Iklan

Ahad, September 23, 2007

Dingin

Khabarnya, hanya lapan orang pelajar sahaja yang menawarkan diri untuk menjadi calon Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Tenaga Nasional (MPPUNITEN) di Kampus Putrajaya dan lima orang pelajar di Kampus Muadzam Shah.
Secara tradisi, sebanyak 12 kerusi diperuntukkan kepada Kampus Putrajaya manakala lima kerusi untuk Kampus Muadzam Shah dan ini sekaligus melayakkan kesemua calon yang menghantar borang penamaan pada Jumaat yang lalu menang tanpa perlu bertanding lagi. Dan yang pasti, beban tugas bakal bertambah kepada mereka yang terpilih memandangkan terdapat empat lagi kerusi yang tidak diisi.
Di sebalik kempen dan promosi besar-besaran oleh pihak Urusetia Pilihanraya MPP Sesi 2007/2008 yang menzahirkan seolah-olah pilihanraya kampus kali ini seakan-akan pesta demokrasi mahasiswa sebenar, realiti yang menjelma adalah sebaliknya.
Pidato Umum yang sepatutnya diadakan pada 24, 25 dan 26 September ini juga dibatalkan lantaran kesemua calon yang menawarkan diri telah diisytihar menang tanpa bertanding. Dan seperti mana saya dan beberapa teman telah ramalkan, pilihanraya kampus kali ini sememangnya bakal berlangsung dalam keadaan hambar dan dingin. Tiada sambutan.
Apa yang berlaku jelas membuktikan bahawa para mahasiswa seolah-olah sudah tidak lagi mengambil peduli tentang apa yang berlaku di dalam kampus. Barangkali mereka juga sudah tidak lagi menaruh sebarang harapan terhadap MPP dalam berperanan sebagai medium rasmi untuk memperjuangkan kebajikan mahasiswa. Pada anggapan mereka, adanya MPP dan tiadanya MPP, sama sahaja. Yuran penginapan tetap naik. Pinjaman PTPTN tetap lambat diterima.
Jika pilihanraya kampus tahun lalu berlangsung dalam suasana yang agak meriah, maka yang sebaliknya berlaku untuk tahun ini. Mungkin inilah harga yang perlu dibayar lantaran kegagalan barisan MPP sesi lalu dalam mengekalkan reputasi dan status mereka sebagai suara keramat mahasiswa.
Saya sebetulnya kecewa melihat perkembangan ini. Begitu pun, saya tetap bersyukur kerana tidak perlu lagi mendengar retorik serta janji-janji kosong para calon sebagaimana yang pernah dilaungkan oleh calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya kampus tahun lalu.
Buat barisan MPP sesi 2007/2008 yang baru, saya ucap tahniah. Jujurnya saya tidak menaruh sebarang harapan. Cukuplah sekadar kalian memainkan peranan dengan memberikan tumpuan khas terhadap isu-isu kebajikan pelajar. Lupakanlah angan-angan untuk mendabik dada di peringkat nasional dan antarabangsa jika ehwal dalaman kampus masih belum terbela!

5 ulasan:

Ibnu_Ismail berkata...

Salam.

Najwan, PRK ditunda dgn kuasa veto TNC (HEP, Alumni & Pengurusan). Ade can lagi ko nak bertanding dan menang Najwan. (^^,)

Dtg la DM buka, byk yg nk sembang ngan ko. lame tak dpt sembang2...

cakapbelakang berkata...

oh..apekah benar berita itu? sedangkan ketika saya hadir pada hari penamaan calon, pn sharifah terus terng berkata tiada PRK..

satu perkembangan baru mungkin..

bumilangit berkata...

saya rasa boikot seperti ini bagus untuk pilihanraya mock-up untuk bn/umno ni.

biar mereka seronok dan sorak sendiri.

a.azreen berkata...

yepp.

Penamaan calon Uniten kampus induk dibuka semula dengar khabarnya. NC mungkin tidak berpuas hati dengan sambutan dingin para mahasiswa.


kenyataannya, terdapat segelintir individu yang tampak berkaliber untuk memegang tampuk pemerintahan MPP kali ini namun mereka lebih memberi keutamaan kepada kelab dan persatuan masing-masing daripada memilih ruang untuk menjadi wakil MPP.


secara dasarnya, kita tidak berhak untuk mengamalkan sebarang bentuk paksaan kepada individu berkenaan untuk turun bertanding sebagai calon. persoalannya sekarang, apakah mungkin benar desas-desus yang menyatakan kewibawaan MPP dipertikaikan seterusnya membawa kepada pemboikotan seumpama ini? apakah pemilihan MPP kali ini hanya sekadar tangkap muat ataupun melalui proses pengundian dan berlangsung seperti yang sepatutnya?


sama-sama kita saksikan.

Tanpa Nama berkata...

ini terjadi kerana...bagi mereka yg berkaliber ini,di Persatuan dan kelab lah,mereka mendapat kebebasan utk merencana kemajuan organisasi dan pembangunan pelajar itu. Di Persatuan dan Kelab lah..mereka boleh memperoleh kejayaan demi kejayaan,kemajuan dan kemahsyuran. Mereka mungkin menggambarkan kedudukam sebagai MPP itu hanya boneka dan pak turut pihak pengurusan universiti. Mereka yg bergelar MPP ini tidak mempunyai kebebasan,autonomi bersyarat utk melaksanakan agenda pembangunan sahsiah dan kebajikan pelajar.
MPP bukan lagi Majlis Perwakilan Pelajar UNITEN tetapi "Majlis Perwakilan Pengurusan UNITEN)...itu lar sebenarnya mengapa calon2 berkaliber dan berbakat tidak mengambil serius mengenai Pilihanraya MPP.

-pelajar yg gemuk V-