Iklan

Selasa, September 12, 2006

Makin Porak Poranda?

Perjuangan mahasiswa kita makin porak poranda. Hari ini buat julung-julung kalinya aku menyaksikan kegilaan dan kefanatikan "bakal-bakal pemimpin pelajar" di kampus kuliahku mengejar impian (barangkali impian populariti yang terpendam?).
Yang terkenal dan yang tak terkenal. Yang idealistik dan yang spastik. Yang berfikir dan yang kuat berdikir. Yang muhasabah dan yang menggelabah. Yang berilmu dan yang paling dungu. Yang perasan macho dan yang wajahnya hancur. Kesemuanya berterbangan mencari undi dan publisiti. Entah apa agenda perjuangan mereka. Entah apa fikrah nurani mereka. Rata-rata yang "menawarkan" (lebih tepat mempromosikan) diri untuk menjadi wakil kepada mahasiswa ini rata-rata yang bertaraf "entah siapa" atau dalam ertikata lain tidak pernah dan tidak mungkin dikenali.
Mungkin agak sukar untuk kita menemui pengganti kepada bekas-bekas pemimpin pelajar yang hebat seperti Azman Ishak dan Mohd Fairuz A. Ghani (sekadar menyebut beberapa nama) tetapi mudah-mudahan dalam pemilihan kali ini akan muncullah hendaknya seorang yang mampu berjuang merubah dan memperkasakan hala tuju serta matlamat perjuangan mahasiswa itu sendiri. Kita sudah muak dengan pemimpin-pemimpin pelajar yang hanya menonjolkan diri sebagai yang terbaik sedangkan hakikatnya merekalah yang paling bangkrup idea dan falsafah.
Mudah-mudahan sesi pidato umum Jumaat ini bakal menghidangkan sesuatu yang menyegarkan dan menyengat; tidak terlalu retorik tetapi mampu meyakinkan kita akan kejujuran dan kesungguhan untuk merubah dan meningkatkan mutu perwakilan pelajar ke arah kepimpinan yang lebih dinamik dan progressif.
Selamat berkempen!