Iklan

Isnin, Oktober 23, 2006

Syawal


Ramadhan sudah tiba di penghujungnya dan Syawal bakal menjelang. Saya dengan penuh rasa takzim dan rendah diri memohon kemaafan buat semua teman-teman bloggers tak kira tua atau muda yang selama ini banyak berkongsi ilmu dan pengalaman samada secara langsung mahu pun tidak langsung.

Mudah-mudahan amal dan ibadah kita di sepanjang bulan Ramadhan ini diterima dan diberi ganjaran oleh Allah swt. Salam Aidilfitri! Maaf zahir dan batin.

Khamis, Oktober 19, 2006

Bebas


Nik Adli Nik Aziz akhirnya bebas juga. Bebas setelah ditahan tanpa bicara lebih 5 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim. Akta yang diwujudkan pada zaman darurat untuk mengawal kegiatan komunis ini kini disalahguna oleh kerajaan untuk menahan seseorang yang disyaki (ulang baca: disyaki) sebagai seseorang yang mengancam keselamatan negara. Antara yang pernah ditahan di bawah akta draconian ini ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr. Syed Hussein Ali, Tian Chua, Azmin Ali dan Hishamuddin Rais (sekadar menyebut beberapa nama).
Mungkin ada yang tidak kenal siapa Nik Adli ini. Jika anda masih ingat, sekitar tahun 2001, Malaysia pernah kecoh dengan berita penangkapan sekumpulan lelaki yang dikatakan mempunyai pertalian dengan kumpulan Jamaah Islamiyyah dari Indonesia. Pada awalnya, kumpulan ini dikenali sebagai Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) sebelum manipulasi media menukarnya menjadi Kumpulan Militan Malaysia (entah apa motifnya ditekankan perkataan militan itu?). Nik Adli, anak lelaki kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan bertindak sebagai ketua yang memimpin kumpulan ini.
Namun demikian, sehingga semalam (hari pembebasan beliau), sekalipun beliau tidak pernah dibicarakan di mahkamah atas pertuduhan tersebut dan sehingga hari semalam tidak ada satu bukti pun yang ditemui untuk mengaitkan beliau dengan KMM.
Lima tahun terpisah dari keluarga tercinta. Lima tahun terkurung sebagai tahanan tanpa bicara. Lima tahun habis terbazir usia. Lima tahun. Dan semalam, penantian itu akhirnya berakhir.
Kepada pendukung-pendukung kebebasan: Nah! Ini hadiah buat kalian sempena Aidilfitri ini tahun ini.
Teruskan perjuangan. Bebaskan Malaysia!

Rabu, Oktober 18, 2006

Cerai


Kelmarin Awie melakukannya. Hari ini, Whitney Houston pun ikut serta. Esok lusa entah siapa pula.
Hari ini fenomena cerai bukan lagi sesuatu yang janggal. Tidak semua perkahwinan berakhir hingga ke nafas terakhir meskipun satu-satu perkahwinan itu secara zahirnya nampak bahagia. Siapa sangka perkahwinan dua orang selebriti terkenal negara yang ditabal sebagai Wedding of The Year pada tahun 2003 dahulu akhirnya turut berakhir dengan perceraian. Siapa turut menyangka, perkahwinan seorang ahli perniagaan (bergelar Datuk) dengan isterinya (seorang kerabat diraja) yang dibina hampir 21 tahun serta turut dikurnia empat orang anak musnah kerana perceraian.
Mengikut apa yang saya baca dalam sebuah artikel berkenaan isu ini, statistik perceraian umat Islam di Malaysia kini mencecah 10 hingga 15 peratus daripada jumlah perkahwinan.
Merujuk kepada satu kajian yang lain pula, terdapat tujuh faktor telah dikenal pasti sebagai punca utama perceraian di kalangan pasangan suami isteri di Malaysia, antaranya kegagalan memikul tanggungjawab. Selain itu, asas agama yang rendah, campur tangan pihak ketiga, perbezaan budaya, masalah seksual, kewangan dan kerjaya. Malah kajian terbaru yang dijalankan oleh Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (Jakim) mendapati 21 peratus perceraian disebabkan oleh sikap tidak bertanggungjawab suami atau isteri. Sebanyak 19.23 peratus lagi kerana tiada sefahaman dan selebihnya disebabkan masalah seperti dadah dan sebagainya.
Menurut kaunselor perkahwinan dari Access Counselling Services, Meriam Omar Din, beliau tidak menolak bahawa arus modenisasi sedikit sebanyak telah menghakis nilai-nilai tradisional dalam sesebuah perkahwinan sehingga menyebabkan ia menjadi sebahagian daripada punca kegagalan rumah tangga. Katanya, pegangan bahawa perkahwinan ialah suatu ikatan murni yang perlu dipertahankan dalam apa juga keadaan semakin luntur, sebaliknya perceraian dipilih sebagai jalan keluar kepada konflik yang timbul. Beliau berkata, bukan perkahwinan zaman sekarang saja yang dilanda masalah. Dulu pun ada tetapi yang membezakan perkahwinan dulu dan sekarang ialah nilai-nilai untuk mengekalkan perkahwinan.
Resah rasanya bila memikirkan semula apa yang terjadi di sekeliling kita. Perkahwinan itu indah, tetapi tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian perkahwinan itu memerlukan komitmen yang sangat tinggi.
Buat teman-teman yang telah dan bakal melangkahkan kaki menuju ke alam perkahwinan ini, bersedialah! Mudah-mudahan kalian mampu mentadbir dan mengurus bahtera bahagia masing-masing dengan penuh keharmonian.

Selasa, Oktober 17, 2006

Syok

Syok merujuk kepada rasa seronok, gembira ataupun teruja. Manusia lazimnya akan berasa syok bila mana sesuatu yang dihajati dan memenuhi tuntutan jiwanya tercapai.
Ada yang syok bila gadis yang diidam-idamkannya akhirnya membalas cinta yang didambanya sekian lama. Ada yang syok bila lulus cemerlang dalam peperiksaan. Ada yang syok bila mendapat pujian dan penghargaan dari kawan-kawan. Ada yang syok bila menerima testimoni di laman web friendsternya. Ada yang sekadar syok melihat orang lain syok. Dan yang paling syok ialah mereka yang syok sendiri alias SS.
Tidak dinafikan saya juga kadang-kadang dilanda sindrom SS ini. Adakala kita terlalu obses dengan pencapaian dan kejayaan kita sehingga kita lupa yang orang lain sedikit pun tidak pernah ambil peduli tentang obsesi kita itu. (Mungkin kisah seorang negarawan tua yang terlalu obses dengan kejayaannya selama 22 tahun memimpin negara sesuai dijadikan contoh).
Lumrahnya, setiap orang sama ada sedar atau pun tidak, banyak atau pun sedikit, kesemuanya mengidap sindrom SS (sama ada secara berkala atau pun berterusan). Tidak terkecuali Mat Rempit mahupun Pak Imam masjid. Jika Mat Rempit SS dengan kemahiran wi-kang dan style supermannya, Pak Imam pula adakalanya SS dengan ilmu dan reputasinya.
Hakikatnya, tiada seorang pun yang dapat lari dari sindrom SS ini. Andaikata kita merenung sedalam-dalamnya pengertian di sebalik istilah pasar ini, mungkin kita dapat merumuskan bahawa setiap dari kita sebenarnya tidak lari dari sikap obses dengan diri sendiri. Lebih dari itu, ada yang cukup gah hingga merasakan yang kehebatan dirinya itu melayakkannya untuk menghakimi orang lain. Siapa kita di sisi Tuhan? Hakimkah? Atau sekadar hamba picisan yang sama-sama mengidap sindrom SS?
Syok. Itulah kesamaan kita.

Isnin, Oktober 16, 2006

Kelentit


Kelentit, menurut definisi Kamus Dewan (edisi ketiga) ialah daging yang tersembul dekat lubang kemaluan perempuan.
Ini bukan entri lucah. Jauh sekali untuk membangkit ghairah. Bak kata Fathi Aris Omar, isu kelentit ini bukan semuanya ilmiah. Lebih-lebih lagi di Malaysia ini. Perkataan dan perbincangan tentangnya adalah tabu dan jenayah besar dalam masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu.
Sebetulnya yang menarik minat saya untuk memperkatakan isu ini ialah tatkala saya terbaca sebuah artikel di laman web www.islamcity.com yang membicarakan tentang isu wanita berkhatan berdasarkan perspektif Islam.
Artikel Female Genital Mutilation: An Islamic Perspective yang ditulis oleh Dr. Imad-ad-Dean Ahmad dari Minaret of Freedom Institute ini, menyatakan bahawa meskipun tiada dalil di dalam Al-Quran berkenaan dengan perintah berkhatan (baca: bersunat) ini, namun amalan tersebut bagi kaum lelaki merupakan satu tradisi yang diwarisi sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. dan menjadi sebahagian daripada sunnah Rasulullah SAW kerana Baginda sendiri berkhatan. Selain itu, faktor kesihatan turut menjadi sebab kepada penerusan amalan berkhatan bagi kaum lelaki hingga ke hari ini.
Artikel ini turut menyatakan bahawa tidak terdapat ketetapan yang menyuruh pelaksanaannya ke atas wanita, baik dalil Al-Quran, hadis mahu pun alasan kesihatan. Penghujahan yang berjela-jela dalam artikel ini akhirnya merumuskan bahawa berkhatan untuk wanita adalah haram menurut Islam kerana mencabul dan menindas hak seksual wanita.
Berbeza sekali dengan apa yang dinyatakan oleh Dr. Nawal El-Saadawi, tokoh feminis Arab kelahiran Mesir yang mengaitkan isu kelentit ini secara lebih global dengan membandingkan penindasan wanita di Arab dan di Barat. Menurut beliau, amalan bersunat (membuang kelentit) diamalkan secara fizikal di Mesir tetapi di Amerika Syarikat, ia diamalkan secara psikologi dan melalui pendidikan. Penindasan di Barat lebih 'halus' dan 'tersembunyi' berbanding di negaranya.
Itu menurut apa yang saya baca menerusi kajian-kajian ilmiah antarabangsa melalui internet berkenaan kelentit. Lain pula halnya jika dibicarakan di negara ini. Kelentit di Malaysia hanya mainan nafsu. Sungguh memalukan dan tiada unsur ilmiah. Otak kita tidak rasional-saintifik sebaliknya biru dengan syahwat seks, nafsu dan hedonis. Kelentit hanya jadi bicara ghairah seksual.
Sungguh dapat dilihat betapa sempitnya perbahasan kelentit di Malaysia berbanding di negara-negara lain. Ini secara jelas menunjukkan sikap masyarakat kita terhadap kejadian biologi, seks dan sifat ortodoksi kita. Perbincangan tentang kelentit yang terbatas di negara kita, seperti isu-isu 'sensitif' lain jelas membuktikan yang minda kita tidak canggih, kurang matang, cetek dan keanak-anakan. Tabu, hantu dan pantang- larang; melambangkan kita sebagai kelompok manusia mundur.
Kita tidak dapat melawan tabu ini dan meletakkan isu sesuai pada tempatnya. Kelentit itu lucah dan segan untuk dibicarakan secara terbuka.
Apakah bahasa Melayu, atau sikap kita sendiri yang gagal menyerap kepelbagaian wacana? Atau mungkin otak kita yang beku, tidak matang?

Ahad, Oktober 15, 2006

Sentuh

Mawi bikin kecoh lagi!

Katanya, "Saya tidak mahu bersentuhan dengan wanita sekiranya berlakon filem." Maka melentinglah hero-hero drama Malaya; Rosyam Noor dan M. Rajoli. Masing-masing mengeluarkan kenyataan menegaskan prinsip mereka.

Terbaru, menurut berita yang dipetik dari sisipan hiburan akhbar Berita Minggu, Bintang Popular (Bi-Pop) hari ini, penyanyi terkenal negara, Ziana Zain (dikenali sebagai pelakon melalui filem Sembilu) sebagai mengulas mengenai isu ini berkata:

"Kalau banyak sangat pantang-larangnya, lebih baik jangan berlakon. Berlakon ni kita memerlukan feel dan setiap pergerakan, ada maksud tersendiri. Kalau itu tak boleh, ini tak boleh, macam-macam hal, rasanya tak usah berlakon."

"Jangan buat orang lain marah dengan kenyataan kita, kalau belum bersedia untuk berlakon, menyanyi sajalah dik."

Aduhai Mawi! Terlupakah anda waktu-waktu indah anda di Akademi Fantasia dulu? Atau mungkin waktu itu tidak mengapa bersentuhan dengan wanita kerana tuntutan SMS?

Khamis, Oktober 12, 2006

Rukun


Tadi sempat saya ziarahi blog Pak Khalid Jaafar. Tersengih sendiri kala menatap entri Rukun Liberal beliau. Di sini saya perturunkan empat Rukun Liberal ilham Pak Khalid, saya dedikasikan khas buat Syed dan Awang, sahabat liberal saya (kedua-duanya masih belum membaca Tumit Achilles) :

Rukun liberal* empat perkara:

1. Kebebasan
2. Keteraturan spontan
3. Pemerintahan minimal
4. KOOL - komuniti orang-orang liberal


* www.khalidjaafar.blogspot.com

Rabu, Oktober 11, 2006

Badar

Diam tak diam, Ramadhan sudah menjengah hari ke-17. Lebih kurang 1425 tahun yang lalu pada tanggal yang sama meletusnya pertempuran Badar; jihad peperangan pertama dalam sejarah perjuangan Islam.
Mungkin ramai yang kurang tahu (atau kurang berminat untuk mengambil tahu) tentang salah satu peristiwa penting dalam riwayat perkembangan Islam. Bermula dari peristiwa inilah, umat Islam bangkit dalam mempertahankan hak dan maruahnya dari ditindas.
Menurut sirah, tujuan asal kaum Muslimin pada masa itu bukanlah untuk berperang. Ianya bermula setelah sampai khabar ke Madinah bahawa rombongan perdagangan penduduk Makkah yang diketuai oleh Abu Sufyan sedang dalam perjalanan pulang. Ketika peristiwa Hijrah, harta benda sebilangan umat Islam yang ikut berpindah ke Madinah (Muhajjirin) telah dirampas oleh kaum Musyrikin Makkah dan kemudian telah dijual oleh mereka kepada saudagar-saudagar yang menyertai rombongan perdagangan Abu Sufyan ini.
Oleh kerana itu, kaum Muslimin mencadangkan kepada Rasulullah SAW supaya menahan perjalanan pulang rombongan perdagangan ini untuk mereka menuntut kembali hak yang telah dirampas. Mendengarkan hal ini, Abu Sufyan menghantar utusannya ke Makkah meminta pemimpin-pemimpin Quraisy di sana supaya menghantar bantuan untuk melindungi barang-barang dagang mereka.
Sejurus menerima berita cemas dari Abu Sufyan, pemuka-pemuka Quraisy mengarahkan agar dihimpunkan 1000 orang untuk dikerah bagi melindungi rombongan perdagangan yang sedang dalam perjalanan pulang ke Makkah itu.
Rombongan Quraisy (dikepalai Abu Jahal, Syaibah Bin Rabi'ah dan 'Utbah Bin Rabi'ah) ini akhirnya mengubah perencanaan mereka daripada menjadi pasukan pelindung kepada pasukan perang. Umat Islam yang hanya berbekalkan lebih kurang 300 (riwayat mengatakan 313) orang tiada pilihan lain selain mempertahankan diri.
Maka pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah, pertempuran Badar meletus. Nyata sekali betapa besarnya kudrat manusia, jika berdepan dengan kekuatan taqwa dan iman, ia terlalu rapuh dan terlalu mudah untuk ditewaskan. Siapa sangka disebalik 313 tentera Muslimin menentang kemaraan hebat 1000 orang tentera kuffar yang lengkap dengan peralatan tenteranya, kemenangan berpihak kepada golongan yang kecil bilangannya.
Namun, itulah yang berlaku. Di sebalik rayuan Rasulullah SAW menadah tangannya ke langit, Allah SWT tidak membiarkan tangan itu terangkat begitu lama. Para malaikat turun dengan kekuatan yang tidak terjangkau oleh mata kasar manusia. Lalu, kaum Muslimin pulang ke Madinah dengan satu kejayaan yang menambahkan semangat juang dan memberikan satu lagi keyakinan bahawa pertolongan Allah pastinya bersama dengan mereka yang betaqwa.

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."

(Muhammad : 7)

Hari ini, pasir-pasir di Badar telah pun kering daripada tumpahan darah manusia lebih 1425 tahun yang lampau. Hiruk pikuk peperangan dan laungan kemenangan kaum Muslimin tentunya sudah tenggelam ditelan masa yang begitu laju berlalu. Tiada lagi lontaran panah-panah dan pacuan kuda-kuda perang yang menukilkan kemenangan kepada tentera Muslimin, namun sejarah telah tercatat dengan kemas bahawa Badar adalah satu memori manis yang terbina buat azimat dan tangkal semangat kepada setiap yang ingin melihat agama ini kembali berdaulat di muka bumi.

Dimana kita dan perjuangan kita pada hari ini? Kini, kaum muslimin bukan lagi berjumlah 313 orang. Berbilion ramainya melata di seluruh muka bumi. Jika para Sahabat r.a. sanggup turun menentang kaum Musyrikin biar pun peluang untuk menang terlalu tipis, sekarang pula terlalu sedikit individu yang sanggup turun melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang manusia yang mengaku Islam. Kalangan kita sebenarnya lebih enak tidur di katil masing-masing daripada berlumur debu di medan perjuangan. Tepuk dada, tanya selera! Di mana kita?

Isnin, Oktober 09, 2006

Nafas


Nafas baru bermula Ramadhan. Bukan bermakna saya berhenti merokok (sememangnya saya tidak pernah merokok); sekadar ingin mengisytiharkan selamat tinggal kepada blog Riwayat Hayat di friendster.com yang semakin hari semakin tersasul matlamatnya.
Faktor blogspot yang semakin meluas penggunaan dan manfaatnya menjadikan saya ikut terpengaruh untuk turut sama memindahkan Riwayat Hayat yang dahulu ke arah yang lebih matang-- riwayathayat.blogspot.com.
Entri pertama ini adalah sekadar percubaan awal untuk membina mood supaya kekal istiqamah dalam perkongsian ilmiah alam siber ini. Semoga Riwayat Hayat kali ini muncul dengan penuh kematangan dan dewasa. Kekal bernafas dan bernyawa!
Salam Ramadhan!