Iklan

Sabtu, Disember 30, 2006

Saddam

Riwayat beliau tamat pagi tadi.

Saddam Hussein ditakdirkan menemui ajalnya di tali gantung. Hanya sejarah yang akan menilai beliau; sebagai bapa pemodenan Iraq atau diktator zalim yang dibenci rakyatnya.

"Sekarang beliau hanyalah sampah dalam sejarah."

Demikian kata Jawad Abdul-Aziz yang kehilangan bapa, tiga orang saudaranya serta 22 orang sepupunya dalam peristiwa pembunuhan di bandar Dujail pada 1982.

Berbeza pula dengan Sheik Yahya al-Attawi, seorang ulama di Masjid Besar Saddam. Kata beliau:

"Saddam seorang syahid dan Tuhan akan menempatkan beliau kelak di sisi para syuhada. Usahlah bersedih atau merungut kerana kematian beliau ialah kematian seorang pejuang yang mulia."

Kematian Saddam disambut baik oleh Barat. Tony Blair, Perdana Menteri Britain, sebuah negara yang mengharamkan hukuman mati juga turut menyatakan kegembiraannya atas kematian Saddam.

Pemimpin Libya, Muammar Gadaffi pula mengumumkan perkabungan selama tiga hari sempena menghormati kematian Saddam.

Pelbagai reaksi ditunjukkan oleh dunia. Dengan matinya Saddam, apakah wujud lagi pemimpin Arab yang secara terbuka berani menyanggah keangkuhan Barat dan mengorbankan diri demi mempertahankan kedaulatan tanah air beliau?
___________________________________________________________
Untuk menyaksikan rakaman hukuman gantung beliau, klik sini.

Sabtu, Disember 23, 2006

Taksub

Saya mulai sedar yang blog saya turut dikunjungi oleh golongan-golongan yang taksub dan obses serta buta hatinya. Antaranya komen oleh seorang pengunjung yang secara membabi-buta menyerang entri saya bertajuk Soros.
Seperti penganut fahaman Syiah di Iran (seperti dalam gambar di atas), golongan yang taksub ini memang sukar untuk difahami. Kebiasaannya mereka tidak akan menerima pendapat atau penjelasan yang bertentangan dengan fahaman mereka.
Islam sendiri melarang seseorang itu taksub kepada makhluk. Bahkan di dalam riwayat sirah, Khalifah Abu Bakar As-Siddiq pernah berpesan di kala kewafatan Nabi SAW:
"Saudara-saudara! Barangsiapa mahu menyembah Muhammad, maka Muhammad sudah pun meninggal. Tetapi barangsiapa mahu menyembah Allah, Allah hidup selamanya dan takkan pernah mati."
Kemudian beliau membacakan firman Allah:
"Muhammad itu hanyalah seorang rasul. Sebelum dia pun telah banyak rasul-rasul yang sudah lampau. Apabila dia mati atau terbunuh, apakah kamu akan berbalik ke belakang? Barangsiapa berbalik ke belakang, ia tidak akan merugikan Tuhan sedikit pun. Dan Tuhan akan memberikan balasan kepada orang-orang yang bersyukur."
('Ali Imran: 144)
Kerana taksub, rebahnya Al-Arqam. Kerana taksub, penganut Syiah sanggup memukul dan mencederakan diri mereka setiap kali menjelang hari Assyura. Dan kerana taksub, rakyat Malaysia masih kekal terbelenggu di dalam kebodohan dan emosi singkat setiap kali berlakunya kenaikan kos hidup.
Kata M. Nasir:
"Lihat dunia dari mata burung atau lihat dari dalam tempurung, yang mana satu engkau pilih?"

Sabtu, Disember 16, 2006

Soros

Kata Tun Dr. Mahathir:
Tambah beliau lagi:
"Soros kata dia tidak terlibat dengan penurunan nilai mata wang Malaysia, yang terlibat adalah orang lain. Itu saya terimalah."
Dan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah bersumpah yang beliau tidak pernah meliwat tetapi sehingga kini Tun Dr. Mahathir masih menuduh beliau sebagai seorang homoseks.
Sepuluh tahun yang lalu, saya masih ingat bagaimana Tun menyalahkan George Soros sebagai penyangak matawang yang menyebabkan nilai ringgit jatuh teruk sehingga memaksa dasar tambatan ringgit diperkenalkan. Di setiap forum-forum ekonomi yang beliau hadiri juga, beliau tidak henti-henti mengulangi tuduhannya dan mencela Soros.
Semalam, bertempat di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur, Tun Dr. Mahathir akhirnya berjabat tangan dengan musuh ketatnya selama 10 tahun, George Soros yang kini berada di Malaysia untuk mempromosikan buku terbarunya bertajuk, "The Age of Fallibility: Consequence of the War on Terror". Soros seterusnya akan menyampaikan ucapan pada majlis makan malam ulang tahun ke-20 Persatuan Alumni London School of Economics Malaysia malam ini.

Jumaat, Disember 08, 2006

Final

Saya baru selesai menonton Separuh Akhir Anugerah Juara Lagu Muzik-Muzik kategori Pop Rock di TV3. Tahniah buat seniman M. Nasir kerana dua karya beliau berjaya merebut tempat ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 2006 yang akan berlangsung pada Januari tahun hadapan (kalau tidak silap saya).
Lagu Jiwa Lagu Cinta nyanyian beliau bersama Mawi juga lagu Juwita (Citra Terindah) memang telah saya duga bakal melangkah ke final. Kekuatan melodi dan lirik lagu-lagu beliau memang sukar dinafikan.
Meskipun timbul sedikit kontroversi baru-baru ini berikutan kegagalan lagu Nafas Cahaya ciptaan beliau yang dinyanyikan oleh Misha Omar dalam Separuh Akhir kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif dua minggu lepas, kejayaan dua lagu untuk kategori Pop Rock kali ini setidak-tidaknya mampu menggembirakan peminat-peminat dan penggemar-penggemar karya beliau.
Kata beliau sebaik lagu Juwita (Citra Terindah) diumumkan sebagai lagu terakhir yang berjaya layak ke final Anugerah Juara Lagu 2006:
"Saya akan berusaha untuk menang!"
Semoga kejayaan beliau pada tahun 1994 yang lalu berulang semula kali ini. Jika anda masih ingat pada waktu itu lagu Bonda dan Tanya Sama Itu Hud Hud (saya pada waktu itu berumur sembilan tahun) telah berjaya layak ke final dan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud telah dinobatkan sebagai Juara Lagu.
Tahniah Sifu! Moga sejarah lama berulang kembali.

----------------------------------------------------------------------------------
*M. Nasir pernah merangkul kejuaraan Anugerah Juara Lagu sebanyak tiga kali semenjak ianya dianjurkan pada tahun 1986; Tanya Sama Itu Hud Hud (1994), Ghazal Untuk Rabiah (duet bersama Jamal Abdillah pada 1997) dan Andalusia (1999).

Selasa, Disember 05, 2006

Haram

Semalam akhbar The Sun melaporkan berita berkenaan pengharaman beberapa tajuk buku yang didakwa oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sebagai "menyinggung" dan "tidak kondusif".
Kata mereka, selaku penjaga moral masyarakat, adalah menjadi tanggungjawab kementerian untuk memastikan yang buku-buku seumpama ini tidak dijual di Malaysia.
Antara buku-buku yang tersenarai sebagai yang diharamkan itu adalah daripada Kahlil Gibran dan Salman Rushdie (pengarang The Satanic Verse, buku beliau yang terkini bertajuk Shalimar The Clown). Menurut laporan akhbar The Sun itu juga, buku-buku bacaan kanak-kanak seperti Read-Aloud Children's Classics dan SpongeBob and Squarepants juga turut termasuk dalam senarai yang diharamkan. Untuk senarai lengkap tajuk-tajuk buku yang diharamkan, klik sini.
Dan hari ini, tindakan jumud kementerian berkenaan dibidas oleh ahli akademik, Prof Lim Chee Seng, pensyarah kesusasteraan Inggeris di Universiti Malaya.
Hujah beliau:
"In a democracy, you should be training people to be able to deal with these books -- that is if they are pernicious - to argue, to resist error and to stand up, and not try to keep the books away as if they [society] are children."
Dan saya sangat bersetuju dengan beliau. Jika sekiranya kerajaan ingin terus menyaksikan masyarakat Malaysia menjadi masyarakat yang hanya membaca dua helai muka surat buku dalam setahun, maka perbanyakkanlah lagi tajuk-tajuk buku untuk diharamkan.
Haramkanlah juga pencetakan dan penjualan Al-Quran itu sendiri andai kalian khuatir rakyat akan membaca ayat-ayat yang menyatakan rasuah itu haram, Islam tidak mengiktiraf ideologi perkauman dan kezaliman itu wajib ditentang! Haramkan!
Atau mungkin kalian tidak beriman dengan ayat pertama yang diturunkan oleh Tuhan yang berbunyi IQRA' itu?


----------------------------------------------------------------------------------
*Menteri Keselamatan Dalam Negeri merangkap Perdana Menteri Malaysia ialah YAB Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, seorang pemimpin berlatarkan keluarga ULAMA' dan merupakan pencetus fahaman Islam Hadhari.

Sabtu, Disember 02, 2006

Panggung

Semalam saya sempat masuk dua panggung; panggung wayang dan juga panggung teater.

Petangnya, saya menonton CINTA. Romantis, mengesankan dan menghibur. Saya tidak mahir untuk mengulas filem tetapi secara peribadi saya cukup bangga untuk mengatakan bahawa filem ini mungkin merupakan filem Melayu moden terbaik yang pernah saya saksikan sepanjang saya mengenali panggung wayang gambar- pawagam.
Skrip yang mantap, plot yang lari dari norma kebiasaan filem kita yang cliche. Sinematografi dan panorama yang cantik membuatkan saya kagum dan teruja. Menontonnya, membuat saya menghargai cinta. Juga memahami erti kasih sayang. Paling mengharukan, inilah pertama kali saya menitiskan air mata kala menonton filem Melayu!
Untuk ulasan filem ini secara lebih terperinci, klik sini.

----------------------------------------------------------------------------------

Malamnya, saya bergegas ke Istana Budaya. Jemputan oleh bekas guru saya yang menawarkan tiket percuma pementasan teater muzikal Pi Mai Pi Mai Tang Tu tidak dapat saya tolak. Meskipun terlewat hampir 15 minit akibat kesesakan jalan raya, saya masih berpeluang memasuki Panggung Sari dan menikmati perjalanan teater hingga ke penghujung. Cukup menghiburkan!

Kerinduan terhadap telatah Budin dan rakan-rakannya menyakat warga flat Seri Wangi di warung Pak Uda akhirnya terubat. Teater ini banyak memberi impak yang begitu luas pada masyarakat.

Saya kira ramai antara kita membesar dengan gelak tawa dan suka duka penduduk flat Seri Wangi yang dipaparkan dengan begitu sinis.Teater dan muzikal digabungkan bagi memberi satu kelainan. Bukan sekadar berdialog, menurut apa yang saya baca dalam akhbar, barisan pelakon terpaksa menghadiri kelas vokal kerana mereka juga perlu menyanyi.

Bayangkan, untuk menonjolkan ekpresi dan mesej dialog dalam lagu bukan sesuatu yang mudah. Secara peribadi, saya merasakan pementasan ini sangat sesuai dan patut ditonton oleh semua golongan masyarakat.

Mengapa? Sudah tentu kerana kisah ini sendiri berkenaan dengan masyarakat dan persekitarannya. Adunan kehidupan ibu kota menjadi latar kisah. Memang mencuit perasaan saya melihat gelagat-gelagat dan kerenah penduduk Flat Seri Wangi. Watak Pak Uda tak henti mengeletek hati saya. Kini Pak Uda yang dilakonkan oleh Zami Ismail sudah pun tua. Semakin bongkok dari dulu.

Untuk sinopsis teater ini, sila klik sini.

Sabtu, November 25, 2006

Murah

Bayangkan papan tanda harga-harga makanan di atas terdapat di gerai atau restoran di Kuala Lumpur. Alangkah bahagianya!

Jika anda ingin menikmati hidangan Nasi Ayam dengan belanja RM 2, berkunjunglah ke Gerai Makanan & Minuman Ashsyura. Letaknya di sebelah Masjid Negeri di Arau, Perlis!

Khamis, November 23, 2006

Feminis


"I want an Islam that upholds the principles of justice, equality, freedom and dignity."

Rabu, November 22, 2006

Wahabbi

Satu-satunya negeri di Malaysia ini yang majoriti penduduknya menganut fahaman Wahabbi ialah Perlis. Jika anda berkesempatan mengunjungi Perlis, kuatkanlah diri anda untuk cuba bersolat Subuh di mana-mana masjid atau surau sekitar Arau dan Kangar dan anda akan mendapati doa Qunut tidak akan dibaca oleh imam.
Begitu juga dalam beberapa ibadah lain seperti solat tarawih, lazimnya bacaan salawat akan dilaung oleh bilal setiap kali selesai dua rakaat solat. Di Perlis, ini tidak berlaku. Talkin selepas pengebumian juga tidak dipraktikkan.
Arab Saudi merupakan pendukung kuat fahaman yang diasaskan oleh Muhammad ibn Abd al Wahhab ini dan antara tokoh yang menganut fahaman yang memegang Al-Quran dan Hadis sebagai asas sebenar Islam ini ialah Osama Bin Laden.

Sabtu, November 18, 2006

Pemimpi


"You may say I'm a dreamer, but I'm not the only one. I hope someday you'll join us. And the world will be as one."

Sihir

Awas!
Isnin minggu hadapan Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush akan tiba untuk lawatan ke Indonesia. Dan hari ini, demonstrasi bantahan menghiasi Jakarta. Paling mengejutkan terdapat juga ancaman untuk menghantar ilmu hitam dan sihir kepada Bush.
Hati-hati Tuan Presiden! Jangan sampai muntah darah saat kembali ke White House nanti. Atau mungkin tiba-tiba badan ditumbuhi bulu dan wajah bertukar menjadi beruk pula.

Jumaat, November 17, 2006

Rokok

Rokok. Fenomena pelik dan menyusahkan.
Kini rokok jadi bahan keperluan seperti gula dan garam. Jika harga rokok naik (sebagaimana harga gula dan garam naik), maka habislah kerajaan dimaki dan dicaci. Namun begitu, kerana ianya kini jadi bahan keperluan, maka berhabis jugalah mereka demi rokok.
Saya cukup sensitif dengan asap rokok. Tapi tak bermakna saya anti perokok. Merokoklah sesuka hati dan sebanyak mana yang mampu namun hormatilah persekitaran dan orang ramai sekiranya anda melihat simbol yang terpampang di coli peragawati jelita di atas.
Buat mereka yang sudah jemu dan bosan dengan rokok atau sudah mula memikirkan untuk berhenti (atau mengurangkan bilangan yang dihisap), saya sarankan anda mengikut petua yang diperturunkan oleh Dr. Simeon Margolis.
Selamat berjaya!

Rabu, November 15, 2006

Sifu

Sekadar berkongsi dengan mereka yang berminat.

Wallpaper Sifu M. Nasir yang dihasilkan oleh teman blogger saya, Saudagar Mimpi. Untuk muat turun, klik sini.

Ahad, November 12, 2006

Kembara

Akhirnya bernafas kembali saya di sini. Setelah hampir tiga minggu terbeban dengan tekanan akademik, minda ini akhirnya berfungsi semula malam kelmarin. Kembara bersama beberapa orang teman sekitar Kuala Lumpur secara tidak langsung membangkitkan kembali ghairah saya untuk hidup.

Perancangan awal sebetulnya adalah untuk menonton filem The Prestige di KLCC tetapi bertukar menjadi aktiviti 'peleseran' sekadar untuk memenuhi naluri belia kami yang sememangnya suka berfoya-foya.


Berlatarkan Menara Berkembar Petronas.



Berpujangga di Kinokuniya.



Burger King bukan Yahudi, kata Awang.



Rekreasi minda di depan Menara Petronas.



Macat menuju Bukit Ampang.



"Jajahan di sebelah timur itu hadiah untukmu"- Bukit Ampang, 12 tengah malam.



Berdansa di puncak Kuala Lumpur.



Pengakhiran di Telawi- Bangsar, 2 pagi.

Isnin, Oktober 23, 2006

Syawal


Ramadhan sudah tiba di penghujungnya dan Syawal bakal menjelang. Saya dengan penuh rasa takzim dan rendah diri memohon kemaafan buat semua teman-teman bloggers tak kira tua atau muda yang selama ini banyak berkongsi ilmu dan pengalaman samada secara langsung mahu pun tidak langsung.

Mudah-mudahan amal dan ibadah kita di sepanjang bulan Ramadhan ini diterima dan diberi ganjaran oleh Allah swt. Salam Aidilfitri! Maaf zahir dan batin.

Khamis, Oktober 19, 2006

Bebas


Nik Adli Nik Aziz akhirnya bebas juga. Bebas setelah ditahan tanpa bicara lebih 5 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim. Akta yang diwujudkan pada zaman darurat untuk mengawal kegiatan komunis ini kini disalahguna oleh kerajaan untuk menahan seseorang yang disyaki (ulang baca: disyaki) sebagai seseorang yang mengancam keselamatan negara. Antara yang pernah ditahan di bawah akta draconian ini ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr. Syed Hussein Ali, Tian Chua, Azmin Ali dan Hishamuddin Rais (sekadar menyebut beberapa nama).
Mungkin ada yang tidak kenal siapa Nik Adli ini. Jika anda masih ingat, sekitar tahun 2001, Malaysia pernah kecoh dengan berita penangkapan sekumpulan lelaki yang dikatakan mempunyai pertalian dengan kumpulan Jamaah Islamiyyah dari Indonesia. Pada awalnya, kumpulan ini dikenali sebagai Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) sebelum manipulasi media menukarnya menjadi Kumpulan Militan Malaysia (entah apa motifnya ditekankan perkataan militan itu?). Nik Adli, anak lelaki kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan bertindak sebagai ketua yang memimpin kumpulan ini.
Namun demikian, sehingga semalam (hari pembebasan beliau), sekalipun beliau tidak pernah dibicarakan di mahkamah atas pertuduhan tersebut dan sehingga hari semalam tidak ada satu bukti pun yang ditemui untuk mengaitkan beliau dengan KMM.
Lima tahun terpisah dari keluarga tercinta. Lima tahun terkurung sebagai tahanan tanpa bicara. Lima tahun habis terbazir usia. Lima tahun. Dan semalam, penantian itu akhirnya berakhir.
Kepada pendukung-pendukung kebebasan: Nah! Ini hadiah buat kalian sempena Aidilfitri ini tahun ini.
Teruskan perjuangan. Bebaskan Malaysia!

Rabu, Oktober 18, 2006

Cerai


Kelmarin Awie melakukannya. Hari ini, Whitney Houston pun ikut serta. Esok lusa entah siapa pula.
Hari ini fenomena cerai bukan lagi sesuatu yang janggal. Tidak semua perkahwinan berakhir hingga ke nafas terakhir meskipun satu-satu perkahwinan itu secara zahirnya nampak bahagia. Siapa sangka perkahwinan dua orang selebriti terkenal negara yang ditabal sebagai Wedding of The Year pada tahun 2003 dahulu akhirnya turut berakhir dengan perceraian. Siapa turut menyangka, perkahwinan seorang ahli perniagaan (bergelar Datuk) dengan isterinya (seorang kerabat diraja) yang dibina hampir 21 tahun serta turut dikurnia empat orang anak musnah kerana perceraian.
Mengikut apa yang saya baca dalam sebuah artikel berkenaan isu ini, statistik perceraian umat Islam di Malaysia kini mencecah 10 hingga 15 peratus daripada jumlah perkahwinan.
Merujuk kepada satu kajian yang lain pula, terdapat tujuh faktor telah dikenal pasti sebagai punca utama perceraian di kalangan pasangan suami isteri di Malaysia, antaranya kegagalan memikul tanggungjawab. Selain itu, asas agama yang rendah, campur tangan pihak ketiga, perbezaan budaya, masalah seksual, kewangan dan kerjaya. Malah kajian terbaru yang dijalankan oleh Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (Jakim) mendapati 21 peratus perceraian disebabkan oleh sikap tidak bertanggungjawab suami atau isteri. Sebanyak 19.23 peratus lagi kerana tiada sefahaman dan selebihnya disebabkan masalah seperti dadah dan sebagainya.
Menurut kaunselor perkahwinan dari Access Counselling Services, Meriam Omar Din, beliau tidak menolak bahawa arus modenisasi sedikit sebanyak telah menghakis nilai-nilai tradisional dalam sesebuah perkahwinan sehingga menyebabkan ia menjadi sebahagian daripada punca kegagalan rumah tangga. Katanya, pegangan bahawa perkahwinan ialah suatu ikatan murni yang perlu dipertahankan dalam apa juga keadaan semakin luntur, sebaliknya perceraian dipilih sebagai jalan keluar kepada konflik yang timbul. Beliau berkata, bukan perkahwinan zaman sekarang saja yang dilanda masalah. Dulu pun ada tetapi yang membezakan perkahwinan dulu dan sekarang ialah nilai-nilai untuk mengekalkan perkahwinan.
Resah rasanya bila memikirkan semula apa yang terjadi di sekeliling kita. Perkahwinan itu indah, tetapi tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian perkahwinan itu memerlukan komitmen yang sangat tinggi.
Buat teman-teman yang telah dan bakal melangkahkan kaki menuju ke alam perkahwinan ini, bersedialah! Mudah-mudahan kalian mampu mentadbir dan mengurus bahtera bahagia masing-masing dengan penuh keharmonian.

Selasa, Oktober 17, 2006

Syok

Syok merujuk kepada rasa seronok, gembira ataupun teruja. Manusia lazimnya akan berasa syok bila mana sesuatu yang dihajati dan memenuhi tuntutan jiwanya tercapai.
Ada yang syok bila gadis yang diidam-idamkannya akhirnya membalas cinta yang didambanya sekian lama. Ada yang syok bila lulus cemerlang dalam peperiksaan. Ada yang syok bila mendapat pujian dan penghargaan dari kawan-kawan. Ada yang syok bila menerima testimoni di laman web friendsternya. Ada yang sekadar syok melihat orang lain syok. Dan yang paling syok ialah mereka yang syok sendiri alias SS.
Tidak dinafikan saya juga kadang-kadang dilanda sindrom SS ini. Adakala kita terlalu obses dengan pencapaian dan kejayaan kita sehingga kita lupa yang orang lain sedikit pun tidak pernah ambil peduli tentang obsesi kita itu. (Mungkin kisah seorang negarawan tua yang terlalu obses dengan kejayaannya selama 22 tahun memimpin negara sesuai dijadikan contoh).
Lumrahnya, setiap orang sama ada sedar atau pun tidak, banyak atau pun sedikit, kesemuanya mengidap sindrom SS (sama ada secara berkala atau pun berterusan). Tidak terkecuali Mat Rempit mahupun Pak Imam masjid. Jika Mat Rempit SS dengan kemahiran wi-kang dan style supermannya, Pak Imam pula adakalanya SS dengan ilmu dan reputasinya.
Hakikatnya, tiada seorang pun yang dapat lari dari sindrom SS ini. Andaikata kita merenung sedalam-dalamnya pengertian di sebalik istilah pasar ini, mungkin kita dapat merumuskan bahawa setiap dari kita sebenarnya tidak lari dari sikap obses dengan diri sendiri. Lebih dari itu, ada yang cukup gah hingga merasakan yang kehebatan dirinya itu melayakkannya untuk menghakimi orang lain. Siapa kita di sisi Tuhan? Hakimkah? Atau sekadar hamba picisan yang sama-sama mengidap sindrom SS?
Syok. Itulah kesamaan kita.

Ahad, Oktober 15, 2006

Sentuh

Mawi bikin kecoh lagi!

Katanya, "Saya tidak mahu bersentuhan dengan wanita sekiranya berlakon filem." Maka melentinglah hero-hero drama Malaya; Rosyam Noor dan M. Rajoli. Masing-masing mengeluarkan kenyataan menegaskan prinsip mereka.

Terbaru, menurut berita yang dipetik dari sisipan hiburan akhbar Berita Minggu, Bintang Popular (Bi-Pop) hari ini, penyanyi terkenal negara, Ziana Zain (dikenali sebagai pelakon melalui filem Sembilu) sebagai mengulas mengenai isu ini berkata:

"Kalau banyak sangat pantang-larangnya, lebih baik jangan berlakon. Berlakon ni kita memerlukan feel dan setiap pergerakan, ada maksud tersendiri. Kalau itu tak boleh, ini tak boleh, macam-macam hal, rasanya tak usah berlakon."

"Jangan buat orang lain marah dengan kenyataan kita, kalau belum bersedia untuk berlakon, menyanyi sajalah dik."

Aduhai Mawi! Terlupakah anda waktu-waktu indah anda di Akademi Fantasia dulu? Atau mungkin waktu itu tidak mengapa bersentuhan dengan wanita kerana tuntutan SMS?

Khamis, Oktober 12, 2006

Rukun


Tadi sempat saya ziarahi blog Pak Khalid Jaafar. Tersengih sendiri kala menatap entri Rukun Liberal beliau. Di sini saya perturunkan empat Rukun Liberal ilham Pak Khalid, saya dedikasikan khas buat Syed dan Awang, sahabat liberal saya (kedua-duanya masih belum membaca Tumit Achilles) :

Rukun liberal* empat perkara:

1. Kebebasan
2. Keteraturan spontan
3. Pemerintahan minimal
4. KOOL - komuniti orang-orang liberal


* www.khalidjaafar.blogspot.com

Rabu, Oktober 11, 2006

Badar

Diam tak diam, Ramadhan sudah menjengah hari ke-17. Lebih kurang 1425 tahun yang lalu pada tanggal yang sama meletusnya pertempuran Badar; jihad peperangan pertama dalam sejarah perjuangan Islam.
Mungkin ramai yang kurang tahu (atau kurang berminat untuk mengambil tahu) tentang salah satu peristiwa penting dalam riwayat perkembangan Islam. Bermula dari peristiwa inilah, umat Islam bangkit dalam mempertahankan hak dan maruahnya dari ditindas.
Menurut sirah, tujuan asal kaum Muslimin pada masa itu bukanlah untuk berperang. Ianya bermula setelah sampai khabar ke Madinah bahawa rombongan perdagangan penduduk Makkah yang diketuai oleh Abu Sufyan sedang dalam perjalanan pulang. Ketika peristiwa Hijrah, harta benda sebilangan umat Islam yang ikut berpindah ke Madinah (Muhajjirin) telah dirampas oleh kaum Musyrikin Makkah dan kemudian telah dijual oleh mereka kepada saudagar-saudagar yang menyertai rombongan perdagangan Abu Sufyan ini.
Oleh kerana itu, kaum Muslimin mencadangkan kepada Rasulullah SAW supaya menahan perjalanan pulang rombongan perdagangan ini untuk mereka menuntut kembali hak yang telah dirampas. Mendengarkan hal ini, Abu Sufyan menghantar utusannya ke Makkah meminta pemimpin-pemimpin Quraisy di sana supaya menghantar bantuan untuk melindungi barang-barang dagang mereka.
Sejurus menerima berita cemas dari Abu Sufyan, pemuka-pemuka Quraisy mengarahkan agar dihimpunkan 1000 orang untuk dikerah bagi melindungi rombongan perdagangan yang sedang dalam perjalanan pulang ke Makkah itu.
Rombongan Quraisy (dikepalai Abu Jahal, Syaibah Bin Rabi'ah dan 'Utbah Bin Rabi'ah) ini akhirnya mengubah perencanaan mereka daripada menjadi pasukan pelindung kepada pasukan perang. Umat Islam yang hanya berbekalkan lebih kurang 300 (riwayat mengatakan 313) orang tiada pilihan lain selain mempertahankan diri.
Maka pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah, pertempuran Badar meletus. Nyata sekali betapa besarnya kudrat manusia, jika berdepan dengan kekuatan taqwa dan iman, ia terlalu rapuh dan terlalu mudah untuk ditewaskan. Siapa sangka disebalik 313 tentera Muslimin menentang kemaraan hebat 1000 orang tentera kuffar yang lengkap dengan peralatan tenteranya, kemenangan berpihak kepada golongan yang kecil bilangannya.
Namun, itulah yang berlaku. Di sebalik rayuan Rasulullah SAW menadah tangannya ke langit, Allah SWT tidak membiarkan tangan itu terangkat begitu lama. Para malaikat turun dengan kekuatan yang tidak terjangkau oleh mata kasar manusia. Lalu, kaum Muslimin pulang ke Madinah dengan satu kejayaan yang menambahkan semangat juang dan memberikan satu lagi keyakinan bahawa pertolongan Allah pastinya bersama dengan mereka yang betaqwa.

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."

(Muhammad : 7)

Hari ini, pasir-pasir di Badar telah pun kering daripada tumpahan darah manusia lebih 1425 tahun yang lampau. Hiruk pikuk peperangan dan laungan kemenangan kaum Muslimin tentunya sudah tenggelam ditelan masa yang begitu laju berlalu. Tiada lagi lontaran panah-panah dan pacuan kuda-kuda perang yang menukilkan kemenangan kepada tentera Muslimin, namun sejarah telah tercatat dengan kemas bahawa Badar adalah satu memori manis yang terbina buat azimat dan tangkal semangat kepada setiap yang ingin melihat agama ini kembali berdaulat di muka bumi.

Dimana kita dan perjuangan kita pada hari ini? Kini, kaum muslimin bukan lagi berjumlah 313 orang. Berbilion ramainya melata di seluruh muka bumi. Jika para Sahabat r.a. sanggup turun menentang kaum Musyrikin biar pun peluang untuk menang terlalu tipis, sekarang pula terlalu sedikit individu yang sanggup turun melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang manusia yang mengaku Islam. Kalangan kita sebenarnya lebih enak tidur di katil masing-masing daripada berlumur debu di medan perjuangan. Tepuk dada, tanya selera! Di mana kita?

Isnin, Oktober 09, 2006

Nafas


Nafas baru bermula Ramadhan. Bukan bermakna saya berhenti merokok (sememangnya saya tidak pernah merokok); sekadar ingin mengisytiharkan selamat tinggal kepada blog Riwayat Hayat di friendster.com yang semakin hari semakin tersasul matlamatnya.
Faktor blogspot yang semakin meluas penggunaan dan manfaatnya menjadikan saya ikut terpengaruh untuk turut sama memindahkan Riwayat Hayat yang dahulu ke arah yang lebih matang-- riwayathayat.blogspot.com.
Entri pertama ini adalah sekadar percubaan awal untuk membina mood supaya kekal istiqamah dalam perkongsian ilmiah alam siber ini. Semoga Riwayat Hayat kali ini muncul dengan penuh kematangan dan dewasa. Kekal bernafas dan bernyawa!
Salam Ramadhan!

Selasa, September 12, 2006

Makin Porak Poranda?

Perjuangan mahasiswa kita makin porak poranda. Hari ini buat julung-julung kalinya aku menyaksikan kegilaan dan kefanatikan "bakal-bakal pemimpin pelajar" di kampus kuliahku mengejar impian (barangkali impian populariti yang terpendam?).
Yang terkenal dan yang tak terkenal. Yang idealistik dan yang spastik. Yang berfikir dan yang kuat berdikir. Yang muhasabah dan yang menggelabah. Yang berilmu dan yang paling dungu. Yang perasan macho dan yang wajahnya hancur. Kesemuanya berterbangan mencari undi dan publisiti. Entah apa agenda perjuangan mereka. Entah apa fikrah nurani mereka. Rata-rata yang "menawarkan" (lebih tepat mempromosikan) diri untuk menjadi wakil kepada mahasiswa ini rata-rata yang bertaraf "entah siapa" atau dalam ertikata lain tidak pernah dan tidak mungkin dikenali.
Mungkin agak sukar untuk kita menemui pengganti kepada bekas-bekas pemimpin pelajar yang hebat seperti Azman Ishak dan Mohd Fairuz A. Ghani (sekadar menyebut beberapa nama) tetapi mudah-mudahan dalam pemilihan kali ini akan muncullah hendaknya seorang yang mampu berjuang merubah dan memperkasakan hala tuju serta matlamat perjuangan mahasiswa itu sendiri. Kita sudah muak dengan pemimpin-pemimpin pelajar yang hanya menonjolkan diri sebagai yang terbaik sedangkan hakikatnya merekalah yang paling bangkrup idea dan falsafah.
Mudah-mudahan sesi pidato umum Jumaat ini bakal menghidangkan sesuatu yang menyegarkan dan menyengat; tidak terlalu retorik tetapi mampu meyakinkan kita akan kejujuran dan kesungguhan untuk merubah dan meningkatkan mutu perwakilan pelajar ke arah kepimpinan yang lebih dinamik dan progressif.
Selamat berkempen!

Khamis, Ogos 31, 2006

Merdeka!

Alhamdulillah. Syukur kerana aku hidup dalam sebuah negara yang bebas merdeka. Tiada belenggu penjajah. Tidak lagi dicucuk hidung lalu ditarik ke sana ke mari oleh mereka.
Perjuangan menuntut kemerdekaan ini penuh dengan ranjau dan duri. Ada diantara mereka yang terdahulu telah terkorban. Ada yang berjuang dengan darah dan air mata, ada yang telah merengkok dalam tahanan penjara, dizalimi British, Jepun dan kemudiannya British sekali lagi.
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan, namun jangan pula kita lupa akan pengorbanan mereka selain Tunku. Jangan lupa jasa Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Hj Muhammad, Mokhtaruddin Lasso, Ibrahim Hj Muhammad, Almarhum Ustaz Abu Bakar al Baqir dan ramai lagi.
Kini kita telah semakin matang. Usia 49 tahun bukannya satu tempoh yang singkat. Pun begitu, dalam keadaan merdeka, kehidupan rakyat masih belum selesa. Kita mungkin telah jauh maju dan membangun berbanding tahun 1957 dan sebelumnya, namun kemerdekaan dalam erti kata sebenar masih jauh dan belum dapat dinikmati sepenuhnya.
Kebebasan bersuara masih disekat-sekat, rakyat yang berhimpun secara aman untuk memprotes dibelasah sehingga tercedera. Akhar-akhbar masih belum bebas malah terikat dengan kehendak satu pihak, tiada pandangan alternatif. Kos hidup rakyat semakin tinggi, pendapatan rakyat masih rendah. Negara telah diurus oleh anak bangsa lebih 49 tahun, namun anak bangsa marhaen yang kebanyakan masih hidup susah dan tertekan.
Harga minyak mahal, harga barangan tinggi, kos pendidikan lanjutan meningkat, kos pengangkutan lain termasuklah tol terus membakar lubang dikocek rakyat. Dan dalam pada itu kalangan pimpinan terlibat dengan rasuah, kronisme dan nepotisme. Kadar jenayah semakin meningkat kerana tiada kawalan terhadap unsur-unsur negatif dan gejala maksiat.
Kerana itu walaupun saya berbangga negara telah 49 tahun merdeka, saya masih belum berpuas hati dan akan terus mengharap agar kita akan meneliti semua kekurangan ini dan akhirnya bangun sederap dan selangkah secara berani untuk membuat perubahan demi agama,bangsa dan tanahair.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Rabu, Julai 05, 2006

Forca Portugal!

Malam ini seharusnya penyokong-penyokong pasukan Perancis tidur awal. Tak perlulah berjaga untuk menonton perlawanan pagi esok kerana pasti air mata kecewa akan mengalir buat kalian.

Esok pagi, pasukan Perancis akan berhadapan dengan anak-anak buah Scolari yang semestinya bakal mempamerkan persembahan terbaik mereka sepanjang kempen Piala Dunia tahun ini. Perancis secara strateginya akan melayan Portugal sepertimana mereka menentang Brazil tempoh hari, dengan bergantung harap sepenuhnya akan kepintaran Zidane, kelicikan Henry juga ketajaman Ribery dalam melancarkan serangan balas.

Strategi Portugal juga bukan lagi rahsia. Barisan pertahanan Portugal bersama penjaga gol berkarisma, Ricardo akan sedaya mungkin mengekang kemaraan Henry. Deco dan Maniche pula bakal menjadi perancang serangan sementara Luis Figo dan Christiano Ronaldo akan membantu di bahagian sayap. Pauleta pula bakal memainkan peranan yang penting pagi ini memandangkan kebanyakan pemain kedua-dua pasukan telah menerima kad kuning dalam perlawanan sebelum ini. Faktor ini semestinya akan menjadikan perlawanan kali ini lebih terbuka dan diharapkan akan menjadi antara perlawanan yang paling berkualiti dalam kejohanan Piala Dunia tahun ini.

Apapun, pada tahap ini, segala-galanya adalah mungkin. Hanya tiga pasukan yang tinggal (Itali, Perancis dan Portugal) dan masing-masing berpotensi besar untuk menjulang Piala Dunia pada perlawanan akhir Ahad ini. Secara umum, ketiga-tiga pasukan memiliki kehebatan yang sama rata tetapi dalam ketiga-tiga pasukan ini, Portugal mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri iaitu Scolari- juara bertahan kategori jurulatih-jurulatih Piala Dunia. Beliaulah satu-satunya jurulatih dalam kejohanan ini yang mempunyai pengalaman cukup luas dalam memimpin sesuatu pasukan ke arah menjadi juara. Jadi buat penyokong-penyokong Portugal, jangan risau! Sekarang dapatkan tidur yang secukupnya. Pagi nanti kita beramai-ramai akan bangkit dan memberi sokongan sepenuhnya dalam perlawanan penentuan kita untuk ke akhir. Ianya bukan mudah tapi mudah-mudahan tuah ada bersama-sama dengan kita.

Berjuta-juta penyokong Portugal dari seluruh ceruk dunia tanpa mengira bangsa, bahasa dan negara bakal menyaksikan samada pasukan dari negara kerdil ini mampu melakukan keajaiban. Mereka bakal berhimpun di hadapan TV dan skrin-skrin besar untuk bersorak dan memberi sokongan padu kepada 23 orang pemain serta jurulatih mereka yang penuh karisma. Dengarlah dengan teliti malam ini..sorakan semangat: For├ža Portugal!

Ahad, Februari 19, 2006

Kita Memboikot Kewarasan Sendiri

Reaksi spontan masyarakat Islam seluruh dunia berhubung dengan isu penyiaran karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad s.a.w. dengan imej pengganas membuktikan yang kecintaan umat Islam terhadap Baginda tiada tolok bandingnya. Adakah kita marah dengan penyiaran karikatur biadap ini? Jawapannya: YA. Tetapi apakah yang telah di ajar oleh Baginda kepada kita? Adakah Baginda mengajar kita merusuh dan melakukan keganasan apabila kita dihina? Jawapannya: TIDAK.

Baginda menyeru kita supaya bersabar dan memaafkan. Seseorang itu dikatakan kuat bukanlah atas sebab dia menguasai semua seni pertahanan diri atau memiliki kekuatan fizikal yang tidak dapat ditandingi. Islam menegaskan bahawa mereka yang benar-benar dikatakan kuat adalah mereka yang mampu bersabar dan menahan kemarahannya biar sehebat manapun mereka ditekan.

Jika difikir-fikirkan semula, apakah yang kita dapat dari menyertai perhimpunan-perhimpunan dan tunjuk-tunjuk perasaan yang mana kebanyakannya (rata-rata di negara Timur Tengah) berakhir dengan rusuhan dan keganasan yang melampau. Apakah sebenarnya mesej yang cuba hendak disampaikan di sebalik "majlis jerit-jerit dan tumbuk angin" ini? Sekalipun dunia luar mengetahui betapa tebalnya kecintaan kita terhadap Baginda s.a.w., mereka turut akan menyimpulkan bahawasanya Islam ini memang seperti yang dikatakan: "agama pengganas". Ketahuilah bahawasanya setiap daripada kita ini masing-masing membawa imej Islam tidak kira masa dan di mana saja kita berada, jadi apa saja yang kita lakukan akan dinilai atas nama Islam itu sendiri.

Saya bukanlah sama sekali mengatakan bahawa menunjuk perasaan dan berdemonstrasi ini adalah salah, tetapi seharusnya ia dilakukan dengan penuh aman dan beretika. Buktikan kecintaan kita kepada Baginda s.a.w. dengan mengajar dunia tentang cinta dan kasih sayang, bukan dengan membakar sentimen kemarahan dan kebencian terhadap bangsa Barat (baca: Eropah). Senario membakar bendera dan merusuh di hadapan bangunan kedutaan Eropah adalah tindakan yang tidak wajar. Dan yang lebih melampau ialah apabila ada sekumpulan umat Islam (di negara-negara Arab) yang bertindak lebih dari batasan apabila turut membakar bangunan kedutaan Denmark. Apakah ini satu tindakan yang Islamik? Bayangkan seandainya ada golongan bukan Islam yang membakar masjid-masjid umat Islam setiap kali umat Islam melakukan keganasan atas nama "jihad"? Mereka (bukan Islam) memberi alasan yang ini adalah untuk menebus marah dan membalas dendam. Apakah perasaan kita seandainya ini berlaku?

Berkenaan dengan kempen-kempen yang menyeru supaya diadakan pemboikotan terhadap barang-barang keluaran Denmark ini, persoalannya; kenapa kita perlu memboikot produk mereka? Bukan semua rakyat Denmark bersetuju dengan penyiaran karikatur itu. Bayangkanlah seandainya sesuatu perusahaan itu mengalami kerugian yang besar disebabkan oleh kempen boikot ini? Semestinya ramai yang akan kehilangan pekerjaan. Bayangkan sekiranya ada di antara mereka ini yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak untuk disara? Apakah ini yang kita sebagai umat Islam mahukan? Apakah ini yang diajar oleh Baginda s.a.w. kepada kita?

Sekiranya kita turut bertindak menindas dan berlaku zalim kepada mereka, maka tiada bezalah antara kita dengan mereka. Saya tidak fikir bahawa dengan menindas orang lain adalah sesuatu yang sejajar dan berlandaskan Islam. Fikirkanlah? Sekiranya apa yang saya utarakan menimbulkan rasa kurang senang kepada sesetengah pihak, maka perbetulkanlah saya di mana saya ada melakukan silap. Hakikatnya, tiada seorang pun yang benar-benar bebas dari melakukan kesilapan.

Seseorang Muslim yang baik itu adalah yang paling banyak melakukan kebajikan, memberi manfaat kepada orang lain dan yang selalu memperbaiki diri setiap kali dia menyedari kesilapannya.