Iklan

Khamis, Mei 31, 2007

Camus

Petang tadi, saya terima SMS dari Fathi Aris:
"3 ciri absurd Camus: Revolt, freedom & passion!"
Saya pernah dengar nama Camus. Albert Camus. Penulis dan filasuf Perancis yang terkenal, juga penerima anugerah Nobel dalam bidang kesusasteraan. Pun begitu, saya tidak pernah ambil tahu tentang aliran falsafahnya--absurdism.
Saya bingung memikirkan apa kaitan perkataan absurd (erti: mustahil, tidak masuk akal) dengan revolt, freedom dan passion? Tuntas, saya terus mencari ensiklopedia. Menyelongkar perkataan absurdism. Buntu. Tiada dalam senarai.
Maka wikipedialah jawapannya. Dan ini tafsiran yang saya perolehi dari wikipedia.com:
"Absurdism is a philosophy stating that the efforts of humanity to find meaning in the universe will ultimately fail (and, hence, are absurd) because no such meaning exists, at least in relation to humanity."
Sehingga entri ini ditulis, saya masih lagi membaca tentang absurdism. Satu pencarian 'makna' dalam kehidupan yang pasti menemui kegagalan. Apa benar begitu? (Saya kurang pasti sama ada saya benar-benar faham tentang istilah ini atau sekadar buat-buat faham saja)
Lantas saya teringat coretan Dhani Ahmad dalam Nonsens:
"Tak ada kebenaran hakiki. Yang ada cuma hanya: Kamu di sana dan akulah milikMu."
Dan saya masih lagi cuba memahami apa itu absurdism.

Selasa, Mei 29, 2007

Atheis

Alam siber ini juga ada tuhan-tuhannya, barangkali.
Dan saya mengaku, saya seorang atheis terhadap 'tuhan-tuhan' jenis ini kerana mereka dari spesies tuhan yang rasis.
Tuhan-tuhan ini memusuhi saya, juga beberapa teman yang lain.
Firman mereka:
"Budak2 Telawi semua free thinker!! Anda musuh kami"
Saya terkenang kisah Si Luncai.
Biarkanlah. Biarkan mereka terbang dengan wahyu-wahyu dangkal mereka !

Isnin, Mei 28, 2007

Liberal

Pagi tadi saya sempat meneliti sebuah artikel yang tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia, bertajuk 'Hindari liberalisme moden', tulisan Happis Basha.
Masih, tak habis-habis lagi isu liberal.
Cukup mengejutkan kerana artikel sebegini bisa tersiar didalam akhbar seperti Mingguan Malaysia (yang mana ramai membelinya semata-mata untuk membaca sisipan Pancaindera sahaja barangkali!). Bukan kerana mesejnya yang jelas mencurigai liberalisme yang dikatakan menjadi punca "mengalirnya sifat-sifat negatif ke dunia Islam", tetapi kerana artikel ini bagi saya seakan-akan punya nilai akademik dan ciri-ciri intelek.
Penulis turut menyenaraikan pelbagai istilah 'liberal' yang saya sendiri tidak pernah dengar!
"...Disebabkan perpecahan itu, maka lahir beberapa aliran dan pergerakan liberalisme seperti neoliberalisme, liberalisme budaya, liberalisme klasikal, ordoliberalisme, liberalisme konservatif, paleoliberalisme, liberalisme sosial dan liberalisme ekonomi."
Dan wajah Khalid Jaafar tiba-tiba muncul dalam kotak fikiran saya.
Barangkali blognya akan kembali bersawang lagi kerana beliau kini ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat.
Selamat berkhidmat Pak Khalid !

Sabtu, Mei 19, 2007

Haram 2

Khabarnya, buku May 13: Declassified Documents on the Racial Riots of 1969 karya Dr. Kua Kia Soong yang dilancarkan pada 13 Mei yang lalu bakal berdepan dengan tindakan pengharaman oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.
Saya masih belum berkesempatan membaca buku ini, pun begitu kini ghairah mengikuti perbahasan dan ulasan mengenainya di beberapa blog teman-teman.
Amir Sari, menerusi ulasan di blog beliau turut menyiarkan kenyataan media oleh Komunite Seni Jalan Telawi (KSJT) yang membantah tindakan merampas buku ini.
Langkah seumpama ini, menurut KSJT, bukan sahaja boleh dianggap tidak demokratik, tetapi juga tidak mempunyai sikap yang beradab dalam kehidupan masyarakat yang terbuka dan menghargai perbezaan pandangan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui blog rasmi beliau juga turut mengkritik cadangan pengharaman buku ini sambil menyifatkannya sebagai mencabuli kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tambah beliau lagi, tindakan menyekat buku tersebut secara tidak langsung akan meningkatkan lagi nilainya dan menaikkan keinginan pembaca (untuk memilikinya). Lebih penting lagi, pengharaman buku ini akan memperkukuhkan lagi tesis bahawa rusuhan kaum 13 Mei 1969 tersebut sememangnya disebabkan oleh rampasan kuasa yang dirancang pimpinan tertentu untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman Putra.
Saya secara peribadi tidak punya hak untuk mengulas isi buku ini memandangkan masih belum membacanya, pun begitu saya cukup hampa dan tidak bersetuju dengan langkah bacul pihak kerajaan untuk mengharamkannya.
Memetik kembali ulasan saya dalam entri Haram yang tersiar sekitar bulan Disember tahun lalu di blog ini:
"... Jika sekiranya kerajaan ingin terus menyaksikan masyarakat Malaysia menjadi masyarakat yang hanya membaca dua helai muka surat buku dalam setahun, maka perbanyakkanlah lagi tajuk-tajuk buku untuk diharamkan.
Haramkanlah juga pencetakan dan penjualan Al-Quran itu sendiri andai kalian khuatir rakyat akan membaca ayat-ayat yang menyatakan rasuah itu haram, Islam tidak mengiktiraf ideologi perkauman dan kezaliman itu wajib ditentang! Haramkan!"
Atau barangkali mereka tidak pernah beriman dengan ayat pertama yang diturunkan oleh Tuhan yang berbunyi IQRA' itu?

Sabtu, Mei 05, 2007

Ijok 2

"Malaysia, tempat kelahiranku, telah terjerumus ke kancah korupsi di bawah belenggu pemerintahan kuku besi yang dahsyat. Bangsa ini terlalu buta dan sangat hina sehingga sukar sekali mencari jalan keluar."

30 April 2007
[Dalam aku mengenang Ijok]

Baca

Saya kini sedang dalam proses akhir membaca Makalah Penentu Tentang Hubungan Antara Syariah Dengan Falsafah.
Karya Ibnu Rusyd yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi ini dihasilkan sebagai menjawab hujah Imam Abu Hamid Al-Ghazali dalam Tahafut Al-Falasifah (Kecelaruan Ahli Falsafah) yang menyerang aliran falsafah Yunani.
Di dalam buku ini, Ibnu Rusyd menegaskan bahawa perdebatan atau perbincangan tentang falsafah tidak boleh dibuat secara sebarangan dengan melibatkan semua orang. Sekiranya ini berlaku, dikhuatiri ianya akan menimbulkan fitnah dan polemik kafir-mengkafir. Di dalam hal ini, beliau telah mengkategorikan kelas masyarakat kepada tiga tahap berbeza.
Pertamanya ialah orang awam, iaitu orang-orang yang hanya mampu memahami teks agama secara retorik dan lahiriah saja.
Keduanya ialah golongan mutakallimun, iaitu mereka yang memahami sesuatu teks atau mawjudat melalui pendekatan jadali (dialektis).
Dan yang akhirnya ialah golongan khawas, iaitu mereka yang mampu memahami pengertian tersirat dari sesebuah teks. Golongan inilah yang dimaksudkan sebagai ahli falsafah (filasuf) atau ahli hikmah. Mereka ini berkemampuan memahami mawjudat (segala ciptaan Tuhan yang ada) melalui pendekatan burhani (demonstratif).
----------------------------------------------------------------------------------
Selain karya-karya falsafah, saya juga sedang ghairah dengan novel fiksyen, The Secret Diary of Adrian Mole Aged 13¾ karya Sue Townsend. Novel yang pada asalnya saya belikan sebagai hadiah hari lahir adik, kini menjadi santapan petang saya.
Mengisahkan tentang diari kehidupan seorang budak lelaki, Adrian Mole merakamkan konflik dirinya sebagai seorang remaja yang sedang meningkat dewasa dan berhadapan dengan pelbagai konflik peribadi, masalah pergaduhan ibu bapa, juga sifat intelektual yang mula berkembang dalam jiwanya.
Seorang loner (orang yang suka menyendiri), Adrian berjiwa puitis dan mempunyai kecenderungan membaca yang tinggi.
Kisah hidup beliau kemudiannya diteruskan oleh Sue Townsend dalam beberapa lagi novel sekuel antaranya The Growing Pains of Adrian Mole dan juga The True Confessions of Adrian Albert Mole.