Iklan

Ahad, Ogos 26, 2007

Gugur

Kempen Abdullah Badawi untuk memerangi rasuah seharusnya kita jadikan bahan ketawa.

Bermula dengan 'gimik' pendakwaan terhadap Kasitah Gaddam, pembebasan Eric Chia dan yang terkini, gugurnya kesemua 37 pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965 yang sepatutnya dikenakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md. Deros alias Abang Z dan tujuh pengarah lain dari syarikat yang sama. Jika kalian masih ingat, Abang Z inilah yang dahulunya bikin kecoh dengan skandal 'istana' mewah yang dibina di celah-celah kampung yang serba sederhana.

Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia, permohonan menggugurkan kes itu dibuat oleh pegawai pendakwa kanan dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Azmil Haron setelah mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya pada 31 Julai lalu. Bagaimanapun, Azmil tidak memaklumkan kepada mahkamah sebab pertuduhan tersebut digugurkan.

Pada 20 Julai lalu, Abang Z yang sepatutnya didakwa atas 13 tuduhan mengikut Akta Syarikat 1965, tidak hadir di Mahkamah Sesyen Klang menghadapi tuduhan tersebut kerana berada di Indonesia. Syarikat yang beralamat di Jalan Papan, Pandamaran Industrial Area Pelabuhan Klang, disaman kerana gagal menyerah simpan kepada pendaftar satu notis mengenai perubahan kedudukan pejabat berdaftar dalam tempoh sebulan selepas tarikh perubahan kedudukan.

Peguam Abang Z, Mozmi Sham Ahmad ketika ditemui selepas itu enggan menyatakan punca pertuduhan digugurkan sebaliknya meminta pihak media tidak membesarkan isu tersebut dan menerima keputusan yang telah diputuskan oleh majistret.

Mudah. Beginilah rutin perbicaraan pemimpin-pemimpin yang punya kepentingan dan pengaruh. Didakwa atas sesuatu tuduhan, dibebaskan dan kemudiannya meminta agar media tidak membesarkan isu tersebut.

Usah terkejut jika keputusan kes perbicaraan Altantuya kelak menyaksikan ke semua tertuduh yang didakwa terlepas dari pertuduhan dan bebas dari hukuman mati.
Inikan Malaysia. Segalanya mungkin!

Tiada ulasan: