Iklan

Rabu, Julai 05, 2006

Forca Portugal!

Malam ini seharusnya penyokong-penyokong pasukan Perancis tidur awal. Tak perlulah berjaga untuk menonton perlawanan pagi esok kerana pasti air mata kecewa akan mengalir buat kalian.

Esok pagi, pasukan Perancis akan berhadapan dengan anak-anak buah Scolari yang semestinya bakal mempamerkan persembahan terbaik mereka sepanjang kempen Piala Dunia tahun ini. Perancis secara strateginya akan melayan Portugal sepertimana mereka menentang Brazil tempoh hari, dengan bergantung harap sepenuhnya akan kepintaran Zidane, kelicikan Henry juga ketajaman Ribery dalam melancarkan serangan balas.

Strategi Portugal juga bukan lagi rahsia. Barisan pertahanan Portugal bersama penjaga gol berkarisma, Ricardo akan sedaya mungkin mengekang kemaraan Henry. Deco dan Maniche pula bakal menjadi perancang serangan sementara Luis Figo dan Christiano Ronaldo akan membantu di bahagian sayap. Pauleta pula bakal memainkan peranan yang penting pagi ini memandangkan kebanyakan pemain kedua-dua pasukan telah menerima kad kuning dalam perlawanan sebelum ini. Faktor ini semestinya akan menjadikan perlawanan kali ini lebih terbuka dan diharapkan akan menjadi antara perlawanan yang paling berkualiti dalam kejohanan Piala Dunia tahun ini.

Apapun, pada tahap ini, segala-galanya adalah mungkin. Hanya tiga pasukan yang tinggal (Itali, Perancis dan Portugal) dan masing-masing berpotensi besar untuk menjulang Piala Dunia pada perlawanan akhir Ahad ini. Secara umum, ketiga-tiga pasukan memiliki kehebatan yang sama rata tetapi dalam ketiga-tiga pasukan ini, Portugal mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri iaitu Scolari- juara bertahan kategori jurulatih-jurulatih Piala Dunia. Beliaulah satu-satunya jurulatih dalam kejohanan ini yang mempunyai pengalaman cukup luas dalam memimpin sesuatu pasukan ke arah menjadi juara. Jadi buat penyokong-penyokong Portugal, jangan risau! Sekarang dapatkan tidur yang secukupnya. Pagi nanti kita beramai-ramai akan bangkit dan memberi sokongan sepenuhnya dalam perlawanan penentuan kita untuk ke akhir. Ianya bukan mudah tapi mudah-mudahan tuah ada bersama-sama dengan kita.

Berjuta-juta penyokong Portugal dari seluruh ceruk dunia tanpa mengira bangsa, bahasa dan negara bakal menyaksikan samada pasukan dari negara kerdil ini mampu melakukan keajaiban. Mereka bakal berhimpun di hadapan TV dan skrin-skrin besar untuk bersorak dan memberi sokongan padu kepada 23 orang pemain serta jurulatih mereka yang penuh karisma. Dengarlah dengan teliti malam ini..sorakan semangat: For├ža Portugal!