
Semalam saya berkesempatan menghadiri Kursus Alternatif Modul Hubungan Etnik (MHE)-Keberkesanan dan Cabaran untuk Merealisasikan Hubungan Etnik Rapat yang dianjurkan oleh Youth For Change (Y4C) bersama-sama dengan Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) Youth Section dan Strategic Information and Research Development Center bertempat di Auditorium Dewan Persatuan Cina Selangor.
Dua panelis yang diundang pada malam itu ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr. Syed Husin Ali dan juga Ketua Penyelaras Modul Hubungan Etnik, Prof. Dato’ Dr. Shamsul Amri Baharuddin.
Diskusi semalam yang membawakan tajuk “Sejauh manakah Modul Hubungan Etnik Mewujudkan Keharmonian Masyarakat” lebih menjurus kepada perdebatan tentang sejauh mana modul yang disediakan mampu menjamin wujudnya keharmonian dalam perhubungan etnik di negara ini.
Prof. Dato’ Dr. Shamsul menekankan akan kepentingan dan kewajaran agar modul ini diterima dan diberi ruang terlebih dahulu untuk dibuktikan hasilnya kelak. Tanpa menolak akan adanya campur tangan kerajaan dalam proses penyediaan modul ini serta kepincangan yang berlaku dalam sistem pentadbiran di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA), beliau turut menggesa para hadirin supaya lebih terbuka dalam membicarakan isu hubungan etnik sambil menyeru para mahasiswa agar memainkan peranan dalam memperbanyakkan diskusi tentang perkara tersebut.
Sementara hujah Dr. Syed Husin pula lebih menjurus kepada intipati modul yang tidak menceritakan sejarah sebenar hubungan etnik rakyat negara ini. Beliau membandingkan modul yang ada pada hari ini dengan yang digunapakai pada tahun 1960an dan 1970an. Kata beliau, modul yang ada pada hari ini telah memadamkan sejarah dengan menafikan penglibatan parti-parti politik berhaluan kiri seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Komunis Malaya (PKM) dalam proses menuntut kemerdekaan negara.
Beliau turut menekankan akan perlunya Dasar Ekonomi Baru (DEB) itu dikaji dan dirombak semula agar dilihat lebih adil dan menitikberatkan kesaksamaan terhadap kaum-kaum lain di Malaysia. Sewajarnya DEB ditegakkan bukan atas dasar meningkatkan taraf ekonomi sesuatu kaum saja tetapi ianya perlu dilaksanakan untuk membantu golongan rakyat (tanpa mengira bangsa) yang kurang berkemampuan sama ada dalam bidang ekonomi dan pendidikan.
Sebelum mengakhiri hujahnya, beliau mengulangi kebimbangan tentang kemungkinan akan berulangnya peristiwa 13 Mei sekiranya perkara berhubung dengan isu keseimbangan ekonomi, pendidikan dan taraf hidup antara kaum di negara ini tidak diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan. Isu hubungan etnik di negara ini diumpamakan seperti bom jangka; jika tidak dimatikan suis bom itu seberapa cepat yang mungkin, dikhuatiri ianya akan meledak, meletup dan selepas itu segalanya tidak akan berguna lagi.
Label: Diari, Falsafah, Semasa, Sosial