Iklan

Rabu, Ogos 08, 2007

Muqaddimah

Minggu lalu di Pesta Buku Uniten, saya membeli kitab klasik 'Mukadimah' (dimelayukan dari perkataan Muqaddimah) karya ilmuan Islam, Ibnu Khaldun. Kitab setebal 880 muka surat terjemahan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) ini telah saya idam untuk membacanya sejak dari tingkatan tiga lagi. Kini kitab tersebut ada di sebelah bantal saya dan akan saya telaah setiap kali usai solat Maghrib sehingga masuk waktu Isya'.
Kitab ini secara ringkasnya menghuraikan tentang persoalan-persoalan sosiologi, falsafah dan teologi merangkumi sejarah peradaban manusia secara umum, dinasti raja-raja, tentang ehwal kenegaraan, juga hal-hal berkaitan kehidupan dan ilmu pengetahuan.
Selain itu, saya juga kini dalam proses mengkhatamkan Saman (karya Ayu Utami). Saya sedikit lambat dalam mencerna novel ini kerana tumpuan pembacaan akan mula bertukar khayal sebaik memasuki alam bahasa yang lebih erotik. Karya ini secara ringkasnya boleh saya katakan sebagai cerminan dan penzahiran rasa marah sang penulis terhadap institusi sosial yang berasaskan patriarch serta prejudis sempit terhadap kaum wanita.
Ayu Utami, pertama kali saya kenali ialah ketika mana saya membaca kata pengantar dalam buku Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi (kumpulan artikel terpilih Fathi Aris Omar), waktu di mana saya mula berjinak-jinak dengan penulisan para penulis-reformis secara lebih serius.
Tinggalkan seketika tentang "monyet-monyet" SARKIS. Saya mahu membaca...

Tiada ulasan: