Iklan

Ahad, November 18, 2007

Apabila Sudu Lebih Dari Kuah...

Semalam telah saya ulas kenyataan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mendakwa dirinya tahu bila Pilihan Raya Umum (PRU) bakal diadakan. Antara lain, saya turut mempertikaikan bagaimana beliau memperolehi maklumat tersebut sedangkan mengikut kebiasaannya, hanya Perdana Menteri seorang saja yang mengetahui dan akan mengumumkan bilakah tarikh sebenar PRU akan dilaksanakan.
Dan ketika saya menonton siaran Buletin Utama di TV3 malam tadi, turut dipaparkan ialah respon Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi terhadap kenyataan Abdul Rashid kelmarin. Ketika ditanya oleh wartawan tentang perkara ini pada sidang media selepas melawat Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Terengganu, Perdana Menteri secara bersahaja menjawab:
"Kita tidak bubar parlimen, macam mana dia tahu? Bubar Parlimen saya yang tentukan."
Nah! Sekarang ini siapa sebenarnya Perdana Menteri? Abdullah atau Abdul Rashid? Atau mungkin Abdul Rashid punya cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri maka beliau dengan tanpa fikir panjang mendakwa bahawa beliau tahu bila PRU bakal diadakan.
Inilah akibatnya jika bercakap tanpa berfikir. Kononnya dia tahu semua. Janganlah kerana hendak mencari publisiti murahan untuk mempromosikan diri, bidang kuasa orang lain pun ingin dicampuri. Jalankan tugas anda sendiri sebagai pengerusi SPR. Hayati dan pertimbangkan tuntutan-tuntutan yang disuarakan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH). Jika dirasakan bahawa diri itu sudah tidak mampu untuk menjalankan tugas, perkiraannya mudah: lepaskan sahaja jawatan pengerusi SPR dan duduk diam-diam.
Usah berlagak tahu dan memandai-mandai mengeluarkan kenyataan yang akhirnya bakal memalukan diri sendiri. Lihat apa sudah jadi? Sekarang di mana mahu disorokkan mukamu itu wahai Tan Sri Abdul Rashid?

1 ulasan:

i1chocolat berkata...

Haha, tu la jadi bila berbicara tanpa berfikir.. Sejak bila pula hak dia utk dissolve parlimen & tentukan tarikh pilihanraya ? Haihz ..