Iklan

Sabtu, Ogos 11, 2007

Malaysia

Dua puluh hari lagi Malaysia bakal meraikan ulang tahun "kemerdekaan" ke-50. Saya tidak tahu entah kenapa semalam saya dengan penuh patriotik memanjat bumbung rumah untuk mengibarkan Jalur Gemilang walhal sebelum ini saya tidak pernah melakukannya.

Jalur Gemilang mengingatkan saya kepada "Stars & Stripes". Empat belas tahun dulu saya menetap di Amerika Syarikat, sekeluarga meninggalkan Malaysia kerana bapa melanjutkan pengajian sarjananya di sana.

Saya masih ingat (dan tak mungkin akan saya lupakan), hari pertama di sekolah, seorang teman Mat Saleh bernama Jimmy menyapa saya, bertanyakan dari mana. Bangga, saya menjawab 'Malaysia'. Beliau bertanya lagi, di manakah Malaysia itu.

Saya buntu. Jimmy kemudiannya menunjukkan saya atlas besar yang tergantung di belakang kelas. Beliau meminta saya menunjukkan di mana lokasi Malaysia di dalam peta dunia. Sekali lagi saya buntu. Mungkin inilah kesan apabila subjek Geografi hanya mula diajar di peringkat sekolah menengah.

Jimmy bertanya lagi,"Najwan, are you sure there's a country named Malaysia?"

Saya diam. Melihat-lihat kembali peta dunia, saya ternampak susunan bendera-bendera di bahagian bawah atlas tersebut dan mata saya tertangkap pada sebuah bendera yang seakan-akan "Stars & Stripes". Bezanya, di dalam kotak berwarna biru pada bendera tersebut terdapat bulan sabit dan bintang 14 bucu berwarna kuning.

"Jimmy, this is my country's flag."

"Wow! It is so similar to the Stars & Stripes. How amazing! Maybe Malaysia is not far from USA, Najwan. Come, let us check the map again and find where is Malaysia."

Kami mencari lagi. Gagal.

"Jimmy, it's ok. I'll ask my father at home tonight and tomorrow I'll show you where is Malaysia."

Dan jika hari ini saya bertemu Jimmy semula, saya masih kurang pasti sama ada saya sudah boleh menunjukkan beliau di manakah "Malaysia"...

1 ulasan:

DefMafia berkata...

jaga-jaga anak kita
jangan sampai jadi hamba
jaga-jaga anak kita
kita ini anak merdeka

"merdekakah kita?"