Iklan

Jumaat, Ogos 31, 2007

Merdeka


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasul-Nya.

Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.

Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak yang tersebut, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan segala peranjian yang lain yang ada sekarang antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ataupun salah seorang daripada baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa dan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhannya adalah tamat dengan sendirinya.

Dan bahawasanya kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-Negeri Melayu telah meluluskannya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.

Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakah oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.

Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta’ala akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.

Rabu, Ogos 29, 2007

Harapan

Akhbar The Star hari ini menyiarkan harapan seorang bekas banduan (gambar di atas) sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50. Bekas banduan yang juga merupakan mantan Ketua Polis Negara ini menyeru agar semua rakyat Malaysia menjadi sebuah bangsa yang bersatu. Tambah beliau lagi, status agama 'Islam' dalam kad pengenalan seharusnya dihapuskan kerana hal ehwal agama merupakan urusan peribadi seseorang dengan Tuhan.

Saya secara peribadi bersetuju dengan saranan beliau itu. Kalaulah sembilan tahun yang lalu beliau bersifat matang dan rasional sebegini, mungkin beliau bakal dikenang sebagai salah seorang Ketua Polis Negara yang terbaik dalam sejarah. Beliau merupakan antara tokoh penting yang berperanan dalam mengatur perjanjian damai antara kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya yang berpengkalan di Selatan Thai suatu ketika dahulu.
Malangnya, sembilan tahun yang lalu, beliau terlalu emosi dan angkuh dengan kekuasaan yang dipegangnya. Dan tentu ramai yang masih ingat lagi dengan gambar di bawah ini. Gambar yang mengubah takdir serta reputasi seorang Ketua Polis Negara...

Buat Tan Sri Rahim Noor, selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50. Semoga harapan dan impian Tan Sri untuk melihat sebuah Bangsa Malaysia bakal jadi realiti suatu hari nanti...

Tahniah

Kemarau 14 tahun kejuaraan kejohanan Pestabola Merdeka akhirnya berakhir juga. Skuad bola sepak negara di bawah bimbingan jurulatih B. Sathianathan ini muncul juara dengan kemenangan 3-1 ke atas pasukan Myanmar.
Tahniah pasukan Malaysia! Kemenangan ini cukup bererti buat semua peminat sukan bola sepak tanah air. Kami mengharapkan agar pencapaian sebegini kekal dan terus dipertingkatkan. Semoga kejayaan ini bakal berulang di kejohanan Sukan SEA yang akan datang.
Tahniah!

Selasa, Ogos 28, 2007

Burhanuddin 2

Pada tahun 1950, Burhanuddin Al-Helmy telah ditahan oleh pihak British selepas tercetusnya Rusuhan Natrah. Beliau dituduh terlibat dalam demonstrasi menentang keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang membenarkan Natrah atau Maria Hertogh dipulangkan kepada keluarga asalnya di Belanda.
Beliau kemudiannya telah dipenjara selama satu tahun. Namun, terdapat catatan yang menyatakan beliau dipenjarakan selama tiga tahun di Singapura ekoran peristiwa tersebut.
Sesetengah pendapat mencatatkan bahawa Rusuhan Natrah hanya digunakan oleh pihak British sebagai alasan untuk menahan beliau. Ini kerana semasa Darurat pada 1948, Burhanuddin menyeru secara terbuka supaya orang Melayu jangan menyerang askar gerila Cina yang berjuang melawan British di dalam hutan dan British tidak boleh menahan Burhanuddin Al-Helmy yang bergiat masa itu di Singapura kerana pulau tersebut tidak tertakluk kepada undang-undang Darurat yang hanya dikuatkuasakan di Semenanjung Tanah Melayu.

Burhanuddin

Jika beliau masih hidup, usianya kini 96 tahun. Dan semestinya beliau akan merintih menyaksikan impiannya untuk melihat penyatuan pelbagai kaum di Malaysia ini yang berbeza budaya, agama dan adat resam masih belum menjadi realiti.
Sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-50 Jumaat ini kelihatan seolah-olah meminggirkan nama beliau yang suatu ketika dahulu merupakan antara tokoh pejuang pembebasan Tanah Melayu yang dihormati. Agak pelik kerana pihak Astro (penganjur pertandingan Anak Gemilang Malaysia) sekadar meletakkan beliau sebagai tokoh dalam kategori 'pendidikan' sedangkan Dr. Burhanuddin Al-Helmy cukup dikenali sebagai tokoh politik yang hebat dan berkarisma.
Dilahirkan pada 28 Ogos 1911 sebagai Amir Burhanuddin Bin Ungku Mohd Nor di Changkat Tualang, Perak Darul Ridzuan dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatera Barat pada tahun 1924. Pada tahun 1926, Burhanuddin Al-Helmy meneruskan pelajarannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah dan seterusnya dari situ ke Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang hingga tamat kelas sanawi pada tahun 1934.
Beliau kemudian melanjutkan pelajarannya di Universiti Aligarh, India dalam bidang sastera dan falsafah. Sekembalinya ke Tanah Melayu, Burhanuddin Al-Helmy mulai bertugas sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned Singapura. Ketika di Singapura, Burhanuddin belajar ilmu perubatan homopati daripada Dr. Rajah dan beliau telah berjaya mendapat ijazah kedoktorannya daripada Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India.
Penglibatan beliau dalam gerakan dakwah bermula semasa beliau belajar di Sumatera Barat di bawah asuhan Haji Nuruddin, anggota Sarekat Islam Indonesia. Di samping itu guru-guru yang mengajar dan mendidik beliau di sana terdiri di kalangan mereka yang mendukung perjuangan Kaum Muda.
Semasa di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang, Burhanuddin Al-Helmy juga ikut terdedah dengan pemikiran Kaum Muda. Aliran inilah yang mula-mula sekali menyalakan semangat anti-penjajah dan pro-kemerdekaan dalam diri beliau. Semasa belajar di India pula iaitu dalam tahun 1928, beliau giat mengikuti pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah dan Jawaharlal Nehru serta pemimpin-pemimpin kemerdekaan India yang lain.
Selepas tamat pelajarannya di India, beliau telah mengembara ke Palestin dan Turki serta mengikuti perkembangan umat Islam di sana. Waktu di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy bergiat cergas dalam gerakan-gerakan Islam di pulau tersebut. Beliau menerbitkan majalah "Taman Bahagia" yang bercorak anti-British sehingga mengakibatkan beliau ditahan oleh pihak British di sana. Burhanuddin seterusnya bergiat pula dengan persatuan Jama’atul Islamiah dan menjadi penyunting majalah "Kehidupan Dunia Akhirat".

Ahad, Ogos 26, 2007

Gugur

Kempen Abdullah Badawi untuk memerangi rasuah seharusnya kita jadikan bahan ketawa.

Bermula dengan 'gimik' pendakwaan terhadap Kasitah Gaddam, pembebasan Eric Chia dan yang terkini, gugurnya kesemua 37 pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965 yang sepatutnya dikenakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md. Deros alias Abang Z dan tujuh pengarah lain dari syarikat yang sama. Jika kalian masih ingat, Abang Z inilah yang dahulunya bikin kecoh dengan skandal 'istana' mewah yang dibina di celah-celah kampung yang serba sederhana.

Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia, permohonan menggugurkan kes itu dibuat oleh pegawai pendakwa kanan dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Azmil Haron setelah mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya pada 31 Julai lalu. Bagaimanapun, Azmil tidak memaklumkan kepada mahkamah sebab pertuduhan tersebut digugurkan.

Pada 20 Julai lalu, Abang Z yang sepatutnya didakwa atas 13 tuduhan mengikut Akta Syarikat 1965, tidak hadir di Mahkamah Sesyen Klang menghadapi tuduhan tersebut kerana berada di Indonesia. Syarikat yang beralamat di Jalan Papan, Pandamaran Industrial Area Pelabuhan Klang, disaman kerana gagal menyerah simpan kepada pendaftar satu notis mengenai perubahan kedudukan pejabat berdaftar dalam tempoh sebulan selepas tarikh perubahan kedudukan.

Peguam Abang Z, Mozmi Sham Ahmad ketika ditemui selepas itu enggan menyatakan punca pertuduhan digugurkan sebaliknya meminta pihak media tidak membesarkan isu tersebut dan menerima keputusan yang telah diputuskan oleh majistret.

Mudah. Beginilah rutin perbicaraan pemimpin-pemimpin yang punya kepentingan dan pengaruh. Didakwa atas sesuatu tuduhan, dibebaskan dan kemudiannya meminta agar media tidak membesarkan isu tersebut.

Usah terkejut jika keputusan kes perbicaraan Altantuya kelak menyaksikan ke semua tertuduh yang didakwa terlepas dari pertuduhan dan bebas dari hukuman mati.
Inikan Malaysia. Segalanya mungkin!

Ahad, Ogos 19, 2007

Bisu


Khairy ‘speechless’ over MCA Youth’s antics

The outspoken Khairy Jamaluddin was ‘speechless’ today when asked to comment on the harsh criticisms from the MCA Youth which seemed to target Umno.

Despite sitting through the two-hour-long opening ceremony of the annual MCA Youth meet in Malacca today, the Umno Youth deputy leader was in the dark on the content of the MCA leaders’ speeches as they were mostly delivered in Mandarin.

MCA Youth chief Liow Tiong Lai in a fiery speech said the movement will not compromise extreme racism and accused certain quarter of stirring up the Chinese community’s sentiment.
In an apparent reference to Umno Youth, Liow - while leading his committee members to wave copies of the Federal Constitution - also said people should wave the constitution instead of brandishing the keris, a traditional Malay dagger…

When the opening ceremony was over and journalists were all ready to ask Khairy for comments on the speeches, the only response from him was that he has to read the speech first.

Asked to comment on Liow’s remarks on waving the constitution instead of the keris, Khairy replied: “Did he say that? I have to see how it was phrased, I don’t understand Mandarin.”

To other questions on Liow’s comments, he reiterated that he has to read the full text before responding.

Asked whether he has received a translated version of Liow’s speech, as claimed by the MCA Youth head, Khairy replied: “No… ehhh… we are getting it.” …

Immediately after Khairy’s brief chat with the media, he returned to the VIP guest room and was overheard asking what Liow had said in his speech such as the remark on the keris.

Explaining, the MCA Youth chief was heard responding that he only informed the delegates on “what had happened”.

At this juncture, a MCA official immediately delivered a copy of the translated Bahasa Malaysia speech to Khairy, which was taken by an Umno Youth member. The brief encounter was believed to end in an atmosphere of embarrassment.

Source: Malaysiakini.com

Sabtu, Ogos 11, 2007

Malaysia

Dua puluh hari lagi Malaysia bakal meraikan ulang tahun "kemerdekaan" ke-50. Saya tidak tahu entah kenapa semalam saya dengan penuh patriotik memanjat bumbung rumah untuk mengibarkan Jalur Gemilang walhal sebelum ini saya tidak pernah melakukannya.

Jalur Gemilang mengingatkan saya kepada "Stars & Stripes". Empat belas tahun dulu saya menetap di Amerika Syarikat, sekeluarga meninggalkan Malaysia kerana bapa melanjutkan pengajian sarjananya di sana.

Saya masih ingat (dan tak mungkin akan saya lupakan), hari pertama di sekolah, seorang teman Mat Saleh bernama Jimmy menyapa saya, bertanyakan dari mana. Bangga, saya menjawab 'Malaysia'. Beliau bertanya lagi, di manakah Malaysia itu.

Saya buntu. Jimmy kemudiannya menunjukkan saya atlas besar yang tergantung di belakang kelas. Beliau meminta saya menunjukkan di mana lokasi Malaysia di dalam peta dunia. Sekali lagi saya buntu. Mungkin inilah kesan apabila subjek Geografi hanya mula diajar di peringkat sekolah menengah.

Jimmy bertanya lagi,"Najwan, are you sure there's a country named Malaysia?"

Saya diam. Melihat-lihat kembali peta dunia, saya ternampak susunan bendera-bendera di bahagian bawah atlas tersebut dan mata saya tertangkap pada sebuah bendera yang seakan-akan "Stars & Stripes". Bezanya, di dalam kotak berwarna biru pada bendera tersebut terdapat bulan sabit dan bintang 14 bucu berwarna kuning.

"Jimmy, this is my country's flag."

"Wow! It is so similar to the Stars & Stripes. How amazing! Maybe Malaysia is not far from USA, Najwan. Come, let us check the map again and find where is Malaysia."

Kami mencari lagi. Gagal.

"Jimmy, it's ok. I'll ask my father at home tonight and tomorrow I'll show you where is Malaysia."

Dan jika hari ini saya bertemu Jimmy semula, saya masih kurang pasti sama ada saya sudah boleh menunjukkan beliau di manakah "Malaysia"...

Jumaat, Ogos 10, 2007

Bendera


Sang Saka Malaya

Ciplak?



Mamula Moon

one day i walked along
a moonlit island shore
and soon i heard a song
i never heard before

i said who can it be
to sing so tenderly
and saw a dust he made
with lonely serenade

mamula moon
shine high above the southern sea
and like my love
say form again to me

we said goodbye
beside the blue lagoon
alone am i
with you mamula moon

i waved my hand
the grey ship sailed across the bay
on golden sand
that might i melt to pray

that i might see
my love returning soon
still true to me
and you mamula moon

Rabu, Ogos 08, 2007

Muqaddimah

Minggu lalu di Pesta Buku Uniten, saya membeli kitab klasik 'Mukadimah' (dimelayukan dari perkataan Muqaddimah) karya ilmuan Islam, Ibnu Khaldun. Kitab setebal 880 muka surat terjemahan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) ini telah saya idam untuk membacanya sejak dari tingkatan tiga lagi. Kini kitab tersebut ada di sebelah bantal saya dan akan saya telaah setiap kali usai solat Maghrib sehingga masuk waktu Isya'.
Kitab ini secara ringkasnya menghuraikan tentang persoalan-persoalan sosiologi, falsafah dan teologi merangkumi sejarah peradaban manusia secara umum, dinasti raja-raja, tentang ehwal kenegaraan, juga hal-hal berkaitan kehidupan dan ilmu pengetahuan.
Selain itu, saya juga kini dalam proses mengkhatamkan Saman (karya Ayu Utami). Saya sedikit lambat dalam mencerna novel ini kerana tumpuan pembacaan akan mula bertukar khayal sebaik memasuki alam bahasa yang lebih erotik. Karya ini secara ringkasnya boleh saya katakan sebagai cerminan dan penzahiran rasa marah sang penulis terhadap institusi sosial yang berasaskan patriarch serta prejudis sempit terhadap kaum wanita.
Ayu Utami, pertama kali saya kenali ialah ketika mana saya membaca kata pengantar dalam buku Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi (kumpulan artikel terpilih Fathi Aris Omar), waktu di mana saya mula berjinak-jinak dengan penulisan para penulis-reformis secara lebih serius.
Tinggalkan seketika tentang "monyet-monyet" SARKIS. Saya mahu membaca...

Jumaat, Ogos 03, 2007

Ihsan

Teman saya Ihsan sudah mula menulis blog. Akhirnya.
Beliau kuat merokok, bersembang dan minum teh tarik. Idola beliau boleh dilihat pada baju dalam gambar di atas. Kata Ihsan:
"Manusia tanpa cinta, laksana kehidupan tanpa agama."
Saya mahu menambah:
"Agama tanpa ilmu, laksana jasad tanpa ruh."
Selamat menulis, Ihsan.

Khamis, Ogos 02, 2007

Letto

Sebetulnya, saya agak lambat mengetahui tentang band yang kini mencetus fenomena di stesen-stesen radio tanah air ini. Sebelumnya saya pernah mendengar 'Sandaran Hati' tetapi tidak tahu siapa yang menyanyikannya. Lagu misterius ini kini merupakan 'lagu berhantu' yang jadi siulan anak-anak muda.
Saya tidak mahu ulas lagi. Cukup dengan mengatakan, saya senang sekali dengan muzik anak-anak muda dari seberang ini.
Selamat datang Letto. Selamat bertapak di bumi Malaysia.
Hiburkanlah kami. Kami ketandusan muzik-muzik berkualiti.
(Gambar: Anggota kumpulan Letto)