Iklan

Ahad, Februari 19, 2006

Kita Memboikot Kewarasan Sendiri

Reaksi spontan masyarakat Islam seluruh dunia berhubung dengan isu penyiaran karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad s.a.w. dengan imej pengganas membuktikan yang kecintaan umat Islam terhadap Baginda tiada tolok bandingnya. Adakah kita marah dengan penyiaran karikatur biadap ini? Jawapannya: YA. Tetapi apakah yang telah di ajar oleh Baginda kepada kita? Adakah Baginda mengajar kita merusuh dan melakukan keganasan apabila kita dihina? Jawapannya: TIDAK.

Baginda menyeru kita supaya bersabar dan memaafkan. Seseorang itu dikatakan kuat bukanlah atas sebab dia menguasai semua seni pertahanan diri atau memiliki kekuatan fizikal yang tidak dapat ditandingi. Islam menegaskan bahawa mereka yang benar-benar dikatakan kuat adalah mereka yang mampu bersabar dan menahan kemarahannya biar sehebat manapun mereka ditekan.

Jika difikir-fikirkan semula, apakah yang kita dapat dari menyertai perhimpunan-perhimpunan dan tunjuk-tunjuk perasaan yang mana kebanyakannya (rata-rata di negara Timur Tengah) berakhir dengan rusuhan dan keganasan yang melampau. Apakah sebenarnya mesej yang cuba hendak disampaikan di sebalik "majlis jerit-jerit dan tumbuk angin" ini? Sekalipun dunia luar mengetahui betapa tebalnya kecintaan kita terhadap Baginda s.a.w., mereka turut akan menyimpulkan bahawasanya Islam ini memang seperti yang dikatakan: "agama pengganas". Ketahuilah bahawasanya setiap daripada kita ini masing-masing membawa imej Islam tidak kira masa dan di mana saja kita berada, jadi apa saja yang kita lakukan akan dinilai atas nama Islam itu sendiri.

Saya bukanlah sama sekali mengatakan bahawa menunjuk perasaan dan berdemonstrasi ini adalah salah, tetapi seharusnya ia dilakukan dengan penuh aman dan beretika. Buktikan kecintaan kita kepada Baginda s.a.w. dengan mengajar dunia tentang cinta dan kasih sayang, bukan dengan membakar sentimen kemarahan dan kebencian terhadap bangsa Barat (baca: Eropah). Senario membakar bendera dan merusuh di hadapan bangunan kedutaan Eropah adalah tindakan yang tidak wajar. Dan yang lebih melampau ialah apabila ada sekumpulan umat Islam (di negara-negara Arab) yang bertindak lebih dari batasan apabila turut membakar bangunan kedutaan Denmark. Apakah ini satu tindakan yang Islamik? Bayangkan seandainya ada golongan bukan Islam yang membakar masjid-masjid umat Islam setiap kali umat Islam melakukan keganasan atas nama "jihad"? Mereka (bukan Islam) memberi alasan yang ini adalah untuk menebus marah dan membalas dendam. Apakah perasaan kita seandainya ini berlaku?

Berkenaan dengan kempen-kempen yang menyeru supaya diadakan pemboikotan terhadap barang-barang keluaran Denmark ini, persoalannya; kenapa kita perlu memboikot produk mereka? Bukan semua rakyat Denmark bersetuju dengan penyiaran karikatur itu. Bayangkanlah seandainya sesuatu perusahaan itu mengalami kerugian yang besar disebabkan oleh kempen boikot ini? Semestinya ramai yang akan kehilangan pekerjaan. Bayangkan sekiranya ada di antara mereka ini yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak untuk disara? Apakah ini yang kita sebagai umat Islam mahukan? Apakah ini yang diajar oleh Baginda s.a.w. kepada kita?

Sekiranya kita turut bertindak menindas dan berlaku zalim kepada mereka, maka tiada bezalah antara kita dengan mereka. Saya tidak fikir bahawa dengan menindas orang lain adalah sesuatu yang sejajar dan berlandaskan Islam. Fikirkanlah? Sekiranya apa yang saya utarakan menimbulkan rasa kurang senang kepada sesetengah pihak, maka perbetulkanlah saya di mana saya ada melakukan silap. Hakikatnya, tiada seorang pun yang benar-benar bebas dari melakukan kesilapan.

Seseorang Muslim yang baik itu adalah yang paling banyak melakukan kebajikan, memberi manfaat kepada orang lain dan yang selalu memperbaiki diri setiap kali dia menyedari kesilapannya.