolkan di dalam akhbar-akhbar tersebut seakan-akan cuba membakar sentiman perkauman di kalangan masyrakat Melayu dengan gambaran bahawa para demonstran India yang berhimpun di Kuala Lumpur semalam mahu mencabar status quo dan kontrak sosial yang telah dipersetujui selama ini.

Jika dilihat dari perspektif yang berbeza, perkara asas yang menjadi tuntutan aktivis Hindraf sebenarnya adalah untuk menyedarkan kerajaan Barisan Nasional agar memberikan perhatian yang lebih serius terhadap permasalahan yang melanda kaum India sejak sekian lama. Masalah kemiskinan, jenayah, penyalahgunaan dadah, buta huruf dan ketiadaan kemudahan asas di kawasan kediaman mereka sewajarnya dipertimbangkan secara rasional tanpa prejudis. Pun begitu apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pemimpin-pemimpin kerajaan melalui media yang dikuasai mereka membidas dan mengkritik kumpulan terbabit sambil melabelkan tindakan mereka sebagai di luar budaya dan melampau.

Jika semalam puluhan ribu kaum India berhimpun meminta pembelaan dan perhatian dari pemerintah kerajaan Britain, baginda Ratu Elizabeth II, maka tidak mustahil jika selepas ini kaum Cina pula berkumpul meminta belas dari pemerintah negara China atau Singapura bagi membela nasib mereka seterusnya kaum Melayu pula berhimpun meminta perhatian serta mengadu kepada pemerintah Indonesia atau Brunei bagi tujuan yang sama. Dan jika dilihat dari cara akhbar-akhbar negara ini melaporkan peristiwa semalam dengan percubaan untuk membangkitkan sentimen perkauman, maka tidak mustahil tragedi sedahsyat 13 Mei 1969 (atau barangkali lebih dahsyat dari itu) boleh berulang semula di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Kerajaan seharusnya tidak bermain tarik tali dalam isu ini dengan mendakwa bahawa selama ini mereka telah berjaya memperjuangkan kebajikan semua kaum di Malaysia, walhal hakikatnya masih banyak lagi kecacatan dan kelemahan yang perlu diperbaiki dari sudut pendidikan, ekonomi dan kemudahan asas yang selama ini menjadi agenda mereka setiap kali menjelang pilihanraya.

Jangan sampai rakyat meluat dan akhirnya memilih jalan raya sebagai langkah terakhir untuk mengubah nasib mereka. Menurut laporan dari hasil kajian Merdeka Centre kelmarin yang menyebut bahawa rata-rata rakyat masih teguh menyokong kerajaan, jelas kajian yang hanya dijalankan melalui kaedah survey terhadap 1,024 responden di kalangan pengundi seluruh Semenanjung ini bukanlah ukuran sebenar sokongan seluruh rakyat.

Jika dalam tempoh hanya dua minggu, dua perhimpunan besar yang menghimpunkan puluhan ribu rakyat telah berjaya diadakan di Kuala Lumpur, maka tidak mustahil dalam pilihanraya umum akan datang rakyat sepakat untuk menunjukkan rasa mual serta jelak mereka terhadap keangkuhan dan kebejatan kerajaan Barisan Nasional yang kelihatannya mulai gagal mendengar permasalahan rakyat sendiri.

Tuntutan Hindraf: Kenapa Perlu Mengadu Kepada Baginda Ratu?

Akhbar-akhbar perdana hari ini melaporkan perhimpunan Hindraf semalam berlangsung dalam keadaan ganas dan liar. Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times (seperti dijangka) tidak melaporkan secara spesifik jumlah sebenar yang hadir, pun begitu akhbar The Sun hari ini menyebut bahawa dianggarkan seramai 20 ribu orang yang hadir dalam perhimpunan tersebut.
Nyata, larangan mahkamah, amaran polis serta ugutan dari beberapan pemimpin kanan kerajaan tidak sama sekali mematahkan hasrat penyokong-penyokong Hindraf untuk berhimpun. Pun begitu, hasrat untuk menyerahkan memorandum kepada wakil Suruhanjaya Tinggi British tidak kesampaian akibat kekangan serta kawalan ketat anggota keselamatan yang turut dibantu oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengawal. Khabarnya, memorandum tersebut hanya dimajukan melalui kiriman faks kepada pejabat Suruhanjaya Tinggi British.
Saya meneliti beberapa ulasan tentang entri sebelum ini berhubung dengan tuntutan Hindraf yang saya rasakan agak kurang munasabah dan bersifat tidak adil. Seorang pengunjung, Anak Melayu mengulas tuntutan tersebut dengan menyatakan bahawa ianya tidak rasional dan mengelirukan. Sebetulnya saya ikut bersetuju dengan kenyataan beliau kerana jika diteliti secara halus, apakah sebenarnya yang cuba diperjuangkan oleh Hindraf?
Beberapa persoalan yang berbangkit dalam minda saya berhubung dengan tuntutan Hindraf ini antaranya ialah mengapa memorandum yang ingin disampaikan oleh mereka kepada Suruhanjaya Tinggi British ditujukan kepada baginda Ratu Elizabeth II? Jika dikatakan Hindraf sudah tidak punya keyakinan terhadap kerajaan pimpinan Abdullah Badawi dan merasakan bahawa adalah sia-sia jika membawa tuntutan mereka kepada kerajaan maka kenapa tidak diadukan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong? Malaysia merupakan negara merdeka (secara retoriknya) dan sudah tidak tertakluk dibawah bidang kuasa kerajaan British sejak tahun 1957 maka apakah wajar mereka (Hindraf) mengadu kepada baginda Ratu Elizabeth II, ketua negara Britain, negara yang mana kerajaannya ingin disaman oleh Hindraf?
Perdebatan tentang taraf ekonomi serta status sosial turut dibawa oleh Hindraf dalam tuntutan tersebut sambil menyifatkan bahawa tindakan kerajaan British (era 150 tahun lalu) yang membawa masuk kaum India ke Tanah Melayu sebagai punca kaum India tertindas di negara ini. Jika diteliti kritikan Anak Melayu, jelas ada asasnya:

"Mereka cakap kaum India miskin. Memang tidak dinafikan tetapi kaum lain pon ada yang miskin juga. Melayu, India dan tidak dilupakan kaum peribumi terutama sekali Orang Asli.

Tetapi jika kita lihat hari ini, kaum India dan Cina yang menguasai kekayaan negara. Mereka ada Ananda Krishnan, seorang billionair yang ternama. Mereka juga diberi jawatan-jawatan penting dalam kerajaan dan juga swasta. Hakim, Pengarah, CEO dan banyak lagi. Ada kita dengar orang Melayu ungkit dan Marah?"

Pun begitu, persoalan tentang pencapaian ekonomi seharusnya tidak wajar kita sempitkan kepada skop "bangsa mana yang kaya, bangsa mana yang miskin" semata-mata. Saya tertarik dengan ulasan saudara Nik Nazmi berkenaan dengan permasalahan ini. Beliau menulis:
"In 2003, the Economist observed, while the Indians make up 8% of the population, they make up 14% of its juvenile delinquents, 20% of its wife and child beaters and 41% of its beggars. They make up less than 5% of the successful university applicants.
The Indians control 2% of the national wealth, and by removing the richest 5 individual Indians from the equation, the picture becomes even more depressing. In 2003, one in twelve Indians did not attend primary school.
The biggest letdown among the Indian community is their political representatives, the MIC. The MIC has evolved into a personality cult that sustains its support through a feudal character, ensuring Indians remain as the most loyal community to the ruling coalition. The Indian middle class and professionals are driven away from the party due to its nature, and thus the party consists of mostly working class members. The loyalty is almost absolute – polling even suggests that when they are unhappy with the way things are in the country, they still overwhelmingly support BN."
Jelas, nasib dan pencapaian kaum India pada hari ini bukanlah disebabkan oleh tindakan kerajaan British 150 tahun lalu yang membawa masuk beribu-ribu kaum tersebut dari Selatan India ke Tanah Melayu tetapi ialah kerana kelemahan serta kurangnya perhatian dari pihak kerajaan yang diwakili oleh Barisan Nasional dan MIC yang mewakili kaum India itu sendiri.
Hindraf seharusnya tidak menyalahkan sejarah dalam menyuarakan tuntutannya kerana jika itu yang menjadi sandaran maka kaum-kaum lain termasuk Melayu, Cina dan Orang Asli juga punya hak untuk berbuat demikian.
Pembangkang khususnya PKR dan DAP seharusnya tidak ikut terheret dalam tuntutan Hindraf yang jelas bersifat perkauman ini. Jika semalam, Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu secara angkuh mendakwa bahawa parti-parti pembangkang merupakan tulang belakang perhimpunan Hindraf ini maka janganlah terkejut jika selepas ini Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi pula mengeluarkan kenyataan yang sama.
Saya melihat bahawa kenyataan media yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menyeru Hindraf agar mengambil pendekatan yang lebih bersifat sederhana serta bertanggungjawab sewajarnya direnungi:
"HINDRAF sepatutnya menumpukan perhatian mereka kepada kerajaan BN yang bertanggungjawab di atas salahguna kuasa yang telah menindas kaum India yang miskin, dan juga pada masa yang sama gagal menyelesaikan masalah semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, warna kulit ataupun agama."

Sabtu, November 24, 2007

Tuntutan Hindraf: MIC-BN Seharusnya Bertanggungjawab

Akhbar-akhbar perdana hari ini rata-rata kesemuanya melaporkan tentang penahanan tiga orang peguam di bawah Akta Hasutan 1948 semalam kerana dipercayai terlibat memberi ceramah berbaur hasutan kepada orang ramai di dalam satu majlis di Kuala Selangor baru-baru ini.
Ketiga-tiga orang peguam ini merupakan antara penggerak utama Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang dilaporkan akan mengadakan perhimpunan Ahad ini di hadapan bangunan Suruhanjaya Tinggi British di Jalan Ampang seterusnya menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan British. Kandungan memorandum tersebut antara lain meminta Ratu Elizabeth II melantik peguam diraja untuk mewakili masyarkat India Malaysia dalam tuntutan saman bernilai AS$4 trillion terhadap kerajaan Britain untuk kira-kira dua juta kaum India di Malaysia yang mana nenek moyang mereka dibawa ke negara ini pada tahun 1800-an sebagai sebahagian daripada usaha pengembangan empayar British.
Saya tidak menafikan tuntutan Hindraf untuk menghantar memorandum serta berhimpun secara aman di hadapan bangunan Suruhanjaya Tinggi British pada Ahad ini tetapi merasakan bahawa tindakan mereka menyaman kerajaan British atas tindakan silam (British) yang kini hanya dikenang sebagai sejarah adalah sesuatu yang bersifat tidak adil dan kurang rasional.
Jika dikatakan bahawa dibawah penjajahan British, nasib kaum India tidak terbela dan ditindas, maka begitu jugalah apa yang menimpa kaum Melayu yang diragut hak dan kedaulatannya. Apakah wajar sekiranya UMNO sebagai sebuah parti nasionalis yang memperjuangkan hak-hak Melayu memfailkan saman terhadap Kerajaan Portugis, Belanda, British dan Jepun dengan dakwaan bahawa penjajahan keempat-empat negara terbabit ke atas Melaka dan Tanah Melayu telah menyebabkan nasib kaum Melayu tertindas dan teraniaya? Saya merasakan tidak.
Hindraf seharusnya sedar bahawa nasib kaum India di Malaysia sewajarnya dinilai dari period selepas negara berjaya mengecap kemerdekaan serta membentuk sebuah kerajaan yang bebas dan berdaulat. Dan jika dilihat dari aspek politik dan pentadbiran, jelas sejak merdeka hanya Barisan Nasional (BN) yang diberi mandat untuk mewakili rakyat pelbagai kaum di negara ini dengan Kongres India Malaysia (MIC) sebagai tunjang yang mewakili masyarakat India.
Apakah wajar untuk menyalahkan kerajaan British era 1800-an sedangkan MIC-BN yang sepatutnya dipertanggungjawabkan? Atau Hindraf mempunyai motif lain disebalik tuntutan tersebut?
Dan seandainya tuntutan Hindraf ini diterima dan wang pampasan dibayar, apakah Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan peguam Datuk VK Lingam juga layak menerimanya?

Ahad, November 18, 2007

Apabila Sudu Lebih Dari Kuah...

Semalam telah saya ulas kenyataan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mendakwa dirinya tahu bila Pilihan Raya Umum (PRU) bakal diadakan. Antara lain, saya turut mempertikaikan bagaimana beliau memperolehi maklumat tersebut sedangkan mengikut kebiasaannya, hanya Perdana Menteri seorang saja yang mengetahui dan akan mengumumkan bilakah tarikh sebenar PRU akan dilaksanakan.
Dan ketika saya menonton siaran Buletin Utama di TV3 malam tadi, turut dipaparkan ialah respon Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi terhadap kenyataan Abdul Rashid kelmarin. Ketika ditanya oleh wartawan tentang perkara ini pada sidang media selepas melawat Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Terengganu, Perdana Menteri secara bersahaja menjawab:
"Kita tidak bubar parlimen, macam mana dia tahu? Bubar Parlimen saya yang tentukan."
Nah! Sekarang ini siapa sebenarnya Perdana Menteri? Abdullah atau Abdul Rashid? Atau mungkin Abdul Rashid punya cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri maka beliau dengan tanpa fikir panjang mendakwa bahawa beliau tahu bila PRU bakal diadakan.
Inilah akibatnya jika bercakap tanpa berfikir. Kononnya dia tahu semua. Janganlah kerana hendak mencari publisiti murahan untuk mempromosikan diri, bidang kuasa orang lain pun ingin dicampuri. Jalankan tugas anda sendiri sebagai pengerusi SPR. Hayati dan pertimbangkan tuntutan-tuntutan yang disuarakan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH). Jika dirasakan bahawa diri itu sudah tidak mampu untuk menjalankan tugas, perkiraannya mudah: lepaskan sahaja jawatan pengerusi SPR dan duduk diam-diam.
Usah berlagak tahu dan memandai-mandai mengeluarkan kenyataan yang akhirnya bakal memalukan diri sendiri. Lihat apa sudah jadi? Sekarang di mana mahu disorokkan mukamu itu wahai Tan Sri Abdul Rashid?

Pilihan Raya Bersih: Menilai Kenyataan Pengerusi SPR

"Saya tak boleh nak bohong... saya tahu bila pilihan raya (umum) akan datang."
-Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, 16 November 2007

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menurut beberapa laporan media arus perdana kelmarin menyatakan bahawa beliau sudah mengetahui bila Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan. Jika diperhatikan pada kenyataan beliau di atas dalam konteks tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH), jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dan wajar dipersoalkan.
Apa yang pasti, kenyataan bahawa beliau tahu bila PRU bakal diadakan seakan-akan memberi isyarat kepada umum bahawa terdapat semacam hubungan di antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, PRU hanya akan dapat dilaksanakan setelah Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong (atas nasihat Perdana Menteri). Berdasarkan peruntukan tersebut, ini secara tidak langsung menjelaskan bahawa hanya Perdana Menteri yang memiliki "keistimewaan" untuk menentukan bilakah waktu yang sesuai untuk diadakan PRU.
Dan Abdul Rashid seharusnya menjelaskan kepada umum, bagaimana beliau boleh mengetahui waktu bila PRU akan diadakan. Apakah beliau mendapat maklumat tersebut dari Perdana Menteri? Jika benar, apakah SPR masih boleh dikatakan telus dan bersih? Perdana Menteri sendiri sehingga kini hanya diam membisu ketika mana ditanya tentang bilakah PRU akan diadakan, tetapi Abdul Rashid dengan bangga dan penuh yakin secara selamba berkata: "... saya tahu bila pilihan raya akan datang."

Demonstrasi Bukan Budaya Kita?

Khamis, November 15, 2007

Laman Blog Komedi

Sebetulnya saya sudah agak lama mengikuti perkembangan laman blog ini, jika tidak silap sejak ianya mula-mula beroperasi. Pengisian didalamnya merupakan himpunan pendapat serta retorik politik sekumpulan anak muda yang taksub, obses serta rela menjadi alat kepada seorang pemimpin muda Melayu yang semakin meningkat namanya.
Jika anda ingin menikmati seni komedi terbaik Melayu di alam siber ini, saya sarankan anda lawati laman blog tersebut. Perhatikan pada kandungan penulisan yang tersiar dan jika anda seorang yang bijak dan memiliki tahap intelektual yang tinggi, anda pasti akan pecah perut, geli hati membacanya. Lihat bagaimana fakta diabaikan dan digantikan dengan retorik, sanjungan serta pemujaan yang melulu terhadap pemimpin muda Melayu tersebut.
Anda diingatkan agar tidak dikuasai emosi ketika membaca blog ini. Anggaplah ianya sebuah laman blog komedi yang menghidangkan kisah-kisah lucu tetapi provokatif. Selamat berhibur!

Rabu, November 14, 2007

Tuduhan Menghina: Tidak Berasas dan Bersifat Emosional

Dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, sejak saya menulis entri Menganalisa Kerencatan Seorang Menteri Penerangan, ruangan ulasan di blog saya sarat dengan pelbagai jenis respon. Terdapat seorang pengunjung yang menukar nama samarannya beberapa kali meski pun menulis ulasan yang sama untuk beberapa entri.
Antara yang dibangkitkan ialah perbandingan tahap akademik saya dengan Naib Ketua Pemuda UMNO, saudara Khairy Jamaluddin. Pengunjung tersebut cuba untuk menegaskan bahawa jurusan pengajian Falsafah, Politik & Ekonomi (PPE) jauh lebih hebat dari jurusan Kejuruteraan. Sebetulnya saya kurang berminat untuk melayan respon sebegini kerana isu sama ada seseorang itu lulusan PPE atau Kejuruteraan tidak sewajarnya timbul dalam wacana politik nasional.
Andaikata jika sekiranya perkara sebegini menjadi ukuran pencapaian politik seseorang maka bolehlah dirumuskan bahawa Khairy Jamaluddin sebenarnya lebih bijak dari Nabi Muhammad SAW memandangkan Khairy mempunyai ijazah dalam bidang PPE sedangkan Nabi Muhammad seorang yang buta huruf dan tidak tahu membaca. Apakah ini yang cuba dijustifikasikan oleh pengunjung tersebut? Saya serahkan pada anda untuk menilainya.
Juga turut ditimbulkan oleh salah seorang pengunjung ialah kecenderungan saya yang kebelakangan ini menulis secara “kasar” dan “keras” dalam beberapa entri terdahulu. Tuduhan bahawa saya menghina pemimpin negara, menteri-menteri kabinet dan juga seorang model sambilan yang kini bergelar “angkasawan” sememangnya tidak berasas dan hanya bersandarkan pada emosi yang sedang amarah.
Kurangnya pemahaman serta keterbukaan dalam memahami inti penulisan saya mungkin merupakan antara faktor yang menyebabkan sesetengah pembaca marah dan meluat dengan beberapa baris ayat serta ungkapan yang kelihatan “menghina”. Berdasarkan penelitian saya terhadap respon-respon yang diberikan, jelas terdapat pembaca yang lebih suka membahaskan penggunaan perkataan dan istilah daripada mencuba untuk memahami mesej yang ingin saya sampaikan. Ini terbukti apabila persoalan sama ada saya berkulit gelap atau tidak dan Melayukah saya ditimbulkan oleh salah seorang pengunjung. Respon bersifat perkauman ini jelas membuktikan bahawa mentaliti rasis dan mengagungkan bangsa sendiri nyata masih tebal dalam sanubari umat Islam di negara ini, biar pun ajaran Islam yang sebenar (bukan Islam Hadhari!) melarang umat Islam daripada bersifat assabiyyah dan bersikap taksub terhadap kaum atau puaknya.
Walaubagaimanapun, saya ucap terima kasih atas respon yang diberikan tidak kira sama ada ianya bersifat konstruktif atau yang hanya sekadar untuk melepas kemarahan. Juga buat teman-teman yang sentiasa menyokong perjuangan menegak hak dan keadilan di bumi Malaysia ini sama ada yang jauh dan dekat, saya ucap berbanyak terima kasih atas dukungan dan sokongan kalian.

Selasa, November 13, 2007

Respon Ahli-ahli Politik Kerajaan Berhubung dengan Perhimpunan Aman BERSIH

“Tunjuk perasaan tidak perlu kerana pilihan raya tidak pernah gagal diadakan di Malaysia mengikut jadualnya.”
-Datuk Seri Zainuddin Maidin, 10 November 2007
“Tentu sekali apabila mereka bertindak begitu, (mereka) nak tarik raja-raja atau Yang di-Pertuan Agong masuk atau memerangkap Agong dengan politik mereka. Saya percaya Yang di-Pertuan Agong lebih matang dan akan dapat memahami serta tidak akan terperangkap dengan politik mereka itu.”
-Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, 11 November 2007

“Kalau diikutkan, Barisan Nasional (BN) mampu mengadakan perhimpunan yang lebih besar daripada perhimpunan Gabungan Bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil semalam yang mengumpulkan kira-kira 10,000 orang. BN mampu mengumpulkan (bilangan peserta) lebih besar daripada jumlah semalam kalau itu yang kita mahu untuk menunjukkan sokongan rakyat kepada kerajaan dan parti. Namun itu bukan budaya rakyat negara ini.”
-Datuk Seri Najib Tun Razak, 11 November 2007

“Saya ingin rakyat Malaysia melihat dengan jelas bahawa inilah cara pembangkang yang mengamalkan politik kasar dan menjaja modal di jalanan sedangkan kita mengamalkan politik demokrasi. Kalau mahukan perubahan, bertanding pada pilihan raya dan kita lihat siapa yang dipilih rakyat.”
-Datuk Seri Rafidah Aziz, 11 November 2007

“Mereka sudah kehabisan modal dan seterusnya melakukan apa saja bagi mendapatkan sokongan dan simpati daripada rakyat.Bagaimanapun, tindakan mengadakan perhimpunan haram itu sebenarnya tidak membawa makna apa-apa kerana ia jelas menyusahkan rakyat yang inginkan keamanan di negara ini.”
-Datuk Seri Dr. Khir Toyo, 11 November 2007

“Perbuatan mereka itu melampau dan boleh menjejaskan keamanan negara. Kalau nak berpolitik, biar hanya di kalangan parti politik dan rakyat biasa, jangan nak kaitkan pula dengan institusi raja.”
-Tan Sri Muhammad Muhd Taib, 11 November 2007

“Mereka sudah terdesak sebab pilihan raya semakin hampir. Harapan mereka kalau berbuat begitu, masyarakat luar akan membenci kerajaan pimpinan Pak Lah. Mereka sebenarnya silap, rakyat akan membenci mereka kerana mengganggu keamanan negara.”
-Datuk Noraini Ahmad, 11 November 2007

“Kita ada banyak saluran untuk menyalurkan pandangan dan atau cadangan. Janganlah kerana tidak berpuas hati, kita sanggup mengheret institusi raja sampai ke tahap ini. Demonstrasi seperti itu juga membebankan rakyat dan negara.”
-Datuk Ong Tee Kiat, 11 November 2007

“Kalau nak memerintah negara, bertanding pilihan raya kerana ini negara demokrasi. Janganlah berbuat seperti ini pada institusi raja kerana ia perlu dihormati seperti termaktub dalam perlembagaan.”
-Datuk S. Veerasingam, 11 November 2007

“Kita jangan lupa, banyak negara jatuh atau hancur kerana perbuatan seperti ini. Jadi apabila Pak Lah bagi komen seperti ini, ia adalah sesuatu yang penting dan perlu didengar kerana kita tahu, rakyat tidak gemar budaya yang bukan-bukan.”
-Datuk M Kayveas, 11 November 2007

“Tindakan mereka hanya menimbulkan kekacauan dan keadaan tidak stabil yang akhirnya merugikan rakyat.”
-Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, 11 November 2007

“Malaysia negara aman dan harmoni... kenapa perlu ada perhimpunan seperti itu yang kemudian menjadikan keadaan huru-hara. Sekiranya hendak berpolitik atau memerintah kerajaan, ia mesti melalui proses pilihan raya dan bukannya mengadakan perhimpunan haram. Jika proses demokrasi ditolak, inilah yang menjadikan banyak negara mengamalkan pemerintahan kuku besi serta bermasalah kerana rakyat yang memilih kerajaan menggunakan saluran menerusi demonstrasi jalanan.”
-Datuk Seri Ali Rustam, 12 November 2007

“Memang benar mereka nak mengheret institusi raja ke kancah politik seperti kata Pak Lah semalam. Kalau setakat serah memorandum dan diambil, kemudian kata tindakan mereka disokong Istana Negara itu adalah penipuan. Apa yang mereka lakukan ini sebenarnya melanggar semangat Perlembagaan, sebab Raja Berperlembagaan dinasihat oleh Perdana Menteri.”
-Tan Sri Muhyiddin Yassin, 12 November 2007

“Itu perhimpunan haram Yang Dipertua... itu orang wayar putus yang bercakap (merujuk kepada YB Lim Kit Siang)... mana ada permit untuk adakan perhimpunan raksasa. Kita sokong sami di Myanmar sebab sami di Myanmar ditekan, kerana Myanmar tidak ada demokrasi. Demokrasi dalam negara kita ialah melalui pilihan raya... yang mengheret raja bukan kita (kerajaan), dia (pembangkang) yang heret raja.”
-Datuk Seri Nazri Aziz, 12 November 2007

Apabila Monyet Jadi Menteri...(2)

Ini Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri...

Ini pula anak lelaki Datuk Seri Nazri Aziz bersama-sama dengan teman-teman wanitanya...


_________________________________________________________

"Don't try to drag the King into this. The King and the people are behind us. They (the opposition) are afraid to face the next elections. If you've no courage, don't become a pondan."

-Datuk Seri Nazri Aziz, 12 November 2007

Selepas menghina para peguam yang menyertai perarakan "Walk for Justice" di Putrajaya bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz sekali lagi menonjolkan kerencatan pemikirannya dengan menggelar aktivis politik pembangkang sebagai "pondan" dan memiliki "otak yang gagal berfungsi dengan baik".

Nazri, sebagaimana dipetik oleh laporan akhbar Malaysiakini mengulas persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Che Azmi A. Rahman di persidangan Dewan Rakyat semalam, berkenaan dengan rasional perhimpunan rakyat anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH) tempoh hari. Beliau (Nazri) menyatakan bahawa adalah sia-sia untuk cuba memahami sebab di sebalik perhimpunan tersebut memandangkan "otak ahli pembangkang gagal berfungsi dengan baik". Beliau turut menambah:

"If I were to describe this in the language of today’s youths, I would have to say that the wires in their heads are severed. I don’t understand why they claim that the EC is unfair."

-Malaysiakini, 12 November 2007

Nazri seterusnya membidas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengatakan bahawa beliau (Anwar) akan kalah teruk sekiranya bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

Nazri kemudiannya dibidas oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang yang mempersoalkan simpati pihak kerajaan terhadap para pejuang demokrasi di Myanmar sedangkan perkara yang sebaliknya berlaku di tanah air sendiri. Nazri secara angkuh mendakwa bahawa tindakan kerajaan menyokong demonstrasi di Myanmar ialah kerana di sana tiada demokrasi sedangkan di Malaysia demokrasi diamalkan melalui pilihanraya dan bukan melalui demonstrasi jalanan.

Sebetulnya kini saya kurang berminat untuk mengulas sebarang berita yang berkaitan dengan Nazri. Pun begitu memandangkan dalam tempoh beberapa hari ini barisan menteri di Malaysia mulai melatah gara-gara kejayaan perhimpunan aman BERSIH Sabtu lalu, syahwat saya untuk mengulas kenyataan-kenyataan "menggelabah" barisan menteri ini semakin bergelora.

Selepas Zainudin Maidin yang nyata "aib" setelah diwawancara oleh Al Jazeera diikuti oleh kenyataan Perdana Menteri yang merendah-rendahkan martabat Raja-raja Melayu, kini Nazri pula tampil dengan kedangkalannya dalam mengutarakan hujah.

Bayangkanlah, bermula dari Perdana Menteri sehinggalah kepada menteri-menteri kabinet, tiada seorang pun (sehingga kini) di kalangan mereka yang dapat memberi ulasan secara bernas dan rasional berhubung dengan perhimpunan aman BERSIH Sabtu lalu.

Saya teringat kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung MCA tidak berapa lama dahulu, menyatakan bahawa beliau mahu mendengar kebenaran meski pun ianya pahit untuk diterima.

Nah! Hampir 50,000 rakyat berarak menyatakan protes di Kuala Lumpur Sabtu lalu. Kebenaran yang bagaimana lagi yang mahu kau dengar, wahai Abdullah Ahmad Badawi? "Kebenaran" yang dilaporkan Zainuddin Maidin melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau "suara keramat" rakyat?

Isnin, November 12, 2007

Menganalisa Kerencatan Seorang Menteri Penerangan

Di bawah saya paparkan transkrip wawancara telefon antara stesen berita antarabangsa Al Jazeera dengan Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Seri Zainuddin Maidin (Zam) berkenaan dengan perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Anda boleh nilai dan perhatikan sendiri betapa lemahnya Zam dalam menjawab persoalan-persoalan yang ditujukan kepadanya ketika wawancara ini. Penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah serta kecelaruan hujah beliau secara tidak langsung mencerminkan inilah kualiti menteri-menteri di negara ini. Zam juga gagal mengawal emosinya apabila terus-menerus menuduh Al Jazeera sebagai antara penyebab perhimpunan tersebut berlaku.
Sama-sama kita nilai...
Al Jazeera: Why are protesters being sprayed with Chemical filled water?
Zainuddin Maidin: I am watching, I hear. It is not as what you have been trying to do this, to do it everywhere but in Malaysia people are laugh you. We know our Police at last have allowed this procession to go to Istana Negara you know. Do Police, First Police might be have handled them with tear gas. Police don’t, don’t fire anybody.
Al Jazeera: Our correspondent came back to our office with chemicals in his eyes...
Zainuddin Maidin: This is the way, your idea is that what you are trying to project what is your mind, you think we are Pakistan, we are Burma, we are Myanmar. Your thinking.
Al Jazeera: Well unfortunately when you refused to let people to protest, it does appear so.
Zainuddin Maidin: That is why we are not like you. That is why you have early perception. You come here and you want to project us as like undemocratic country. This is a democratic country.
Al Jazeera: So why can’t people protest then if it is a democratic country?
Zainuddin Maidin: First people protest. We are allowing protest and they have demonstrated. But when we try to disperse them, and then later when they don’t want to disperse. But later our Police compromise. They have compromised and allowed then to proceed to Istana Negara. Police, our Police have succeeded in handling them gently, right? Why don’t you report that and you take the opposition, someone from the opposition party, you asked him to speak and you don’t take from the Government, right?
Al Jazeera: Why did you not break up these protesters more peacefully?
Zainuddin Maidin: Pardon, pardon.
Al Jazeera: Why did you not break up these protests more peacefully?
Zainuddin Maidin: I can’t hear you. I can’t hear you.
Al Jazeera: Why did you not break up these protests more peacefully?
Zainuddin Maidin: No, we are, first this is illegal. We don’t want, normally this demonstration..
Al Jazeera: OK, let me return to my former question: why is the protest illegal?
Zainuddin Maidin: Yeah it is illegal. First is because we have the election in Malaysia. No point of having a protest. We are allowing, we have an election every five years, never fail. We are not like Myanmar, not like other country. And you are helping these. You at Al Jazerra is also helping these, these forces. You know these forces who are not impatient, who don’t believe in democracy.
Al Jazeera: Many thanks for joining us.
Apa kata anda? Jika dianalisa satu demi satu jawapan yang dikemukakan oleh Zam, jelas menunjukkan bahawa Menteri Penerangan ini merupakan seorang yang tidak fasih berbahasa Inggeris serta kurang berkemahiran dalam menjawab soalan media. Berikut saya titipkan beberapa ulasan tentang jawapan-jawapan Zam kepada Al Jazeeera:
  1. Perhatikan jawapan Zam untuk soalan pertama yang dikemukan kepadanya. Ulas beliau,"...but in Malaysia people are laugh you." Sepatutnya beliau harus berkata,"...but in Malaysia people are laughing at you." Jelas, penguasaan bahasa Inggeris beliau lintang-pukang dan kucar-kacir. Apakah tahap penguasaan bahasa sebegini patut ada pada seorang menteri? Lebih memalukan beliau merupakan Menteri Penerangan!
  2. Seterusnya, perhatikan jawapan Zam untuk soalan kedua yang ditanyakan kepadanya. Jawab Zam,"...you think we are Pakistan, we are Burma, we are Myanmar." Persoalannya, apakah Burma dan Myanmar merupakan dua buah negara yang berlainan? Anda harus ingat bahawa kenyataan ini keluar dari mulut seorang Menteri Penerangan Malaysia!
  3. Perhatikan respon Zam untuk soalan ketiga dan keempat yang ditujukan oleh Al Jazeera kepadanya. Dalam jawapannya untuk soalan ketiga, Zam secara tegas menyatakan,"This is a democratic country." Pun begitu, Zam kemudiannya terperangkap di dalam kebodohan apabila Al Jazeera mengemukakan soalan seterusnya: "So why can’t people protest then if it is a democratic country?" Jawab Zam: "First people protest. We are allowing protest and they have demonstrated. But when we try to disperse them, and then later when they don’t want to disperse. But later our Police compromise. They have compromised and allowed then to proceed to Istana Negara. Police, our Police have succeeded in handling them gently, right?" Saya pohon anda bantu saya, apakah sebenarnya yang cuba dinyatakan oleh Zam menerusi jawapannya ini?
  4. Al Jazeera seterusnya menanyakan tentang sebab mengapa perhimpunan tersebut (perhimpunan BERSIH) dikatakan sebagai sebuah perhimpunan haram dan perhatikan jawapan Zam: "Yeah it is illegal. First is because we have the election in Malaysia. No point of having a protest. We are allowing, we have an election every five years, never fail. We are not like Myanmar, not like other country. And you are helping these. You at Al Jazerra is also helping these, these forces. You know these forces who are not impatient, who don’t believe in democracy." Sambil membela kerajaan dengan hujah kononnya pilihanraya berjaya dianjurkan lima tahun sekali di negara ini dan tidak ada gunanya berhimpun untuk membantah, Zam secara emosional turut membidas Al Jazeera dengan menyifatkan stesen media itu merupakan antara penyebab tercetusnya perhimpunan rakyat pada hari itu. Zam secara dangkal turut melabel para peserta perhimpunan sebagai "tidak sabar" dan "tidak percayakan demokrasi".

Saya mahu tanya Zam, apakah demokrasi itu hanya sekadar dengan mengadakan pilihanraya umum (yang penuh penipuan dan penyelewengan) setiap lima tahun sekali? Apakah beliau tidak tahu bahawa demonstrasi, kebebasan berhimpun dan bersuara merupakan salah satu daripada hak rakyat yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan? Apakah beliau tidak pernah belajar bahawa kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun juga merupakan antara sendi demokrasi yang paling asas?

Anda boleh nilaikan sendiri. Apakah kita mahu mengangkat pemimpin yang bodoh seperti Zam ini lagi?

Malaysiaku Gemilang (edisi khas BERSIH)

Ahad, November 11, 2007

Kombinasi BERSIH Pak Lah-Khairy

Suara Rakyat, Suara Keramat!

Petang tadi laungan keramat rakyat kembali bergema di Kuala Lumpur. "Gelombang Kuning" yang bertumpu di sekitar Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek dan kawasan pusat beli-belah SOGO jelas memberikan isyarat bahawa rakyat kini sudah mulai sedar dan muak dengan segala kebejatan dan penipuan yang dilakukan oleh kerajaan UMNO-BN yang dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi.
Saya kurang periksa dengan jumlah kehadiran tetapi apa yang pasti, puluhan ribu (ada laporan mengatakan mencecah 100,000) manusia tidak mengira bangsa dan agama kelihatan membajiri ibu kota negara untuk bersama-sama berhimpun bagi menuntut pilihanraya yang adil dan bersih. Bersama dengan puluhan ribu rakyat, saya nekad meredah hujan untuk turut serta berarak menuju ke Istana Negara petang tadi.

Saya bersama dengan dua orang teman tiba di Masjid Negara sekitar jam 2 petang. Pasukan polis beserta dengan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah pun kelihatan bersiap sedia mengawal di hadapan masjid. Kami bertiga dilarang masuk dengan alasan bilangan hadirin yang ada di dalam masjid sudah terlalu ramai, pun begitu kami nekad dengan memanjat pagar di bahagian hadapan Masjid Negara.

Di dalam masjid terdapat ribuan manusia, majoritinya berbaju kuning dan kelihatan cukup bersemangat. Kami bertiga mengambil giliran untuk bersolat Zuhur sambil mengawal kasut, bimbang dikebas pencuri bertopengkan reformis. Dewan solat penuh dengan aktivis-aktivis yang bersolat sunat, berdoa dan berwirid. Di suatu sudut terdapat sekumpulan aktivis mengerumuni Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Hadi Awang. Turut kelihatan ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Isa serta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Ustaz Badrol Amin.

Lebih kurang jam 2.30 petang, kedengaran bunyi riuh-rendah serta gema takbir berulang-ulang kali dari bahagian bawah masjid. Perarakan telah pun bermula! Puluhan ribu rakyat mula membanjiri jalan di hadapan bangunan Dayabumi sambil melaung-laungkan tuntutan demokrasi serta reformasi dalam pengendalian sistem pilihanraya negara. Jalan-jalan menghala ke Istana Negara ditutup dan perarakan berjalan lancar tanpa gangguan. Kenderaan-kenderaan di lorong bertentangan yang terperangkap di dalam kesesakan juga mulai membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada para aktivis.

Lebih kurang jam 3 petang, kami semua tiba di perkarangan Istana Negara. Polis dan FRU mengadakan sekatan di hadapan pintu utama Istana Negara. Waktu itu saya mendapat maklumat bahawa terdapat puluhan ribu lagi yang tidak dapat bersama-sama dengan kami kerana disekat oleh pihak polis. Khabarnya pihak polis menggunakan semburan air dan bom asap untuk menghalang perarakan rakyat yang berhimpun di sekitar kawasan Masjid Jamek. Sekitar jam 3.15 petang, Haji Mohammad Sabu kelihatan memberikan ucapan sambil mengetuai para demonstran melaung-laungkan slogan anti rasuah serta menuntut reformasi sistem pilihanraya. Turut menyampaikan ucapan ialah saudara Badrul Hisham Shaharin, Tian Chua, Ustaz Salahuddin Ayub, Tuan Guru Datuk Seri Hadi serta Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudiannya menyeru agar para demonstran bersurai secara aman sebaik sahaja memorandum tuntutan diserahkan kepada wakil DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Perhimpunan kemudiannya mulai bersurai dengan aman secara berperingkat di mana kesemua demonstran berarak kembali menuju Masjid Negara. Ketika dalam perjalanan untuk ke Masjid Negara, suasana menjadi kecoh dan aliran pergerakan menjadi sesak apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul. Orang ramai mulai berebut-rebut mengerumuni beliau untuk bersalaman sehingga menyebabkan saya terpisah dari teman-teman dan terpaksa mengikut kumpulan yang mengiringi Anwar ke Masjid Negara.

Lebih kurang jam 4.30 petang, persekitaran Masjid Negara mulai dibanjiri oleh orang ramai yang ikut serta dalam perarakan aman. Saya menemui kembali dua orang teman yang terpisah ketika proses bersurai tadi.

Kami puas. Hari ini telah membuktikan bahawa bukan semua rakyat gembira dan bangga dengan penipuan dan pengkhianatan yang selama ini telah dilakukan oleh UMNO-BN dalam menerajui pentadbiran negara. Penyelewengan dalam pilihanraya merupakan antara taktik jahat dan kotor yang sering digunakan oleh UMNO-BN dalam mengekalkan kuasanya selama ini dan tindakan mereka itu telah dipertahankan secara bermati-matian oleh penyangak-penyangak UMNO dengan diketuai oleh menantu presidennya, Khairy Jamaluddin dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Apa yang pasti, ugutan serta amaran Presiden UMNO ketika menyampaikan ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung UMNO semalam supaya rakyat jangan mencabar beliau dan kerajaannya nyata tidak diendahkan langsung oleh rakyat yang telah bosan mendengar penipuan demi penipuan pemimpin-pemimpin UMNO-BN.

Nah! Hari ini Kuala Lumpur kembali bergema dengan laungan "Hidup rakyat", "Reformasi" dan "Allahu Akbar"! Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar meski pun kedengaran berita tentang beberapa tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis, pun begitu khabarnya ramai yang telah pun dibebaskan. Terima kasih buat semua; rakyat marhaen yang sedar dan insaf, mahasiswa yang berani dan perkasa, sukarelawan Unit Amal PAS yang dedikasi dan tabah serta semua pimpinan yang sanggup berhujan bersama rakyat dalam menuntut kebebasan dan keadilan buat negara yang bertuah ini.

Suara rakyat, suara keramat! Hidup rakyat!

Jumaat, November 09, 2007

"Beruk" jalanan sudah wujud sejak 61 tahun dahulu...

Semalam, saya berkesempatan menonton filem 1957: Hati Malaya, sebuah filem terbitan Pesona Pictures yang diarahkan oleh Suhaimi Baba. Desas-desus yang mengatakan bahawa inti filem ini bersifat propaganda sememangnya berasas. Masakan tidak kerana sepanjang perjalanan cerita ini, hanya UMNO yang ditampilkan sebagai parti tonggak yang mengasaskan perjuangan menuntut kemerdekaan. Peranan KMM, Hizbul-Muslimin, API dan lain-lain pergerakan yang menentang penjajahan seolah-olah sengaja dilupa dan dipinggirkan.
Begitu pun, apa yang cuba saya nukilkan di sini bukanlah persoalan siapa lebih layak diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan sebenar. UMNO juga sememangnya punya peranan yang besar dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, pun begitu seharusnya jasa serta pengorbanan pertubuhan serta parti-parti politik lain selain UMNO sewajarnya turut diiktiraf dan dihargai.
Apa yang menarik perhatian saya ialah ketika mana menyaksikan babak demonstrasi anti Malayan Union yang disertai oleh para nasionalis Melayu yang berhimpun di hadapan Hotel Station Kuala Lumpur (gambar atas) yang berlaku pada tahun 1946. Pada waktu itu, kelihatan para pejuang Melayu melaung-laungkan slogan anti British serta mengecam pembentukan Malayan Union yang secara samar mengikis kuasa Raja-raja Melayu.
Peristiwa bersejarah ini berlaku di hadapan Stesyen Keretapi Kuala Lumpur dan disertai oleh ratusan pejuang Melayu yang menuntut agar hak dan kedaulatan Raja-raja mereka tidak diragut oleh penjajah British. Dan esok, satu lagi peristiwa bersejarah bakal berlaku di Kuala Lumpur, di dataran tempat YTM Tunku Abdul Rahman melaungkan "Merdeka" pada tengah malam 31 Ogos 1957.
Perhimpunan aman anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH) ini dijangka bakal disertai hampir 100,000 rakyat yang prihatin dan sedar akan hak dan kedaulatan mereka sebagai warganegara Malaysia yang bebas dan merdeka.
Jika 61 tahun lalu, datuk-datuk dan nenek-nenek kita berarak membantah Malayan Union dan mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu, maka esok kita akan berarak membantah kepincangan sistem demokrasi negara ini dengan menuntut agar pilihanraya negara dibersihkan dari pada kebobrokan dan penyelewangan yang selama ini dilakukan oleh kerajaan UMNO-BN. Esok kita semua akan berarak menuju Istana Negara, merafak sembah ke atas DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan menyerahkan tuntutan kita seterusnya kembali bersurai secara aman.
Abaikan Khairy Jamaluddin serta pengkhianat-pengkhianat bangsa dan negara yang lainnya! Beliau boleh melabel kita "beruk" tapi barangkali beliau lupa atau sememangnya tidak tahu bahawa "beruk-beruk" ini sebenarnya sudah wujud sejak dari tahun 1946 lagi. Dan majoriti "beruk-beruk" jalanan yang membantah pembentukan Malayan Union 61 tahun dahulu merupakan ahli United Malays National Organization!

Si beruk hitam melalak lagi!

"Saya cabar pembangkang, jangan jadi beruk-beruk di jalanraya tetapi bertanding dalam gelanggang pilihanraya umum. Kita yakin kita akan menang menentang mereka."
-Khairy Jamaluddin, 6 November 2007
"Beruk" dan "monyet".
Dua butir nama ini cukup popular di bibir Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (gambar atas) dalam tahun ini. Selepas melabel komuniti penulis blog sebagai "monyet" beberapa bulan lalu, kelmarin beliau yang diketahui umum sebagai bekas graduan Universiti Oxford (ada cerita yang mengatakan beliau sekadar lulus dengan CGPA 2.26) melabel para aktivis pembangkang sebagai "beruk" pula.
Merujuk kepada kenyataan di atas, Khairy jelas menujukannya kepada para aktivis dan rakyat yang bakal hadir membanjiri Dataran Merdeka untuk ikut serta memberikan sokongan dalam perhimpunan aman anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH) yang bakal diadakan pada 10 November ini.
Persoalannya, jika para demonstran yang bakal ikut berarak dalam perhimpunan aman anjuran BERSIH Sabtu ini dilabel sebagai "beruk", apakah pula label yang sesuai diberikan kepada Khairy dan peserta-peserta demonstrasi membantah kehadiran Setiausaha Negara Amerika, Condoleeza Rice yang diketuai olehnya pada tahun lalu?
Menurut satu sumber, apabila diajukan tentang perkara ini, Khairy menyatakan bahawa perhimpunan membantah Condoleeza Rice tersebut telah diberikan permit oleh pihak polis dan dari itu mereka (yang ikut berhimpun bersama Khairy, majoritinya Pemuda UMNO) tidaklah layak dikategorikan sebagai beruk.
Mungkin Khairy tidak faham dan kurang mengerti apa itu makna demokrasi dan hak asasi. Jika di Eropah dan Amerika Syarikat, perhimpunan serta protes aman menjadi sesuatu yang lumrah dan diraikan. Perhimpunan yang adakalanya mencecah jutaan peserta tidak pula berakhir dengan rusuhan dan keganasan. Ini jelas berbeza dengan situasi di Malaysia di mana perhimpunan yang pada asalnya berjalan secara aman dan tertib berakhir dengan rusuhan dan kekecohan lantaran dicemari oleh provokasi polis.
Khairy seharusnya cerminkan diri sebelum melabel orang lain sebagai monyet dan beruk. Beliau sepatutnya ingat bahawa ketika hari penamaan calon pilihanraya kecil Ijok beberapa bulan yang lalu, perwatakan serta karakter beliau sendiri yang lebih menyerupai binatang yang gemar disebutnya itu. Melalak, menjerit dan mencarut!
Dan kelmarin beliau melakukannya lagi tetapi kali ini lebih memalukan kerana makiannya dilafazkan di dalam Perhimpunan Agung UMNO; majlis yang seharusnya jadi medan perbahasan tentang permasalahan dan untung nasib bangsa Melayu!
Inilah akibatnya jika "beruk" yang disuruh berucap. "Beruk" jualah yang tahu disebutnya!

Isnin, November 05, 2007

Dedikasi khas sempena Perhimpunan Agung UMNO


Ada mata — pandang
Ada telinga — dengar
Ada mulut — diam

Ada tangan — garu
Ada kaki — goyang

Ada otak — pandai
Ada akal — pakai
Ada bijak — gadai

Ada mata — pejam
Ada mulut — kunyah

Yang remeh
Dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu

Buatlah
Buatlah
Buatlah tak tahu

Rela jadi tunggul
Rela jadi patung
Tunggu dilelong

Suruh angguk — angguk
Suruh geleng — geleng

Oh pujilah aku
Ampulah aku
Senang hidupmu

Ada tangan — tadah
Ada maruah — campak

Yang remeh
Dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu

Biarkan
Biarkan
Biarkan berlaku

Ada mata — pandang
Ada telinga — dengar
Ada mulut — diam

Ada tangan — garu
Ada kaki — goyang

Ada otak — pandai
Ada akal — pakai
Ada bijak — gadai

Ada mata — pejam
Ada mulut — kunyah

Yang remeh
Dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu

Buatlah
Buatlah
Buatlah tak tahu

Tepuklah
Tepuklah
Tepuklah tanganmu

Biarkan
Biarkan
Biarkan berlaku


Hidup Melayu (baca: UMNO) !
Ha ha ha!