Iklan

Khamis, September 27, 2007

Peguam


"Hari ini saya bangga jadi peguam!"
-Lathefa Koya, 26 September 2007
Semalam, bertempat di Putrajaya, dianggarkan seramai 2000 orang peguam dan aktivis berhimpun dan berarak dari Istana Keadilan menuju ke Kompleks Jabatan Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum menuntut agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat skandal di sebalik kandungan video "percaturan hakim" yang didedahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.
Apa yang pasti, perarakan semalam merupakan satu tamparan hebat kepada imej dan kredibiliti sistem kehakiman negara yang selama ini diketahui sebagai bermasalah dan penuh dengan penyelewengan.
Kali terakhir Majlis Peguam berarak dengan penuh solidariti ialah pada tahun 1998 sebagai menyatakan sokongan kepada peguam Zainur Zakaria yang berhadapan dengan dakwaan menghina mahkamah ketika mana beliau menjadi peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di dalam ucapannya di hadapan ribuan hadirin semalam, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan berkata:
“Bila para peguam berarak, itu bermakna adalah yang tidak kena. Kita mahukan perubahan dalam badan kehakiman."
Dan adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan apabila meneliti ulasan oleh seorang menteri lulusan undang-undang dari United Kingdom berhubung dengan tindakan para peguam semalam. Menteri berkenaan yang sebelum ini sering menzahirkan kebodohan dirinya dipetik oleh akhbar Berita Harian hari ini sebagai berkata:
"Bagi saya, perbuatan yang tidak wajar bagi ahli profesion guaman mengambil tindakan seumpama itu...kita tidak ada skandal, tidak ada masalah dalam badan kehakiman."
Menteri yang cukup terkenal sebagai seorang yang bermulut celupar ini juga turut mempertahankan badan kehakiman negara sebagai tidak bermasalah, sebaliknya ‘krisis’ yang didakwa berlaku sekarang sengaja direka terutama oleh parti-parti pembangkang yang ingin mempengaruhi rakyat supaya hilang keyakinan terhadap badan tersebut.
Bagaimana menteri ini boleh mendakwa bahawa badan kehakiman negara tidak punya masalah sedangkan panel penyiasat yang baru dilantik oleh kerajaan kelmarin masih lagi belum memulakan apa-apa siasatan berhubung dengan skandal video "percaturan hakim" ini?
Para peguam bukanlah golongan bebal dan bangang yang sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan tanpa menggunakan akal fikiran waras. Peguam sejati adalah mereka yang bertindak atas dasar profesionalisme demi menyatakan kebenaran dan teguran atas kepincangan yang sudah berlarutan dalam institusi kehakiman negara sejak kes pemecatan Tun Salleh Abbas lagi.
Dan semalam Putrajaya telah menyaksikannya!

1 ulasan:

adihamka berkata...

Di Malaysia, ada kebebasan bersuara, tetapi tidak ada kebebasan selepas bersuara..

http://nahdah.wordpress.com/2007/09/28/realiti-kebebasan-selepas-bersuara/