Iklan

Ahad, Jun 17, 2007

2057

"You may say I'm a dreamer. But I'm not the only one. I hope someday, you'll join us. And the world will be as one."
-John Lennon, 'Imagine' (1971)
Bayangkan kita di tahun 2057.
Ketika itu saya sudah berumur 72 tahun. Barangkali sudah punya cucu dan cicit. Atau mungkin sudah mati. Mungkin juga ketika itu cucu saya Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh atau kelapan. Mungkin beliau dari Parti Islam Semalaysia (PAS). Atau Parti Keadilan Rakyat (PKR). Atau mungkin juga Presiden Umno!
Ketika itu negara ini sudah mencecah 100 tahun usia kemerdekaannya. Barangkali Universiti Malaya (UM) waktu itu sudah pun berada di Sepang. Dan ada arca Ungku Aziz di pintu masuk UM, sedang duduk dengan penuh bergaya (ibarat tugu Abraham Lincoln di Washington DC) menyambut kedatangan pengunjung.
Bayangkan kita di tahun 2057.
Ketika itu barangkali Faisal Tehrani telah bergelar pemenang Hadiah Nobel dalam bidang kesusasteraan. Nama beliau sudah jadi setaraf dengan Orhan Pamuk dan Naguib Mahfouz.
Fathi Aris Omar pula gah dikenali sebagai tokoh agung falsafah dari Nusantara. Idea-idea dan pemikirannya dijadikan rujukan ulama-ulama dan cendekiawan-cendekiawan dari Barat. Mungkin beliau sudah tiada ketika itu. (Barangkali beliau sedang tersenyum keharuan membaca entri ini. Atau juga sedang menggeleng-gelengkan kepala sambil berkata di dalam hati: "Apa gilanya budak Najwan ni..")
Bayangkan kita di tahun 2057.
Waktu itu mahasiswa dan intelektual dari negara ini akan menguasai universiti terkemuka dunia, manakala universiti tempatan akan menjadi pusat kecemerlangan untuk cendekiawan antarabangsa.
Ketika itu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sudah lebih gah daripada Universiti Harvard dan Oxford.
Tiada lagi AUKU. Mahasiswa mula hebat berfikir. Kritis, dinamis dan kompetitif. Ketika itu simbol wajah Che Guevara sudah tidak diminati lagi oleh golongan muda yang radikal. Potret Hishamuddin Rais sudah mulai menjadi hiasan dan kemegahan di baju dan batch di beg.
Bayangkan kita di tahun 2057.
Barangkali negara ini akan menjadi perintis tenaga alternatif, lahir daripada kelebihannya dalam biofuel. Bandar raya di Malaysia paling ceria dengan gabungan kemudahan kosmopolitan yang bertunjangkan masyarakat adil dan bertolak ansur.
Waktu itu Kuala Lumpur sehebat New York. Genting Highlands lebih masyhur dari Monte Carlo. Dan wilayah Iskandar lebih hebat dari Hong Kong. Singapura ketika itu hanya setaraf dengan Kangar barangkali.
Bayangkan kita di tahun 2057.
Mungkin UMNO ketika itu hanya sejarah. Dan mungkin juga tiada lagi istilah Melayu, Cina atau India. Malaysia ketika itu milik semua. Semua kaum. Semua bangsa.
Tiada lagi curiga antara agama. Tiada lagi pertikaian tentang siapa tuan, siapa pendatang. Tiada lagi upacara hunus keris oleh kepala-kepala rasis. Dan tiada lagi ugutan dan ancaman tentang tuntutan penghapusan hak keistimewaan.
Bayangkan kita di tahun 2057.
Cuba bayangkan.
Apakah kalian nampak warna-warna pencerahan?